PONTIANAK DARI KEBUN SAWIT

Assalamualaikum kepada semua pembaca dan penulis fiksyen shasha. Aku merupakan pembaca tegar cerita horor dan mistik dari FS, namun aku bukan lah seorang yang tersangat berani. Aku menganggap diriku mempunyai indera keenam kerana aku sering melihat bayangan yang secara umumnya orang lain tidak mampu melihat dan perasan akan kehadiran sesuatu yang umumnya juga orang lain tidak merasakan. Akan tetapi aku tidak pernah melihat rupa sebenar mereka dan juga berharap tidak akan pernah diberikan “rezeki” untuk melihat perkara tersebut.

Aku Lulu bukan nama sebenar, berasal dari Pekan Nenas yang dahulunya memang kawasan pengusahaan nanas secara besar-besaran dari segi penanaman dan juga pengilangan. Seiring dengan pembangunan yang kian maju, Pekan Nenas semakin lama semakin pesat dengan kepadatan penduduk dan juga aktiviti ekonomi yang lain. Bukan lagi sebuah perkampungan, akan tetapi masih mempunyai saki baki penanaman nanas dan sawit. Aku menetap di sebuah taman perumahan teres, depan, belakang, kiri dan kanan rumah ku adalah rumah jiran-jiran. Beberapa meter dari belakang rumah aku pula merupakan kebun sawit. Kebun sawit tersebut tidak lah luas, cahaya daripada taman perumahan lain dan cahaya lampu juga dapat menembusi kegelapan di dalam kebun sawit tersebut.

Tidak dapat ku sangkalkan, terdapat banyak cerita-cerita di kejiranan ini tentang kewujudan cikpon di kawasan sekitar lebih-lebih lagi kawasan kebun sawit tersebut. Aku secara jujurnya tidak pernah melihat kelibat yang sering diperkatakan itu. Akan tetapi, terdapat peristiwa yang berlaku pada aku, sehingga aku yakin bahawa sosok itu wujud di kawasan kejiranan kami. Dia tidak menampakkan rupanya, tetapi dia seakan-akan memberi gambaran bahawa dia ada.

Aku dan Ja (nama singkatan) merupakan sahabat baik, kami mula rapat ketika dibangku sekolah menengah, Ja menetap di belakang rumah ku dan aku selalu bertandang di rumah Ja sama ada untuk melepak ataupun bermalam (walaupun rumah kami dekat, hanya beberapa langkah sahaja).

Kejadian pertama yang aku lalui adalah apabila aku bermalam di rumah Ja, ku anggarkan jam sekitar 2 pagi, aku mendengar suara wanita berborak dengan rancak sekali. Namun suara tersebut senyap dengan secara tiba-tiba seperti menyedari bahawa aku sedang memasang telinga. Tidak pasti apa yang sedang diperkatakan oleh wanita-wanita itu, akan tetapi suasananya begitu riuh. Aku akhiri misteri tersebut dengan berprasangka positif, mungkin itu adalah jiran yang masih lagi bergosip hingga larut malam. Al-maklum lah, makcik bawang.

Kejadian mistik yang seterusnya adalah ketika kami sedang melepak di hadapan rumah Ja. Waktu itu, kami bertiga. Aku, Ja dan Pentol (nama samaran yang sebenar) sedang berborak rancak di hadapan rumah Ja, sambil kami bergelak sakan tentang topik yang sedang hangat diperkatakan tiba-tiba terdapat suara lain yang juga turut gelak sama, yang ku kira dan ku amati suara itu datang dari belakang rumah Ja (yang juga posisi sama di mana aku mendengar suara wanita berborak). Kami berpandangan sesama kami, lalu kami perlahankan suara ketika berborak dan tidak lama itu kami bergegas pulang kerana aku dapat rasakan bahawa suara gelakan itu bukan suara milik manusia melainkan entiti ghaib. Betul lah kata orang, ketika waktu malam jangan lah sesekali ketawa keriangan tidak beringat.

Kejadian selanjutnya dan aku harap yang terakhir kalinya. Masih ingat tentang kebun sawit belakang taman perumahan kami? Untuk gambaran yang lebih jelas, hujung lorong rumah Ja ini adalah kebun sawit yang aku katakan. Maka kalau kami melepak di hadapan rumah Ja, pemandangan di hujung lorong adalah kebun sawit yang kadang gelap dan kadang terang disinari oleh cahaya sang rembulan. Mata juga sering meliar melihat ke arah tersebut secara sengaja, umpama sengaja menunggu kemunculan mereka. Seperti kebiasaan, aku melepak di hadapan rumah Ja, kami berdua. Selalunya aku akan berjalan kaki sahaja walaupun aku perlu melalui lorong yang gelap, terkadang aku akan menghambakan adikku untuk menghantar aku ke rumah Ja.

Malam itu, aku datang sendiri dengan berjalan kaki. Kami sememangnya akan lepak sehingga larut malam, sehingga bibir kering dan merasakan tiada lagi topik menarik. Akan tetapi pada malam tersebut, tempat yang selalu aku pandang, menunjukkan kewujudan penghuninya.

Sedang aku dan Ja rancak berborak, namun mata tertumpu ke kebun sawit, aku melihat sendiri, sesuatu berpakaian putih lalu melepasi lorong rumah Ja di hadapan mataku. Ia tidak berjalan, pergerakkan seperti melayang namun ia tidak tinggi. Tepat di jalan tar cuma mungkin kakinya tidak berpijak di bumi. SESUATU SEDANG GENTAYANGAN ! Hanya aku yang melihatnya, tidak tunggu lama aku terus meminta Ja untuk menghantar aku pulang, namun melewati jalan yang lebih jauh, yang lebih terang. Sesudah mataku disajikan dengan pandangan sebentar tadi, tidak mahu lagi aku bertembung dengannya jika kami melalui lorong gelap yang memang jaraknya lebih dekat untuk ke rumahku.

Aku juga sempat berpesan pada Ja untuk menggunakan jalan yang kami guna tadi, jangan guna jalan yang lebih dekat. Aku risau Ja akan bertembung dengan “dia”. Aku tidak ingat sama ada aku menceritakan perkara ini kepada Ja atau tidak, tapi yang aku ingat rasanya itulah kali terakhir aku lepak di hadapan rumah Ja. Kini, kalau ingin berjumpa, kami akan pergi ke restoran atau port lepak yang lebih sesuai, bukan lagi di hadapan rumah Ja.

Kejadian ini berlaku sekitar tahun 2015 – 2016, aku tidak dapat ingat dengan jelas. Maaf kerana tidak lah begitu seram bagi pembaca FS, tidak juga begitu seram bagi diriku tapi ini adalah antara kejadian yang ku ingat sehingga kini. Terima Kasih kepada pihak FS sekiranya menyiarkan penulisan pertamaku ini. Mungkin aku akan comeback dengan cerita yang berlainan, yang berlaku pada diri ku. Sekian sahaja dari ku, Lulu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Lulu

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 25 Average: 3.6]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.