SAKIT SELEPAS BERSALIN A.K.A MERUYAN

Assalamualaikum dan thank you admin kalau-kalau cerita ni disiarkan. Maafkan saya jika bahasa saya ni ada yang tersingkat atau kurang difahami, maklumlah pertama kali menulis. Tak seram pun cuma sesuai dijadikan pengajaran untuk ibu dan bakal-bakal ibu untuk sentiasa tegas dari segala aspek diri mahupun anak….

Perkara ini dialami oleh saya sendiri dan tak ada berkaitan dengan siapa-siapa ya. Kalau tersama mungkin kebetulan. Dan terpulanglah nak percaya atau tidak. Al maklumlah zaman sekarang adat-adat selepas bersalin ni semakin dilupakan dek kerana zaman yang pesat membangun. Selamat membaca…

Ketika ini saya berada di bumi kenyalang, dan suami di Kedah. Dengan keadaan masa kini yang zaman melawan covid-19, agak sukar untuk bersalin dan berpantang di negeri orang. Maka, dengan berat hati, tinggallah saya di bumi kenyalang bersama ibu saya. Ibu saya seorang yang berkerjaya, oleh sebab itu, sukarlah menjaga saya yang tengah sarat mengandung ketika itu. Tak dinafikan, memang agak tertekan dalam situasi mengandung, berjauhan lagi dengan suami tercinta, dengan serba salahnya macam-macam pantang orang mengandung ni. Tak boleh itu ini. Dalam keadaan tinggal dengan ibu sendiri pun saya tertekan kerana dalam sarat mengandung disoal kenapa asyik berehat dan pemalas. Tak masak dan bersihkan rumah. Bukan terasa malas, tapi dengan perut yang memboyot dan sarat, memang agak sukar dan sakit untuk membuat kerja-kerja tersebut. Sudahlah rumah dua tingkat. Disini memang bermula episod tertekan dan stress.

Bila suami cadangkan tinggal dirumah mertua, saya rela sahaja kerana situ sahaja agak dapat berehat dan adik ipar pun selalu membantu. Jadi dapatlah berehat sedikit. Masalahnya, sudah tentu kita kurang selesa, tahu sajalah, macam tak selesa pulak goyang kaki dirumah orang. Walaupun mertua sendiri. Keadaan ini yang mendesak bapa saya untuk menyuruh saya pulang saja ke rumah ibu. Pendek kata, memang stress, sekejap ke sana, sekejap ke sini dengan sarat mengandung. Susah untuk digambarkan perasaan tertekan itu dek kerana menjaga perasaan orang sekeliling. Dengan berjauhan lagi dari suami, memang sentiasa menangis lah jawapnya.

Maka, baliklah saya kembali ke rumah ibu saya sendiri atas desakan bapa saya tadi. Hampir kemurungan saya ketika itu kerana pelbagai desakan yang saya terima. Memang terasa nak b***h diri kerana tertekan. Tapi mengenangkan anak yang tak berdosa di dalam kandungan ini, saya cuba bertahan dan sabar meskipun Allah saja yang tahu hati ini.

Selang 2 minggu, hari hendak melahirkan hampir tiba. Dalam mengalami stress yang berpanjangan, tiba-tiba gerakan janin berkurangan. Hati sudah risau bagai nak rak, tapi ibu sedang bekerja. Kalau boleh nak pergi hospital waktu itu juga. Dengan penuh kebimbangan, saya menelefon ibu. Ibu hanya mengatakan bayi sedang tidur dalam perut, sebab tu lah tak bergerak. Nanti bergeraklah tu. Namun naluri saya sangat kuat mengatakan sesuatu akan berlaku. Dengan tangisan dan ketakutan, saya merayu dengan ibu supaya dapat menghantar saya ke hospital. Itu pun selepas hampir 2 jam menunggu di rumah. Saya sendiri dapat memandu sebenarnya. Tetapi, sesiapa yang berada di sini tahu sajalah hospital sedang dalam pembinaan bangunan baru. Maka, memang tiada ruang untuk parking. Adapun, memang sangat jauh dan dalam keadaan saya yang cemas dan risau itu, memang tak dapat berfikir dengan baik. Nak disuruh adik, adik belum mahir memandu. Maka, menunggulah ibu sehingga sampai.

Setelah ibu sampai, terus kami ke hospital. Disana saya berasa amat lega dan setelah confirm, terus admit ward. Setelah doktor membuat pemeriksaan, sah memang dah pintu rahim dh terbuka 1cm. Jadi tinggallah saya di ward yang berpenghuni 3 orang sebilik itu. Malam itu juga, ketuban saya pecah dan sakit semakin kerap. Masalah tiba apabila saya terminum air selusuh berupa akar sebanyak 2 botol tanpa membuat research terlebih dulu tapi mendengar sahaja usul orang-orang tua. Rupa-rupanya, sakit tersebut menjadi luar biasa sakitnya.

Setelah lebih 24jam air ketuban pecah tapi pintu rahim masih stay 1cm, apa lagi doktor mencadangkan induce( masuk ubat paksa bersalin), menjadi-jadilah sakitnya. Dapat saya rasa memang suara saya saja yang menjerit panik di labour room tersebut kerana kesakitan yang luar biasa. Dalam keadaan genting tersebut, segala macam painkiller memang saya sign sajalah dek kerana sakit yang macam diambang kematian itu. Setelah dimasukkan epidural, barulah lega sikit walaupun memang bersalin sudah tentunya sakit. Keadaan selepas stress dan bertimpa-timpa dengan kesakitan yang saya langsung tidak jangka itu, memburukkan emosi sedia ada. Mujurlah semuanya selamat dan saya telah melahirkan bayi perempuan yang comel walaupun tumpah d***h sedikit.

Setelah 2 hari di warded, akhirnya saya dibenarkan pulang ke rumah. Episod mengerikan pun bermula. Dalam keadaan sakit dan stress lama tambahan lagi bayi yang baru lahir memerlukan perhatian, membuatkan saya mula sakit kepala yang teruk. Pada awalnya, bayangan hitam berupa manusia mula saya rasa melintas-lintas di penjuru bilik. Seram sejuk mula datang dan menggigil dibuatnya. Ibu pula berkali-kali memaksa bayi disusukan susu formula, sedangkan payudara saya sewaktu itu bengkak dan sakit, menambahkan sedih dan stress sedia ada.

Suka saya ingatkan, kita selepas bersalin, benda kecil pun boleh buat kita stress ya. Oleh sebab itu, sokongan para suami amat diperlukan pada saat tersebut. Suami pula terpaksa menjalani kuarantin 2 minggu di hotel oleh kerana mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan Sarawak. Tiba-tiba saya benci dengan semua orang kerana semua hanya buat saya tertekan dan sakit. Hanya bayi saya yang saya sayangkan. Keadaan makin bertambah teruk apabila asal saya terlelap tidur saja, saya nampak orang nak b***h saya. Memang terjerit-jeritlah saya dengan keadaan saya begitu. Sanggup saya tidak tidur kerana takut menutup mata dan akan ternampak bayangan tersebut. Tengok cermin saya pun saya takut kerana saya sendiri takut melihat wajah saya sendiri. Masih saya ingat ketika itu, ibu saya sedang solat di bilik saya, saya tengok macam hantu muka merah sedang menyapa-nyapa saya. Terus saya bertanya berkali-kali, ” SIAPA NI?? IBU KE?? IBU KE NI?? ” dengan ketakutan.

Setelah beristigfar, barulah saya nampak itu ibu saya. Bayangan gelap berbentuk manusia semakin kerap saya nampak sehingga saya terfikir saya ni dah tak betul ke? Dah gila ke saya ni? Setiap hari saya termenung kosong tah tak tahu pun kemana fikiran saya pergi. Hanya bayi saya itu menjadi penguat saya ketika itu oleh sebab perasaan yang amat kacau dan ingin m******h diri semakin tinggi. Mujurlah ada nurse yang perasan dengan keadaan saya ketika itu mengesyorkan saya berjumpa doktor psikiatri untuk saya meluahkan segala-gala yang terbuku selama ini saya simpan. Bukan saya hendak menyalahkan, tetapi ibu saya berkali-kali bertanya ” mengapa stress, murung ni, laki kau ada dera atau pukul ke? ” tanpa menyedari dia membuat saya stress dan tertekan dari segala segi dan aspek sebelum dan selepas bersalin. Maafkan saya ibu..

Ibu memang melarang saya makan apa-apa ubat oleh kerana bayi saya kuning dengan agak lama. Keadaan itu membuat saya terpaksa menahan sakit agak lama dan kesejukan. Makanan saya pada hampir 30 hari itu hanya ikan bilis saja. Nasi dan ikan bilis hampir setiap hari. Saya pula, memang melarang keras bayi diberi mandi sirih lah, diberi minum susu kambing fresh lah, pil susu lah dan pelbagai-bagai lagi usul yang tak masuk akal yang mana saya rasa akan mendatangkan bahaya untuk bayi sekecil itu untuk minum makan macam-macam segala benda. Berkali-kali ibu memaksa saya membuat seperti apa yang disuruhnya. Bila saya menolak untuk mengikut, teruslah ibu berkecil hati dan terasa hati membuat saya serba salah lagi. Bila saya terasa bersalah tersebut, datang lagi lah stress saya. Teruslah bayangan hitam itu datang lagi bersama sawan yang teruk saya alami. Memang terasa nak m**i lebih baik pada masa itu. Akan tetapi, anak kecil itu lah tetap menjadi pemacu semangat yang hilang.

Selepas beberapa minggu berpantang di rumah ibu, saya mengambil keputusan untuk balik ke Kedah mengikut suami lantaran tak sanggup lagi mengalami stress berterusan. Ibu saya menangis kerana saya tidak menghabiskan pantang saya bersamanya. Memang saya sudah putuskan dan tegas untuk balik walaupun rasa bersalah melihat si ibu yang menangis. Tapi saya lebih fikirkan kesihatan emosi saya berbanding apa-apa ketika itu.

Apabila sudah sampai di Kedah, terasa amat beban di dada terlepas luas. Nak buat apa-apa memang bebas dan stress-free. Alhamdulillah saya kembali sihat dan ceria bersama si comel saya walaupun bekas-bekas kemurungan dan kesakitan lepas masih ada. Selepas sakit meruyan itu, memang ada side effect ya seperti sakit-sakit badan dan otot oleh sebab sawan yang pernah dialami. Tetapi, bila emosi dan mental kita sihat, semuanya akan baik dan sihat. Pendek kata dari saya, sentiasa bersedia dari mental dan fizikal bila bersalin oleh kerana kesannya amat besar pada diri kita secara berterusan. Semoga kita dilindungi Allah dan semoga bakal-bakal ibu dan ibu sentiasa sihat dan selamat dari pelbagai penyakit. Amin.

Sekian. ❤️

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

YamaYama

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 5]

2 thoughts on “SAKIT SELEPAS BERSALIN A.K.A MERUYAN”

  1. kadang kadang mak kita berniat baik, menggunakan pantang larang yang dah biasa digunakan sejak turun temurun…nak salahkan ibu pun x boleh tapi kadang kadang dia tidak sedar sebenarnya itulah punca stress dan kemurungan. Harap awak banyak bersabar.

    Reply
  2. Ya betul tu sis… Kadang2 mak2 suka bg benda pelik2 untuk bayi Dan pantang larang pelik untuk Kita.. nak tolak nanti merajuk… akhirnya Kita yg stress..bahaya untuk ibu yg berpantang lg2 ada baby yg high need…Sy sarankn guna confinement lady untuk berpantang.. mmg mahal… Tp ada kalau ambik 2 minggu pun jd sementara nk kuatkn badan n then boleh sambung pantang rumah mak..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.