Secebis Memori Buat Ibu

Esok hari ibu….

Hari dinanti baik ibu mahupun anak di sekeliling. Bukan tidak boleh sambut hari ibu pada hari biasa tetapi pada hari itu, perasaan menghargai, kasih sayang terhadap ibu amat menebal di hati.

Beruntung bagi yang masih ada ibu tetapi tidak bagi yang sudah kehilangan bonda tercinta.

Di sini, terdetik untuk saya catatkan satu kisah tentang diri ini. Kisah yang mungkin biasa pada orang lain, tapi ia kenangan yang tidak akan dilupakan selagi saya bernafas di bumi ini.

8 Oktober 1985

Sekitar jam 10 malam, saya dilahirkan.
Ketika itu umur mak baru 19 tahun. Ayah, atau lebih mesra saya panggil abah, mendakap dan melaungkan Azan ke telinga saya.

Saya dilahirkan di rumah nenek Sungkai Perak. Keadaan yang normal tetapi tidak cukup bulan.

Melalui penceritaan daripada nenek, saiz badan saya ketika dilahirkan hanya sebesar botol kicap.

Pernah satu ketika, saya tidak bernyawa selama hampir 10 minit. Pelbagai usaha dilakukan sehingga semuanya pasrah dengan ketentuan Ilahi.

Bagaimanapun, Allah itu tahu apa direncanakanNya. Dia sedang menguji kesabaran semua ahli keluarga saya.

April 1993

Tahun itu, saya berusia 8 tahun. Ketika itu, saya sudah menunjukkan perangai yang berlainan.

Saya menjadi seorang yang keras kepala, degil dan kuat memberontak.

Semuanya sebab lahirnya adik lelaki ketika usia saya tiga tahun. Dia berkulit putih cerah tetapi saya…gelap-segelapnya.

Hati mana tidak tersentuh jika terlihat semuanya dicurahkan kepada dia.
Dari situ hadir dendam di hati. Saya merasa semua tidak sayang saya. Cuma abah sahaja yang saya anggap sebagai pelindung dan pengubat hati.

Pantang salah, saya dipukul dengan penyangkut baju. Malah tali pinggang polis yang tebal pun pernah hinggap di belakang badan.

Sakit masa itu tidak terkata. Dalam benak fikiran tertanam satu jawapan.
“Mak tak sayang saya!” Saya pendam seribu duka.

Sedang adik senyum hingga ke telinga. Dendam terus membara. Sehinggalah
suatu hari… Allah itu Maha Agong, Maha Besar dan Maha Mengetahui.

Kisah ini terjadi sebelum saya ke sekolah sesi petang. Saya lupa, kerja sekolah tidak dibuat. Kaki saya berat untuk melangkah keluar walaupun sudah siap berbaju sekolah.

Mak pelik melihat kelakuan saya.
Dia bertanya agak lantang. Saya menggeletar. Langkah terus kaku. Puas ditanya tetapi jawapan saya malas ke sekolah. Saya dipukul dan masih terngiang apa yang mak cakap;

“Kamu tak nak sekolah nak jadi apa?
Nak jadi samseng?”

Demi Allah, masa itu menitis air mata. Mak masa itu ibarat melepaskan geram. Tanpa disangka mak menolak kepala saya sekuat hati. Saya terjatuh dan kepala terkena tiang dalam rumah. Bunyi macam letupan.

Ya…Allah itu Maha Agong, Maha Besar dan Maha Pengasihani…

Tanpa diduga…mak menjerit: “Ya Allah anakku!”

Mak berlari mendapatkan saya: “Ya Allah .. ampunkan ku..Aku sayang anakku.. maafkan mak nak..mak tak sengaja,” luahnya dengan linangan air mata.

Saya tergamam. Semua tanggapan saya pada mak meleset. Saya renung mata dan lihat air matanya. Ikhlas dan penuh kasih sayang.

Ya…saya yakin “Mak sayang pada saya!”
Dengan nada yang tersekat, saya berkata; “Mak…sakit sikit je. Mak jangan nangis…orang janji tak buat dah.” Saya terus dipeluk sekuat-kuatnya.

Sejak kejadian itu, saya nekad menjadi anak yang berguna dan menjadi pelindung kepadanya dan keluarga.

Tahun 1998…

Allah itu Maha Berkuasa.

Ketika kasih dan sayang saya begitu mencurah buat mak , saya diuji dengan ujian yang begitu hebat.

Mak diserang penyakit yang membataskan setiap pergerakannya. Hidup bergantung pada ubat untuk memudahkan dia melakukan kerja rumah.

Saya tolak segala tawaran belajar ke asrama hanya kerana melihat kesusahan yang mak hidapi seorang diri. Semuanya saya rahsiakan.

Tahun 2002…

Tahun itu adalah tahun terakhir kami mendapat kasih sayang daripada insan bergelar ibu.

Pada tahun itu juga saya baru mengenali erti sambutan Hari Ibu.

Mak ketika itu sakit. Terlantar di kerusi malas di dapur. Tidak mampu untuk berdiri, hanya terbaring lesu.

Saya pulang dari sekolah membawa sekuntum bunga mawar dan saya hadiahkan kepadanya dengan ucapan “Selamat Hari Ibu, Mak”.

Ketika itu, saya melihat mak menangis… menangis buat kali terakhir untuk dirinya kepada saya. Saya kesat air matanya. Abah yang berada di sebelah hanya membisu.

Mak kemudian berkata, “Along nak cucur ikan bilis? Mak bancuhkan.. tapi along goreng tau, mak tak larat nak bangun.” Ya Allah …dalam keadaan sakit, mak masih ingin menghidangkan makanan kegemaran anak sulungnya. Air mata saya menitis.

Itulah kali terakhir saya menikmati sajian dari air tangannya.

4 Ogos 2002 – Unit Rawatan Rapi, Hospital Teluk Intan.

Mak sudah tenat. Sakit yang ditanggungnya sudah tidak dapat digambarkan. Mata, kaki, tangan sudah tidak berfungsi.

Hanya mulut yang mampu bersuara: “Along…Along… Along…”

Mak berterusan memanggil saya.
Adik yang lain tidak disebutnya.
Umpama memori hanya mempunyai ingatan untuk “Along”.

Itu ujian Allah yang paling besar saya hadapi. Tidak tertahan melihat mak merintih, sengsara melawat sakit!

Ya Allah …walaupun tidak seperit yang dilalui Rasulullah, saya tetap tidak tertanggung melihat penderitaan mak.

Tanpa diduga, doktor yang merawat mak memanggil saya. Abah memberi tahu, semua keputusan bergantung kepada diri saya.

Ya Allah …apakah semua ini?
Doktor meminta izin daripada saya untuk memberikan sejenis ubat yang mengandungi enzim b**i.

Saya bertanya mengapa perlu ubat itu? Jawapannya hanya untuk mengurangkan rasa sakit mak.

“Mak boleh sihat terus ke doktor?” Jawapan doktor amat mengejutkan: “Paling lama boleh bertahan dalam enam hari”.

Ya Allah …gugur jantung mendengar berita itu. Saya tidak membuat sebarang keputusan.

Saya pergi ke surau memohon keredhaan daripadaNYA. Saya membuat keputusan.
Keputusan yang dianggap paling matang.
Saya tak sanggup lagi melihat mak menderita. Tidak sanggup!

Biar derita lerai dari tubuh mak. Biar sengsara pergi jauh dari badan mak.
Biarlah mak pergi menghadap YANG MAHA ESA. Biar mak tenang di sana….

5 Ogos 2002 – 12.10 tengah malam

Mak nazak…keluarga berkumpul di luar hospital. Hanya saya, abah, tiga adik dan nenek berada di bilik rawatan. Doktor berusaha…saya redha…mengizinkan mak menghadap Ilahi dengan tenang.

Mak menghembuskan nafas terakhir.
Meninggalkan segala keperitan di muka bumi ini. Segala keperitan yang dihadapinya sepanjang hidup berakhir. Air mata saya menitis laju.

Saya dan tiga adik kehilangan ibu tersayang.
Abah kehilangan isteri tersayang.
Atuk dan nenek kehilangan anak tersayang.

11 Mei 2019

Kini hanya kenangan yang tinggal.
Walaupun sudah 17 tahun mak meninggalkan kami, kenangan bersamanya tidak pernah terpadam.

Biarpun kami sayang mak, kami redha, ALLAH lebih kasihkan mak.

“Ya ALLAH, andai diberi peluang, aku ingin kucup pipi mak, walau sesaat.”
Buat mak tercinta, moga mak bahagia di sana. Selamat Hari Ibu, mak!

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]
Wan

10 thoughts on “Secebis Memori Buat Ibu”

  1. Sama a cu…nenek pon menghadapi bnda yg sama dengan cu, menghadap pemergian terkahir… semoga arwah kedua ibu kita di tempatkan di kalanga org yg beriman…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.