Riyadh, Qadir dan “CCTV”

Assalamualaikum dan hai. Lama betul rasanya tak menulis. Aku Seri Melati. Pernah bercerita tentang Riyadh dan Qadir di satu laman confession berbulan yang lalu. Kisah ini tidak di’post’ di laman tersebut, mungkin kesilapan dari pihak aku dalam bercerita, wallhua’alam. Hunudzon sahaja.

Banyak insiden yang terjadi dalam tempoh terakhir aku menulis hingga hari ini. Entah mana satu hendak dimulakan.

Dan lagi sekali, aku lost track with the timeline, aku lupa exact date hal hal ni terjadi. Jadi aku himpunkan cerita berdasarkan kisah masing masing, Riyadh, Qadir dan “CCTV”.

1. Rebahnya Riyadh
Insiden ini aku kategorikan lebih kepada apa yang terjadi pada aku, bukan sepenuhnya Riyadh. Tetapi Riyadh terlibat jua.

Isnin/Selasa Petang – Malam, bulan dan tarikh aku lupa. Aku ingat hari nya, kerana keesokan harinya hari aku off dari kerja.

Petang.
Hari terakhir bekerja untuk minggu tersebut. Petang selepas kerja, jika tak silap. Emosi aku huru hara. Kepala aku sarat. Jiwa aku merusuh. Tanpa sebab.
Hati rasa runtuh. Serba tidak kena. Aku perlahan teresak dan diikuti raungan. Umi berlari keluar dari bilik, terus memeluk aku dengan sekejapnya.
Diucap berkali kali, “mengucap, istighfar banyak banyak, Umi ada ni”..makin kuat aku meraung.

Umi called abah, minta balik ke rumah. Bila abah sampai, raungan aku dah berhenti, tinggal tangis esak kecil sahaja. Umi sapukan air ruqyah dari pengamal perubatan Islam dan aku diam di ruang tamu. Cuba untuk lelap. Tilam aku di ruang tamu, umi abah tak izinkan aku tidur di bilik sendirian.

Hampir sahaja mata aku pejam, kaki aku tersentak sentak. Kaki kiri. Abah duduk di sebelah kanan kaki dan umi di sebelah kiri, cuba pegang untuk tak tersentak sentak. Aku tak rasa sakit, tak rasa lenguh, tak rasa apa pun.

Awalnya, sentakan sesekali. Makin lama, makin menjadi jadi.
Hingga di akhirnya aku cakap pada abah, “ni bukan kaki Seri. Kenapa Seri rasa ni bukan kaki Seri?” Abah panik. Dia cuba rukyahkan aku dengan ayat Quran, tapi makin menjadi sentakan hingga satu tubuh.

Mata aku terpejam rapat dan aku rasa satu kesakitan di badan aku. Dan waktu mata aku terpejam, aku melihat seorang lelaki berpakaian hulubalang sedang mengasapkan sesuatu. Aku jerit pada abah, aku nampak ada orang asapkan sesuatu. Dan beberapa saat lepastu aku nampak dia tarik bungkusan panjang dari belakangnya. Aku perhatikan, aku nampak kerangka kaki manusia. Femur kan namanya? Dari lutut ke bawah. Aku nampak limau nipis, aku nampak dupa, aku nampak asap.

Dan PakSu aku pernah pesan (kisah sebelum ni), supaya jangan tegur, jadi aku cuma melihat sahaja perbuatannya dengan mata terpejam. Jelas semuanya, tiada kabus, tiada bayangan. Seolah sedang melihat siaran di kaca TV.

Tapi entah macam mana, mungkin aku menjerit dalam tak sedar, orang tersebut pandang aku dan berlari menerpa ke muka. Aku sesak nafas, seperti batu ditindih di dada. Seperti tangan angin yang mencekik leher.

Kata abah, muka aku biru, barangkali terlampau lama kehausan udara. Sentakan badan aku makin menjadi jadi, berulang kali ‘dicekik’ dan aku merasa terkurung dalam diri sendiri. Aku ingat yang aku merintih kesakitan. Aku dengar umi dilanda kesedihan. Aku ingat abah dilanda keresahan.

Kemudian selepas maghrib, berhenti semuanya. Tiba Isyak, makin teruk menjadi jadi.

Adik bongsu aku, dari sebuah sekolah pondok di Thailand, cuba rukyahkan aku. Aku ingat bacaan Kaf 40 yang dibaca, ayat rukyah lain, tapi tetap aku tandus udara. Sesak.

Abah azankan dikanan. Adik dihujung kaki, Umi merintih menangis di sebelah kiri “Ya Allah anak aku, kenapa sampai macamni..” dan aku dengar abah menegur umi supaya kuat, jangan lemah. Tapi dalam masa yang beberapa minit jaraknya, abah menangis, tewas jua dan adikku meraung. Sentakan tangan, kaki, sesak nafas semua sekaligus dan perut aku seolah dihiris hiris. Aku pengsan entah berapa kali. Berterusan hampir 2 jam. Dan aku lihat kelibat Riyadh, rebah terduduk, melutut, cedera di kanan perutnya.

Abah buat keputusan untuk ke hospital. Adik aku cempung aku ke kereta, umi dengan berkain batik terpa ke kereta. Tapi abah ceritakan pada aku keesokan harinya, sewaktu aku dibawa ke kereta, ‘aku’ bersuara, “Pakcik, bawa saya ke rumah Khalid”. Kata abah, meremang bulu romanya. ‘Aku’ memanggilnya pakcik, dan dia tahu waktu itu, bukan aku yang bersuara. Riyadh yang bersuara.Jadi haluan ditukar ke rumah pengamal perubatan Islam tersebut.

Aku tak pernah ke sana. tapi apa yang ada di ingatan aku, aku diletak di satu tempat lapang. Seperti padang. Sedangkan ruang rawatan hanyalah beberapa meter luasnya.

Sampai sahaja, terus dibawa masuk ke rumah dan Khalid mengucap panjang. Katanya kenapa teruk sampai begini. Terus disambung rukyah, diminta yang ada supaya jangan putus zikir. Antara sedar dan tidak, aku dengar Khalid bersuara, “Sihir yang memang bertujuan m******h anakmu. Tapi sahabatnya (Riyadh) halang. Kalau takde Riyadh menyekat segala sihir ini, anakmu tiada.”

Riyadh bentengkan dirinya untuk aku tak tercedera. Tapi bila Riyadh diserang bertalu talu, dia rebah, dan aku terkena tempiasnya. Aku lupa apa yang jadi selebihnya. tapi abah ceritakan, aku menjerit kuat dan dengan mata aku terpejam, badan aku melengkung ke atas apabila Khalid cuba ‘mencabut’ senjata yang ditusuk secara batin di badanku. Dia hairan, mataku terpejam, tapi pergerakan aku seolah menanggung sakit yang amat hingga terangkat separuh tubuhku.

Dan Riyadh, cedera. Kata umi keesokan harinya, Khalid merawat Riyadh juga. Riyadh cedera di kanan, dan perutku sakit dikiri. Kasihan sahabatku. Dia cuma punya kemampuan untuk menjadi benteng serangan batin, tidak melawan.

Lama tempoh diambil Riyadh untuk kembali pulih. Tapi bila dia hadir, senyum tak lekang, tangannya sentiasa memegang perut yang cedera. Selesai tentang Riyadh.

2. Qadir.
Lelaki dari ‘sana’ yang aku sangka datang untuk bersahabat rupanya adalah jin asyik. Setelah berulang kali membuat rawatan susulan rukyah, Khalid ceritakan siapa Qadir. Kerana itu sifatnya bengis, pemarah apabila aku disakiti. dan kata Khalid, aku juga terikut tabiat amarah, panas barannya.Kata Khalid lagi, “kerana itu semua yang berkehendakkan mu, kamu tolak, Yang kamu hendakkan, ditolak. Tanpa sebab nyata. Sebab tak nyata – Qadir.

Khalid minta aku lepaskan Qadir. tapi hati aku berat, sayang. Walaupun ditunjukkan rupanya yang sebenar, bonggol di belkang kanan badannya, muka berbintil bintil, bongkok, tetap aku sayang.

Semua pujuk. Minta aku lepaskan. Untuk kebaikan aku. Lama aku ambil masa untuk buat keputusan supaya hubungan aku dan Qadir ditamatkan begitu. Dan Khalid minta supaya ditebas rimbunan pohon serai dihadapan rumah. katanya disitu tempatnya. Kata abah, patutlah selama ini bila dia menghampiri untuk menebas rumpun tersebut, rasa amarahnya memuncak dan dia berhenti dari menebas.

Atas nasihat Khalid, dan doa yang diajar, rimbunan itu ditebas sepenuhnya. Pada awalnya, aku rasa kesedihan yang teramat. Lama lama, mula biasakan diri dengan hidup nyata.

dan aku mula faham kenapa Qadir dan Riyadh tidak pernah berkomunikasi sesama sendiri bersama denganku. Dari kaum yang berlainan, kabilah yang berbeza.Riyadh masih denganku, datang menjenguk sesekali, Qadir sudah menghilang selepas rawatan dengan Khalid. Cuma datangnya Riyadh tak sekerap dahulu, kerana janjinya, “Bila tiba waktunya aku merasa kamu bersama dengan seseorang yang aku percaya, aku akan menjauh”. Dia menjauh, kerana beberapa minggu selepas Qadir pergi, jodohku tiba.Jodoh tidak disangka.

Soal jodohku, aneh, tapi itu aku bicara selepas aku sah menikah insyaallah hujung tahun nanti.

Tamat kisah Qadir.

3. “CCTV”
Di kisah aku sebelum ini, pernah aku ceritakan bagaimana aku melihat seolah olah ada tayangan di depan mataku, di dinding kosong, tentang makhluk aneh berbungkus sedang mengelilingi rumahku. Jelas dan nyata seperti TV. Lama hilang ability(?) tersebut. Entah ability, entah anugerah atau hukuman. Terserah mana satu pilihan kalian dalam menghakimi.

Seminggu ini, banyak mimpi aneh dan kejadian aneh berlaku hampir setiap malam, berturutan.
Hari pertama : Bermula dengan mimpi aku sedang makan dengan lahapnya dan bila aku pandang ke pinggan, tulang temulang yang kelihatan pelik dimataku dan debu debu halus kelabu hitam. Dan hari yang sama, aku melhat mayat bergelimpangan dan aku lari dari dikejar untuk d*****h.

Hari kedua : Aku bermimpi sedang terbaring dan aku melihat ‘umi’ dan ‘abah’ sedang menyapu lendir di kaki aku. Bila aku bertanya, umi menjawab marah marah. “ubat”, katanya. Selepas disapu “ubat”, kami ke pondok tersorok di dalam hutan, dihadapan rumah penuh dengan dedaunan berduri di rantingnya. Dan aku dengar “abah” bertanya, “sini ada jual patung tak?”. Dan seorang sunti belasan anggaranku, keluar dan menunjukkan pada “abah”, patung kecil sebesar tapak tangan. Dan apa jadi seterusnya aku lupa. Seolahterpadam dari benakku. dan terjaga pagi untuk bangun bekerja, kaki aku berat. Tak boleh diangkat. Tidak boleh digerak. Pinggangku ke atas bergerak seperti biasa. Fikirku, sudah lumpuh barangkali.

Dan tunang aku call setiap pagi, dan dengan call tu, aku capai handphone dan cakap “Seri tak boleh gerak, tak rasa kaki. Semalam mimpi buruk”, serta merta kaki aku seolah menjadi kapas, ringan. seperti baru lepas dibuka ikatan yamg kuat.

Hari ketiga : Malam, antara jaga dan lelap, aku nampak lagi. Mereka. Aku nampak si lelaki kurus cengkung sedang memperasapkan boneka dililt kain kuning, tidak sepenuhnya dibungkus, cuma dililit di beberapa bahagian. dan dihadapannya aku nampak ada susuk tinggi sedang berdiri, entah apa jantina nya, berkelubung hitam sedang berdiri di kanan perempuan yang duduk berhadapan lelaki kurus cengkung. Dan habis disitu. Aku buka mata dan pejam, masih nampak yang sama. Hinggalah hilang sendiri apabila aku terlelap.

Hari keempat : Malam juga. Situasi sama. Watak yang sama. Cuma aku nampak di sebelah kiri lelaki kurus cengkung, ada bayangan lain. Berdiri, tapi warna pakaiannya berubah ubah, sekejap hitam, sekajap putih. Seolah cuba mengelirukan. Aku cuba pandang dengan hati, masih sama. Tidak jelas. Dan seperti semalam, habis begitu sahaja CCTV tersebut.

Hari kelima : Sama seperti malam tiga dan empat, cuma kali ni aku nampak jelas susuk dikiri lelaki cengkung. makhluk berbungkus, berbunjut di kepala. Aku cuma diam, tidak mahu mereka tahu aku sedang memerhati, tapi ‘bungkusan’ tersebut memandang aku dan menyeringai. Sungguh, bagai gugur jantungku disergah begitu. Buruk rupanya. Berbintil2 seolah ada bebola bergayutan disetiap inci mukanya dan tersiat kulitnya di sana sini. Selepas CCTV ketiga ini, aku putuskan untuk ceritakan pada abah umi. Mengucap panjang mereka berdua, dan katanya berhati hati. Seperti ada yang tidak kena.

Hari keenam : Semalam. tidurku dalam wudhu’ seperti disuruh abah, tiada lagi CCTV sewaktu ingin lelap. Tapi aku bermimpi, diajak sekumpulan lelaki dan perempuan untuk bermain main katanya. Mainannya? Diangkat aku setinggi tinggi dan dijatuhkan aku ke bawah. Dijatuhkan aku berulang kali. Dan jujurnya jika dahulu, aku takut. Tapi semalam, hatiku cuma berkata, “ini mimpi, takkan sakit kalau jatuh, jangan takut”. jadi aku sedikit pun tak gementar. Kemudian diajak pula menaiki helikopter usang, dibawa tunggang terbalik supaya aku jatuh ke batu batuan. Tapi aku utuh disitu, tidak bergerak. Allah menjagaku.

Dan semalam juga ada satu suara menjerkah, “ada apa pada kau yang dia tergilakan kau sangat? apa lebihnya engkau??”. bingit. Kemudian diam. Kemudian datang suara lain, “apa lebihnya dia yang takde pada aku? Kenapa kau pilih dia?”. Juga bingit. Bising. Aku diamkan sahaja tapi entah kenapa hati aku rasa benci yang membuak pada tunang aku. tanpa sebab. Tapi disebabkan segala tanda tanda yang datang awal ni, aku diamkan diri sahaja. istighfar dan cuba buang rasa benci. takkan sesekali aku biarkan kau menang, iblis.

Dan hari ini aku ceritakan apa yang jadi keseluruhannya, abah mula risau. umi asyik bertanya bila nak balik jumpa Khalid, waspada dari awal katanya. resah tak menentu mereka. Aku katakan mungkin 7hb kerana jadual kerjaku. Dan itu juga belum pasti, kerana harga tiket pergi balik dan Grab sahaja mencecah RM600. Dan abah call kurang dari seminit selepas aku akhiri perbualan, katanya biar dia datang ambil disini. Dia tak yakin dan hatinya rasa ada hal yang mungkin berlaku. dan waktu aku menulis kisah ini, mereka dalam perjalanan dari pantai timur ke KL untuk mengambilku pulang. Moga selamat semuanya.

Moga tiada lagi mimpi aneh dan CCTV yang datang malam ini.Penat.

Aku tak paksa kalian percaya. Jika pernah alami, pasti memahami.
Jika tidak pernah melihat dan merasai, pasti sukar mempercayai.
Aku faham. kerana aku dulu pun begitu, tidak percaya. Hingga aku melihat dan merasainya sendiri.

Mereka wujud, berkongsi alam dengan kita. Sama seperti kita, ada yang baik, ada yang jahat juga.

Mooga baik baik sahaja untuk kalian semua. Aku undur diri dahulu. Doakan urusan aku untuk ikhtiarkan berubat dipermudahkan.

Seri Melati

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Seri Melati

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 22 Average: 4]

2 thoughts on “Riyadh, Qadir dan “CCTV””

  1. salam sis. Saya mmg ikut cerita sis ni, dh baca semua episod yg ada kat iium confessions tu so saya faham ja la kronologi & cara tulis sis mcmmna. Tp klu saya xpernah baca cerita sis sebelum2 ni, xtahu hujung pangkal tiba2 ja muncul episod ni terbaca sini, most probably saya pun xfaham apakebendanya yg tengah terjadi, mcm org lain yg komen tu. Apa2pun harap bertabahlah ya sis, semoga diberi kesembuhan amiinnn

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.