Rumah sewa berpuaka.
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca FS. Selama ni aku setia sebagai silent reader. Baru sekarang tergerak hati untuk berkongsi kisah sendiri. Terima kasih pada admin kerana sudi siarkan cerita aku.
Nama aku Suri. Aku nak berkongsi cerita tentang rumah sewa yang pernah kami sekeluarga duduki untuk beberapa tahun. Masa ni umur aku belasan tahun (sekolah menengah). Kami tinggal di sini dari tahun 1997 – 2000 kalau tak salah. Gangguan di rumah sewa ni agak ekstrem bagi aku kalau di bandingkan dengan pengalaman aku sebelum ini…
Aku akan bercerita mengikut turutan. Dari pengalaman awal di rumah ini dan seterusnya. Maaf jika ada kekurangan dari segi penulisan. Aku tak pandai nak mengarang. Kalau boleh lukis, dah lama aku lukis.
Cerita 1 – Langsir
Malam tu seperti kebiasaan, keluarga aku tidur awal. Aku seorang saja yang selalu tidur lewat sebab sibuk baca komik, novel dan yang seangkatan dengannya. Hidup tanpa gajet. Walkman pun aku tak ada. Aku dari keluarga sederhana saja. Aku ajar diri aku untuk tidak terlalu meminta.
Sambung cerita. Bila dah puas dengan hal dunia, sampai masa selesaikan urusan dengan Yang Esa pula. Selesai solat isyak. Aku masih duduk atas sejadah. Pandangan aku mengarah ke tingkap nako yang bertutup langsir. Tak ada angin atau apa, tiba-tiba langsir tingkap bilik aku bergerak ke tepi seperti ditarik sesuatu. Berkerut dahi aku. Seingat aku, aku dah tutup tingkap. Aku bangun untuk lihat lebih dekat. Memang jelas langsir aku di tarik dari luar tingkap.
Aku rentap kain langsir dari terus ditarik. Kemudian aku selak langsir dan buka tingkap. Apa aku nampak? Tak ada apa. Gelap gelita. Aku tutup tingkap dan keluar bilik untuk kejutkan ayah aku. Aku cerita pada ayah aku. Ayah aku keluar menyuluh di luar, juga tiada apa kecuali tanah lapang bersemak yang gelap gelita.
Bila aku masuk bilik baru aku terfikir, mana mungkin jari boleh muat untuk masuk celah tingkap nako yang sempit. Kalau guna sesuatu yang tirus mungkin boleh. Atau kuku yang panjang. Aku dah mula fikir bukan-bukan. Malas fikir banyak, aku pun tidur. ( Tak fikir langsung tentang rasa takut masa buka tingkap tu. Mujurlah tak nampak apa.)
Esoknya ayah aku letak zink ditepi rumah. Logiknya, agar berbunyi jika ada orang pijak.
Cerita 2 – Bayang
Selepas kejadian langsir tu, tiada lagi kejadian aneh yang berlaku untuk seketika. Tapi dia taknak bagi aku hidup aman lama sangat. Risau aku lupakan dia agaknya.
Pada satu malam, seperti biasa aku tidur lewat. Hari tu entah kenapa aku tak tutup langsir. Sedang leka membaca komik, mata aku terpandang tingkap.
Ada sesusuk bayang putih melintas perlahan di luar tingkap. Perlahan seperti sengaja nak tayang diri. Melompat aku bangun dari katil. Aku diam tak bersuara, hanya berdiri memerhati bayang tu berlalu. Bila dah hilang, baru aku tutup langsir. Tapi hari tu aku tak gila untuk buka tingkap sebab aku yakin itu bukan manusia. Ingat tak zink yang ayah aku letak tepi rumah? Langsung tiada bunyi di pijak. Bayang tadi tu melayang bukan berjalan.
Esoknya aku cerita pada mak aku. Aku tak ingat respon mak aku macamana. Hahaha
Cerita 3 – Pintu
Hari tu kalau di ikutkan sama sahaja seperti hari-hari sebelumnya. Tiada apa yang aneh pun. Hampir sempurna tapi entahlah. Dah tertulis malam harinya, aku akan diganggu.
Aku dengan rutin aku. Siap kerja sekolah aku, aku akan layan komik dan novel berjam-jam. Malam adalah masa aku. Kononnya tenang tanpa gangguan. Tapi ketenangan tu tak lama. Tiba-tiba tombol pintu digoyang seperti ada yang cuba untuk membukanya. Aku nampak tombol tu digoyang dengan kasar. Makin lama makin rakus. Aku bangun dari katil, aku terus duduk bersandar menahan pintu. Jantung aku macam nak terkeluar. Peluh perempuan dah mula muncul.
Tak cukup dengan itu, pintu bilik pula mula dicakar. Dicakar-cakar dari atas ke bawah berulang kali. Tombol pintu digegar. Aku tak mampu nak menjerit sebab terlampau terkejut dan takut. Peluh menitik-nitik. Aku berdoa agar gangguan tu berakhir. Apa saja ayat suci yang aku ingat aku baca. Betul atau salah itu belakang cerita.
Dalam beberapa minit, gangguan semakin reda dan beransur hilang. Aku ambil masa untuk tenangkan diri sebentar sebelum aku gagahkan diri untuk bangun. Rasa longgar kepala lutut. Menggigil tangan. Dengan bacaan bismillah aku buka pintu. Allahu. Terkejut aku sebab rumah aku gelap gelita. Selalunya mak aku akan biarkan lampu dapur menyala. Mujurlah tiada apa yang aku nampak.
Aku tak berani nak keluar. Aku terus tutup pintu dan sedia untuk tidur. Lampu bilik aku biarkan menyala. Esoknya aku periksa pintu, tiada sebarang kesan cakaran. Pelik kan?. Aku tanya mak aku. Ada main pintu bilik kakak ke malam tadi? Hahaha. (Soalan apa aku tanya ni?!) Mak aku cakap mana ada. Jadi aku malas nak panjangkan cerita.
(Aku anak sulung dan ada 4 adik. Masa ni yang bongsu belum lahir. Seorang adik OKU. Boleh bercakap dan makan sendiri. Cuma perlu bantuan bab menguruskan diri. Jadi aku jarang bercerita dengan mak aku hal yang tak penting sebab malas nak bebankan dia. Aku banyak pendam dan uruskan sendiri.)
Cerita 4 – Memerhati
Malam tu kami sekeluarga tidur di ruang tamu. Aku rasa sebab kami dapat ahli keluarga baru. Rumah sewa kami tak besar. Aku tidur atas sofa. Yang lain tidur di lantai. (Mak aku tepi sekali diikuti dengan adik no 4, no 3, no 2, ayah dan adik no 1 yang istimewa. Kaki mereka mengarah ke sofa yang aku tidur.) Boleh bayangkan tak?
Malam tu aku pun ikut tidur awal. Tapi aku kalau tidur awal, pukul 2-3 pagi mesti aku terjaga. Tabiat ni kekal hingga sekarang.
Sambung cerita. Bila dah terjaga. Mestilah aku buka mata. Aku suka perhati orang tidur. Nak tengok mana tau kalau ada yang tak berselimut ke apa, boleh aku selimutkan. Tabiat ni juga kekal hingga sekarang.
Tapi dalam samar-samar, aku nampak sesusuk tubuh berbaju putih berdiri di hujung kepala mak aku. Dia lebih awal memerhati mereka semua tidur. Berderau d***h aku, terasa panas muka. Perlahan-lahan aku pusingkan badan menghadap dinding. Aku pejam mata dan paksa diri untuk tidur. Aku tertidur. Dan esoknya aku bangun macam tiada apa berlaku. Aku tak cerita pada mak ayah aku sebab tak mahu mereka risau.
Sampai sini sahaja buat masa ini. Masih ada beberapa kisah untuk di kongsi. Inshaallah, jika berkesempatan dan ada kelapangan aku akan cerita lagi.
Wassalam.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI