REBAN AYAM

Assalamualaikum,

Insya Allah, novel pertama saya berjudul KISAH YUNUS JILID 1 akan keluar tidak lama lagi. Di sini, saya sumbangkan kisah semasa saya masih kanak-kanak di rumah moyang saya di Kedah.

Jika ada di antara pembaca yang ingin memesan buku, bolehlah email saya di [email protected].

REBAN AYAM

Semuanya tersangat jelas terpampang di mata, sehingga kepada warna baju Melayu yang aku pakai, lebih empat puluh lima tahun dahulu. Kejadian yang menakutkan aku semasa kanak-kanak itu, masih jelas di fikiran sehingga kepada bau longkang yang seolah terbau di hidung ketika aku membayangkan kisah ini.

Reban ayam moyangku terletak di sebelah kiri dapur. Di belakangnya ialah tanah milik orang kampung yang kosong, namun penuh dengan pokok keladi gajah dan pokok pukul lima, yang sangat sinonim dengan negeri Kedah. Di situ juga, ada rimbunan pokok kelambu harimau dan sebatang parit yang kalau hujan, sangat jernih airnya.

Aku dan kawan-kawan memang akan bermain di dalam semak itu kerana beberapa buah rumah jiran dekat-dekat dengan tanah kosong itu. Kami berebut satu kawasan di mana ada pokok-pokok kecil yang mengeluarkan bau seakan buah epal jika dipetik daunnya. Kami menyangka ia adalah pokok epal, walaupun aku selalu melihat pokok epal di negara orang waktu itu. Berebutlah kami, berangan akan makan epal yang merah dan manis. Kanak-kanak dengan khayalan yang kudus waktu itu, tidak seperti sekarang.

Emakku juga tidak risau jika tidak nampak kelibatku di sekeliling rumah. Emak dan ayahku tahu, si kawasan semak itulah kami akan berada. Waktu itu, arwah Chik masih sihat dan dia akan bermain dengan kami selepas menguruskan emaknya. Chik akan pastikan ibunya tidur dahulu, barulah dia akan turun bermain. Kami telah membina pondok dari daun pisang. Pondoknya besar dan panjang, dan kami tersangat bangga dengan pondok kami. Bumbung reban ayam moyangku nampak dari tempat kami membina pondok.

Maka, seharianlah kami berada di dalam pondok yang luas dan panjang itu. Kawan-kawanku juga tinggal tidak jauh dari rumah moyangku. Jika waktu makan tengah hari dan waktu solat tiba ibu bapa kawan-kawanku dan emakku sendiri hanya akan melaung dari rumah. Semuanya kami buat bersama. Nilai persahabatan waktu itu, letaklah duit sebanyak mana pun, tidak mungkin akan sama nilainya.

Reban ayam moyangku itu dia tingkat. Bahagian atas adalah bahagian sarang dan tempat untuk ayam tidur dan bertenggek. Bahagian bawah hanyalah tanah dan besen-besen makanan diletakkan. Ayam-ayam juga akan mandi pasir di situ, menjadikan tanahnya berlubang-lubang dan sedikit berdebu.

Selepas kawan-kawanku selesai mengaji di masjid, “markas” baru itu menjadi tumpuan. Kami akan dapat mendengar bunyi ayam dari pondok daun pisang kami.

Suatu hari, sementara menunggu kawan-kawanku pulang dari mengaji, aku masuk ke dalam pondok dan baring-baring di atas susunan daun pisang. Hampir terlelap aku kerana pondok kami bukan sahaja sejuk, malah gelap kerana daun pisang yang disusun memang banyak. Aku berbaring di tengah pondok, dan kemudian terdengar bunyi seperti kaki sedang meranduk rumput. Bunyinya seperti kaki diseret, seolah yang berjalan itu tempang.

Jika sesiapa lalu, aku akan nampak dari pintu pondok yang ternganga. Pintunya sengaja kami sempitkan dan ranting-ranting pokok kelambu harimau ditambah untuk menggelapkan pondok. Puas menunggu, tiada siapa pun yang lalu sedangkan bunyi seretan kaki itu seolah berlegar-legar mengelilingi pondok.

Aku cuba mengintai, namun tiada sosok yang kelihatan. Bunyi seretan itu masih mengelilingi pondok. Seketika kemudian, aku mendengar seretan kaki itu melangkah dengan cepat. Gerombolan kawan-kawanku sudah usai dengan Muqaddam mereka. Bagai burung pulang ke sarang, masing-masing masuk ke dalam pondok bergelak ketawa.

Hari telah petang, dalam jam lima setengah begitu. Kami meninggalkan pondok dan lalu di reban ayam untuk ke terusan Wan Mat Saman mencari belalang untuk dijadikan umpan mengail sepat dan puyu. Kerana tepi dan depan itu ditutup dengan dawai sangkar ayam, aku sepintas melihat seperti sosok manusia bongkok berwarna hitam tenggelam di dalam pasir tempat ayam-ayam suka berkubang. Ayam-ayam di dalam reban juga resah dan asyik berketuk nyaring.

“Pasai apa ayam dok hingaq (bising) tu? Ada ulaq ka? “ tanya seorang dari kawanku sambil matanya juga mengerling ke arah reban ayam. Yang lain juga terhenti langkah dan menoleh melihat reban ayam yang bising dengan ayam yang tidak berhenti berketuk.

Kami menghampiri reban ayam dan terdengar laungan dari moyangku. Aku menyahut memberitahu kami di depan reban tetapi tidak nampak apa-apa yang menyebabkan ayam-ayam moyangku ketakutan seperti ada ular sawa yang berjaya masuk ke dalam reban.

Kerana tidak melihat ada bahaya di dalam reban, kami beredar meninggalkan reban ayam itu. Joran buluh masing-masing kami sorokkan di dalam semak di batas tali air itu. Belalang dan cengkerik sangat banyak di dalam semak, memudahkan kami dengan kegiatan yang paling kami sukai itu. Ikan juga tersangat banyak di dalam tali air, dan tidak pernah menghampakan kami.

Kami pulang dengan tangkapan ikan yang kami bungkus dengan daun bemban. Kami telah berjanji akan berjumpa di masjid di tengah kampung (waktu itu). Semasa aku sampai, ayam-ayam sedang makan dan tiada bunyi ketukan seperti tadi.

Aku disuruh mandi kerana Maghrib akan menjelang. Bilik mandi juga hanya sepelaung dari reban ayam itu. Di belakang bilik mandi, ada serumpun buluh telur yang rimbun. Semasa aku mandi, aku nampak dedaun buluh itu seperti dilanggar sesuatu dan bergegar. Aku tidak mengendahkannya kerana aku hendak cepat. Kami akan berjalan kaki ke masjid, termasuklah Chik jika ibunya tidak meragam. Tetapi selalunya, ibu Chik yang sudah nyanyuk itu seolah faham dan tidak meragam kecuali apabila dia demam.

Semasa aku keluar dari bilik mandi, di hujung mata, sekali lagi aku ternampak sosok bongkok berwarna hitam yang seolah meresap masuk ke dalam reban ayam. Mungkin perasaanku sahaja, dan aku naik dan menukar baju. Ayam-ayam di reban menjadi riuh semula dan emak dan moyanngku menyuruh aku pergi melihat. Aku menyarung baju Melayu berwarna hijau pucuk pisang dan usai, aku terjun dari pelantar dapur dan berlari ke reban ayam.

Sampai sahaja, aku terjerit kerana ketakutan. Di dalam reban ayam itu, aku nampak satu sosok seperti manusia tetapi semuanya berwarna hitam sedang memegang seekor ayam betina yang telah terkulai. Di mulut sosok hitam dengan gigi yang panjang dan tajam-tajam itu, aku nampak kepala ayam tadi yang sudah terputus seolah disedut masuk ke mulutnya. Bunyi pepakan atau kunyahan tulang kedengaran jelas. Aku terkejut dan hampir tersadung kakiku pada pokok-pokok serai yang ditanam moyangku di situ.

“Pasai apa dik?” tanya ayahku yang muncul di atas pelantar dapur.

“Hantu ayah. Dia dok makan ayam!” kataku ketakutan dan berlari pantas ke arah rumah moyangku.
Aku terus melompat ke atas pelantar yang tidak berbumbung dan menyorok di belakang ayahku.

“Dia hitam, rambut panjang, mata merah, gigi tajam dok makan kepala ayam” kataku memberitahu ayahku.

Ayahku segera terjun ke tanah dan berlari ke arah reban ayam. Belum sempat sampai, kami nampak sekujur tubuh yang pipih (nipis) dan bahagian bawahnya seperti ular meluncur keluar dan menuju ke arah pondok kami. Rambutnya menggerbang berenjut enjut, nampak seperti keriting halus rambutnya. Orang kulit hitam di tempat kami jika rambut mereka panjang, begitulah keadaannya. Bentuknya seperti segitiga dan sangat jelas di mataku di petang itu.

Ayahku mengejar dengan tangan kosong dan hilang di dalam semak di tanah kosong itu. Tidak lama kemudian, aku nampak ayahku muncul dari belakang pokok buluh telur dan naik semula ke pelantar. Sebelum naik, ayahku mencuci kakinya di guri (tempayan) kecil yang sentiasa penuh airnya, diguna moyangku untuk mencuci kakinya selepas memberi ayam makan, walaupun kakinya beralas selipar.

Aku mengikut ayahku masuk. Ayahku terus pergi berjumpa dengan datuknya yang sedang membelek kitab lama. Ayahku memberitahu apa yang kami lihat. Moyangku mulanya diam dan matanya masih melekat pada kitab yang dipegangnya.

“Sat lagi hang pi cari hampaih nyoq (hampas kelapa). Ambik juga tiga batang jarum yang kecik. Bawak mai dan letak sini” kata moyangku sambil mula berdiri. Moyangku sudah sakit-sakit lututnya, namun matanya masih terang dan masih mampu membaca kitab dan Quran tanpa cermin mata.
Emakku yang terlopong di muka pintu antara rumah ibu dan rumah dapur, memandang ayahku.

“Tak pa bang, saya kukoq (parut dengan alat kukuran). Esok nak buat nasi lemak” kata ibuku pantas berlalu ke dapur, diikuti kakakku.

Ayahku menyuruh neneknya mendapatkan tiga batang jarum di dalam bilik moyangku . Seperti moyang lelakiku, moyang perempuanku masih mampu menyulam tanpa menggunakan cermin mata. Mereka ada petuanya dan aku pernah mencubanya. Benar, air embun yang terperangkap di dalam pucuk bemban, jika ia terkena mata, sejuknya seperti kita menitik Eye-Mo ke mata. Itulah petua mereka turun temurun.

Moyangku masuk ke dalam biliknya. Agak lama juga dia di dalam. Maghrib makin hampir, namun mujurlah aku tidak mendengar suara kawan-kawan atau Chik yang datang memanggil. Seketika kemudian, ibuku datang membawa besen hampas kelapa. Entah apa yang dibaca oleh moyangku setelah tiga batang jarun jahit yang kecil dan pendek digaul bersama hampas kelapa itu.
Moyang lelakiku turun melaui tangga rumah selang dan menyarung selipar menuju tepat ke reban ayam. Aku dah ayahku mengikut dari belakang, menjarakkan diri kerana sudah tahu kerenah moyangku.

Moyangku duduk bertinggung di depan reban ayam sambil mulutnya terkumat-kamit. Dalam remang petang itu, semak belukar di belakang reban ayam bergerak-gerak seperti ditolak dengan tangan. Aku dan ayahku terteleng-teleng mencari kelibat makhluk yang sedang meranduk semak.
Dan alangkat terkejutnya aku, bila nampak satu sosok hitam yang agak rapat dengan tanah. Ia seolah terapung, berkepala manusia tetapi badannya panjang seperti belut atau ular air. Berwarna hitam dengan seluruh badan sudah carik-carik seperti ikan laga yang bergaduh, makhluk hitam itu datang mendekat. Hidungnya yang panjang sedikit itu menghidu-hidu bau di angin, seolah sedang menikmati aroma bau masakan yang sedap.

Kemudian, makhluk itu sudah berada di tepi reban ayam. Ayam-ayam yang tadi sibuk mencari tempat tenggek untuk tidur, kini mula berketuk dan berbunyi seperti siang tadi. Makhluk hitam itu semakin mendekat. Moyangku berdiri lebih kurang sedepa dari besen yang diletakkan di atas tanah, memerhati makhluk yang seolah tidak nampak atau tidak dapat mengesan moyangku yang sedang berdiri itu.

Mata makhluk itu merah menyala, dan tertumpu kepada besen buruk yang berisi hampas kelapa itu. Segera diterkam dan dengan lidah yang panjang dan tirus, makhluk itu menjilat-jilat hampas kelapa layak seorang budak menjilat ais krim yang sedap. Lidahnya panjang dan makhluk itu tersangat rakus menjilat hampas kelapa itu.

Tidak lama kemudian, makhluk itu terpelanting dan melanggar dawai reban ayam dan terjelepuk di situ. Lidahnya yang panjang keluar masuk seperti lidah biawak, dan kemudian aku agak, barulah dia nampak kelibat moyangku. Rupa yang ditunjukkannya seperti terkejut dan dengan Gerakan yang pantas, makhluk itu menyusur ke arah tepi rumah jiran bak ular yang cuba melarikan diri dari bahaya.

“Hang pa hambat (kejar), tengok mana dia pi” perintah moyangku.

Aku segera berlari mengikut ayahku, merentas pagar kawat yang pokok cenerai berbaris menyembunyikan kawat yang berkarat itu. Mujurlah kami sudah biasa dan nampak makhluk hitam itu lari ke tepi rumah orang kampung. Di tepi dapurnya yang di atas tanah itu ada parit limbahan dengan air yang busuk. Makhluk hitam itu terjun ke dalam air yang busuk itu dan muncul, dan memanjat segugus pokok nibung yang tumbuh di tepi parit limbahan itu.

Pokok-pokok nibung itu nampaknya sudah tua dan makhluk tadi yang seperti ular, memanjat salah satu batang nibung dengan cepat dan hilang di celah-celah pelepah nibung yang berduri tajam itu. Ayahku melompat parit dan meludah pokok nibung yang dipanjat makhluk itu, dan mengajakku pulang.

Remang senja makin kelihatan. Mega berwarna merah dan jingga berarak di langit, tanda senja akan menjelang. Kami sampai ke rumah moyangku, dan di jalan, aku nampak ada beberapa kawan rapatku sedang menunggu.

Kanak-kanak, apa yang kami tahu? Nampak sahaja kawan-kawanku sedang menunggu, aku mendapatkan mereka dan berlumba lari ke arah masjid. Perkara tadi, terus tertanggal dari ingatan.
Aku tidak tahu apa yang dibuat oleh moyangku. Tetapi setelah beberapa hari, aku terpandang kepada pokok-pokok nibung yang nampak dari tingkap dapur rumah moyangku. Pokok nibung yang dipanjat makhluk itu hitam terbakar bagai dipanah halilintar. Pohon yang lain tidak terjejas dan pelepahnya yang lendut ke bawah masih terbuai-buai dipuput angin.

Dan itulah kali terakhir aku nampak makhluk aneh itu.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 97 Average: 4.9]
Pak Engku

1 thought on “REBAN AYAM”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.