Secebis pengalaman berhadapan gangguan jin

Ringkasan sedikit pengalaman saya berhadapan dengan gangguan hantu (jin) setakat ini :

Pengalaman pertama : Masa sekolah menengah (tingkatan 2) sekitar jam 6.45 pagi sewaktu menunggu bas nak ke sekolah. Ternampak objek seperti bebola api melintas betul betul di hadapan mata dalam jarak sekitar 5-6 meter. Hilang di celah pohon besar. Bukan hanya saya seorang nampak tapi semua yang berada di pondok menunggu bas tersebut. Kami semua hanya berpandangan sesama sendiri sambil memikirkan apa yang baru kami semua lihat sebentar tadi.

Pengalaman kedua : Semasa bercuti semester di kampung. Sewaktu belajar di UiTM Shah Alam pulang untuk bercuti semester ada sahabat baik datang ke rumah ajak pergi bermain badminton di gelanggang tak jauh dari rumah. Saya membonceng motor yang beliau tunggang.
Semasa kami dalam perjalanan pulang ke rumah (sekitar hampir masuk waktu Maghrib) tiba tiba objek seperti bebola api berangkai terbang betul betul di atas kepala kami. Terdengar bunyi letupan seperti mercun dan objek tersebut mengeluarkan seakan akan ekor berapi sebelum objek tersebut hilang dari pandangan kami dengan kadar yang agak pantas.

Pengalaman ketiga : Berlaku kira kira 5 tahun lepas. Selepas Maghrib sedang saya menghadap komputer di bilik tiba tiba ternampak asap putih masuk melalui ruang di bawah pintu bilik. Berbentuk seakan akan ular yang menjalar lalu di tepi kaki saya menuju ke bawah katil. Semalaman tidak dapat tidur sambil ayat ayat Al Quran dimainkan. Alhamdulillah tiada apa yang buruk berlaku.

Pengalaman keempat : Semasa saya berada di Bursa, Turkey (bertugas kira kira dua minggu di sana). Pada musim sejuk bulan February tahun 2016. Sewaktu itu bekas isteri ada ikut bersama. Sebaik sahaja kami pulang dari makan malam ke hotel penginapan (sebuah hotel agak ternama di bandaraya Bursa) bekas isteri saya tidur terlebih dahulu. Sedangkan saya masih menghadap laptop di meja bacaan.
Disebabkan bilik dipasang “heater” saya membuka sedikit jendela bilik kami yang berada di tingkat tiga. Jadi boleh merasakan sedikit udara sejuk dan segar yang masuk ke bilik. Tidak berapa lama kemudian saya ternampak bekas isteri seakan akan meronta ronta (seakan akan ditindih) lalu saya segera mendekatinya dan mengejutkan dia. Serentak itu secara tiba tiba ternampak bayang hitam berbalam balam terbang melayang keluar ikut jendela bilik. Saya agak tergamam namun tidak menceritakan apa yang saya lihat kepada bekas isteri. Memang betul dia katakan kepada saya dia ditindih ketika sedang tidur.

Pengalaman kelima : Tahun 2018 saya telah bermimpi berada di lorong yang sunyi dan samar samar. Tiada seorang manusia pun ada disitu. Tiba tiba saya ternampak langit menjadi hitam akibat sekumpulan besar belalang terbang di atas. Saya menjadi takut lalu berlari untuk mendapatkan perlindungan. Mujurlah ada satu keluarga yang memanggil saya masuk ke dalam rumah mereka. Sebaik sahaja saya berada di dalam rumah tersebut saya melihat di luar jendela seluruh kawasan tersebut telah dipenuhi dengan belalang. Tiba tiba seekor belakang terlepas masuk ke dalam rumah tersebut dan hinggap di bahu kanan saya.
Saya terkejut dan terus menepis dengan sekuat kuat hati. Lalu saya terus terbangun dari tidur. Kesakitan yang amat sangat dirasakan di lengan sebelah kanan. Jam menunjukkan sekitar pukul 3 pagi. Saya tak dapat meneruskan tidur akibat kesakitan lengan dan asyik memikirkan tentang mimpi itu.
Kesakitan yang berlarutan hampir tiga bulan menyebabkan kehidupan saya terjejas, kerja terjejas, jadi mudah marah, tidur malam diganggu mimpi menakutkan, ternampak seakan akan makhluk seperti pocong semasa terjaga dari lena tengah malam. Doktor mengatakan otot lengan saya koyak dan saya mengalami “anxiety disorders”. Alhamdulillah berkat rawatan moden dan Islamik saya telah pulih sepenuhnya.

Pengalaman keenam : Baru baru ini sewaktu saya ke Ban Pecah, Tanjung Piandang, Perak. Hampir masuk waktu Maghrib saya tiba ke situ. Tidak melepaskan peluang untuk merakamkan detik detik indah terbenamnya matahari. Sebaik selesai saya terus beredar dari situ. Terus memecut pulang ke Alor Setar. Sebaik tiba di rumah saya terus masuk mandi dan tunaikan solat. Semuanya ok sehinggalah saya mahu lelapkan mata. Bau lumpur pekat yang teramat kuat menusuk ke rongga hidung. Secara tiba tiba menyebabkan saya kehairanan. Lampu bilik dinyalakan dan saya terus mencari cari punca datangnya bau tersebut. Namun tiada bertemu apa puncanya. Lalu saya membaca Surah Tiga Qul dan ayat Kursi. Sambil berbisik dalam hati andai ada yang datang “menumpang” agar pulang dan tidak mengganggu saya serta keluarga. Alhamdulillah bau tersebut beransur ansur hilang. Namun sekitar jam 2 pagi apabila saya hendak melelapkan mata sekali lagi bau lumpur pekat tersebut menerjah ke rongga hidung. Sekali lagi saya membacakan ayat ayat suci dan berdoa semoga tiada yang buruk berlaku. Alhamdulillah tidak lama selepas itu bau tersebut beransur ansur hilang dan tiada lagi gangguan sampai saat ini.

Terima kasih sudi membaca sedikit catatan ringkas pengalaman saya. Semoga kita semua terhindar dari gangguan serta kejahatan sihir manusia dan jin.

Aamiin 🤲

Saiful Rizal Shaari

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 4]

1 thought on “Secebis pengalaman berhadapan gangguan jin”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.