Salam Perkenalan si Penghuni Dorm Lama

Seronoknya semua pembaca gelakkan cerita makcik yang lepas, ya?

Ha ha ha

Makcik memang rasa kelakar sebenarnya bila teringatkan pengalaman seram makcik yang tidak seberapa, berbanding pengalaman otai yang kerap berkongsi cerita di Fisyen Shasha. Berani betul kamu semua. Moga Allah sentiasa lindung keselamatan kamu.

Ada yang berkata belum buku bertemu ruas ya? Makcik tak minta dipertemukan segala makhluk ghaib ni. Dah muncul tetiba, kan? Mana sempat otak makcik nak proses yang makcik jumpa tu bukan manusia gamaknya. Makcik ni lurus orangnya. Lagipun, Allah tak uji kita lebih daripada kemampuan kita.

Makcik kongsi sikit lagi cerita makcik mula-mula masuk asrama. Cerita tahun 90an ni. Lama dulu dah.

Terima kasih Admin Fiksyen Shasha dan pembaca semua.

Setelah sekian lama menunggu tawaran sekolah berasrama penuh, akhirnya, aku menerima sekeping surat bahawa aku berjaya mendapat tempat di sebuah sekolah baru terletak di pantai timur.

Syukur Alhamdulillah.

Semestinya aku sangat gembira kerana setiap kejayaanku adalah kejayaan kedua ibubapaku. Niat aku belajar, selain kerana Allah, adalah demi menggembirakan kedua ibubapaku.

Maka, kelam kabutlah seluruh ahli keluarga membuat persiapan untuk anak yang pertama kalinya dapat belajar di sekolah berasrama penuh. Dan, pada hari pendaftaran, bertolaklah kami seluruh ahli keluarga, termasuklah arwah datukku. Berhimpit-himpit kami semua di dalam sebuah kereta.

Setibanya di sana, kami terpukau dengan keindahan pantai yang berada betul-betul di hadapan sekolah. Deru ombaknya dapat didengari sehingga ke pekarangan sekolah. Namun, bangunan asramanya kelihatan lama dan usang, sedangkan kami dimaklumkan ini sekolah baru. Rupa-rupanya, asrama ini telah berada di sini bertahun lamanya sebelum sekolah ini dibuka atas tujuan yang lain. Hanya bangunan akademik sahaja yang baru dibina.

Selesai pendaftaran dan lain-lain, aku ditinggalkan sendirian bersama ratusan pelajar yang lain. Maka, bermulalah episod hidupku sebagai budak asrama.

Di kalangan rakan-rakan perempuan di asrama, aku di antara pelajar perempuan yang awal datang bulan (bahasa lainnya, period). Tidak ramai yang mempunyai pengalaman ini pada usia 13 tahun sewaktu itu. Dan, oleh kerana ini, aku diuji.

Pada minggu pertama di asrama, kakak senior datang bertanyakan khabar dan menitip sedikit pesanan, “andai ada yang tidak boleh bersolat kerana period, jangan tinggal berseorangan di dalam dorm. Datang dorm kakak ya. Ada teman nanti.”

Aku angguk dan mengiyakan sahaja. “Insya Allah. Nanti saya beritahu yang lain”.

Pesanan ini disampaikan kerana menjadi peraturan asrama, kami tidak dibenarkan langsung bersolat di bilik, dan perlu bersolat Subuh, Maghrib dan Isyak berjemaah di surau. Pelajar perempuan yang period, dibenarkan tinggal di dorm atau berada di persekitaran surau. Andai berada di dorm, kakak senior khuatir, kami akan berseorangan sahaja.

Hujung bulan pertama, seperti kebiasaan, aku period. Dan, dalam tempoh yang sama, ada pelajar di dalam dormku pulang ke kampung kerana sakit kuat. Kedudukan katilnya agak terselindung daripada kedudukan katilku. Ada dinding sedikit yang memisahkan pemandanganku. Aku tidak akan nampak apa yang berada atau berlaku di sebelah dinding sana.

Pada hari Khamis malam Jumaat, di penghujung bulan pertama itu, usai riadah petang, berebut-rebut rakan-rakan dorm bersiap untuk ke surau bagi solat Maghrib berjemaah. Dan aku menjadi satu-satunya pelajar yang period hari itu. Aku biarkan sahaja mereka mandi dahulu. Aku akan mengambil giliran yang terakhir. Semuanya baik-baik sahaja. Tidak ada apa yang luar biasa.

Selesai membersihkan diri, aku keluarkan baju yang belum berlipat dan letakkan semuanya di atas katil. Dalam kelam-kabut rakan-rakanku bersiap dan menyarungkan telekung, aku tenang sahaja di atas katil melipat pakaianku. Rakan sebelahku menyapaku sebelum turun. Lalu, aku ditinggalkan sendirian. Mereka semua telah turun. Dan, bunyi selipar jepun mereka menyentuh lantai membingitkan suasana.

“Assalamualaikum”

“Waalaikummussalam”

“Adik seorang je ke? Akak nampak lampu dorm terbuka. Sebab tu akak datang. Adik nak ke dorm akak? Taklah sunyi seorang”

“Takpelah kak. Saya nak lipat kain ni. Banyak ni”

“Takpe ke seorang?”

“Takpe”

“Apa-apa jadi, pergi dorm akak kat sebelah ya”

“Bereh”

Baik kakak tu. Kakak angkatku. Aku dipilih sebab nama kami hampir sama. Untung rasa badan. Dapat buku teks percuma. Oh, di sekolah ini, buku teks beli sendiri.

Tidak lama kemudian, bunyi selipar jepun berdecit kembali bersama gelak ketawa rakan-rakanku. Mereka dibenarkan naik sebentar sebelum bacaan yassin sempena malam Jumaat dimulakan. Kadang-kadang, warden kami yang menjadi imam sakit perut. Hilang la sekejap dia. Biasa tu. Dorm kembali bergema dengan gelak tawa rakan-rakanku.

Dan, aku terus melipat kain.

Suasana yang riuh rendah tadi tetiba aku rasakan senyap dan sunyi. “Eh, semua dah turun ke? La, tak perasan.” Ya, aku orangnya khusyuk apabila melakukan sesuatu, hatta, melipat kain. “Esok spot check. Lebih baik aku settle kemas almari aku ni awal-awal. Esok boleh tidur lebih sikit.” Fikirku.

Dalam ralit, tetiba, “Dum! Dum!”

Kedengaran pintu almari kayu dibuka dan ditutup dengan kuat.

Kemudian, kedengaran laci ditarik dan ditolak. Berulang kali.

“Eh, siapa lagi yang tinggal tak pergi solat?” bisik hatiku.

Pintu almari berdentum lagi sekali.

Aduhai, terasa seperti nak terkeluar jantung ni terkejut. Dup dap, dup dap. Tapi, aku masih di atas katil. Tidak mampu rasanya nak bangun dan mengintai apa dan siapa.

Dan, kedengaran juga seperti seseorang menaiki katil besi tua itu. Kriutttttt…

“Ish, ada lagi ke yang belum turun?”

Namun, mulutku terkunci. Tidak mampu mengeluarkan suara untuk bertanya. Pelbagai perkara bukan-bukan bermain-main di fikiranku, kerana aku tahu bunyi itu datangnya daripada arah mana. Empunya almari dan katil tua itu pulang ke kampung kerana sakit kuat. Punca sakit? Aku ingat-ingat lupa. Seingat aku, demam panas.

Pemandanganku pula dihalang dinding. Aku tidak dapat memastikan apa dan siapa di sana.

“Allah” Lemah seluruh tubuhku. Ajakan kakak senior tadi terngiang-ngiang di telingaku. Namun badanku kaku terpaku di katil.

Setelah beberapa ketika begitu, kedengaran suara seseorang. Suara perempuan. Namun, aku tidak dapat mengecam suara siapa. Aku cuba mengamati butir sebutannya. Aku berjaya turuti sebutannya. Sepertinya si perempuan itu sedang mengalunkan bacaan yassin. Namun, tidak begitu kena bacaannya di telingaku. Suaranya semakin lama semakin pelik pada telingaku. Bacaannya juga semakin lain macam.

Aku semakin lemah ketakutan. Allah. Allah. Allah. Hendak keluar berlari pun aku rasa tidak mampu. Walhal, pintu dorm hanya sebelah katilku. Betul-betul disebelahku. Aku hanya mampu melirikkan mataku ke arah pintu. Risau andai aku menolak daun pintu itu, ada sesuatu yang muncul di hadapanku. Nauzubillah.

Dalam kedudukan aku bersila, tanpa mengubah sedikit pun, aku tundukkan sahaja kepala dan badanku, supaya aku tak perlu melihat apa dan siapa di sebalik dinding itu. Lama aku berkeadaan begitu. Aku memang dalam ketakutan. Allah. Allah. Allah…

“Woi!” dan satu tumbukan manja hinggap dibahuku, aku tersedar.

“Kenapa kau tidur macam ni?”

Aku memandang sekeliling. Alhamdulillah. Semua dah kembali ke dorm. Aku ketakutan sehingga tertidur rupanya.

Dan, aku pura-pura membuat pengumuman, “ada sesiapa yang tidak turun tadi?” Mereka tidak akan syak apa-apa kerana selaku ketua dorm, pertanyaan sebegitu biasa.

“Semua turun. Apasal?”

“Bereh. Saje tanya”

Aku tidak akan sesekali terus bercerita, kerana aku tahu mereka akan lebih takut dan aku akan menjadi mangsa dikejutkan di tengah malam untuk menemani mereka ke bilik air apabila light off nanti. Oh, tidak sanggup rasanya selepas apa yang terjadi ke atas diriku sebentar tadi. Aku dipilih sebagai ketua dorm bukan kerana aku paling berani, tetapi aku paling besar dan tinggi pada masa itu.

Mengambil pengajaran atas apa yang berlaku, keesokkan malamnya, aku tidak tunggu lama. Aku terus sahaja berlalu ke dorm hadapan apabila rakan-rakanku ke surau. Aku tidak juga ke dorm senior di sebelah kerana malu. Aku memilih untuk ke dorm hadapan, tetapi aku perlu melintas bilik air yang luas, besar dan sunyi. Sebaik sahaja kakiku menjejak pintu keluar bilik air, “Pap!”

Satu sekolah black out.

“Syukur Alhamdulillah. Bijak aku malam ni. Nasib baik aku tidak terus menunggu di sana. Kalau tidak, entah apa pulak gangguan untuk aku malam ni.”

Namun, rakan-rakan dorm hadapan juga dalam ketakutan apabila berlaku black out. Rupa-rupanya semalam ada yang mendengar seseorang atau sesuatu seolah-olah memukul bola ping-pong berulang kali di dalam dorm mereka. Maka, kesemua kami yang period ini duduk berdekatan dan diam sahaja sehingga keadaan tenaga elektrik kembali pulih.

Setelah berpindah dorm setahun kemudian, barulah aku berani membuka cerita kepada kakak senior akan cerita malam itu. Katanya, kami merupakan penghuni pertama setelah bertahun-tahun dorm tersebut ditutup, dikunci dan tiada penghuni. Dorm itu katanya agak menyeramkan, namun terpaksa dibuka apabila pelajar baru masuk kerana kekurangan dorm yang sedia ada untuk menempatkan pelajar. Katanya juga, pernah beberapa pelajar ternampak sesuatu di dalam dorm itu semasa dorm itu masih dikunci.

Allahurabbi, nasib baik tak cerita terus. Mau aku hidup tak tenang sepanjang setahun di dorm tersebut.

Takkan itu sahaja gangguan? Ada lagi, tetapi ini sahajalah yang paling seram. Aku anggap sahaja ini salam perkenalan daripada si penghuni dorm lama.

Dan seingat aku, sememangnya kami diarah bertugas setiap malam mengikut giliran membaca yaasin di setiap penjuru dorm.

Sekian.

WaniTua

WaniTua

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 2.7]

4 thoughts on “Salam Perkenalan si Penghuni Dorm Lama”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.