Sakat Malam

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Terima kasih, FS andai sudi menyiarkan kisah ni. Nama aku Fatin. Aku tak pasti kisah aku ni seram atau pun tidak dan kisah aku agak panjang sebab aku tak reti nak pendekkan.

Aku merupakan anak yang ke-3 dari empat beradik. Setiap adik beradik aku ada kelebihan masing-masing. Aku, walau bagaimanapun, kelebihan aku ke arah yang berbeza. Mata aku sebelum ni tak pernah pun nampak makhluk alam ghaib dan aku sendiri tak tahu sejak bila ada kelebihan ni yang pada aku sangat mengganggu aktiviti harian aku sehingga sekarang.

Bermula dari tingkatan 1, bermula kisah aku kerap diganggu makhluk alam ghaib. Paling kerap terjumpa, hantu pocong, pontianak, ‘fireball’ dan jin berbulu hitam. Ini kisah aku sewaktu aku sekolah menengah.

Kisah Hantu Pocong

Aku merupakan pelajar sekolah asrama harian di sesebuah negeri. Pada suatu malam, aku terjaga dari tidur kerana ingin ke tandas dan ketika itu tu jam menunjukkan hampir 12 tengah malam dan lampu di setiap dorm dah pun ditutup.

Aku gagahkan kaki pergi ke tandas di level yang aku duduk. Waktu melepaskan hajat, aku tak rasa apa-apa. Tapi, lepas keluar dari tandas, hati aku tergerak nak tengok surau asrama. Aku perasan lampu surau tu buka tutup buka tutup. Aku ingatkan ada senior lelaki main lampu surau, memandangkan diorang memang suka mengusik pelajar junior, jadi aku pun balik dorm aku.

Tapi malang nasib aku, mata aku terarah pada tangga. Aku nampak ada seekor hantu pocong pandang aku. Jantung dah pam d***h kalah waktu lumba lari. Aku punya takut, nauzubillah min zalik. Aku tak fikir apa-apa dan terus lari dari situ balik dorm. Aku rasa nak nangis. Habis semua ayat pendinding aku lupa sebab takut yang teramat.

Waktu sampai dekat dorm, aku terus baring dan tutup muka guna selimut. Masa ni aku baru perasan bau bilik busuk sangat-sangat. Aku rasa nak muntah bila ada bau busuk yang mengalahkan bau bangkai sebelah aku. Aku tak berani nak tengok dan aku tak berani nak tidur. Aku cuma pejam mata dan nangis sambil istighfar semoga subuh cepat sampai.

Subuh tu, dorm aku jadi bising sangat-sangat sebab bau busuk yang teramat. Baju sekolah aku yang paling busuk. Aku tak tahu nak mengadu kat siapa. Akhirnya, ketua warden asrama, Cikgu Amri panggil aku ke bilik beliau. Sudahlah ketua warden, guru disiplin pula tu.

Sesampai di bilik beliau, beliau bertanya, “Kamu okay tak?” soalan yang tak disangka-sangka ditanya.
“Baik je cikgu. Kenapa cikgu panggil saya?” tanyaku.
“Nak cakap pasal kecoh pagi tadi. Saya tahu kamu kene sakat, kan? Dari tadi saya nampak dia ikut je belakang kamu.” Allahu. Terasa nak berhenti jantung aku.
“Dia saja ikut kamu. Nanti dia hilanglah tu. Tapi, banyak-banyakkan baca ayat pendinding dan ayat ruqyah. Biar dia pergi cepat sikit.” Aku hanya mengangguk lemah.

Aku ambil pesanan beliau sebab beliau merupakan orang lama di sekolah tersebut dan tahu kisah-kisah seram lain yang berlaku di sekolah tersebut. Setiap kali lepas solat aku amalkan bacaan 3 Qul dan ayat Kursi. Walaupun ‘diorang’ tak kacau aku secara direct waktu ni, aku masih nampak pocong tu main lompat-lompat di kawasan tanah lapang hadapan asrama. Aku alami masalah ni sampai akhir tahun dan tahun berikutnya aku takut nak duduk asrama.

Namun, langit tak semestinya cerah. Waktu aku tingkatan 3, aku dah habis PMR waktu ni dan ikut rombongan ke Kuala Lumpur. Malam sebelum kitorang gerak ke KL, kitorang ditempatkan di asrama sekolah. Aku dan kawan karib aku, Aisyah, mula membuka kisah seram di sekolah dan asrama tersebut. Seramai 6 orang yang follow kitorang sambil cerita kisah seram masing-masing yang entah betul atau tidak.

Sampai satu tahap, ada seorang daripada kami, yang aku tak kenal siapa tapi Aisyah kenal dia, dia buat ujian cabaran untuk lalu di tangga sepi yang sememangnya tiada sesipa yang berani lalu di tangga tersebut walaupun hari siang. Tangga tersebut di rantai dan mangga, malah, rantai serta mangganya juga dah berkarat.

Kami berenam lalu di tangga tersebut tepat jam 12 tengah malam, Jumaat malam Sabtu. Kami berjalan serentak. Malam tak berbaur, lagi sekali aku disapa hantu pocong. Dia berdiri betul-betul di hadapan aku dan memandang aku. Kain kafannya tidak dibalut penuh dan aku ternampak badannya. Baunya yang sangat ‘harum’ itu ditegur oleh kawan aku. Aku tak tunggu lama, terus tarik tangan Aisyah dan lari penjat tangga selaju yang mungkin. Sewaktu sampai dibilik dan sedang menghilangkan lelah, Aisyah menyoal aku kenapa. Namun, aku hanya menggelengkan kepala dan memeluknya erat, memohon kekuatan singgah di hati aku. Lagi empat orang yang ikut tu, aku tak tahu apa yang berlaku pada mereka malam tu. Yang aku ingat, aku kena maki sebab tinggalkan diorang di tangga tersebut keesokkan harinya.

Sekian dulu untuk  kali ini. Ada masa kita ketemu lagi untuk kisah-kisah seram seterusnya. Terima kasih sebab sudi baca.

Fatin Z

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

1 thought on “Sakat Malam”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.