Rumah Mak Tok

Assalamualaikum semua, nama aku Adele. Hari ini, aku akan menceritakan kisah yang seram bagi aku. Bagi kalian semua yang sudah terbiasa membaca kisah seram, mungkin cerita ini tidaklah terlalu ekstrem sangat seramnya.

Kisah ini berlaku ketika aku berusia lapan tahun. Ya, masih bersekolah rendah. Sekarang umurku sudahpun mencecah 20 tahun. Setiap kali cuti sekolah, kami akan pulang ke kampung halaman buat 2 minggu. Setiap kali kami sekeluarga bermalam di rumah Mak Tok (nenek aku), pasti akan berlaku senario-senario yang agak ganjil. Terutamanya, kawasan dapur dan tandas.

Baiklah, ceritanya bermula di sini…

SITUASI PERTAMA
Ketika kami sudah sampai ke rumah Mak Tok sekitar pukul 1 pagi, kami pun mula menghampar tilam di ruangan tamu. Sebelum tidur sudah pastilah kena mandi dulu. Bau pun sudah masam.

Aku pun menggapai kain tuala dan pergi ke bilik mandi. Ketika aku mahu buka pintu bilik air, ternyata pintu itu berkunci. Lampu terbuka dan kedengaran bunyi air mencurah-curah.

Aku pun membatalkan dulu niatku untuk mandi. Yalah, fikirku ada oranglah di dalam bilik air kerana pintu pun berkunci. Jadi, aku pun pergi ke dapur dan mengisi air dalam cawan. Mahu minum air dulu sementara menunggu orang di dalam.

Tiba-tiba ibu aku datang dari ruang tamu, mahu ke bilik air. Aku tak terfikir pula mahu menyekat ibu ketika itu. sambil meneguk air, sambil tu juga menunggu kelibat ibuku berpatah balik. Tapi, tidak. Ibu aku tak berpatah balik pun.

Aku segera pergi ke bilik air. Pintu bilik air diketuk. “Ibu, ibu dalam tandas ke?” soalku.

“Ya, ibu dalam tandas. Ada apa?” balas ibuku pula.

Aku jadi bingung sebentar. Tidak pula aku nampak kelibat orang lain keluar tandas sebelum ibu. Esok paginya, aku segera ceritakan situasi tersebut kepada ibuku. Ibu sekadar gelak kecil mendengar ceritaku. “Kakak mamai sangat kut.” Itu saja ibu balas.

SITUASI KEDUA
Petang. Petanglah waktu sesuai untuk kanak-kanak bermain di luar kerana pada ketika itu cuaca tidaklah panas sangat dan agak berangin. Oleh itu, aku dan sepupu-sepupuku yang lain bercadang untuk memetik buah mangga di belakang rumah.

Ketika itu banyaklah ragam dan aksi yang dibuat untuk memetik buah mangga yang agak tinggi. Ketika sedang bergalak mahu menggapai mangga, aku perasan seperti ada orang yang memerhati di tingkap dapur. Aku hanya perasan sekilas pandang saja. Fikirku, mungkin ibu saudaraku yang memantau dan melihat kami. Aku pun memandang ke tingkap sekali lagi…

Eh, itu bukan ibu saudaraku mahupun ibuku sendiri. Aku tidak kenalpun siapa dia. Tiba-tiba dia senyum ke arahku. Senyumannya sangat manis dan cantik. Aku pun fikir, dia mungkin tetamu yang datang ke rumah Mak Tok. Aku bergegas menuju ke dalam rumah Mak Tok. Salah seorang sepupuku yang perasan aku, terus bertanya, “Eh, nak pergi mana?”

Maaflah aku terpaksa memulaukan sepupuku sebentar. Ketika aku masuk ke rumah, tiada pula tetamu yang kelihatan. Aku menjadi hairan. Aku pergi pula ke dapur. Perempuan yang melihat kami tadi juga tiada. Kemana perempuan tu pergi?

“Ibu, kakak yang datang rumah tadi mana?” soalku ingin kepastian. “Mana ada sesiapa yang datang. Petang-petang ni orang pergi tambat lembu, bagi makan lembu.” Jawab ibu aku tenang. Sambil hirup teh lagi. Hairan yang tadi menjadi bertambah.

SITUASI KETIGA (TERAKHIR)
Sebenarnya, banyak lagi situasi yang pelik-pelik berlaku di rumah Mak Tok, Cuma aku tak mahu panjangkan lagi kisah-kisah di sini. Nanti penat pula kalian membaca.

Pada malam-malam, biasalah kita pasti akan terasa mahu terkucil, ‘kan? Jadi, aku pun mahu pergi tandaslah kerana sudah serius sangat. Sudah masuk ke dalam tandas, aku pun melepaskan apa yang patutlah. Masa nak keluar tu, aku tak boleh buka pintu tandas seolah-olah ada orang mengunciku dari luar. Aku jadi cuak, tak tahu ingin buat apa sampailah aku menangis. Sempat aku dengar gelakkan sayup-sayup dari luar pintu tandas.

Aku sudah rasa yang ini kerja sepupu aku. “Tunggu kau. Aku keluar je, aku terus bantai kau!” Jeritku sekuat hati. Geram. Geram teramat sangat. Sudahlah kunci pintu tandas dari luar, main tutup buka lampu pula. Perasaan amarah aku menjadi membuak-buak.

Setelah 10 minit bersusah payah dalam tandas, akhirnya pintu tandas berjaya dibuka. Aku pun sudah bersiap sedia membantai siapa gerangan yang mengunci aku dari luar.

Sesampainya aku di ruang tamu, ternyata semua orang sedang tidur nyenyak. “Tak usah pura-pura tidurlah, siapa yang tak bagi aku keluar tandas tadi? Siap main tutup buka lampu pula tu!” Bentak aku. Tiada jawapan. Aku melihat satu persatu muka yang tidur, manalah tahu ada yang matanya berkedip-kedip. Tiada. Tiada pun yang berpura-pura tidur.

Aku memandang jam. Jam menunjukkan pukul 3 pagi. Aku jadi bingung sebentar. Pukul 3 pagi mana ada orang bangun. Jadi, aku terus pergi ke arah ibuku dan tidur di situ sampailah pagi. Aku tak berani nak ceritakan kisahku yang ini kepada adik-adik aku, bimbang nanti aku diminta teman mereka ke tandas pukul 2,3 pagi.

Itu sahaja cerita aku. Ya, tak seram langsung. Aku faham. tapi bagi aku, itu sudah cukup seram. Sekarang Mak Tok dah tak tinggal di situ lagi. Dia dah ada rumah baru yang ada lagi ramai jiran dan rumah itu tidaklah kelihatan usang walaupun sudah duduk di situ bertahun-tahun. Assalamualaikum.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 4.5]
Adlyna Afza

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.