Resort

Terima kasih kepada FS kerana sudi menyiarkan kisah saya sebelum ini. Kali ini aku ingin berkongsi kisah seram yang mana pada pandangan aku ianya lagi seram daripada penceritaan zaman kanak-kanak aku sebelom ini. Mohon maaf kali ini penceritaan terlebih panjang.

RESORT
Sambutan Hari Keluarga yang diadakan di salah sebuah resort yang terletak di Negeri Sembilan telah menjadi memori seram walaupun sudah 7 tahun berlaku tetapi masih segar dalam ingatan dan sukar untuk dilupakan. Jika diberi sekalipun tiket penginapan percuma untuk ke resort tersebut pasti sahaja kami menolaknya. Sambutan hari keluarga diadakan di kawasan pantai yang terletak dibelakang resort telah membawa pelbagai peristiwa seram kepada kami sekeluarga.

Acara sukaneka dijalankan pada waktu pagi dan berkakhir menjelang tengahari. Emak aku dengan dahi yang berkerut berulang-ulang mengira 1,2,3,4 dan 5 orang kanak-kanak yang terlibat dalam acara sukaneka manakala begitulah jumlahnya sehingga ke acara pengambilan hadiah. Kami pada masa itu hanya ketawa kecil dan tidak memikirkan tentang apa-apa yang pelik dan hanya membetulkan sahaja jumlah kanak-kanak yang terlibat iaitu hanya 3 orang sahaja.

Sejujurnya emak aku ini mempunyai keistimewaan adakalanya hijabnya terbuka dan dapat melihat dan merasakan kehadiran entiti ini disesuatu kawasan contoh tempat yang mempunyai tapak sejarah atau kisah-kisah tertentu sesuatu makhluk itu. Tetapi tidak lah semua tempat dapat dirasainya alhamdulillah kalau tidak mesti stress kan.

Selepas selesai acara sukaneka, kami semua bergegas ke resort dan disana kami terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rumah yang telah kami tempah beberapa bulan lepas. Ini kerana penyewa sebelum ini telah menambah beberapa jam untuk stay dan kerana terlalu letih kami telah mendesak pihak resort untuk memberikan rumah yang lain.

Resort tersebut menyediakan apartment 3 bilik dan 2 bilik air. Kami telah menempah 2 biji rumah untuk menampung keluarga besar kami. Ibu, ayah, kakak, adik serta anak beranaknya ditempatkan di dalam 1 unit yang berhadapan dengan kolam renang manakala aku anak beranak serta abang aku dan anak beranaknya di tempatkan di satu unit yang paling hujung.

Apabila kami memasuki rumah tersebut kami yang begitu penat terlupa untuk membaca surah-surah lazim dan dek kerena itu jugalah mungkin penyebab kami semua telah diganggu. Bermula pada petang hari yang sama, aku terkejut apabila abangku berlari keluar dari biliknya dengan muka yang sedikit cemas sambil memerhati di sekeliling ruang tamu. Dia bertanya kepada aku ada sesiapa yang mengetuk pintu bilik airnya berkali-kali dan apabila pintu dibuka dilihatnya tiada sesiapa pun diruangan biliknya. Aku terpaku seketika kerana semua anggota keluarga kami telah pergi ke kolam renang dan hanya aku dan abang aku sahaja yang berada di dalam rumah itu. Kami terdiam dan berpandangan antara satu sama lain.

Menjelang waktu maghrib sedang kami semua ingin menunaikan solat mahgrib. Kami terdengar jeritan di luar unit. Alangkah terkejutnya kami apabila mendapat tahu anak adikku iaitu “Qaseh” yang ketika itu berumur 3 tahun telah lemas di dalam kolam renang dewasa! mujur ada anak abangku yang berumur 12 tahun di mana dia pada ketika itu berada di beranda luar unit kami dan dengan pantas berlari menuju ke kolam renang tersebut kerana terdengar jeritan suara orang meminta tolong. Anak abang aku dapat menyelamatkan Qaseh.

Pada masa kejadian kelihatan penghuni dari tingkat atas telah berada di hadapan kolam renang. Mereka telah sampai awal daripada kami dan mereka lah yang menjerit meminta pertolongan. Kata makcik dan anaknya iaitu saksi kejadian ketika mereka sedang berborak diberanda mereka ternampak Qaseh berjalan seorang diri menuju ke kolam dan turun menggunakan tangga kolam lalu masuk ke dalam kolam renang sambil berenang kuak lentang. Mak cik itu berasa pelik kerana pada masa itu tiada sesiapa pun disamping Qaseh. Kata mak cik itu dia berasa curiga dan tidak sedap hati lantas segera mengajak anaknya untuk turun ke bawah takut jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Alangkah terkejutnya mereka apabila sampai di kolam tersebut Qaseh telah terkapai-kapai kelemasan. Menurut pandangan mereka di tingkat 1 apartment itu Qaseh dilihat berenang-renang “kuak lentang” tetapi sebaik sahaja mereka tiba Qaseh terkapai-kapai lemas.

Kami semua yang berkumpul pada masa itu terkejut dan tergamam kerana Qaseh tidak pandai berenang!. Adikku telah membawa Qaseh ke klinik dan alhamdulillah semuanya selamat. Pada malam itu kami semua berasa kesal kerana cuai dan sesungguhnya kami semua tidak sedar yang Qaseh tiada disisi kami pada masa itu sehingga menyebabkan perkara yang tidak diingini telah terjadi.

Jam menunjukkan sudah larut malam tetapi abang sulungku tidak dapat melelapkan mata mungkin memikirkan satu persatu kejadian yang telah menimpa kami. Abang aku yang tidak berasa selesa mengambil wuduk dan bangun untuk solat. Tiba-tiba abangku seakan dapat merasakan ada susuk tubuh perempuan tua sedang melunjur kaki di hadapan cermin di dalam bilik tidur mereka.

Sesudah solat abang aku mencapai telephone bimbitnya dan mencari surah yassin untuk dibaca. Tetapi dia terkejut apabila screen hponenya tertulis “Surah Yassin anda berada didalam keadaan terbalik” Tidak pernah abang aku menerima notification sebegitu. Potongan ayat menjadi terbalik dan sukar untuk dibaca. Abang aku kemudian membaca surah-surah Al-Quran yang telah dihafaznya dan abang aku dapat merasakan susuk entiti itu menghilang sebaik sahaja surah Al-Quran dibaca.

Aku pula tidak lena tidur. Aku terjaga daripada tidur kerana berasa panas dan seperti kebiasaannya ada sesuatu berlaku. Aku sangkakan suamiku telah menutup penghawa dingin di dalam bilik tidur kami dan apabila aku amati penghawa dingin tidak ditutup dan suamiku pula tidur dengan berselimut serta begitu nyenak tidurnya. Aku pula berasa kepanasan dan aku terdengar bunyi gonggongan anjing begitu kuat dari luar tingkap bilik tidur kami. Aku begitu takut dan tiba-tiba terpikir bagaimana sesebuah resort yang besar ini ada anjing dan suara anjing itu begitu kuat sekali.

Aku tidak mengejutkan suamiku kerana takut dan aku hanya mengeraskan badan dan berselimut sambil menekup bantal ditelinga dan terus membaca Ayat Qursi. Suara anjing tersebut hilang apabila menjelang subuh. Adik aku dan isterinya pula yang berada di unit yang lain juga telah diganggu. Pintu bilik tidur mereka terbuka secara tiba-tiba seperti ada yang membukanya. Adik aku bangun dan cuba menjenguk di luar tetapi tiada sesiapa pun. Mujur kami hanya bermalam untuk 1 malam sahaja.

Keesokkanya apabila kami ingin keluar daripada resort itu kami telah bercerita tentang satu persatu peristiwa yang telah berlaku dan kami cuba bertanya kepada Qaseh tentang kejadiannya di kolam renang. Qaseh memberitahu bahawa ada kawan yang mengajaknya ke kolam renang dan mengajarnya berenang. Walaubagaimanapun Qaseh memberitahu kawan itu berbau busuk dan rambutnya kusut tidak bersikat.

Sememangnya Qaseh seorang yang petah berkata-kata dan kami membuat andaian bahawa kawan yang diceritakan itu bukannya daripada golongan manusia. Lagi mengejutkan sebelom bergerak pulang pakcik guard resort ada memberitahu kami dikatakan kolam renang tersebut pernah ada budak yang m**i lemas. Emak aku pula mengatakan tempat tapak resort tersebut dahulunya adalah perkampungan orang asal dan berdekatan dengan resort itu terdapat laluan hutan yang juga menjadi tempat orang hiking dan di hutan itu terdapat kubur lama yang tidak bernisan.

Aku kemudian mencari nama resort itu di google dan alangkah terkejutnya aku bahawa resort tersebut adalah salah satu resort yang tersenarai di dalam hotel berhantu di Malaysia. Sejak daripada kejadian itu aku akan research dahulu sebelum menginap disesuatu tempat.
Pengirim
RaFida November, 2023

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

RaFida

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 43 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.