Rasa Diekori, Sesat, Panahan Cinta & Budak Comot

Assalamualaikum. Nama aku Nurul. Berumur 27 tahun dan masih belum berkahwin. Serius sedih bila orang asyik tanya bila aku nak kahwin. Aku nak ceritakan tentang pengalaman hidup aku dan berharap sangat tak ada yang kenal aku. Maaflah kalau cerita ni tak best. Apa yang penting, ini kisah benar yang pernah aku lalui.

Terima kasih admin sebab siarkan cerita aku sebelum ni. http://fiksyenshasha.com/bayi-hilang-rasuk-berubat/ Mula-mula takut jugak kalau kena kecam. Sebab aku ni bukanlah pandai sangat mengarang cerita. Ada yang tanya ‘Kenapa adik kau diambik ? Siapa yg amek? Kenapa taknak berusaha teruskan rawatan kalau dh tahu org bagitahu mcm tu? Tak takut ke kalau esok hari memudaratkan? Rasanya baik berusha berubat kot.’ First, aku tak tau kenapa dia ambil adik aku. ‘Dia’ Cuma datang dalam mimpi mak, cakap sampai masa dia ambil. Tu je.

Pernah jugak mak jumpa ustaz, nak halang dari ‘dia’ datang ambil. Ustaz tu cuba tolong. Tapi tak boleh. Ustaz tu cakap dia tak mampu nak buat. ‘Dia’ terlalu kuat. Bukan ustaz tu sorang je yang kitorang jumpa. Ramai. Tapi semua cakap tak mampu tolong. Second, aku tak tau siapa yang ambil. Ada yang cakap bunian. Wallahualam. Mak aku cuma cakap, mak mimpi seorang lelaki, dan seorang perempuan. Pakai baju putih. Kulit putih bersih. Bila dia datang, bau wangi dalam bilik mak. Third, mengenai rawatan tu.

Aku bukan taknak teruskan. Tapi aku takut. Tak tau la nak terangkan macamne. Jantung ni rasa dupdap je bila baca korang suruh aku pergi berubat. Soalan last, mesti la takut. Orang tu siap cakap benda tu taknak aku kahwin. Kalau aku kahwin pun, dia ikat aku tak bagi mengandung. Takut laaaaa. Adik aku pun dah kahwin. Tak pasal-pasal aku jadi bendul. Tapi aku redha. Mungkin belum sampai lagi jodoh aku.

Ok. Kali ni aku nak cerita pengalaman aku yang lain. Mungkin ni last cerita dari aku. Sebab aku tak banyak cerita-cerita mistik yang menghantui hidup aku. Setakat dengar cerita dari orang, banyak la. Ni aku cerita kejadian yang betul-betul berlaku dalam hidup aku. Maafkan aku kalau cerita ni tak seseram yang korang bayangkan.

PENGALAMAN 1: RASA DIEKORI
Kalau korang baca entry aku yang lepas, aku ada mention yang seorang ustaz ni cakap aku ada polong. Memang aku tak percaya pun. Sebab pertama, aku tak tau apa tu polong. Hahaha. Sebab kedua, masa dia cakap tu, dia macam dalam dunia dia. Maksud aku, dia macam sedar, tak sedar masa cerita kat aku tu. Sebab ketiga, kawan aku berubat dengan dia tak elok pun. Makin teruk lagi kawan aku tu ada lah.

Masa belajar dulu, aku ada bf. Alah. Biasalah. Cinta monyet kan. Selalunya kitorang dapat jumpa pun waktu malam. Dia kerja, aku pulak sibuk dengan kelas. Suatu hari tu, kitorang dating dekat taman. Taman ni ada tasik. Tepi-tepi tasik tu ada pondok untuk orang duduk-duduk. Malam tu tak ramai orang. Tengah berbual-bual, tiba-tiba…

Tiba-tiba kitorang dengar bunyi orang berjalan atas bumbung pondok yang kitorang duduk tu. Masa ni aku dah cuak. Aku pandang dia, dia pandang aku. Dia cakap “Tak ada apa-apa lah. Kucing kot atas tu”. Adoiii.. Dia ingat aku nak percaya. Tang mana kucing nak panjat bumbung pondok tu? Tiba-tiba.. Hehe. Tiba-tiba lagi.

Tiba-tiba DDUUMMM!! Kuat bunyi macam benda terhempas atas bumbung tu. Jantung dupdap dupdap tak payah cakap. Nak nangis, tapi cover. Aku tak suka nangis depan orang. Terus kitorang blah dari situ. Tapi, sempat lagi aku toleh belakang. Aku nampak sesuatu macam cahaya warna OREN kat atas bumbung tu. Cahaya apa tu? Cahaya lampu barangkali. Keluar pukul 8. Pukul 8.30 dah balik. Nak makan pun tak ada selera.

Balik tu, bf aku mesej. Dulu tak ada whatsapp. Dia cakap sebelum bunyi berjalan atas bumbung tu, dia nampak something. Dia nampak POLONG!! Tak jauh dari tempat kitorang duduk. Dia cakap banyak kali nampak sebelum ni. Dia kata benda tu ikut aku. Hah sudah. Memang sepanjang aku belajar kat situ, aku rasa sesuatu. Mungkin betul apa yang orang tua tu cakap. Habis tu, yang jalan atas bumbung tu apa? Cahaya warna oren tu apa? Polong tu warna oren ke? Serius aku tak tau. Tapi bila aku dah berhenti belajar situ, aku dah tak rasa ada benda follow. Dah tak rasa pelik macam dulu. Sebab tu la aku rasa aku dah sihat. Hehe.

Pernah suatu hari tu, aku jumpa bf aku depan hostel. Aku duduk atas motor, dia berdiri. Tengah borak-borak tu, aku rasa ada benda cucuk-cucuk pinggang aku. Tapi aku abaikan je mula-mula tu. Tak lama tu, pinggang aku kena cucuk lagi. Aku abaikan lagi. Kali ni dia cucuk kuat. Ok. Aku bangun,tukar tempat dengan bf aku.

Dia duduk dekat motor, aku pulak berdiri. Tapi tak lama. Sebab tiba-tiba aku rasa meremang. Aku mintak diri nak balik bilik. Masa nak ke bilik tu, lutut aku rasa lemah. Dah la lorong nak ke bilik tu gelap. Lampu rosak kot masa tu. Aku jalan pandang depan straight je. Tak pandang kiri kanan. Masa ni kaki aku memang dah tak larat nak jalan. Aku tak terus ke bilik. Aku terus rempuh masuk bilik kawan aku. Nasib baik dia tak kunci pintu.

Kalau dia kunci, jenuh aku nak ketuk. Dah la papan pintu ni jenis solid. Kalau kau ketuk, kena ketuk kuat-kuat. Sebab tak dengar bunyi ketuk tu. Kawan aku terkejut tengok tiba-tiba aku masuk bilik diorang. Padahal, bilik aku dekat sebelah bilik diorang je.

Masa ni aku terus duduk atas katil. Aku macam blur. Kawan aku borak apa pun aku tak join. Aku duduk diam je. Lepas tu, kitorang dengar bunyi kucing dua ekor gaduh depan bilik. Kawan aku bangun, nak halau kucing tu. Takut dia terkencing depan pintu, naya je. Tiba-tiba.

Tiba-tiba BBBAAAMMM!!! Bunyi pintu bilik kena rempuh. Masa ni semangat aku habis melayang. Terus aku menangis dekat situ jugak. Aku dah tak peduli dah. Even kalau aku menangis, muka aku macam fiona pun. Aku menangis sampai tersedu-sedu. Masa ni aku sedar semua. Bukan kena rasuk ke apa. Cuma semangat aku habis hilang dengar bunyi rempuh tu. Terus aku mintak kawan aku bawak aku masuk bilik. Diorang cakap, muka aku pucat sangat masa tu. Masuk bilik, aku nampak Nana pandang aku. Masa ni, dia belum baik lagi dari kes rasuk tu. Aku pergi mana, dia tengok je. Bila dia pandang aku, dia senyum sinis. Ala. Senyum yang senget sebelah tu.

Terus aku baring, ambil selimut tutup muka. Katil yang aku baring ni double decker. Patutnya Min baring atas. Tapi Min cakap panas, dia ambil tilam baring bawah je. Malam tu aku tak boleh tidur. Kaki aku lenguh sangat-sangat. Nana ni tak habis-habis tengok aku. Ikutkan hati nak keluar gi tidur bilik lain je. Dekat pukul 2 aku tidur.

Esoknya, Min cerita kat aku. Masa ni kitorang nak gerak pergi ke kelas.
Min : Nurul, semalam kau tidur lambat ke?
Aku : Haah. Dekat pukul 2 kot baru dapat tidur.
Min : Eh. Tapi pukul 3 tu aku tengok kau tak tidur lagi. Mata kau asyik pandang katil atas tu je.
Aku : Eh. Tak la. Aku dah tidur la.
Min : Malam tadi aku webcam dengan bf aku. Dia nampak something atas katil kau. (Bf min ni memang boleh nampak benda-benda ghaib)
Aku : Dia nampa ape?

Min : Dia cakap ada dua benda. Perempuan rambut panjang,baju putih. Tapi tak nampak muka. Satu, dekat katil atas. Dia main juntai-juntai kaki dia ke bawah. Dok goyang kaki depan belakang, depan belakang. Lagi satu, atas katil kau. Dia duduk betul-betul atas katil kau. Tengok kau sambil main-main rambut dia.
Aku : ……..
Balik tu aku jumpa felo,mintak tukar bilik. Tapi felo tak bagi. Min siap cerita dekat felo, semalam dia period, tapi bangun tidur tu, pad dia hilang!! HILANG!!! Felo boleh pulak cakap “Entah-entah awak lupa pakai pad”. Apa felo ni ingat kawan aku ni budak darjah satu ke apa? Period lupa pakai pad??? Aku jumpa ketua felo, cerita apa yang kitorang alami. Ketua felo, panggil ustaz, ubatkan bilik kitorang. Lepas tu, Alhamdulillah tak ada apa-apa yang berlaku.

PENGALAMAN 2 : SESAT
Kali ni aku cerita pengalaman kitorang sesat tak jumpa jalan nak balik hostel. Hostel aku ni, peraturannya tak boleh balik lewat selepas pukul 7. Hari tu, kitorang teringin nak makan kat luar. Hari-hari makan kat cafe kolej pun bosan jugak kan. Masa ni Nana dah sihat sepenuhnya. Kitorang siap-siap nak keluar makan pukul 6.30. Kitorang pinjam kereta kawan bilik sebelah. Masa ni Min yang bawak kereta.

Kedai makan tu pun tak jauh. 15 minit je perjalanan dari kolej kitorang. Kitorang sampai kedai tu dah pukul 6.50. Tapi masing-masing muka tak risau pun kalau balik lewat. Padahal kena balik sebelum pukul 7. Hehe. Dah siap order makanan, kitorang pun borak-borak. Ramai pulak orang yang datang masa ni. Confirm makanan kitorang lambat siap. Tak lama tu, datang sekumpulan lelaki. Hensem-hensem pulak tu. Nana ni pulak pantang tengok lelaki hensem. Datanglah gediknya. Min pun sama sekepala dengan Nana. Aku? Err.. Join jugak la. Tapi gedik sikit je. Hehe.

Masa ni, kitorang dok seronok huhahuha, sampai tak sedar dah azan maghrib. Nana ni, boleh pulak masa tu dok bantai gelak tak ingat dunia. Nak tarik perhatian mamat-mamat tu la. Nana ni memang cantik orangnya. Cuma perangai gedik dia tu je yang tak tahan. Tak lama lepas tu, makanan yang kitorang order pun siap. Tibalah masa untuk balik. Yang Nana ni boleh pulak dok lambai-lambai kat mamat-mamat tu. Nasib baik mamat-mamat tu respon, balas balik. Kalau tak, simpan muka dalam poket la Nana.

Kitorang balik dah nak dekat 7.30. Habislah kene marah dengan pak guard. Masa dalam perjalanan tu, kitorang terserempak dengan satu motor ni. Dia bawak motor macam orang mabuk. Kejap kiri, kejap kanan. Min dah bengang dah masa ni. Dia motong terus motor tu, lepas tu dia carut kat orang tu. Aku tak ingat dah apa yang dia carut. Tapi motor tu still follow kitorang. Dia main-main lampu dekat belakang.

Kejap on, kejap off lampu motor dia. Bila aku toleh belakang, dia off lampu. Tapi apa yang aku perasan, macam bukan motor tadi. Motor lain je ni. Lepas tu, aku toleh lagi. Allahuakhbar!! Pemandu dia tak ada kepala!!! Serius tu yang aku nampak. Aku terus pandang depan. Aku tak cerita pun dekat Min dengan Nana. Lepas tu, motor tu hilang macam tu je. Lega rasanya.

Cuma masalahnya sekarang, kitorang tak jumpa simpang nak balik ke kolej!! Nana nak pusing balik, tapi aku tak bagi. Aku takut terserempak lagi dengan motor tadi. So, kitorang teruskan je perjalanan. Sambil-sambil perhati kirin kanan jalan, kot-kot ada jumpa signboard ke arah kolej. Masa tu keadaan jalan gelap gelita. Tak ada satu kereta pun yang lalu. Tak lama tu, aku nampak ada dua ekor binatang. Badan macam lembu, tapi kepala anjing!! Warna coklat. Min dengan Nana pun nampak. Tapi apa yang diorang nampak tak sama dengan apa yang aku nampak.

Nana : Eh! Ada lembu la..
Min : Bukan lembu la. Anjing la. Lembu dengan anjing pun tak kenal.
Aku : …….
Masa ni aku dah tak sedap hati. Jam dah pukul 8.30. Tapi tak jumpa lagi jalan pulang. Masing-masing

pun senyap je. Aku pulak tak berhenti baca ayat kursi dari tadi. Muka masing-masing tak payah cakap la. Cuak habis. Nana dah risau lambat sampai hostel. Dia pun lajukan sikit bawak kereta. Tengah-tengah bawak laju tu, tiba-tiba ada pokok besar depan kitorang. Apa lagi, terus lah Nana buat brake emergency.

Nasib baik sempat brake. Kalau x, Wallahualam. Rupa-rupanya tu jalan corner, kene belok ke kanan. Masa tu kitorang memang tak nampak apa-apa. Nampak hitam je depan tu. Nyaris-nyaris hilang semangat aku. Lebih seminit kitorang berhenti depan pokok tu baru Nana gerak semula. Tak lama tu, kitorang nampak ada kereta dari belakang. Kitorang pun follow, dan akhirnya sampai la kitorang kat pekan. Singgah isi minyak kejap, tapi lepas tu tiba-tiba ada anjing datang dekat kitorang. Dia menyalak tak berhenti.

Aku dah la takut dengan anjing. Nasib baik duduk dalam kereta. Tak lama tu aku dapat rasa kereta macam bergoyang. Kitorang semua dapat rasa. Min baca-baca something, lepas tu aku nampak dia hembus-hembus. Tak lama tu kereta pun dah tak goyang-goyang. Kitorang pun gerak semula. Min cakap memang ada benda pun atas kereta tu. Rambut panjang, baju warna putih coklat. Tak sampai 5 minit perjalanan, nampak la signboard ke arah kolej kitorang. Masa ni lega sangat-sangat. Alhamdulillah. Pukul 9.30 baru sampai hostel. Kena marah pulak dengan pakcik guard sebab lewat. Huhuhu.

PENGALAMAN 3 : PANAHAN CINTA
Aku dengan bf masa tu couple dah dua tahun. Dari aku semester 1 sampai semester 4. Mula-mula aku tak rasa apa-apa. Tapi lama-lama aku makin pelik. Bila aku dekat Selangor, aku x boleh berenggang dari dia. Pagi, petang, siang, malam asyik pikir dia. Penat baru habis kelas pun sanggup keluar dating.

Tapi bila aku balik Johor, aku macam tak peduli. Kalau dua bulan cuti sem, dua bulan la aku tak peduli pasal dia. Handphone pun merata aku campak. Selalu kitorang gaduh. Nana dengan Min dah lama perasan hal ni. Tapi diorang nak tengok aku sedar ke tak.

Suatu hari tu, Nana ajak aku ikut dia balik kampung dekat Perlis. Tak ingat dah apa nama tempat tu. Ayah Nana ni pandai ubatkan orang. Masa Nana kene rasuk tu, ayah Nana yang datang ambil Nana balik dan ubatkan. Aku tak tau apa yang Nana ni cerita kat ayah dia. Tiba-tiba ayah Nana panggil aku. Dia cakap dia dah scan aku. Dia kata bf aku hantar something kat aku. Bagi aku selalu ingat dia, bagi aku sayang dia.

Tapi bf aku ni baru belajar benda-benda ni. So, benda tu tak kuat mana. Sebab tu bila aku jauh, aku tak de perasaan pada dia. Masa berubat ni, aku tak ingat dah macam mana. Aku pun malas nak tanya Nana apa yang jadi. Takut nak ambil tahu. Tapi ayah Nana ada nasihatkan aku, jangan jumpa lagi bf aku tu. Takut benda sama jadi lagi. Aku tanya ayah Nana pasal polong yang pakcik tu cakap. Polong tu bukan aku punya. Bf aku punya!! Dia nak polong tu sentiasa awasi aku.

Patut la dulu aku selalu mimpi jatuh dari tempat tinggi. Selalu sakit kepala. Rupanya gangguan dari mamat tu. Tapi lepas berubat dengan ayah Nana, aku dah tak mimpi apa-apa. Alhamdulillah. Cuma yang jadi masalah, aku kena elak dari jumpa mamat tu. Jenuh jugak la nak elak sebab dia selalu tunggu aku depan hostel. Banyak kali jugak aku ponteng kelas sebab dia ni. Masa ni aku dah nekad nak berhenti belajar.

Mungkin rezeki aku bukan dekat sini. Sebelum ni aku dah bincang dengan mak dan ayah pasal hal ni. Ayah izinkan pun sebab masa tu aku dah tak larat asyik kena ugut dengan sorang mamat ni. Entry yang lepas aku ada cerita mamat yang ugut-ugut aku, lepas tu dia eksiden. Mamat ni sebenarnya bf Min. Aku pun tak tau apa yang dia tak puas hati. Suatu hari tu, family aku datang melawat aku dekat selangor.

Ngam-ngam bf Min ni mesej aku “ANJING! KAU JANGAN INGAT KAU TERLEPAS. KALAU AKU JUMPA KAU, AKU PIJAK KAU, AKU B***H KAU” Apa lagi, aku terus tunjuk kat mak ayah aku. Masa ni lah aku bincang dengan diorang aku nak berhenti. Memang lah sayang sebab dah semester 4. Tapi aku takut. Pernah sekali tu aku kene himpit dengan motor masa balik dari kolej. Sampai nyaris-nyaris aku jatuh dalam longkang besar tu.

Bapak aku dah benarkan aku berhenti. Tapi aku suruh diorang datang minggu depannya ambil barang aku. Lagipun aku dah janji dengan Nana nak ikut dia balik kampung esoknya. Dah dapat greenlight berhenti kolej, aku mesej mamat tu semula. “PERGI MAMPUS LAH KAU!!”. Esoknya Min inform kat aku bf dia eksiden.

Terkejut jugak aku masa tu. Sejak dari hari tu, sampai lah sekarang aku tak berani dah nak sebut macam tu lagi. Lepas setahun aku berhenti, Min contact aku. Rupa-rupanya bf dia marah aku sebab aku hasut Min suruh break dengan bf dia. Memang la aku suruh break. Aku banyak kali terserempak bf Min keluar dengan perempuan lain. Siap peluk-peluk, kissing bagai.

PENGALAMAN 4 : BUDAK COMOT
Macam panjang sangat je cerita aku ni. Ok. Aku mulakan cerita tentang budak comot ni. Ayah aku dia kerja shift. Kadang shift siang, kadang shift malam. Kejadian ni baru tahun tahun ni berlaku. Bulan januari kalau tak silap. Masa ni ayah shift malam. Balik kerja pukul 4 pagi. Kena jaga quarters lama. Quarters ni dah dikosongkan dari tahun 2006 kalau tak silap. Dah habis tugas, ayah terus lah balik ke rumah.

Esok malamnya mak dah start kena kacau. Mak ni lemah semangat. Kalau ada benda yang tak kena, mesti mak yang rasa dulu. Mak cakap dia ada nampak budak kecik. Perempuan. Tapi muka dia comot. Malam tu dia berdiri depan pintu bilik mak. Bila mak pandang, dia menyorok belakang pintu. Mak dah takut dah masa tu. Terus mak cakap “Jangan main kat situ. Pergi masuk bilik tengah sana”. Bilik tengah ni, bilik adik aku yang lelaki tu. Mak aku duduk bilik depan. Aku dengan adik perempuan lagi dua orang duduk bilik belakang.

Budak comot tu ikut cakap mak. Dia duduk bilik belakang tu dengan adik lelaki aku. Haha. Adik lelaki aku tu dah lah penakut. Dekat seminggu adik aku tido ditemani budak comot tu. Mak aku dah tak tahan budak comot tu asyik kacau dia tido. Kejap-kejap main rambut mak. Kejap-kejap usap pipi mak. Aku pun ada kena kacau jugak. Masa tu kipas bilik aku rosak. Adik-adik aku semua lari pergi bilik mak. Aku ni jenisnya kalau tido tak ada kipas pun tak apa.

Tak ada masalah bagi aku. Walaupun tak ada kipas, tetap jugak aku berselimut. Malam tu aku kena kacau. Masa tidur sorang tu, aku rasa lain macam. Lagi satu perangai aku, aku tak suka tidur dalam terang. Kalau tidur dalam terang, esoknya mesti badan aku lenguh-lenguh.

Malam tu aku tidur lewat. Baca novel sampai pukul 2 pagi. Maklumlah tak ada bf. Huhuhu. Dah habis baca novel tu, aku siap-siap nak tidur. Dah tutup lampu semua, aku pun baring. Aku dengar bunyi budak gelak mengekek depan pintu bilik aku. Entah apa yang kelakarnya pun aku tak tau. Aku abaikan je la. Lepas tu aku rasa rambut aku macam gerak-gerak. Aku pikir angin je la masa tu (walaupun kipas tak ada).

Tak lama lepas tu, aku rasa macam ada orang baring sebelah aku. Hah! Sudah! Tilam aku ni jenis tilam spring. Kalau ada orang naik, dengar la bunyi spring tu. Habis meremang segala jenis bulu yang ada. Masa ni aku tak pikir panjang, aku lari pergi bilik mak aku. Tapi bilik mak dah penuh. Tak ada ruang untuk aku menyelit. Huhu. Terpaksa lah aku patah balik ke bilik. Malam tu aku tidur pasang lampu sampai ke pagi.

Ok. Tu je pengalaman aku. Maaflah kalau panjang sangat. Sebab aku nak habiskan cerita dan malas nak menaip lagi. Hehe. Dulu aku berani, entah kenapa sekarang ni aku makin penakut. Dengar bunyi flush jamban pun aku boleh mencicit lari. Padahal aku yang tekan flush tu. Tak kelakar ok bila orang gelakkan aku bila nampak aku lari tu.

Sekian tamatlah cerita dari aku. Kalau tak best maaflah ye. Kalau terjumpa aku kat mana-mana, tegur lah. Mana tau boleh jadi geng. Terima kasih aku ucapkan pada admin FS yang sudi siarkan cerita aku. Terima kasih jugak pada readers yang sanggup baca cerita aku sampai habis. Salam Ramadhan dan Selamat Hari Raya aku ucapkan.

LOVE,
NURUL.

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
Nurul

17 thoughts on “Rasa Diekori, Sesat, Panahan Cinta & Budak Comot”

  1. Sama la kita bunyi flush jamban pun rasa takut. dia punya penakut sampai flush jamban lepas bukak pintu. tapi alhamdulillah memang tak pernah ada pengalaman mistik.

    Reply
    • kita pun kadang-kadang dah bukak pintu baru flush. hehehe.. pengalaman kita tak berapa nak mistik.. tapi yang tu pun tak berani nak kenang balik..

      Reply
  2. Y nak stop dah tulis Nurul. Alaaaa . cite ko boleh gi jauh jgk . continue la even slow pon takpe . mesti ade ramai je yg minat penulisan n cite ko . x sian ke kt diorg. Ckp single je mesti ade je yg nk ngejas kan. Aku pon nk try jgk boleh ke. Hahaha.
    #janganmarah
    #cool story

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.