PONTIANAK POKOK KEKABU

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Terima kasih sebab sudi baca kisah aku yang tak seberapa ini.

Nama aku Nona Manis, boleh panggil aku Nona. Aku dah lama sebenarnya teringin mencoret kisah dalam FS cuma belum diberikan kesempatan oleh Allah untuk punya masa berlebih-lebih. Kebetulan Allah bagi izin pula hari ini. Jadi aku nak berkongsi kisah dengan semua.

Aku berasal dari sebuah negeri di Selatan Tanah Air. Rumah tempat aku membesar ini pula berada di dalam kawasan kampung tetapi bandar di sekelilingnya. Ala-ala Kampung Baru yang berada di tengah Ibu Kota itu.

Kisah yang akan aku ceritakan ini berlaku sewaktu bulan Kaum Cina di negara kita jalankan upacara Sembahyang Hantu. Aku, Mama dan adik-adik aku berada di rumah menunggu Baba pulang dari kerja. Baba aku merupakan seorang pemandu teksi yang selalunya pulang lewat malam.

Sementara menunggu Baba aku balik dari kerja, aku dengan Mama melayan kisah Hantu Cina di televisyen. Adik-adik aku sudah pun ‘berlayar’ sebab jam sudah pun menunjukkan ke angka satu pagi.

Tiba-tiba kami terdengar suara perempuan menangis di kawasan tengah rumah. Rumah aku terbahagi kepada tiga bahagian. Rumah ibu, rumah tengah dan dapur. Jarak antara satu-satu rumah agak jauh.

Mama yang terdengar bunyi tersebut bertanya kepada aku, adakah aku mendengar benda yang sama. Aku perlahankan suara televisyen dan seperti yang Mama dengar aku juga dengarkan benda yang sama.

Semakin lama bunyi suara perempuan tersebut semakin kuat dan mendayu-dayu. Kami tinggal di kawasan tanah sendiri tetapi di sekeliling kami penuh rumah sewa Maktok aku. Jadi rumah kami rapat-rapat.

Anggapan Mama, mesti jiran sebelah rumah kami bertelingkah dan salah seorang daripadanya sedang duduk di tangga rumah tengah dan menangis sebab sebelum ini pernah terjadi. Tanpa berfikir yang pelik-pelik Mama bangun untuk ke dapur kerana haus terasa di tekak.

Tidak lama selepas itu Mama muncul dari dapur menyentuh bahu aku lantas memberitahu aku yang suara perempuan menangis itu bukan datang dari sumber yang kami anggap tadi tetapi, dari belakang rumah.

Belakang rumah kami ada sebatang pokok kekabu yang tinggi dan menyeramkan. Dan-dan bulu roma aku meremang. Ya Allah, dari belakang rumah kamikah suara perempuan menangis itu datang? Semakin kami tercari-cari dari mana bunyi suara itu datang semakin kuat dan mendayu-dayulah jadinya.

Tidak lama selepas itu, bunyi teksi Baba menghampiri dari atas bukit menuju ke rumah kami. Menyala cahaya lampu teksi menerangi rumah dan terpadam tidak berapa lama kemudian. Aku dan Mama terus menyerbu Baba berceritakan tentang apa yang kami dengar.

Baba: Itu dekat belakang tengah bergayut. Nak tengok? Jom Baba bawa.
Mama: Eh you ni, ada pula nak bawa kami pergi tengok “benda” itu!
Baba: Habis itu you sibuk sangat tanya apa benda yang menangis mendayu-dayu itu.

Sebenarnya sebelum ini pun sepupu aku, Q pernah juga alami hal yang sama. Aku ada sebutkan rumah kami ini kampung di tengah-tengah bandar, jadi tempat kami membuang segala sampah-sampah domestik di rumah adalah di belakang kawasan kampung kami.

Kebetulan hari itu kami ada kenduri di rumah Maktok. Tugas membuang segala sampah seusai majlis selalunya cucu-cucu lelakilah. Sampai giliran Q membuang sampah senja itu, dibawa lampu suluh dan dijinjing sampah bersama.

Sesudah sampai, Q sudah sedia buka langkah kuda-kuda hendak lempar sampah ke gaung sambil meliar lampu suluh menyuluh bila tiba-tiba tepat lampu suluh menyuluh “benda” yang sedang tepat memandangnya. Tergantung, gentayangan tanpa kaki dengan rambut meliar menutupi muka berkain putih lusuh.

Q? Kaki macam dipaku ke tanah, hendak lari tidak berdaya, hendak jatuh terjelepuk juga tidak berganjak. Menahan rasa sambil terkumat-kamit mulut melafaz ayat-ayat suci Al-Quran yang entah betul entah tidak.

Dikumpul kekuatan untuk berlari juga akhirnya dan cerita ini dia sampaikan kepada kami yang ketika itu sibuk membasuh periuk belanga, pinggan mangkuk bersama.

Kalau hendak dikira, banyak lagi kisah-kisah jiran kami terjumpa, terserempak dengan “benda” itu kalau mahu cerita semua seminggu belum tentu selesai dan akhirnya kami hanya mampu berdoa agar tidaklah berjumpa atau bersua muka. Huissshhh SERAM!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

NONA MANIS

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 26 Average: 4.1]

2 thoughts on “PONTIANAK POKOK KEKABU”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.