Pocong Galam Gambar

Salam Istirehat kepada semua pembaca FS. Ini kali kedua aku menulis selepas aku cerita kisah Hantu Dalam Badan Maktok. Kali ni aku nak cerita pulak kisah masa aku bergelar student 11 tahun yang lalu…

Kisah yang agak seram bagi aku ni berlaku masa aku menetap ‘out campus’ disebabkan tak cukup merit nak stay dalam kampus. Kami menyewa di satu apartment yang agak selesa juga di kawasan Bukit Mahkota, Bangi. Aku pasti mungkin ada pembaca lain juga tahu tempat ni. Housemate aku ni seramai 7 orang. Semua satu kepala boleh layan, sekarang semua dah bawa haluan masing-masing tapi masih lagi contact dalam alam maya saja. Dan kami semua berjaya grad dan kini masing-masing dah ada keluarga dan profession sendiri. Alhamdulillah….

Kisah ni berlaku semasa aku sedang bersiap-siap nak menghadiri dinner tahunan untuk budak-budak masscomm. Masa tengah bersiap tu lebih kurang pukul 7.20 malam waktu dah nak masuk maghrib. Kebetulan masa tu aku cuti solat dan ambil peluang untuk bersiap awal sedikit. Biasalah kalo rumah bujang, masing-masing nak tolong solekkan, touch up muka kawan diorang ni nak bagi nampak cantik. Memang keadaan riuh rendah dengan suara gelak, bergurau senda. Keadaan sangat bising waktu tu seolah-olah tak menghormati waktu Maghrib sebentar lagi…

Kebetulan masa tu aku baru saja beli kamera DSLR. Memang galak lah kawan-kawan ambil gambar pakai kamera tu sebab aku ni jenis tak kisah kalo kawan guna barang aku. Masa tengah bersiap tu, kawan aku ni nama Has, suka sangat ambil gambar dan suruh aku yang dah pakai mekap ni untuk posing 3,4 keping. Bukan gambar aku saja yang dia ambik, gambar kawan-kawan yang lain yang sedang menggedik pun diambil nya. Waktu tu memang dah betul-betul masuk Maghrib dah…

Bila selesai azan Maghrib, aku pun keluarlah naik kereta menuju tempat acara. Tak ada apa yang berlaku pun malam tu, dan aku balik rumah macam biasa lepas habis acara.

Keesokkan harinya, aku mainkan balik DSLR aku. Aku tengok gambar satu persatu. Masa aku belek semua gambar dalam DSLR tu, aku macam perasan beberapa keping gambar yang Has ambil semalam, macam ada yang pelik. Bila aku zoom, masih tak jelas apa yang aku nampak. Jadi, aku capai wayar USB terus aku transfer semua gambar dalam DSLR tu masuk ke dalam laptop.

Alangkah terkejutnya aku, beberapa gambar aku yang Has ambil, ada sesuatu objek yang berbungkus di belakang aku. Makhluk berbungkus tu tinggi dari aku dan mukanya hitam. 4 gambar yang Has ambil, semua nampak jelas. Gambar yang pertama makhluk tu ada di penjuru kiri, gambar kedua makhluk tu ada di belakang aku, gambar ketiga dia di penjuru kanan. Gambar yang keempat dia dah dekat pintu utama. Dia seolah sedang bergerak menuju ke pintu.

Aku terus panggil semua housemate aku dan tunjuk gambar-gambar ni. Semua terdiam dan terkejut. Masing-masing blur dan terus jadi macam orang bodoh. Selang 2 hari dari kejadian tu, aku ada bersembang dengan jiran depan rumah yang aku bahasakan diri dia dengan panggilan Acik, seorang suri rumah yang baik hati. Tengah-tengah sembang tu, Acik terkeluar cerita yang kawasan perumahan sebelah heboh diganggu “Ah Chong” tengah mengamuk. Acik bagitahu yang ketua penduduk tu dah panggil team Darus-Syifa cawangan Bangi. Aku hanya angguk dan diamkan jer tentang apa yang berlaku 2 hari lepas dalam rumah ni. Aku taknak Acik rasa takut kalo aku cerita hal yang dah jadi.

Acik bagitau lagi yang team Darus-Syifa akan datang bawa bas untuk pindahkan semua hantu syaitan yang berkeliaran dikawasan ni. (11 tahun lepas memang kawasan ni baru nak membangun. So, memang banyak hutan lalang yang sedang dikosongkan untuk buat bangunan bertingkat). Aku dengar macam lawak dan tak logik pun ada. Takkan la hantu nak naik bas. Macam dah nak pergi rombongan Cik Kiah pulak. Aku gelak dalam hati jer la.

Nak dijadikan cerita, keesokkan harinya lepas aku habis kelas, aku terus balik rumah sewa. Masa tu lebih kurang pukul 5 petang. Aku berdiri tepi tingkap dan tiba-tiba aku ternampak satu bas sekolah dan satu van putih bergerak sangat perlahan. Sangat jelas nampak sebab rumah aku tinggi. Perlahan-lahan 2 kenderaan itu melalui jalan utama dan menghala ke arah jalan Bangi lama. Jalan Bangi lama tu tak perlulah diceritakan lagi betapa seramnya kalo melewatinya di tengah malam. Jika berkesempatan, aku akan ceritakan nanti.

Baru aku teringat yang Acik jiran aku tu cerita pasal team Darus-Syifa datang untuk buat pembersihan dikawasan kami. Rupanya memang betul kaedah untuk pindahkan makhluk tu menggunakan kenderaan besar.

Sekian cerita aku, maaflah kalau cerita aku ni bosan dan kurang menarik. Ini adalah sebahagian dari pengalaman aku bergelar pelajar ditempat orang. Sekian terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aireen

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 11 Average: 4.3]

3 thoughts on “Pocong Galam Gambar”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.