Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua yang mengikuti Fiksyen Shasha sekalian. Aku merupakan seorang wanita. Terima kasih kepada team FS sebab sudi paparkan kisah saya sebelum ini dan pada kali ini saya ingin berkongsi tentang satu lagi pengalaman seram yang sangat memberi kesan kepada saya dan rakan-rakan ketika kami berada di zaman pengajian ijazah pada tahun 2016 yang lalu.
Pernah dengar perkataan “Phasmophobia”? Ia merupakan salah satu penyakit bagi segelintir manusia yang takut kepada perkara-perkara ghaib/benda yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Contoh paling senang ialah takut kepada hantu. Tetapi bukan penyakit ini yang saya ingin bicarakan. Kisah yang saya ingin ceritakan di bawah nanti adalah berkaitan dengan dengan pengalaman kami sepanjang menjalankan kajian bagi penyakit “phasmophobia” ini.
Pada tahun 2016, ketika itu kami merupakan pelajar tahun ke-3 di sebuah universiti swasta yang terletak di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Untuk pengetahuan semua, universiti kami ini mempunyai beberapa cawangan di sekitar semenanjung,dan seringkali akan ada pertandingan melibatkan sukan dan akademik dijalankan diantara kampus-kampus.
Pada waktu itu, satu pertandingan “Thesis” terbaik bahagian akademik untuk subjek English Communication) telah dijalankan oleh komuniti kampus induk di mana setiap universiti perlu menyediakan kertas kajian mengikut tajuk yang telah diundi. Kampus kami telah mendapat tajuk “Paranormal Activity” dan beberapa kumpulan dibentuk bagi menjayakan lagi kertas kajian tersebut.
Setiap kumpulan telah menerima subtopik tertentu yang perlu dikaji dan kumpulan kami telah mendapat tajuk “PHASMOPHOBIA”. Bagi mendapatkan info-info mengenai kajian ini, setiap kumpulan telah dihantar ke beberapa lokasi tertentu selama 2 bulan lengkap bersama alatan-alatan yang akan digunakan sepanjang kajian. Untuk kumpulan kami, kami telah dihantar ke 3 tempat iaitu, Hospital, Pusat Rawatan Islam Darussyifa serta Kellie Castle. Ketiga-tiga lokasi yang diberi ini mempunyai kisah yang tersendiri di sepanjang kami menjalankan kajian.
Pengalaman yang ingin saya ceritakan ini adalah sewaktu kami di Kellie Castle, salah satu tempat yang dikenalpasti sebagai lokasi paling berhantu di Malaysia dan di sini lah kejadian seram itu bermula. Kami tiba di Kellie Castle pada jam 6 petang bersama 2 lagi kumpulan lain bagi menjalankan aktiviti “Paranormal Walk” yang akan bermula sekitar jam 9.30 malam. Nasib kami agak baik kerana ketika itu kami mendapat maklumat daripada pihak kellie castle terdapat 2 kumpulan pengamal perubatan islam dari Indonesia yang akan bersama-sama menjalankan aktiviti tersebut. Pada malam itu, setelah selesai mendengar taklimat keselamatan daripada pihak kellie castle, kami telah dipecahkan kepada 3 kumpulan oleh ketua kumpulan dari Indonesia tersebut.
Untuk pengetahuan semua, setiap kumpulan tersebut dipecahkan berdasarkan deria-deria (penglihatan, pendengaran dan deria rasa) yang akan ditajamkan oleh para peserta dari Indonesia ini. Waktu itu kami berdebar-debar kerana boleh kata hampir semua ahli kumpulan tidak mahu terlibat di dalam kumpulan deria penglihatan kerana khuatir akan melihat benda-benda yang menakutkan. Tetapi setelah diyakinkan oleh pihak mereka, barulah kami mempunyai kekuatan untuk menyertai mereka.
Alhamdulillah kami satu kumpulan telah ditempatkan di dalam kumpulan deria rasa. Setelah aktiviti pembahagian selesai, acara pembacaan doa dijalankan dan kemudian semua peserta dilepaskan mengikut kumpulan masing-masing. Kumpulan aku terus menyusur di bahagian tengah bangunan kellie castle dan seterusnya ke bahagian belakang.
Ketika sampai di sebatang pokok, kami telah diarahkan berhenti dan membuat satu bulatan mengelilingi pokok tersebut. Ketua kumpulan berdiri di tengah-tengah dan kemudian terus menyampaikan beberapa info berkaitan alam ghaib dan nasihat sekiranya manusia ingin melihat atau merasai kewujudan mereka. Selepas itu ahli kumpulan Indonesia tersebut telah membantu kami menajamkan deria rasa kami melalui tangan. Sewaktu proses itu kami tidak merasakan kelainan hinggalah ketika ketua kumpulan meminta 2 orang (aku dan rakan) bangun dan mendekati pokok di sebelahnya.
Kami disuruh menghalakan tangan kami kearah batang pokok tersebut dan beliau meminta kami menggerakkan tangan kami dari atas ke bawah. Sementara itu, ahli kumpulan yang lain diminta berzikir sekuat yang boleh. Sewaktu kami menggerakkan tangan, aku terasa seolah tangan aku bergerak di atas satu permukaan yang basah, sejuk dan beralun-alun sedangkan tangan aku langsung tidak menyentuh / jejak di permukaan batang pokok tersebut.
Kemudian kami diberitahu oleh ketua kumpulan mengenai objek yang disentuh oleh kami itu adalah bangsa jin yang menyerupai haiwan. Permukaan sejuk yang disentuh aku itu merupakan kawasan perutnya yang berlendir kerana makhluk itu mengeluarkan lidahnya yang panjang serta air liur yang berjejeran di atas perutnya yang buncit. Manakala sahabatku telah menyentuh bahagian tangannya (berbulu hitam). Waktu diberitahu itu aku terasa kecut perut yang teramat dan terasa seperti diperhatikan oleh makhluk tersebut.
Kemudian ustaz yang menjadi ketua kumpulan kami itu terus menasihati kami agar menguatkan lagi bacaan zikir untuk menguatkan semangat kami sekumpulan bagi mengelakkan kami dirasuk kerana jin yng berada dihadapan kami ini antara yang kuat serta beberapa kali cuba untuk memasuki badan salah seorang anggota kumpulan kami. Setelah selesai di kawasan pohon itu kami bergerak ke tangga di bangunan istana tersebut sambil berzikir. Di situ, ketua kami memberitahu terdapat beberapa makhluk yang cuba menzahirkan diri mereka untuk menakutkan kami.
Tak kurang juga ada yang menyerupai roh-roh manusia yang mungkin pernah m4ti disitu (zahirnya seperti seorang lelaki berbangsa india serta seorang kanak-kanak perempuan berbangsa orang putih). Pelbagai interaksi juga dapat kami lihat apabila ustaz meminta makhluk-mahluk itu memberitahu lokasi di mana mereka berada seperti contoh mereka menggerakkan daun, melempar batu serta menghembus angin ke arah kami. Sungguh kami rasa dikelilingi “mereka”pada waktu itu.
Setelah selesai pengembaraan berkumpulan, tiba waktunya kami menjalani sesi burung hantu; kami diuji dengan cara kami ditinggalkan di sepanjang lokasi perjalanan tadi. Tetapi kami tidak ditinggalkan keseorangan. Kami diletakkan secara berpasangan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku. Aku dan rakanku diletakkan di kawasan basement (Kawasan simpanan botol arak) bersama satu lagi pasangan.
Tetapi sebelum diletakkan, deria kami ditajamkan lagi di bahagian pendengaran. Sewaktu ujian itu kami berempat mendengar bunyi seperti rak besi dialihkan serta bunyi botol-botol kaca berlaga. Kami juga turut mendengar bunyi seperti orang berbual-bual tetapi di dalam bahasa inggeris. Butir-butir percakapan tidak berapa jelas tetapi yang jelasnya seperti dua orang lelaki sedang berbual. Aku tak berhenti-henti berzikir serta membaca ayat-ayat al quran yang aku hafal. Pada awalnya aku berasa seram tetapi semakin lama aku seperti sedar betapa agungNya kuasa Allah menciptakan hamba-hambaNya.
Aku positifkan diri aku untuk bertenang secara meletakkan fikiran yang aku semakin dekat dengan Allah apabila melalui situasi seperti ini. Syukur Alhamdulillah. Itu sahaja pengalaman yang aku nak kongsikan pada kali ini dan universiti kami telah mendapat johan dalam pertandingan “thesis”terbaik tersebut pada waktu itu. Terasa berbaloi usaha kami menghadap segala dugaan sepanjang menyiapkannya. Dan yang paling penting pengalaman yang kami lalui sangat bernilai dan akan dikenang sampai bila-bila. Sekian, jumpa lagi di penulisan akan datang. -NI-
Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit