RASUKAN LIMA JIN

RASUKAN LIMA JIN

Saya ada beberapa orang sahabat dan kenalan yang terdiri daripada perawat. Saya sendiri ada juga sedikit kebolehan merawat, tapi hanya ikhtiar membantu saudara mara dan sahabat-sahabat terdekat sahaja. Kadang-kadang ada juga permintaan daripada kawan-kawan untuk membantu kenalan mereka, tapi jika saya dapati kes mereka agak berat, biasanya saya akan serahkan kes tersebut kepada sahabat-sahabat perawat kerana mereka lebih berpengalaman.

Lebih kurang setahun yang lepas, ada permintaan daripada seorang kawan untuk membantu ikhtiarkan kes kenalannya seorang wanita bernama Ina. Saya boleh katakan kes Ina itu adalah satu ‘pakej lengkap’, kerana semua tanda gangguan makhluk halus ada padanya. Ina selalu bermimpi hantu, binatang buas, jatuh tempat tinggi dan lain-lain mimpi buruk. Selain itu dia juga selalu nampak kelibat dan kena tindih. Ina yang sudah berkahwin selalu bergaduh besar dengan suaminya, tapi nasib baik suaminya adalah seorang yang penyabar dan faham keadaan Ina. Ina telah beberapa kali hamil, tapi tiap kali juga anaknya hilang dari kandungan sehingga doktor yang memantau Ina sejak dari awal kehamilannya sendiri hairan bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

Ina telah banyak kali berubat, sama ada secara moden ataupun rawatan Islam. Setiap kali dia berubat cara rawatan Islam, Ina akan kerasukan, tetapi masalah gangguan yang dihadapinya masih juga berlaku. Saya membuat temu janji untuk Ina bertemu sahabat perawat yang bernama Alif. Kali ini giliran Alif pula untuk bersemuka dengan makhluk-makhluk yang mengganggu Ina.

Hari yang dijanjikan akhirnya tiba. Saya memberi lokasi rumah Alif kepada Ina dan kami bertemu di situ pada masa yang dijanjikan. Ina datang bersama suaminya, Adam. Setelah Alif menemubual Ina dan Adam secara ringkas tentang masalah gangguan yang Ina hadapi, sesi rawatan pun dimulakan.

Ina duduk berlunjur di atas karpet lantai. Alif duduk posisi tasyahud awal di belakang Ina. Saya dan Adam duduk tak jauh dari Ina dan Alif. Alif menadah tangan berdoa agar ikhtiar membantu Ina dipermudahkan oleh-Nya. Kemudian Alif membaca beberapa p****g ayat suci, belum sempat habis ayat yang dibacanya, Ina mula menggoyangkan badannya. Mula-mula perlahan, semakin lama geraknya nampak semakin agresif, tapi wajahnya menunduk ke bawah.

“Kau jangan campuri urusan aku..!!!” Ina bersuara, lantang dan marah, jauh beza dengan nadanya sewaktu sesi temubual tadi. Walaupun amaran itu ditujukan kepada Alif, tetapi wajahnya masih kekal tunduk, tidak pula dia memandang ke arah Alif.

Ina yang tadi duduk berlunjur mula berubah posisi melutut dan kelihatan seperti ingin bangun. Sebelum ini saya tidak pernah melihat kes kerasukan yang agresif seperti ini, jadi saya naik seriau dan bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan melihat Ina yang bermuka garang dan nafas turun naik dengan laju sambil mendengus dengan kemarahan seolah-olah ingin menerkam, tetapi bila saya lihat Alif tenang sahaja berdepan dengan situasi itu, saya pun mula turunkan tahap kesiap siagaan. Saya percaya kepada Alif kerana dia sudah bertahun-tahun merawat dan sudah ratusan kes seumpama itu yang dihadapinya. Ilmu silatnya juga bukan calang-calang, jadi saya yakin Alif cukup persediaan menghadapi semua itu.

“OK, tenang.. tenang… ni siapa ni?” Tanya Alif kepada Ina, atau lebih tepatnya kepada jin yang merasuk Ina.

“Itu bukan urusan kau. Kau jangan campur urusan aku..!!” Jin itu mengulangi amarannya.

“Aku kena campurtangan, sebab dia yang minta tolong. Yang dia tak nak adalah kau, jadi kau yang sepatutnya jangan campur urusan dia.” Alif membalas.

“Aku jaga dia,” balas jin.

“Sejak bila kau jaga dia?”

“Dah lama.”

“Lama tu sejak bila? Sejak dia kecil?”

“Ya..!”

“Kau dari mana?”

“Aku pendekar… dari Perak.”

“Oh… pendekar rupanya. Bulan lepas ada jin bercakap bahasa Cina yang kacau dia tu kau ke?” Semasa temubual ringkas tadi Adam ada memberitahu yang Ina pernah bercakap bahasa Cina sewaktu kerasukan tak lama dulu.

“Bukan aku. Aku tak cakap Cina”

“Habis tu kenapa kau bagi jin Cina tu kacau Ina? Kau kata kau jaga dia? Kenapa kau tak halau je jin Cina tu?”

Terdiam jin pendekar Perak bila Alif bertanyakan sedemikian.

“Hah… kenapa diam?” Tempelak Alif.

“Jin Cina tu lagi kuat dari aku,” jawab jin pendekar Perak. Kali ini agak kendur suaranya. Tidak agresif seperti awal-awal tadi.

“Sudahlah, kau duduk tepi dulu, aku nak bercakap dengan jin lain yang ada dalam badan dia yang lagi kuat daripada kau.”

Habis sahaja Alif berkata demikian, dalam posisi melutut itu badan Ina menjadi lemah dan lembik… tapi hanya untuk beberapa saat. Tiba-tiba kedua-dua tangan Ina meliuk lentuk seperti menari. Kepalanya ditundukkan sambil kedua tangan diluruskan ke depan dan membuat gerakan seperti tarian Siam.

“Yang ni siapa pula ni?” Soal Alif.

Kali ini Ina bercakap dengan suara yang halus, seperti pelat Siam. Agak susah untuk kami fahami butir percakapannya.

“Kau ni dari Siam ke?” Soal Alif.

Ina menggangguk.

“Kau faham cakap Melayu?”

Ina cuma membalas dalam pelat Siam yang tidak difahami tadi. Dalam beberapa minit juga dialog antara Alif dan jin Siam, tapi memandangkan percakapannya tidak difahami, Alif terus memberi kata dua. Kalau dilayan, sampai malam pun belum tentu selesai sesi rawatan.

“Baiklah, aku tak nak banyak cakap. Aku cuma nak kau keluar dari badan Ina… kalau tak aku b***h kau. Kau mahu keluar atau tidak?” Alif memberi amaran.

Tiba-tiba Ina menangis tersedu-sedu sambil menggelengkan kepalanya.

“Kau tahu bagaimana nak keluar dari badan dia?”

“Tak, aku tak tahu.”

Rupa-rupanya jin Siam itu bercakap dalam bahasa Melayu, cuma suaranya yang agak perlahan dan halus, ditambah dengan pelat seperti bahasa Siam menjadikan Alif dan kami semua tak faham apa yang dikatakan.

“Baik, kalau aku tunjukkan jalan keluar, kau berjanji akan keluar?” Tanya Alif.

Ina menggangguk tanda setuju.

Alif isyaratkan membuat laluan ke arah ibu jari kaki kiri Ina sebagai penunjuk jalan kepada jin Siam untuk keluar.

“Sekarang ni kau dah nampak jalan keluar kan? Kau keluar dan kau kena bersumpah yang kau tak akan kacau Ina lagi. Kalau aku tahu kau kacau Ina sekali lagi, aku akan b***h kau, faham?”

Sekali lagi Ina menggangguk dan sejurus selepas itu dia rebah. Adam telah sedia menunggu di belakang Ina untuk menyambut badan Ina setelah Alif memberi isyarat kepadanya sewaktu berdialog dengan jin Siam tadi.

Sekali lagi juga Ina tersedar. Reaksi wajahnya serius. Matanya liar memerhati sekeliling.

“Kamu jangan sekali-kali coba untuk mencampuri urusan aku,” kali ini suara yang keluar dari mulut Ina bernada seperti bahasa Indonesia.

“Kau datang dari mana?” Soal Alif.

“Aku dari tanah seberang. Sekali lagi aku ingatkan kamu… jangan campuri urusan aku. Kekuatan kau tak akan dapat menandingi kekuatan aku.” Dengan sombongnya jin Indonesia berkata-kata.

“Aku memang tak kuat, hanya Allah yang paling kuat, jika kau tak mahu keluar, dengan izin-Nya aku akan b***h kau.” Tenang Alif menjawab.

“Kau jangan ingat aku percaya kau bisa m******h aku.” Jin Indonesia ketawa sambil mencebik kepada Alif.

“Baiklah. Aku bagi amaran terakhir, kau mahu keluar atau tidak?”

“Tidak..!! Aku tidak akan keluar dari sini. Dia kepunyaan aku.”

Alif memberi isyarat kepada Adam agar bersedia di belakang Ina. Alif menghampiri Ina dan kemudiannya membuat isyarat sembelih dengan jari-jarinya di leher Ina. Ina mendengus. Selang beberapa detik Ina rebah dan disambut oleh Adam.

Ina terbaring buat beberapa ketika. Tetapi tugas Alif masih belum berakhir bila Ina kembali bangun dengan mata terjegil. Perlakuannya agak agresif. Kali ini Ina membuat gerakan tarian Siam, tapi gerakannya lebih kasar berbanding dengan jin Siam sebelum ini.

“Kali ni aku tak nak cakap banyak. Aku nak tahu adakah kau jin yang paling kuat yang ada dalam badan dia?” Soal Alif.

“Buat apa kau nak tahu?” Jin Siam yang ini pandai cakap Melayu dengan fasih.

“Sebab aku tak nak buang masa aku.”

“Kalau ada, apa yang kau boleh buat?”

Dari firasatnya, Alif tahu dalam badan Ina masih ada jin yang lebih kuat dari jin Siam yang sedang berdialog dengannya sekarang. Belum sempat jin Siam itu terus membebel, Alif memberi isyarat agar jin Siam itu ke tepi agar memberi ruang kepada jin yang paling kuat muncul.

Kali ini badan Ina tak sempat rebah kerana dengan serta-merta diambil alih pula oleh jin yang dikatakan paling kuat itu.

“Jadi, kau la ketua yang mengganggu Ina ya?!”

“Ha! Ha! Ha!” Jin itu ketawa sambil terdongak. Bongkak sekali.

“Ya..!! Akulah yang paling kuat di sini,” sambungnya setelah habis ketawa.

“Sejak bila kau mula ada dengan Ina?”

“Dah lama. Dari dia kecil lagi.”

“Kau buat apa dalam badan Ina? Banyak ke jin lain dalam badannya?”

“Terlalu banyak hingga tak terkira. Di sini adalah kampung kami.”

“Oh… kampung kau. Sekarang ni Ina tak nak badan dia dijadikan sebagai kampung oleh kamu semua, dan dia minta tolong aku keluarkan kamu semua dari sini.”

“Ha! Ha! Ha! Kau tak akan mampu keluarkan kami semua.”

“Kenapa? Kau dah tengok apa yang terjadi kepada kawan-kawan kau tadi kan? Ada yang keluar dan ada yang aku b***h.” Alif mengugut ketua jin.

“Jumlah kami terlalu banyak. Kau tak akan mampu m******h kami satu persatu.”

Alif tersenyum, kemudian berkata, “kau tau tak kacang panjang?”

“Aku tau la kacang panjang, kenapa?” Pelik pula ketua jin dengar soalan dari Alif.

“Kacang panjang… bila kita nak masak… kita akan p****g pendek-pendek supaya senang nak dimasukkan dalam periuk. Kalau kacang panjang tu satu saja, kita p****g macam biasa, tapi kalau banyak, kau tau apa yang kita boleh buat? Kita ikat semuanya… barulah kita boleh p****g serentak.” Jelas Alif. Entah faham atau tidak ketua jin itu dengan analogi yang dibuat oleh Alif.

Alif meminta Adam bersedia memegang dan menampung badan Ina dari rebah. Tanpa berlengah, Alif menghampiri Ina. Alif mengumpulkan semua jin dalam satu ikatan dan meletakkan jarinya di leher Ina. Alif membuat isyarat menyembelih. Badan Ina bergegar, kedua kaki dan tangannya menggelepar, nafasnya mendengus sambil terbatuk-batuk dan seperti tersedak. Gayanya tak ubah seperti lembu yang disembelih. Sewaktu tengah menyembelih, Alif teringat jin pendekar Perak dan jin Siam yang disuruh ke tepi tadi. Alif masukkan sekali kedua-dua jin tersebut ke dalam ikatan dan turut disembelih.

Badan Ina disambut oleh Adam dan dibaringkan atas bantal yang memang telah disediakan dari awal. Adam menyelimuti tubuh Ina. Ina diam, hanya nafasnya sahaja nampak turun naik kepenatan. Selang beberapa minit, Ina bangun dan memanggil Adam. Kali ini air mukanya kembali normal, cuma wajahnya jelas menunjukkan yang dia keletihan yang teramat sangat.

Setelah Ina kembali mengumpulkan kekuatan, Alif memberikan sedikit kata-kata nasihat kepada Ina dan Adam tentang kaedah-kaedah mengurangkan kemungkinan diganggu oleh makhluk halus. Memandangkan gangguan yang dihadapi oleh Ina selalu berulang walaupun telah mendapatkan rawatan, Alif mencadangkan agar Ina bersama Adam datang sekali lagi berjumpa dengannya untuk membolehkan Alif membuat pemantauan dan mengurangkan kemungkinan gangguan berulang.

Selepas hari itu, saya tak pasti sama ada Ina dan Adam pergi atau tidak sekali lagi berjumpa dengan Alif kerana saya memberitahu mereka agar berhubung terus dengan Alif jika ingin membuat temujanji seterusnya. Harapanku agar Ina tabah menghadapi segala ujian dan diberi kesembuhan oleh Allah. Hanya DIA yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Wallahualam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Dzul Fiqar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 31 Average: 4.8]

3 thoughts on “RASUKAN LIMA JIN”

  1. Apabila ada makhluk x kira apa atau siapa pun yg sering mengganggu anak adam ketika melakukan amal ibadahnya terhadap perintah Allah swt maka blhlah dihapuskan dr muka bumi ni sekiranya mereka tetap berdegil utk mengulangi gangguan tersebut.

    Reply
  2. Bole sy mnta no tel alif..ada kwn mnta sy cri kn prubatan islam..sbb adknya x siuman slepas dia tegur cahaya yg dia nmpk kt dlm hutan..ceritanya bergini..wktu tu dia ikut bapa dia msk hutan pergi mnyuluh..dia trserempat dgn cahaya entah dr mna dtgnya..dia pnggil bapanya mnta tgk kn chaya apa yg dia nmpk..tpi bapa dia bgtau kt dia x nmpk pn chaya yg dia tnjuk xde chaya pn..slepas dia tegur chya tdi..dia blek dr umah..tiba2 dia mcm x siuman..bole bg prtolongan..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.