Assalamualaikum…. Berjumpa lagi untuk kisah yang kedua, aku masih akan menceritakan sebahagian dari pengalaman yang pernah aku alami dulu.
Oleh: Mohd NurSalim
“Rumah Tepi Plaza Tol”
Kisah ini berlaku semasa aku sekeluarga balik kampung di Perak sewaktu cuti sekolah ke rumah Tok Mama (arwah). Untuk pengetahuan, Tok Mama (arwah) adalah mak kepada Abah aku. Kampung aku tak seperti kampung yang lain sebab Tok Mama (arwah) tinggal di kawasan perumahan kos rendah di satu taman lama.
Bila balik ke sana, sudah pastinya riuh rendah dengan suara cucu-cucu, anak menantu dari ruang tamu hinggalah ke bahagian dapur.
Bayangkan adik beradik Abah aku ada 5 orang kesemuanya, jadi ada 5 keluarga dalam rumah Tok Mama (arwah) aku waktu tu.
Cerita ini bukanlah tentang rumah Tok Mama (arwah) aku. Ini kisah sebuah rumah yang berada di bersebelahan dengan Plaza Tol di Perak ini. Nama tempat biarlah rahsia, yang pastinya bersebelahan dengan Plaza Tol.
Jika pulang beramai-ramai ke Perak, sudah pastinya akan ada hari untuk kami semua rancang untuk pergi beriadah seperti mandi sungai sambil berkelah. Ada satu tempat yang agak menarik dan unik di kawasan sungai ini. Memang airnya sejuk dan sangat sesuai untuk hari keluarga berkumpul. Apa yang uniknya, ada sebuah perigi air panas di tepi sungai tersebut semula jadi. Jadi dapat rasa dua suhu air, sejuk atau panas boleh pilih.
Malam sebelum esoknya kami semua pergi ke sungai tersebut, seperti biasa bila dah lama tak berjumpa, sudah pasti akan becerita panjang sampai lewat malam. Tok Mama (arwah) tidak terlepas dengan cerita-cerita ‘momoknya’ yang akan jadi bualan utama.
Tok Mama (arwah) menceritakan ada sebuah rumah yang bersebelahan dengan satu Plaza Tol di Perak sangat berhantu dan agak kecoh kisahnya di kawasan tersebut. Di katakan rumah kampung 2 tingkat yang di perbuat dari kayu itu sudah lama tidak berpenghuni. Apa yang peliknya, bila tiba waktu malam lampu di sebuah bilik atas akan menyala. Tingkap biliknya akan terbuka. Ada seorang wanita sedang menyisir rambutnya yang panjang menggunakan jari tangannya sambil merenung ke arah Plaza Tol. Lebih menyeramkan lagi, sambil menyisir rambutnya, dia akan melambai-lambaikan tangannya melalui tingkap memanggil pekerja Plaza Tol yang bertugas pada waktu malam.
Ini memang benar-benar berlaku pada pekerja Plaza Tol berkenaan sehinggakan ada yang tak sanggup bekerja pada shif malam lagi terutamanya golongan wanita. Di katakan lagi, ada juga penyewa yang baru masuk rumah berkenaan, tak sampai 1 hingga 2 hari pasti lari keluar sebab tak tahan sering di ganggu. Bila kita berada di atas, ‘dia’ buat kerja di bawah. Bila kita berada di bawah, ‘dia’ buat kerja di atas. Kita buka lampu, dia tutupkan lampu. Kita nak tidur, dia buka air seperti sedang mandi sambil cebok gayung. Di dapur seperti ada yang sedang buat kerja rumah. Begitah cerita yang sering orang tempatan sampaikan dari mulut ke mulut.
Hari yang di nanti telahpun tiba. Kami semua bergerak secara konvoi beramai-rami ke sungai berkenaan. Setelah puas bermandi-manda, hari hampir gelap. Selepas asar kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah Tok Mama (arwah). Kawasan sungai agak jauh kedalam, jauh dari sebarang kampung. Untuk keluar dari kawasan tu mengambil masa lebih kurang 30-40 minit juga perjalanan.
Waktu maghrib hampir tiba. Setelah keluar dari kawasan berkenaan. Kebetulan memang akan lalu di hadapan rumah yang di katakan berhantu itu. Kebetulan waktu tu aku menaiki kereta bersama dengan Tok Mama (arwah) di sebelah aku di bahagian belakang penumpang. Bila hampir nak sampai di hadapan rumah tersebut, Tok Mama (arwah) tanpa sengaja ‘menegur’ dengan memuncungkan mulutnya ke arah kiri cermin pintu kereta;
“Haa ni la rumah yang Tok Mama cerita kat hampa semalam tu!” kata Tok Mama (arwah) sambil memuncungkan mulutnya ke arah rumah berkenaan.
Dengan secara tiba-tiba;
“Pranggggggg!!!….” seperti ada sesuatu benda jatuh di atas bumbung kereta. Agak kuat bunyinya. Yang pasti dari atas bumbung kereta datang bunyi tu.
Aku dengan pantas pusing ke arah cermin besar belakang kereta cuba lihat jika ada benda atau barang yang jatuh atas bumbung kereta tadi terjatuh atas jalan raya.
Pelik! sangat pelik, memang tak ada benda atau barang yang jatuh atau tertinggal. Bila tibanya di rumah, kami memeriksa atas bumbung kereta jika ada kesan calar atau lekuk yang jadi, sebab bunyinya sangat kuat san mengejutakan kami satu kereta. Sah! memang tak ada langsung kesan apa yang terbentuk!.
Tok Mama (arwah) aku dengan muka selamba senyum sinis berkata;
“Dia marah la tu aku tegoq pasal rumah ‘dia’, tu yang dia ‘punggai’ atas kereta tu!” katanya sambil tersenyum.
Itu memang jelas yang aku dengar kuat bunyi ‘benda’ tu jatuh atas bumbung kereta. Setelah Tok Mama (arwah) dah kembali ke Rahmatullah, dah lama tak balik ke Perak. Kali terakhir aku lalu di Plaza Tol tu, rumah itu masih berdiri utuh di sebelah Plaza Tol. Aku tak pasti masih ada ‘penghuni’ atau tidak.
Itulah kejadian yang pelik berlaku di hadapan rumah itu. Berteka-tekilah para pembaca semua Plaza Tol manakah yang di maksudkan.
Aku percaya rumah berkenaan masih lagi ada sampai sekarang.
Sekian dulu dari aku. Hingga berjumpa di kisah yang lain. Terima kasih.
#AkuBudakPenang
#RumahSebelahPlazaTol
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
ouh tahu sgt rumah mana satu hahaha. mmg tiap kali lalu mesti kosong. selalu tertanya jgk kenapa dibiar kosong sedangkan sebelah tol n mmg senang utk org nampak.