Saka Buaya

Assalamualaikum. Hai, saya Liz. Hati saya terdetik untuk menceritakan pengalaman yang agak seram bagi saya selepas saya menonton satu channel Youtube yang menceritakan lima tempat paling seram di Pulau Pinang baru- baru ini. Salah satu tempat yang diceritakan ialah Jambatan Pulau Pinang yang mana mengisahkan wujudnya buaya putih yang dikatakan sebagai penunggu di jambatan itu…

Bagaimana semua ini berhubung kait? Mari saya ceritakan. Semasa saya menuntut di sebuah IPTA di sana dalam tahun 2008 (kalau tidak seingat saya), saya menginap sebilik dengan Gee. Gee seorang gadis yang berasal dari Naning dan sangat sopan dan lemah lembut orangnya. Saya dan Gee berlainan course dan jarang- jarang berjumpa. Kalau berjumpa pun sebelah malam atau kalau masing- masing tak ada kelas hari itu.

Saya tidak begitu mengenali Gee sebab saya pun baru sahaja duduk sebilik dengannya. Tetapi dari cakap- cakap student yang satu course dengannya sebelum ini Gee akan mengambil bilik single dan dia lebih senang duduk sorang- sorang. Saya hanya buat tak tahu sahajalah sebab saya bukannya memilih sangat siapa roommate saya. Asalkan ada teman sudahlah. Gee pun macam tak kisah kalau saya sebilik dengannya. Kira okeylah tu kan?

Tetapi, Gee pernah bertanya sesuatu pada saya. Hari itu weekend. Masing- masing malas nak keluar so lepak sajalah dalam bilik. Gee bertanya pada saya. “Kau ada ‘kawan’ kan”, dia tanya saya. Saya tengok dia. Pelik juga. Rasa saya tidak ada sesiapa pun yang tahu saya ada ‘kawan’ yang orang lain tidak boleh tengok ni. Macam mana saya boleh ada ‘kawan’ ni? Kalau ada kesempatan lagi, saya akan ceritakan. Kita sambung balik.

Saya tengok Gee. “Aku memang ada ramai kawan. Kawan yang mana satu?”, saja saya buat- buat tak tahu. Dia hanya tersenyum. “Aku tahu kau faham ‘kawan’ yang mana.” Kemudian, dia sambung lagi. “Aku pun ada juga. Tapi, aku cerita dekat kau sorang saja tau. Kawan- kawan aku semua tak tahu pasal ni.” Sudah, seram sejuk dah saya rasa ni. Tapi saya diam saja. Saya tunggu dia sambung cerita. Mungkin disebabkan saya dan dia ada persamaan, dia pun bukalah cerita mengenai diri dia yang memang tak ada sesiapa pun yang tahu melainkan saya.

Gee beritahu saya yang keluarganya ada memiliki dua jenis saka iaitu saka buaya dan saka harimau. Tapi yang ada pada Gee sekarang saka buaya. Saya terdiam. Tak tahulah nak seronok ke nak lari beritahu pihak pengurusan minta tukar bilik lain. Tapi, saya redha saja. Gee terus sambung cerita dia lagi. Dia cakap setiap kali bulan mengambang penuh, keluarga dia akan ‘menjamu’ saka itu dengan menghanyutkan ‘jamuan’ itu dalam upih pinang menghala ke Pulau Besar. ‘Jamuan’ itu saya tak pasti dalam bentuk apa. Kemudian, akan ada jelmaan seperti buaya berenang ke arah upih itu dan akan membaham ‘jamuan’ itu. Wallahualam…saya pun tak pasti betul ke tidak apa yang Gee ceritakan kepada saya. Tapi, yang saya terkesan sampai sekarang ni ialah pesanan Gee. Saya ingat sampai sekarang. Dia pesan pada saya. “Liz, kalau ada apa- apa yang pelik berlaku dekat aku, kau tolong ambil minyak wangi aku dan kau siram aku. Ingat tau.” Memang itu yang saya ingat sampai sekarang walaupun dah lama perkara ini berlaku.

Dan, perkara yang seboleh- bolehnya saya ingin elakkan telah berlaku. Seingat saya, pada malam kejadian itu, Gee beritahu saya yang dia hendak pergi ke bilik kawannya di tingkat paling bawah. Senang cerita underground. Disebabkan hostel kami terletak di kawasan berbukit, ada bilik yang di bina di tingkat paling bawah sekali. Jadi, kalau hendak ke bilik kawan Gee ni kena turun bawah lagi dari tingkat bawah. Macam kita parking kereta dekat atas tanah dan kita kena berjalan turun ke bawah tanah. Harap- harap korang faham penerangan saya ni. Okey, sambung balik. Saya pun okey saja dia nak pergi study dekat bilik kawan dia. Lepas saja Gee keluar, tidak lama selepas itu saya pun tertidur.

Dalam pukul 2 pagi macam tu, kawan Gee telefon saya. Saya dengan mamai angkat panggilan kawan Gee. Saya macam nak marah jugalah sebab kacau saya tengah tidur. Tapi, bila kawan Gee sebut, “Liz, tolong aku. Gee tengah merangkak dalam bilik aku ni.”, terus celik mata saya. Saya suruh dia bertenang dan baca Ayatul Kursi serta surah- surah lazim. Otak saya macam automatic recall apa yang Gee pernah pesan pada saya. Saya terus ambil minyak wangi Gee dan terus pergi ke bilik kawan Gee. Masa itu, saya memang tak ingat dah suasana dekat luar gelap ke apa. Yang saya tahu saya kena sampai dekat sana secepat mungkin.

And, guess what apa yang saya nampak masa saya buka pintu bilik kawan Gee? Saya nampak Gee tengah merangkak sambil pandang saya. Betul- betul depan saya. Keadaan Gee masa itu memang serupa dengan buaya. Saya tergamam tidak tahu nak cakap apa. Gee sengih tengok saya. “Liz, datang pun kau. Dah lama aku tunggu.”, dia merangkak menghampiri saya. Saya pandang saja Gee merangkak dekat saya. Kawan- kawan Gee yang lain sudah diam membisu atas katil. Masing- masing ketakutan tengok kawan mereka macam tu. Saya cakap dengan Gee. “Kenapa kau buat macam ni? Kesian kawan- kawan kau tu. Dah, aku tuang minyak wangi ni ya.”, lepas itu terus saya tuang minyak wangi tu atas badan dia. Memang habis sebotol minyak wangi Avon tu saya tuang.

Lepas saya tuang minyak wangi tu, tiba- tiba Gee rebah tidak sedarkan diri. Saya suruh kawan- kawannya segera angkat Gee letak atas katil. Saya minta mereka tengok- tengokkan dia dan kalau ada apa- apa nanti telefon saya. Lepas itu, saya terus balik bilik.

Esoknya, bila saya balik dari kelas, saya tengok Gee tengah tidur atas katil dia. Saya pun malas hendak ganggu dia. Saya cuma sentuh dahi dia dan rasa panas. Demam. Tiba- tiba, Gee cakap dengan saya yang dia akan balik kampung malam itu. Saya cakap dia demam dan minta dia cancel tiket bas dia. Tapi, Gee tetap nak balik kampung sebab keluarga dia suruh dia balik lepas apa yang jadi semalam. Saya diam sajalah.

Malam itu, Gee tetap juga balik kampung. Saya tidak dapat menghantarnya sebab saya ada group discussion malam itu. Tetapi, sebaik saja saya sampai di bilik, Gee telefon saya. Dia cakap, “Liz, ada buaya berenang dekat sebelah jambatan ni. Besar.”, bisiknya perlahan. Saya terkedu. Tak tahu nak cakap apa. Gee sambung lagi. “Lampu dalam bas ni sekejap nyala sekejap terpadam, Liz. Hujan pula tu dekat luar. Sejuk.” Saya memang meremang habis. Saya cuma cakap itu semua hanya khayalan dia walaupun saya macam yakin apa yang Gee cakap.

Lepas saya graduate, saya sudah tidak jumpa lagi dengan Gee. Masing- masing sibuk dengan kehidupan masing- masing. Sampailah saya tertengok channel Youtube yang menceritakan buaya yang dikatakan penunggu di Jambatan Pulau Pinang. Saya terfikir. Ini ke buaya yang Gee ceritakan pada saya malam tu?

Itulah pengalaman yang agak seram bagi saya. Ada beberapa lagi kisah saya dengan Gee. Kalau ada kesempatan lagi, saya ceritakan. Okey, bye… Assalamualaikum…

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Liz

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 19 Average: 4.6]

1 thought on “Saka Buaya”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.