SEKURITI HOSPITAL (PENGALAMANKU)

SEKURITI HOSPITAL
MAD PI

Kira-kira sepuluh tahun yang lalu, aku pernah bekerja sebagai seorang sekuriti di sebuah hospital yang terletak nun di atas bukit sana…

Lokasi yang tepat tidak dapat aku dedahkan.Tetapi hakikatnya semua hospital pasti ada kisahnya yang tersendiri.

Hospital di mana tempat aku bekerja ni memang agak keras sampaikan apabila shift malam kebanyakan staf memang tidak berani berjalan seorang diri di sekitar hospital.

Hendak ke mana-mana pasti berteman. Jadi aku selaku sekuriti bahagian rondaan ‘clocking’ jam yang menjadi peneman mereka.

Biasanya aku temankan mereka ke makmal patologi dan bilik mayat atas urusan menghantar sampel d***h dan juga mengambil dokumen.

Aku tidak kisah menjadi peneman mereka yang setia kerana selalunya ada sahaja habuan yang mereka berikan.

Roti canai, burger, nasi lemak, ayam goreng dan sebagainya. Itu belum rasuah daripada penjaga pesakit kerana ingin mendapatkan keistimewaan kebebasan untuk waktu melawat.

Bergaduh dengan pelawat itu sudah menjadi kebiasaan. Kena hina kena keji. Dengan lantang mengatakan bahawa aku bodoh, gaji berapa sen sangat.
Pernah aku meninggikan suara pada seorang makcik.

“Hoiii, orang tua.”

“Kau tunggu sini aku pergi balik ambil sijil-sijil aku.”

“Jangan pernah sesekali menghina pekerjaan orang, asalkan halal okeyla,” aku membentak.

Makcik itu terdiam.

“Fuh, selamat aku.”

Aku sebenarnya tiada apa-apa sijil. Yang ada hanya sijil kelahiran. Mana yang selalu cuba merasuah memang aku tidak layan. Amanah pihak majikan akan aku laksanakan sebaik mungkin.

Semua sama aku buat, sesuai mengikut peraturan pihak hospital. Apa yang seronok bekerja sebagai sekuriti hospital ini sebab aku boleh jumpa dan kenal ramai orang.Kerenah orang juga pelbagai.

Berbalik pada cerita seram aku di hospital tersebut.Aku cuba ringkaskan setakat mana yang boleh.Aku selaku sekuriti ronda jadi aku akan pergi ke setiap ceruk hospital untuk meronda menjaga keselamatan hospital.

Memang tugas tetap aku sebagai peronda, ‘clocking’, menggantikan anggota lain untuk berehat dan solat.Aku meronda setiap dua jam sekali.Satu pagi,tiga pagi dan lima pagi.

Kebiasaannya, bila aku sampai ke tempat yang sunyi dan tiada orang seperti di blok farmasi, makmal, rumah mayat, dapur dan tempat fisioterapi,aku akan meronda sambil mendengar alunan al-quran.

Lokasi yang aku sebutkan itu tadi biasanya kosong dan sunyi pada sebelah malam kerana tiada staf yang bekerja mahupun pesakit. Aku sering mengalami kejadian aneh dan seram di sana.

Bilik mayat kebiasaannya kosong kecuali jika ada jenazah yang melibatkan kes polis seperti b***h diri, kemalangan dan juga kematian warga asing.

Setiap kali aku meronda ke bilik mayat, bacaan al-quran di telefon bimbit aku akan berhenti secara tiba-tiba diikuti bunyi seperti radio yg kehilangan frekuensinya.

Padahal aku mendengar bacaan tersebut melalui pemain muzik dan bukannya radio.Untuk pengetahuan semua, bilik mayat itu terletak di bahagian bawah bukit dan terpisah jauh dari bangunan-bangunan lain.

Untuk ke rumah mayat tersebut, aku terpaksa menuruni empat puluh anak tangga. Apabila sampai di bawah, suasana memang sunyi sepi hanya ditemani bunyi unggas dan cengkerik.

Apetah lagi apabila bacaan ayat suci Al-quran yang aku pasang berhenti begitu sahaja.Memang aku percepatkan langkahku agar tugasku di sana cepat selesai.

Apabila aku sudah sampai ke bahagian atas,pemain muzik kembali berfungsi seperti sediakala.Alunan bacaan al-quran kembali kedengaran.

Kalau hendak diikutkan pelbagai pengalaman seram yang aku alami di rumah mayat tersebut. Pada suatu malam kalau tidak silap aku ketika itu jam kira-kira pukul dua pagi.

Ketika itu aku menuju ke bilik mayat bagi menjalankan rondaan dan membuat ‘clocking’ untuk poin yang ke empat belas kalau aku tidak salah. Poin tersebut terletak tepat di pintu peti mayat.

Semasa aku berada berhadapan peti mayat, tiba-tiba satu dentuman yang agak kuat kedengaran dari dalam peti. Tiba-tiba pintu peti itu terbuka dengan sendirinya.

Jantungku bagaikan disentap sekuatnya kerana terkejut yang amat sangat. Pada mulanya aku cuba melarikan diri namun aku berpatah balik kerana perasaan ingin tahu.

Aku mencuba untuk mengintai dari jauh lalu kedengaran bunyi bising di dalam peti mayat tersebut. Terlihat kepala jenazah dari dalam peti tersebut.

Kalau tidak salah jenazah tersebut adalah seorang warganegara Myanmar yang menunggu proses selanjutnya daripada pihak Imigresen.

Sekali lagi dentuman kuat kedengaran. Kali ini aku tidak menunggu lagi, aku terus melarikan diri dengan menaiki tangga. Hampir sahaja aku tersungkur di situ.

Tidak kisah di hospital mana sekalipun, rumah mayat pasti menjadi tempat yang digeruni dan menyeramkan. Namun, tidak itu sahaja gangguan yang aku alami di sana.

Pernah suatu malam ketika aku meronda di sekeliling kawasan rumah mayat tersebut, tiba-tiba kedengaran suara perempuan sedang menangis dari sebelah dalam.

Menurut staf pada ketika itu ada tersimpan di sana satu jenazah wanita b***h diri. Aku tidak pasti ia ada kaitan atau tidak dengan tangisan yang aku dengar itu. Wallahua’lam.

Aku masih ingat lagi,pada waktu itu jam kira-kira tiga setengah pagi.Aku terserempak dengan seorang kanak-kanak sedang bermain guli di hadapan bilik mayat.

Aku memberanikan diri untuk menyelesaikan tugasanku di sana. Setelah meronda mengelilingi rumah mayat tersebut kanak-kanak itu menghilang.

Lokasi lain sebenarnya lebih mnyeramkan daripada rumah mayat. Tetapi bagi kita semua pasti merasakan rumah mayat adalah tempat yang paling menyeramkan.

Belum lagi bila peti mayat rosak dan gagal diselenggara. Pernah sampai mayat membusuk. Baunya tidak dapat aku nak gambarkan. Automatik isi perutku menggelegak,mual dan berasa nak muntah.

Bila waktu hujan, tugasan aku tetap harus dilaksanakan.Berpakaian hujan dan berkasut paras betis,aku berjalan meredah hujan demi mnyelesaikan tugas.

Bagi aku,bila hujan turun dengan lebat itu tidak mengapa. Tetapi bila gerimis dan renyai-renyai itu cukup membuat aku runsing. Biasanya suasana begitulah aku selalu melihat penampakan.

Tiada yang lain aku bergantung harap kecuali pada yang Esa.Aku sebenarnya bukan pemberani. Tetap lemah semangat. Sebenarnya minggu pertama aku bekerja disana, aku demam.

Selain bilik mayat,ada banyak tempat lagi yang ada ‘benda’ ni.Tempat yang ‘keras’.Salah satunya di stor simpanan tong gas.Di situ ada satu poin ‘clocking’.

Di sana aku sering terdengar bisikan memanggil nama aku.Apabila aku memeriksa sekeliling,langsung tiada orang yang aku temui.

“Mad Pi.”

“Mad Pi.”

“Mad Pi.”

Kedengaran agak jelas nama aku disebut walaupun hanya sekadar bisikan. Tapi yang pasti suara itu hanya akan kedengaran memanggil nama aku sebanyak tiga kali sahaja.Selepas itu suasana kembali sunyi.Begitulah selalunya.

Selesai membuat rondaan, aku biasanya akan melepak seorang diri di tempat letak kereta sambil berehat. Memang sunyi tempatnya. Pernah juga berlaku kes kecurian kereta.

Jadi aku diarahkan oleh pihak atasan untuk memantau dari masa ke semasa tempat tersebut. Masa rondaan dibuat secara rawak agar pencuri tidak dapat mengesan kehadiran dan pergerakan aku.

Pernah satu kali ketika aku sedang memantau keselamatan di sekitar tempat letak kereta tiba-tiba satu lembaga putih melintas di hadapan aku lalu menuju ke belakang sebuah stor.

Aku terkejut dan mula berasa seram sejuk namun perasaan ingin tahu mengatasi segalanya. Aku cuba mengekorinya dari belakang dalam jarak lebih kurang tiga puluh meter. Namun lembaga putih itu semakin menjauh lalu hilang.

Aku juga ada mengalami gangguan di tandas awam di sekitar hospital tersebut.Ketika aku sedang mencuci muka, tiba-tiba aku ditolak dari belakang. Bukan main terkejut aku pada masa itu lalu aku menoleh.

Seorang kanak-kanak dalam anggaran umur empat tahun berlari keluar dari tandas tersebut. Aku berniat mengejarnya namun apabila aku keluar, kanak-kanak itu hilang tanpa dapat dikesan.

Pada suatu malam yang lain,tetapi di tandas yang berlainan aku diganggu dengan satu ketukan pintu yang amat kuat. Sehingga bergegar pintu tandas tersebut.

Kali ini aku keluar memeriksa sekeliling kawasan tandas namun tiada sesiapa yang aku jumpa. Bunyi tapak kaki org berlari juga tiada.Jika manusia, mustahil untuk melarikan diri tanpa dikesan kerana disitu kawasan lapang.

Hospital tempat aku bekerja ini agak luas di atas bukit.Di puncak paling atas adalah kawasan kediaman staf iaitu tiga blok bangunan lima tingkat.

Suatu malam yang sunyi, ketika aku sedang memantau keadaan di sana tiba-tiba aku dikejutkan dengan penampakan satu sosok wanita di tepi tiang. Tegak berdiri tidak bergerak.

Kali ini aku dapat melihatnya dengan agak jelas. Jika sebelum ni aku hanya melihat ‘benda’ itu dalam keadaan seperti bayang-bayang sahaja.Rupanya tidak mahu aku ingat lagi kerana keesokkannya aku demam.

Kalau nak diikutkan banyak pengalaman seram yang aku sendiri alami mahupun staf hospital sendiri.Pelbagai cerita dapat aku dengar hasil perkongsian daripada mereka.

Antaranya satu kejadian yang terjadi di dalam bilik bedah.Staf tersebut dikejutkan dengan kehadiran sosok wanita seakan langsuir yang sedang menjilat d***h di katil yang baru sahaja digunakan untuk operasi pembedahan.

Suasana menjadi kelam kabut ketika itu, sehingga staf lain ke sana, ‘benda’ itu menghilang. Menurut jururawat yang melihatnya, ia terjelir dan lidahnya panjang sampai paras dada.

Baiklah ini yang terakhir yang aku hendak kongsikan. Tentang pengalamanku berada dalam lift bersama makhluk yg kita namakan ‘hantu’.Pengalaman yang aku tidak dapat lupakan.

Ketika itu aku meronda ke kawasan wad baru di mana ditempatkan wad bersalin dan wad wanita. Wad bersalin di tingkat tiga manakala wad wanita di tingkat empat.

Semasa aku masuk lift, seorang pembantu perawatan kesihatan (PPK) lelaki atau lebih dikenali sebagai atendan bersama seorang pesakit perempuan berkerusi roda masuk lift yang sama.

Aku melihat keadaan pesakit tersebut agak parah.Banyak kesan d***h yang melekat pada baju dan muka. Mereka hanya diam tetapi yang peliknya aku tidak mengenali atendan tersebut.

Selama aku kerja di sana selama dua tahun, aku tidak pernah nampak dia. Aku cuba bersangka baik. Mungkin atendan lelaki tersebut adalah staf baru.

Sampai di tingkat tiga aku keluar. Mereka mengikuti dari belakang. Aku sempat membantu mereka dengan membuka pintu wad.

Setelah mereka masuk baru aku perasan.Itu wad bersalin. Kenapa wanita yang lukanya parah dan tiada tanda-tanda mengandung masuk ke wad tersebut. Aku berasa tidak puas hati.

Aku cuba bertanya pada jururawat di kaunter namun jawapan mereka membuat aku terkejut dan seram sejuk.Mereka memaklumkan yang mereka tiada menerima sebarang kemasukan pesakit baru pada malam itu.

Satu kejadian lagi yang cukup mendebarkan apabila aku melihat ‘stretcher’ bergerak dari huju g koridor lalu melintasi aku lalu menghilang.

Bukan aku sahaja yang ada pengalaman berjumpa dengan ‘mereka’ berdua, kawan-kawan aku juga pernah, namun biasanya selepas itu mereka berhenti bekerja.Aku juga berhenti bekerja dan menyambung pelajaran.

-Tamat-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

MAD PI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 24 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.