Pusak-Iblis Tulang Mengganas

Mereka semua selamat berlabuh selepas beberapa detik diserang Bujang Senang. Saat saja kapal berlabuh di pantai, Taring Besi segera melompat ke pantai dan meninjau keadaan sekeliling. Sudah menjadi kebiasaannya begitu, umpama pemantau sebelum apa-apa tindakan diputuskan.

Bujang Senang hanya mendiamkan diri. Binatang buas tersebut tidak banyak bicara, hanya membisu dan menunggu titah dari empunya cincin. Titah yang memang wajib dipenuhi. Tiada hati makhluk buas yang tak boleh ditakluk cincin Raja Nyawa, semuanya pasti tunduk.

Taring Besi berasa tidak gembira dengan keadaan di pulau yang memang buruk seperti yang digambarkan. Menghirup udara pulau seperti menghirup bau kematian dan kecelakaan. Keadaan sekeliling terasa suram sepi.

“Hm..”

Seakan ada mata yang menilik dari jauh. Sepasang mata yang dingin dan kejam.

Taring Besi menoleh ke belakang!

Hanya ada semak samun dan pokok-pokok yang tiada manfaat. Tiada sesiapa pun di situ.

Semua barangan dan kelengkapan diturunkan dari kapal. Bujang Senang masih di dalam air memerhati tingkahlaku kesemua kaum Pusak yang ada.

“Bujang Senang!”

Bujang Senang tenang memerhati Puteri Santun Puteh yang mendekatinya di tepi pantai pulau tersebut.

“Terimak kasih atas khidmat”

Bujang Senang tetap diam. Namun dari matanya difahami bahawa dia tunduk dan taat kepada Zakir dan rombongan. Perlahan-lahan buaya air masin gergasi itu memusing dirinya dan menyusur pergi dari pantai pulau. Jelas kelihatan dari jauh seakan pulau kecil yang dihanyutkan ombak. Bujang Senang lega kerana akhirnya dapat menjauhi kembali pulau tersebut.


Unggun api menerangi sebahagian pantai. Angin pantai kini sejuk menembusi sumsum. Khemah didirikan untuk menempatkan semua rombongan yang turut serta. Separuh dari rombongan diarahkan berjaga-jaga demi keselamatan semua.

Zakir, Taring Besi dan Taring Jati memanggang ikan yang didapati dari lautan tersebut. Jelas di mata Zakir selepas Asar tadi melihat Taring Jati berjalan diatas air dan menyeru ikan dari dalam laut. Ratusan ikan melompat-lompat dari pertengahan laut ke pinggir pantai.

Ikan panggang menjadi menu utama mereka disamping roti dan sedikit air tuak. Tuak dikalangan mereka adalah jus nira. Menjadi kegemaran kaum Pusak semenjak berabad yang lalu.

“Pagi isok kita gerak lepas Subuh.”

Puteri Santun Puteh datang menyapa para pahlawannya yang duduk menyantap makan malam.

Semua mereka lantas berdiri hormat. Namun, Puteri memberi isyarat agar duduk. Taring Besi lantas menawarkan pinggan berisi makanan yang masih panas. Puteri menolak sopan. Zakir berselera menyantap ikan panggang.

Puteri melihat langit. Langit seakan berbisik kepadanya agar sentiasa menyerah diri kepada Allah. Puteri menoleh kembali ke arah mereka yang duduk mengelilingi unggun api. Mereka semua tidak berbicara. Diam seribu bahasa. Puteri langsung berlalu ke khemahnya.


“Allahuakbar Allahuakbar!”

Puteri terjaga dari tidurnya. Laungan azan dari Taring Jati menandakan Subuh sudah mendatang.

Jemaah didirikan sebanyak 3 saf panjang. Tinggal 4 orang yang bertungkus-lumus menyediakan sarapan. Bertukar shift untuk solat. Puteri juga bersolat di belakang. Satu-satunya jemaah muslimah untuk rombongan mereka

Selesai berjemaah, 4 orang yang masak pula solat. Begitulah aturannya setiap kali hendak solat dan makan. Pagi tersebut bubur pedas menjadi hidangan utama.

Mereka berangkat dari tepi pantai dalam pukul 7 pagi. Sempat juga Zakir mengerling jam G-Shocknya. Beberapa minit berjalan, mereka berdiri di hadapan laluan Hutan M**i. Hutan di disitu agak lain berbanding hutan di Tanah Pusak. Agak menyeramkan. Pokok-pokoknya berwarna hitam arang, manakala daunnya jarang dan berwarna merah. Seakan m**i pokok-pokok yang ada. Pelik. Walaupun pokok tidak berdaun lebat, hutannya gelap.

Bunyi hutan? Tiada. Hanyalah bisikan jahat dari hutan tersebut. Jika gagal mengawal diri, boleh mengundang sakit jiwa. Nama pun Hutan M**i, tidak banyak binatang yang mampu hidup. Hanya yang berhati jahat mampu hidup di hutan itu Mujur bekalan makanan masih banyak untuk hari-hari tang memerlukan.

Setelah setengah jam berjalan, pandangan Puteri Santun Puteh mulai kabur. Bisikan-bisikan halus mulai didengarinya.

“Ke mariiii..ke mariii..”

Puteri Santun Puteh berhenti serta-merta. Zakir dan Taring Besi yang berjalan di belakang sekali kehairanan. Mereka berpandangan sesama sendiri.

Puteri Santun Puteh memusing badannya ke kiri. Selepas beberapa saat, Puteri berjalan pantas menjauhi rombongannya. Zakir dan Taring Besi mengejar Puteri.

“Ibuuuu!!”

Namun, tiada respon dari ibunya.

Rombongan yang berada dihadapan menoleh dan cuba untuk memberi bantuan. Namun, ditegah Taring Besi. Taring Besi mengarahkan mereka tetap di kedudukan mereka bersama Taring Jati. Taring Jati memahami arahan tersebut dan mengangguk.

Zakir dan Taring Besi berlari pantas ke arah Puteri Santun Puteh.

Susuk Puteri mulai menghilang ke dalam kabus yang entah dari mana datangnya.

“Ibu!”

Meraba-raba di dalam kabus Zakir cemas! Rupanya Zakir dan Taring Besi betul-betul dihadapan sebuah pokok besar yang berlubang. Lubang itu umpama gerbang. Kabus itu hitam pekat. Semakin tebal dan menghampiri Zakir dan Taring Besi.

Zakir dan Taring Besi membuka kekuda. Mereka bersedia. Zakir tidak risau akan keselamatan dirinya. Hanya keselamatan ibunya yang penting baginya. Sempat mencuri pandangan ke arah pintu yang sudah lagi tidak nampak dek dikaburi asap.

Sebahagian dari kabus menjelma menjadi kabus berbentuk raksasa gergasi. Zakir melompat kemas.
Taring Besi berlari ke ke kanan untuk menjarakkan diri dan memantau gelanggang yang baru saja ‘dibuka’.

Lompatan Zakir pantas dan lantas tendangan diberikan ke arah raksasa kabus tersebut.

“Hiarghhhh!”

Tembus! Tendangan ke arah kabus hanyalah sia-sia.

Taring Besi melibas dengan parangnya dari belakang! Juga tiada hasil!

Raksasa kabus ketawa mengejek kelakuan mereka berdua yang baginya bodoh. Raksasa memanjangkan kedua tangan asapnya dan menjerut mereka berdua.

Mereka berdua lemas akibat diikat asap kabus hitam yang beracun.

Zakir mulai lemah. Dia hanya mampu melihat Taring Besi yang juga senasib dengannya meronta menjerit meminta diri dilepaskan. Matanya mulai berat. Terlihat rombongan Pusak berlari ke arah mereka.

Zakir rebah.


“Zakir! Zakir!”

Zakir tersedar.

Ibunya, Taring Besi dan Taring Jati mengerumuninya.

“What happened?” Tanya Zakir.

“Amboi, speaking aa.” Balas Taring Jati.

“Kitak leput. Ingat?”
(Awak pengsan. Ingat?) Tanya ibunya.

“Kamek ingat ibu diculik kabus. Kamek ngan Taring Besi coba nyelamat pasya berlawan kabus ya..lain sik berapa ingat.”
(Saya ingat ibu diculik kabus. Saya dan Taring Besi cuba selamatkan ibu lepastu lawan dengan kabus tu..yang lain saya tak berapa ingat.)

Yang lain berpandangan sesama sendiri.

“Sebenarnya, kitak halusinasi. Yang lari dari rombongan ya kitak. Hutan tok ngasut kitak. Bukan Puteri Santun Puteh yang lari.”
(Sebenarnya, awak yang berhalusinasi. Yang melarikan diri dari rombongan sebenarnya awak. Hutan ni menghasut awak. Bukan Puteri Santun Puteh yang lari.)

Zakir terkejut sambil menggaru kepalanya.

Ya, bukanlah Puteri Santun Puteh yang kalah kepada bisikan halus Hutan M**i, tetapi anaknya, Zakir. Segala yang dilaluinya hanyalah permainan minda yang tewas kepada Hutan M**i.

Setelah 10 minit menenangkan diri. Zakir mulai sedar sepenuhnya. Tenaga sudah diperolehi kembali. Mereka kembali bergerak.

Zikir hati dilakukan untuk menghilangkan gangguan yang bila-bila saja boleh merasuki minda mereka.

Hutan masih gelap. Masih jahat.

Akhirnya, didepan mereka ada laluan gerbang keluar dari Hutan M**i. Cahaya matahari menampakkan diri dari gerbang tersebut.

Mereka telahpun berjaya keluar dari Hutan M**i. Gembira bukan kepalang. Tiada lagi bisikan jahat yang perlu dikhuatiri. Hanyalah hutan biasa yang harus ditempuhi.

“Tuan Puteri!”

Puteri menoleh ke arah suara yang memanggil.

Beberapa orang pengikutnya melambai ke arahnya dan mereka yang lain untuk mendekatkan diri dengan apa yang telah mereka temui.

“Perigi?” Tanya Puteri Santun Puteh.

Perigi yang sudah tua dan berlumut tidak jauh dari sempadan Hutan M**i dan hutan yang baru mereka temui.

“Ada apa didalam?” Tanya Puteri.

Puteri Santun Puteh menjenguk ke dalam. Yang ada hanyalah tulang-tulang haiwan dan tulang berupa manusia. Menyeramkan!

“Ah!” Jerit Puteri sambil terduduk di atas tanah.

Keluar cahaya hitam pekat beserta tulang yang ada menembak dari perut perigi beserta bunyi yang membingitkan. Mereka semua menutup telinga dan berundur jauh. Puteri dipapah oleh Zakir ke belakang.

Tulang-tulang yang meletus keluar dari perigi di sekitar berterabur dan itu membuatkan para Pusak automatik ditolak ke belakang beberapa langkah.
Berdesing telinga seluruh anggota Pusak akibat letusan tulang dan cahaya hitam tadi.

Zakir dan Taring Besi sudahpun memapah Puteri Santun Puteh ke pokok yang berdekatan.

“Apa benda ya Taring Besi?” Tanya Zakir.

Taring Besi hanya menggeleng perlahan. Tidak pasti apakah yang berlaku.

Taring Jati dan tentera Pusak sudah bersedia. Mereka tahu ada benda buruk akan berlaku bila-bila masa saja. Benar! Setelah beberapa saat, tulang-tulang yang berterabur bergerak perlahan dan kembali disedut masuk ke dalam perigi usang tadi.

Kaum Pusak memandang sesama sendiri. Keaadan itu pelik bagi mereka.

Booom!!

Letupan meledak untuk kali kedua! Perigi pecah!

Melompat keluar seekor makhluk tulang gergasi. Rupa bentuk badannya seperti manusia cuma lebih besar dan tinggi. Agak-agak tinggi bangunan 3 tingkat saiz makhluk tersebut. Seluruh tulang dan tengkorak segala jenis binatang berkumpul membentuk makhluk Iblis Tulang Gergasi. Badannya diselaputi aura hitam yang mengikat tulang-tulang yang ada.

Zakir mengarahkan 10 pendekar dibelakangnya termasuk Taring Besi. Taring Besi dan puluhan yang lain menjaga rapi Puteri mereka. Iblis Tulang Gergasi menghentak kaki. Terjatuh semuanya! Iblis Tulang Gergasi melompat tinggi dan menghentak tanah sekuat hatinya.

Hancur tanah sekitar perigi! Tenggelam tanah sekitar ke dalam perigi tadi. Zakir cemas. Tidak pernah melihat raksasa sebesar Iblis Tulang Gergasi.

Kaum Pusak menyerang dengan silat Pusak mereka sekaligus dilibas dengan mudah oleh Iblis Tulang. Zakir menetak dengan parangnya. Tiada kesan langsung.

“Zakirrrrr!!”

Zakir menoleh. Ibunya memanggil melalui hati. Zakir terkejut kerana itu pertama kali mereka berhubung dengan hati.

‘Ada benda yang menjadi punca kepada Tulang ya anakku.’

Zakir menoleh ke depan. Taring Besi dan 9 kaum Pusak berusaha merantai Iblis Tulang Gergasi. Mereka berusaha keras untuk mematikan pergerakan gergasi tersebut.

‘Apa punca untuk matikan gergasi ya bu?’

‘Puncanya adalah…’

Bersambung..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

SyafiqFathi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

4 thoughts on “Pusak-Iblis Tulang Mengganas”

  1. jangan lama lama bro gantung ceritanya…merana hati ini berkali kali jenguk ni page semata nak bacak pusak syafiqfathi…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.