RASUK

Assalamualaikum pembaca FS. Nama aku Lily. Terlebih dahulu aku minta maaf kalau penulisan aku ni kurang baik. Aku tak pandai sangat nak menulis. Niat aku cuma nak berkongsi serba sedikit pengalaman yang pernah aku lalui. Mungkin ada penambahan atau perubahan sedikit dari segi dialog sebab kejadian ni berlaku berbelas tahun dulu. Tak adanya keluar sebiji ayat dialog tu dengan dialog sebenar. Tapi aku cuba susun sebaik mungkin supaya tak lari dari cerita asal.

Rasuk atau nama lainnya histeria, adalah salah satu kisah yang bukan lagi asing bila kau bersekolah asrama ni. Tapi semua mempunyai cerita dan pengalaman yang tersendiri. Mungkin kisah aku ni tak berapa nak seram. Benda ni berlaku semasa aku berada di salah sebuah sekolah asrama. Sekolah mana dan negeri mana biar lah jadi rahsia untuk menjaga sensitivity semua orang. Kisah ni terjadi pada kawan satu bilik aku dan berjangkit di bilik yang lain-lain. Nama-nama yang aku gunakan ni daripada nama bunga dan semestinya bukan nama sebenar. Apa pun terima kasih kepada FS kalau siarkan cerita aku ni.

Malam itu seperti biasa akan ada PREP bagi pelajar asrama. Ada yang siapkan kerja sekolah. Ada yang hanya bergosip. Ada yang buat hal sendiri. Tapi kebanyakan mereka duduk semeja dengan kawan-kawan sebilik. Aku memang agak nakal masa zaman sekolah dulu. Jadi kerja aku hanya bergosip dan mengacau kawan semeja aku. Tengah syok berbual dan bersuka ria, Melur datang dekat aku dan berbisik sesuatu.

“Wey, Mawar cakap si Cempaka ni lain macam je. Mula-mula tadi dia ok. Ni dia diam je. Macam ada yang tak kena!” Mawar dan Cempaka duduk semeja dengan yang lain. Tapi diorang tak berani nak buat apa-apa.

Aku pun toleh ke meja Cempaka. Ya, dia tengah tunduk, pejamkan mata dan bibir terketar. Seperti berlawan dengan sesuatu. Tak tahu lah kenapa diorang cakap kat aku benda ni. Aku bukan lah berani sangat. Mungkin sebab aku ni lasak sikit macam lelaki berbanding yang lain-lain. Tapi aku still perempuan ok! Aku cuba kuatkan diri. Aku pergi dekat Cempaka dan bertanyakan samada dia ok ke tak.

“Cempaka, kau kenapa ni? Kau ok ke tak? Kalau ada apa-apa beritahu la aku. Mana tau aku boleh tolong ke?”

Dia masih lagi berdiam diri. Aku dapat rasa meremang bulu roma sampai ke tengkuk. Aku peluk dia dari belakang dan cuba membacakan ayat Kursi di telinga kiri dia. Tiba-tiba, Cempaka menjerit cuba bangun dan melepaskan pelukan aku. Aku cemas, tapi pelukan aku yang manja tadi aku cuba kuatkan supaya tidak terlepas. Dalam masa yang sama aku terus Iqamat sekuat hati. Habis Iqamat, Cempaka rebah. Kuat juga dia lawan. Aku dah nak terjatuh tadi.

Keadaan menjadi riuh di dalam dewan. Sebelah pula dewan PREP untuk lelaki. Semua leher jadi panjang, terjenguk-jenguk. Kepoh jugak diorang ni! Mana yang lemah semangat dah pergi jauhkan diri. Salah seorang dari kami memanggil warden. Dan kami di arahkan untuk mengangkat Cempaka ke bilik warden. Cempaka berbadan sedikit gempal. Hampir 6,7 orang yang tolong angkat. Ya Allah, sakit pinggang aku. Boleh tahan berat si Cempaka ni. Dan kami tidak di benarkan berada di sana. Mungkin warden tak nak yang lain pun terkena. Malam tu semua ketakutan sampai tidur berteman memandangkan katil di susun “single” tak bercantum.

Cerita atas ni mukadimah. Sebenarnya aku tak berapa ingat benda ni jadi sebelum atau selepas cerita yang aku nak sampaikan lepas ni. Yang penting dua-dua memang kisah yang betul-betul terjadi. Untuk pengetahuan, dua kisah ni bukan terjadi dalam hari yang sama tau. Ok sambung cerita Histeria yang sebenarnya.

Selesai PREP malam tu, kami balik ke bilik masing-masing. Ada yang nak gosok baju, ada yang nak mengemas beg sekolah ikut jadual kelas, ada yang sempat nk basuh baju dan sebagainya sebelum semua di kehendaki tidur mengikut waktu yang telah di tetapkan asrama. Ada beberapa orang termasuk aku tengah salin baju. Cempaka pula dari awal dah “cop” iron. Tengah kecoh dengan yang lain-lain (biasalah perempuan), tiba-tiba si Cempaka yang tengah iron baju kat tepi tingkap, pengsan. Aku dan Teratai paling dekat dengan cempaka. Tapi Teratai lebih dulu pergi dapatkan Cempaka yang tengah terbaring. Belum sempat Teratai pegang Cempaka, Teratai seolah-olah ditendang dan tercampak sampai ke locker yang jaraknya lebih kurang 10 langkah daripada tempat iron dan tidak sedarkan diri. Sedangkan Cempaka sedikit pun tak bergerak. Kawan-kawan yang nampak kejadian tu terus bertempiaran lari keluar. Masing-masing bingung, macam mana Teratai boleh tercampak? Teratai yang pengsan di locker tadi, telah di kejutkan kawan yang lain dan pergi tinggalkan bilik. Sekarang yang ada cuma aku dengan Melur.

“Aaarrgghhhh” Cempaka terbangun dan terus menjerit.

“Lily, cepat Iqamat kan Cempaka!” Melur jerit kat aku yang kaku sekejap tadi.

Aku terus pegang Cempaka sambil iqamat. Melur pulak capai Al-Quran dan Yassin bagi dekat aku. Kami letakkan buku suci tu dekat dada Cempaka. Habis je iqamat cempaka pengsan lagi sekali. Keadaan jadi huru-hara. Masing-masing buntu. Melur keluar dan minta tolong rakan lain untuk memanggil warden secepat yang mungkin sebelum Cempaka bangun dan menjerit lagi. Beberapa minit kemudian, warden dan beberapa orang senior tiba di bilik kami.

“Sesiapa yang rasa kuat semangat, tolong ambil wudhu dan baca Yassin dalam bilik ni. Yang rasa lemah semangat, pergi ke bilik kawan-kawan yang lain.” Arah warden kepada kami dengan tenang.

Bacaan Yassin dimulakan. Ketika itu, senior-senior yang berada di situ telah pun memegang Cempaka keliling, dari hujung kepala hingga hujung kaki sambil membaca ayat Kursi. Cempaka pula meronta-ronta cuba melepaskan diri. Suara dia bertukar menjadi garau dan kasar seperti suara seorang lelaki. Matanya galak dan merah memandang kami.

“Aaargghhh!! Lepaskan aku!! HAHAHAHA…Lepaskan aku lah bodoh!” Teriak Cempaka

“Siapa kau! Kenapa kau ganggu anak aku!” Warden kami cuba berinteraksi sambil yang lain meneruskan bacaan tanpa henti.

“HAHAHAHA!” Cempaka hanya ketawa.

Warden mengarahkan senior untuk meletakkan biji lada hitam di ibu jari kaki Cempaka sambil membaca surah.

“Arrrgghhh!! Sakit lah! Lepaskan aku! Sakiittt!! Jerit Cempaka.

“Kalau kau tak nak sakit, kau keluar dari badan budak ni!”

“Aku tak nak keluar! Huurrrgghhh!! HAHAHAHAHA!!”

“Kenapa kau tak nak keluar? Kalau kau degil aku akan panggil ustaz halau kau!”

“Huurrgh!” Dengus Cempaka. Matanya menjeling ke arah warden dan tersenyum sinis. Begitulah keadaan Cempaka. Kadang menjerit, kadang merengus, kadang ketawa dan kadang kesakitan. Tapi dia masih lagi bertahan dan bertenaga.

Setelah cubaan lada hitam tak memberi kesan. Kemudian warden mengambil air yang telah siap di baca dengan ayat suci Al-Quran, sapu ke muka Cempaka dan cuba memberi minum kepadanya di ikuti dengan Al-Fatihah dan selawat.

“PUUURRRRHH! HAHAHAHAHA!” Cempaka menyembur air berkenaan berkali-kali dan mentertawakan semua. Habis semua senior-senior yang pegang Cempaka kena sembur. Menyumpah dalam hati agaknya senior-senior aku tu.

“Cempaka, cuba lawan benda dalam badan awak ni. Awak kena kuat. Minum air yang saya bagi ni.” Warden cuba lagi letakkan air dalam mulut Cempaka sambil salah seorang senior memegang kepala dan memicit sedikit hidung Cempaka supaya mulutnya di buka.

“PUURRHH! PUURRHHH! PUUUURRHH! HAHAHAHA!” Lagi sekali senior-senior aku kena sembur.

Makin kuat dia berlawan dan meronta-ronta. Sehingga habis Yassin kami baca pun langsung tak memberikan kesan padanya. Mungkin sebab ketakutan, jadi bacaan tajwid semua ke laut. Benda tu pun ketawakan je dari tadi. Hampir 1 jam, kami masih menemui jalan buntu. Cempaka masih lagi kuat dengan tenaganya, sedangkan senior-senior dah penat memegangnya.

“Sesiapa yang rasa dah tak boleh tahan boleh pergi. Ambil barang-barang yang perlu dan tumpang tidur di bilik kawan yang lain. Malam ni tak perlu tidur di sini. Saya akan call ustaz untuk meminta bantuan. Saya pun dah tak tahu nk buat apa.” Arah warden kami lagi.

Kawan-kawan yang lain berpusu-pusu keluar bilik. Aku pula masih di situ. Tak tahu kenapa aku boleh berani malam tu. Niat aku mungkin nak membantu apa yang perlu atau pun aku nak menyaksikan sendiri apa yang terjadi depan mata aku. Jadi yang tinggal dalam bilik tu cuma warden, beberapa orang senior dan aku. Ada juga beberapa orang yang masih berdiri terjengah di luar pintu dan ada yang menghendap di tingkap. Mungkin diaorang tak berani nak masuk ke dalam atau kepoh mungkin.

“Warden, kita nak buat apa ni? Saya dah tak larat nak pegang dia ni.” Soal salah seorang senior aku.

“Entahlah. Saya pun tak tahu. Tengah tunggu ustaz datang ni.” Balas warden. Diam seketika sambil memerhatikan Cempaka.

“Cuba awak semua lepaskan dia. Saya nak tengok apa yang dia akan buat.” Arah warden.

Terkebil-kebil mata kami. Macam tak percaya dengan apa yang warden katakan tadi. Tapi sebab dah terlalu penat, kami ikutkan je permintaan warden. Seorang demi seorang lepaskan pegangan. Apabila di lepaskan, reaksi Cempaka memeranjatkan semua orang. Cempaka jadi lebih aggresif. Berderau d***h aku tengok Cempaka. Macam nak tercabut jantung aku wey. Bayangkanlah Cempaka dalam keadaan baring terlentang. Tangan di depa dan jari mencengkam ke lantai. Badannya terangkat sedikit. Kepala pula di dongak ke atas. Cempaka bergerak laju dalam keadaan seperti itu ke kiri dan kanan. Menyondol apa yang ada di situ. Pergerakannya bukan seperti seorang manusia. Yela, cuba korang try buat macam tu. Laju mana korang boleh pergi? Kemudian dia gerak laju menghala ke aku. Ya, aku sedang berdiri membelakangkan pintu. Aku kaku, masih tergamam dengan apa yang aku tengok depan mata.

“Tutup pintu tu! Lilyy!! Cepaat!!” Jerit warden.

Aku tersentak dengan jeritan tu, terus aku berlari tarik pintu dan keluar dari bilik. Terdengar jeritan di dalam. Kemudian bunyi selakkan pintu di kunci dari dalam. Yang terjengah dan menghendap kat luar pintu tadi awal-awal dah bertempiaran lari lepas nampak Cempaka menghala ke pintu. Tak ada peluang dah aku nak saksikan apa yang terjadi lepas tu. Aku terus pergi ke bilik sebelah sebab bilik kawan baik aku kat situ.

“Lily! Sini dekat aku.” Panggil kawan baik aku, Orkid. Semua katil bertingkat, katil orkid pula di sebelah atas. Aku terus naik ke katil Orkid dan rebahkan badan. Penat dan mungkin otak aku masih lagi tengah hadam dengan apa yang aku saksikan tadi. Tak tercapai dek akal.

Malam tu tak berlalu macam tu je. Selepas Cempaka, salah seorang kawan yang lain juga kena rasuk. Budak tu sebilik dengan kawan baik aku ni. Jadi, sekali lagi aku saksikan kejadian rasuk merasuk ni. Pada malam yang sama pulak tu. Tapi kali ni benda yang mengacau ni kepunyaan seseorang. Ada masa nanti, aku akan ceritakan apa yang terjadi di bilik kawan baik aku yang aku tumpang tu. Dan kepunyaan siapa “benda” tu? Ok lah. Aku menulis ni pun kat tempat kerja. Bos tak ada, kerja pun tak ada. So, bila aku free nanti aku sambung ya. Kalau tak aku baca jela cerita yang ada kat FS ni. Apa pun, jangan biarkan diri anda di selubungi Misteriiiiii……Sekian…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Editor Lily

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 4.4]

17 thoughts on “RASUK”

  1. Kisah ne buat sis teringat zaman sis skolah dlu.. Asrama jgk.. Penunggu asrama tu gaduh dgn belaan pendamping pelajar lain. Yg kesian pljar yg xda kena mengena yg kena rasuk…

    Sis bagi 8/10. Bestt.

    Reply
  2. hmm macamni la.saya boleh bayangkan jaln cerita.ceritanya menarik.ttp ada sambungan tu yg saya tak suuka.sbb sampai sekranng xd cerita

    Reply
  3. “Bayangkanlah Cempaka dalam keadaan baring terlentang. Tangan di depa dan jari mencengkam ke lantai. Badannya terangkat sedikit. Kepala pula di dongak ke atas. Cempaka bergerak laju dalam keadaan seperti itu ke kiri dan kanan. Menyondol apa yang ada di situ. Pergerakannya bukan seperti seorang manusia.”

    Part ni seram gila weh. uishhh kalo aku ada situ dah lari lintang pukang dah.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.