RnR Pertama

RnR Pertama

“Helo Dino, malam ni on tak on.”
“Eh on lah apa pulak tak on.” kedengaran jawapan dari seseorang di corong telefon. Remy tergelak diikuti oleh kawannya di hujung talian.

“Ok Remy, pukul sembilan aku sampai rumah kau bro.” seraya panggilan ditamatkan. Remy mengerling ke arah jam dinding. Malam minggu jam tujuh malam. Suasana di luar sudah kelihatan semakin gelap. Kehadiran malam menghambat cahaya matahari yang semakin menghilang. Pemandangan dari tingkat lima belas kondominium Angel Residence di pinggir bandaraya kuala Lumpur amat cantik dan mengasyikkan. Kemilau cahaya lampu neon dan lampu jalan yang bergemerlapan kelihatan seakan akan satu tempo yang teratur dan mempesona mata yang memandang.

Remy turun dari treadmill. Kepenatan, setelah dua puluh minit dia berlari anak di atas treadmill tersebut. Dia menyeka peluh yang berjejeran turun ke dahinya dari memasuki mata. Pandangannya dihalakan ke arah luar kondominium. Lebih tepat lagi ke arah jalanraya yang bersimpang siur dipenuhi dengan kenderaan yang membawa penumpang ke arah tujuan masing masing. Sedang asyik dengan pemandangan itu fikirannya hanyut ke masa lampau.

Sepuluh tahun dahulu dia memulakan kehidupan mencari rezeki di kota raya. Bebekalkan duit hasil jualan getah sekerap tak seberapa milik emaknya yang dicuri, dia melarikan diri dari kampungnya yang terletak di utara tanah air. Pagi dinihari dia menumpang lori barang untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Melarikan diri dari bebelan ayah dan emaknya. Dulu namanya bukan Remy. Nama yang diberi oleh ibubapanya ialah Abdul Rahim. Nama Remy lebih sesuai digunakan di bandaraya Kuala Lumpur kata kawannya.

Remy pada mulanya ibarat rusa masuk kampung, telatah dan gelagat manusia penghuni bandaraya tersebut diperhatikannya. Apa tidaknya, semasa di kampung dia hanya mendengar ragam cerita dari kawan kawan yang pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Itupun nasib baik ada televisyen, tak payah dia berimaginasi sangat mengenai keadaan di ibu negara Malaysia tersebut.

Tapi itu dulu. Ibarat kata alah bisa tegal biasa. Semuanya telah menjadi asam garam kehidupannya di kota besar tersebut. Remy yang pada mulanya tiada apa apa kini sudah jadi apa yang tiada. Semuanya ada. Dalam usia baru menjejaki ke tiga puluh dua tahun dia bertuah tergolong dalam kelompok yang berjaya. Memiliki segala yang diidamkan oleh pemuda seusia dengannya.

Nasib Remy berubah apabila dia berjumpa dengan Syahir kawan sekampung yang telah lama mendahuluinya keluar merantau ke Kuala Lumpur. Syahirlah yang mula memperkenalkan setiap ceruk Kuala Lumpur kepada Remy. Boleh dikatakan Remy amat merasa terhutang budi kepada Syahir. Lebih lebih lagi Syahirlah juga yang mula mula menariknya masuk menceburkan diri dalam perniagaannya sekarang. Syahir yang dulunya sengkek sepertinya semasa di kampung kelihatan agak berjaya sekarang. Rumahnya besar dan mempunyai beberapa buah kereta mewah. Remy teruja untuk mengikuti jejak langkah Syahir atau sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan menyara diri sendiri di kota raya tersebut.

Pada mulanya Remy sekadar budak suruhan sahaja di dalam perniagaan Syahir. Bermula dengan tugas penghantaran barang dari pejabatnya ke lokasi yang ditetapkan. Setelah diperkenalkan selok belok Kuala Lumpur oleh Syahir, Remy sedikit demi sedikit berusaha untuk lebih mahir dengan tugas penghantarannya. Jika difikirkan secara logik upah yang diterimanya agak lumayan berbanding dengan tugas penghantarannya. Jika tiada barang untuk dihantar, Remy hanya melepak atau terbongkang tidur di rumah. Lama kelamaan timbul pertanyaan di benak kepalanya berkenaan dengan barang apakah yang setiap kali dihantarnya itu. Adalah sekali Remy meluahkan pertanyaan kepada Syahir tetapi Syahir hanya menjawab Remy tidak perlu ambil tahu dan hanya perlu menumpukan diri dengan tugas penghantarannya.

Remy akur dan meneruskan tugasan penghantarannya sehinggalah pada satu hari berlaku satu kejadian. Kejadian yang menghancurkan kepercayaan yang selama ini terpahat pada Syahir. Nak dijadikan cerita pada hari tersebut Remy baru sahaja selesai tugas penghantaran dan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya. Sampai sahaja dipersimpangan lampu isyarat, dia melihat kawannya Baha, yang melakukan tugas penghantaran ditahan kereta peronda polis. Remy melihat Baha digari dan ditolak masuk ke dalam kereta peronda. Remy tergamam. Dia terus memecut motosikal pulang ke rumahnya. Dia tertanya tanya apakah yang menyebabkan kawannya di cekup polis. Sebentar kemudian dia menerima panggilan telefon dari salah seorang penghantar barang manyatakan bahawa barang yang mereka hantar selama ini rupanya dadah dan Baha menjadi orang pertama yang tertangkap. Jadi Remy telah sedar tentang betapa selama ini dia telah diperdaya Syahir untuk mengedar dadah.

Remy nekad untuk pergi bersemuka dengan Syahir. Dia menunggang motosikalnya menuju ke rumah kawan sekampungnya tersebut. Tetapi Syahir sememangnya pandai bermain kata kata. Kemarahan Remy sedikit demi sedikit reda. Alasan yang diberikan oleh Syahir mudah sahaja, D. U. I. T. Bagi Syahir, jika seseorang nak hidup mewah dan mendapat apa yang diidamkan di kotaraya ini dia perlulah membayar dengan harga yang mahal. Rezeki tidak akan datang bergolek tambahnya. Pokoknya jangan memilih kerja walaupun sudah jelas hukumnya salah disisi undang undang dan haram disisi agama.

Remy termakan pujukan Syahir. Syahir cuma menasihatkannya agar lebih berhati hati sahaja. Lama kelamaan Remy sudah melupakan insiden yang berlaku kepada Baha. Lagipun Remy telah diberi tugas yang lebih lumayan dari sebelumnya. Hari demi hari kemewahan yang dikecapi membawanya semakin hanyut di lembah dosa. Pusat hiburan malam, perempuan bersilih ganti dan minuman keras menjadi rutin hariannya.

Dia kini memiliki kereta dan kondominium mewah hasil ‘perniagaannya’. Keluarga di kampung sudah lama dilupakan. Pendek kata keluarganya sudah tiada dalam sejarah hidup Remy. Keluarganya juga tiada pula berusaha untuk mencari Remy di mana mana.

Lamunannya tiba tiba terhenti. Remy bergegas mencapai tuala untuk mandi dan menyegarkan badannya setelah peluhnya kering. Dia perlu siap mandi dan mengemas pakaiannya sebelum kawannya sampai. Sambil bersiul dia menuju ke bilik mandi dengan hati yang senang.

Pemanduan pada malam minggu itu agak lancar walaupun terdapat banyak kenderaan di kiri kanan jalan. Remy dan tiga orang rakan seperniagaannya pada malam itu berkereta menuju ke pusat hiburan terkenal. Perjalanan jauh tidaklah membosankan. Mereka memilih untuk berkongsi kenderaan supaya mudah untuk mereka berkomunikasi. Sepanjang perjalanan berbual diselang seli dengan gelak ketawa. Ada sahaja topik yang keluar dari mulut masing masing terutamanya Burn, Ezad dan Remy. Dino yang memandu kereta sekali kala menyampuk manakala kebanyakan masa dia hanya menumpukan perhatian pada pemanduannya.

Sudah kerap kali mereka berhibur dan menghabiskan wang dengan berjudi dan bertaruh di pusat peranginan tersebut. Kerap kali jugalah mereka pulang dengan hampa dan kecewa akibat kalah dalam pertaruhan. Namun itu tidak penting bagi mereka. Apa yang penting mereka perlu berhibur setelah penat bekerja dan mencari wang.

Kereta yang dipandu mula memasuki terowong. Apabila sahaja mereka melepasi pintu terowong, tiba tiba mata mereka semua diterpa oleh satu sinaran cahaya yang amat terang dan menyilaukan. Remy memejamkan mata dan menyilangkan tangan ke mukanya. Silauan cahaya yang memeritkan mata itu bertahan seketika sebelum hilang dan kembali gelap. Remy membuka matanya setelah sedar keadaan kembali ke sediakala.

Namun selepas membuka matanya, Remy kaget dan terpinga pinga. Dia terperasan sesuatu yang pelik di persekitarannya. Pada masa itu dia sedar yang dia sebenarnya sedang berdiri di tepi lebuh raya. Dia menggosok gosok matanya untuk memastikan perkara tersebut. Tidak cukup dengan itu pipinya ditampar dan dicubit beberapa kali. Dia mengaduh sakit akibat cubitan dan tamparan yang dilakukan olehnya sendiri. Mulutnya menyumpah seranah dirinya akibat kebodohannya menyakiti diri sendiri. Dia mencari kawan kawannya yang bersama samanya di dalam kereta tadi. Namun Remy hampa. Tiada kelibat mereka di mana mana dan di semua arah. Remy meraba poket seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbit. Setelah melihat di skrin telefonnya dia hampa kerana tiada liputan rangkaian. Dia melepaskan keluhan hampa sambil menyimpan semula telefonnya ke dalam poket seluar. Fikirannya hanya satu, mesti ini kerja prank oleh kawan kawannya dan tinggalkan dia dia di tepi lebuh raya tersebut. Remy cuma berharap agar kawan kawannya muncul dan mengambilnya kembali.

Remy memerhatikan sekeliling lebuh raya. Semuanya seperti lebuh raya biasa yang diterangi dengan cahaya lampu jalan bagi setiap beberapa meter. Namun setelah seketika dia terperasan akan sesuatu perkara. Setelah dua puluh minit dia berjalan di tepi lebuh raya tersebut dia pelik sebab tiada satu pun kenderaan yang melalui jalan itu. Amat berlainan sekali dengan lebuh raya yang selalunya tidak putus putus dilalui oleh kenderaan pelbagai jenis. Persoalan tersebut dibiarkan tanpa jawapan. Dia memeruskan perjalanan menelusuri tepian lebuh raya itu.

Setelah beberapa minit Remy berjalan dia melihat satu papan tanda menyatakan terdapat RnR atau persinggahan pada 500 meter di hadapan. Remy kembali bersemangat untuk melangkah. Dia melajukan langkah kakinya dengan berlari lari anak. Sehinggalah beberapa ketika kemudian dia sampai ke pintu keluar dari lebuh raya ke tempat rehat tersebut. Remy menghela nafas kelegaan dan berhenti seketika menghilangkan lelah. Dia melihat ada beberapa kenderaan di dalam kawasan meletak kenderaan RnR tersebut. Lantas dia memanjangkan leher mencari cari kereta kawannya.

Nun di kejauhan dia perasan kereta kawannya diletakkan di hadapan deretan kedai berdasarkan nombor plat yang biasa dilihat Remy. Remy tersenyum puas. “kali ni aku pulak prank korang.” katanya separuh berbisik. Remy melangkah masuk ke dalam RnR tersebut. Namun beberapa langkah dia berjalan, dia dipanggil oleh seorang lelaki tua.

“Wahai anak muda, ke sini nak.” ujar orang tua itu. Remy berhenti melangkah. Dia memusingkan badan ke arah orang tua itu. Orang tua itu lebih kurang sebaya atuknya di kampung dan berjanggut, berpakaian baju putih pagoda, berkain pelikat dan memakai ketayap. Remy bertanya siapakah gerangan orang tua itu. Namun orang tua itu hanya tersenyum. Reaksi orang tua itu amat menjengkelkan Remy. Tanpa menghiraukan orang tua itu dia berjalan semula menuju ke arah kereta kawannya.

Tiba tiba lengannya direnggut dan badannya ditarik ke belakang. Orang tua itu lantas memeluk badan Remy dari arah belakang dan memintanya bertenang. “Tempat kau bukan di sini, belum masanya lagi kau berhenti.” kata orang tua itu. Remy meronta cuba melepaskan diri namun pelukan dan genggaman orang tua itu amat kuat tidak sepadan dengan bentuk badannya yang kurus.

Remy menjerit, “lepaskan aku orang tua, aku nak jumpa kawan aku.” Namun orang tua itu hanya mendiamkan diri dan terus memeluknya. Sehinggalah seketika kemudian Remy telah menenangkan dirinya dan berhenti meronta. Orang tua itu memusingkan badan Remy berhadapan dengannya.

Dia memegang kedua dua bahu Remy dan bersuara. “Anak muda, kamu tidak boleh berhenti di sini, kamu masih ada lagi baki perjalananmu yang perlu kamu habiskan dengan baik dan sempurna.” Remy terdiam. “Tapi kawan kawan aku macamana.” tanya Remy. “Biarkan kawan kawanmu, mereka sudah sampai ke perhentian.” Jawapan dari orang tua itu semakin mengelirukan dan membingungkan Remy.

“Tapi…”. Tanpa sempat Remy bertanya dengan lebih lanjut sekali lagi matanya terasa perit diterkam kemasukan cahaya yang amat terang yang datang entah dari mana. Terdengar hingar bingar suara dari beberapa orang berpakaian putih. Remy cuba membuka matanya tapi terasa pedih dan sakit. Seluruh tubuh badannya kebas dan sakit sakit. Badannya dipenuhi dengan wayar dan tiub yang berselirat Dia cuba menggerakkan kakinya namun tidak mampu. Hanya kesakitan yang mencengkam tubuh badannya dirasakan buat masa itu. ” Pesakit dah sedar.” kata salah seorang dari mereka.

Seseorang menghampiri katil dan bertanyakan namanya. Setelah seketika termenung dengan tergagap gagap dia memberitahu namanya. Orang tersebut juga bertanyakan adakah Remy sedar dia di mana sekarang. Remy cuma menggelengkan kepalanya kebingungan. Tanpa banyak soal orang tersebut menyatakan bahawa Remy dan kawan kawannya terlibat dalam kemalangan sebelum masuk terowong dan dia adalah doktor yang merawatnya. Doktor tersebut juga memaklumkan bahawa ketiga tiga orang kawan Remy terkorban dalam kemalangan tersebut. Remy pula telah koma selama lebih satu minggu. Remy diam terkesima mendengar penjelasan doktor itu.

Remy dihadapkan ke mahkamah setelah pulih dari kecederaannya. Di dalam kereta yang dinaikinya bersama kawan kawannya terdapat sejumlah kecil dadah yang dibawa oleh kawannya untuk kegunaan sendiri. Pihak polis menemui beberapa paket serbuk dikenalpasti dadah di dalam beg pakaian salah seorang dari mereka. Setelah dibicarakan Remy dijatuhi hukuman penjara selama dua puluh lima tahun atas kesalahan pengedaran dadah.

Setahun kemudian.

Di dalam penjara Remy telah didedahkan dengan asas asas agama yang telah lama ditinggalkannya. Dia mula menyesali kesilapannya yang lalu. Dia mengikuti setiap kelas dan pengajian Alquran oleh ustaz dan guru yang mengajar. Remy berasa amat bertuah masih diberi peluang oleh Allah swt untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang diredhaiNya.

Seketika dia termenung tentang mimpinya semasa berada dalam koma. Orang tua di RnR menyatakan perjalanannya masih berbaki dan perlu disempurnakan. Pagi sebelumnya di dalam satu majlis usrah di kalangan banduan senasib dengannya dia mendengar ustaz membacakan satu hadis yang Remy rasakan ada kaitan dengan peristiwa yang berlaku padanya. Remy membandingkan isi pengajaran ustaz dan pesanan orang tua semasa dia di dalam koma. Perjalanannya masih berbaki dan perlu diisi dengan amalan baik dan diredhai oleh Allah. Kini Remy sedar akan kesilapannya sebelum ini dan berusaha memohon keampunan dan mempersiapkan dirinya menuju ke RnR atau perhentian pertama itu. Dia sedar semua manusia dan makhluk ciptaanNya akan kembali kepada Allah satu hari nanti.

Remy sudah menyedarinya, kita pula bagaimana?

Tamat.

Cerita RnR Pertama ini diinspirasikan dari pembacaan pembacaan penulis tentang alam kubur yang ternyata merupakan persinggahan yang pertama untuk ke alam akhirat. Cerita ini tiada kaitan dengan mereka yang hidup atau meninggal dunia, jika ada pun semuanya kebetulan.

Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya kubur ialah tempat persinggahan yang pertama alam akhirat, jika seseorang terselamat daripada azabnya, maka urusan selepas itu lebih mudah baginya, dan jika dia tidak terselamat daripada azabnya, maka urusannya selepas itu akan lebih sukar lagi.” Hadis Riwayat at Tirmidzi.

Marilah kita sama sama bermuhasabah diri menghitung dan mencongak amalan dan kekhilafan yang dilakukan secara sedar atau tidak. Tidak timbulkah persoalan tentang apa yang kita kumpulkan selama ini adakah mencukupi untuk kehidupan abadi di sana nanti? Tepuk dada tanya iman. Wallahualam.

Karya : WM Azli
Facebook : WM Azli

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

WM Azli

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 8 Average: 5]

1 thought on “RnR Pertama”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.