Sembang Lembaga Hitam

Pada hari kerja saya selalu balik lambat ke rumah. Selain banyak kerja, jalan dari ofis ke rumah sayapun memang bapak punya jem, biasanya pukul 10 malam ke atas baru reda sikit. Hari tu lepas waktu maghrib saya keluar makan bersama 2 orang kawan sepejabat iaitu Ani dan Arip. Ani dan Arip ni suami isteri. Sekitar ofis memang banyak restoran… fast food, mamak, tomyam… pilih je yang mana nak. Jarak dari ofis ke restoran yang kami tuju malam tu lebih kurang 10 minit drive. Kami pergi dengan kereta saya, jadi saya yang drive. Arip jadi co-pilot, Ani dok seat belakang sorang….

Waktu tengah drive tu, Ani tengah dok tengok tabletnya sambil mulutnya membebel, “ada pulak kawan saya ni kena kacau hantu.”

“Ooo… bila tu? Semalam ke?” Saya yang tak tahu hujung pangkal cuba mendapatkan penjelasan.

Tapi agaknya masa tu Ani tengah fokus kat tabletnya… macam tengah berwasap dengan geng bisnes dia, jadi mungkin dia tak dengar saya bertanya, tambah pulak dia dok belakang, mungkin suara saya kurang jelas, jadi saya abaikan soalan tadi dan dah tak ulang bertanya. Ani ada buat bisnes online, memang jadi kebiasaannya asyik dok mengadap tablet dan handphone je manjang.

Sampai kedai makan, kami pilih meja. Bila semua dah duduk, saya tanya sekali lagi kepada Ani, “tadi pasal kawan yang kena kacau tu, bila berlaku? Semalam ke atau baru petang tadi?”

Cara Ani membebel sejak tadi tu seolah-olah kejadian tu masih baru, sebab tu saya tanya sama ada benda tu jadi semalam atau petang tadi. Pertanyaan kali ni pun Ani masih tak respon dan masih dok tengok tabletnya. Kesian Pak Mat Tempe… dapat bini pun pekak… 😊. Tengah dok tengok tablet tu, tiba-tiba Ani bangun dan pergi jumpa seseorang yang tengah menunggu dekat kereta tak jauh dari meja kami. Rupa-rupanya ada customer datang situ nak pick-up barang. Selepas lebih kurang 10 minit borak dengan customer, Ani datang balik ke meja.

Lepas masing-masing order dengan waiter yang datang ke meja kami, untuk ke sekian kalinya saya bertanya lagi, “Err… Ani… apa yang Ani dok cerita dari tadi tu sebenarnya berlaku bila? Semalam ke… petang tadi ke atau bila?” Kali ni dia tak tengok tablet, jadi ada harapan dia dengar soalan saya. Arip pun tumpang pasang telinga dengan muka suspen.

“Sekarang Cik Zul..!!”

“Hah!!?? Astaghfirullahalazim. Maknanya kawan tu kena kacau sejak Ani dok membebel waktu kita keluar dari ofis tadi lagi la?”

“Ya Cik Zul.”

“Laaa… ye ke? Apasal tak cakap dari tadi…” Punya la lama dia dok membebel, tapi langsung dia tak cakap yang kawan tu tengah kena kacau waktu tu. Siaran langsung rupanya. Dengan Arip sekali terkejut beruk.

Tanpa bertanya lebih lanjut, tak tau siapa nama kawan tu, tak tau dia ada kat mana, tangan saya alihkan ke bawah meja, saya zassstt… buat isyarat seperti memotong, niat musnahkan terus hantu yang kacau kawan Ani tu. Kalau tak letak tangan bawah meja kang orang meja sebelah tengok, nanti dia cakap, “apahal mamat tu dok bersilat kat meja makan… otak tak betul agaknya!” 😊

“Cuba tanya dia, ada lagi tak?”

Ani diam sekejap, mungkin tengah bertanya dalam wasap.

“Dah takde Cik Zul…”

“Alhamdulillah… syukur, Allah bantu kita.”

Sebenarnya kalau tak buat gerak tangan tadi tu pun tak apa, tapi sebab apa-apa kes biasanya saya buat waktu malam kat rumah, jadi dah terbiasa dengan gerak tangan yang sebegitu, kurang puas hati pulak kalau tak buat, macam masakan tak cukup garam dan ajinomoto. Kadang-kadang kalau ada kes kecemasan dan pada waktu tu saya ada kat tempat ramai orang, kena la cover sikit, sama ada buat gerakan yang tak terlalu ketara atau tak ada gerak langsung… cuma gerak di alam luar pancaindera.

“Diaorang tanya, benda tu datang dari mana?” Ani tanya saya bagi pihak geng dia.

“Entah… saya tak susul pun. Yang penting dia dah tak kacau kawan Ani. Diaorang yang tanya tu sapa? Sebenarnya apa yang berlaku tadi tu?” Saya tanya Ani balik. Banyak perkara yang perlu penjelasan dari Ani.

Lepas beberapa ketika, bila keadaan dah agak tenang barulah Ani bukak cerita.

“Sebenarnya tadi… saya tengah borak dengan geng bisnes online saya dalam group wasap. Ramai juga la yang ada dalam group tu. Kawan saya yang kena kacau tu namanya Jue, dia student universiti, duduk menyewa rumah teres 2 tingkat dengan kawan-kawan dia kat Shah Alam. Tadi tu, Jue dok dalam bilik atas, tengah dok borak dalam wasap, tiba-tiba Jue cakap dia rasa macam ada sesuatu kat belakang dia, meremang semacam. Kawan serumah Jue, Ita ada kat bilik sebelah… Ita jenis yang boleh nampak makhluk halus, jenis hijab terbukak. Pintu kedua-dua bilik tu memang terbuka, jadi Ita nampak la ada satu lembaga hitam besar tengah berdiri kat belakang Jue, tapi Ita sendiri pun menggeletar tak tau nak buat apa. Kat tingkat bawah pulak ada dua orang member serumah, mundar mandir kat tangga antara tingkat atas dan bawah, kejap naik kejap turun, naik pun separuh je la, diaorang pun menggelabah puyuh jugak, buntu tak tau nak buat apa.”

Ani berhenti sekejap, ambik nyawa, kemudian menyambung.

“Tengah-tengah Jue dok kejang ketakutan tu, ada ahli group bagi cadangan suruh Jue baca ayat Kursi untuk halau benda tu, tapi ada pulak kawan yang lain cakap jangan baca… nanti lembaga hitam tu jadi lagi marah, takut dia mengamuk nanti. Nasib baik Cik Zul ada sini… kalau tak, m**i keras jugak si Jue tu agaknya. Saya cakap la kat diaorang, kebetulan saya tengah makan dengan sorang ustaz, boleh mintak tolong. Tu yang lepas benda tu dah takde, diaorang suruh tanya Cik Zul benda tu datang dari mana. Saya saja cakap yang Cik Zul ni ustaz, senang nak cakap kat diaorang yang Cik Zul boleh tolong halau hantu tu… hehe..”

Hantam sajalah Ani, ustaz pun ustaz lah. Bak kata Yoe Parey… ustaz jetak. 😊

“Ooo… macam tu kisahnya. Kita turun dari ofis tadi drive ke sini dah 10 minit. Lepas tu Ani jumpa customer tadi pun lebih kurang 10 minit. Sebelum kita gerak dari ofis tadi pun dah entah berapa minit. Maknanya dalam setengah jam jugak la lembaga hitam tu ada kat belakang Jue. Kalau tak kuat semangat mau terkucil rasanya kat situ.”

“Tu lah. Jue pun cakap dia rasa lama giler benda tu ada kat belakang dia. Lepas benda tu dah takde tu dia rasa lega sangat, dah tak rasa meremang. Ita tengok pun memang lembaga tu dah takde kat belakang Jue. Kat rumah sewa diaorang sebenarnya ada bela beberapa ekor ikan puyu dalam akuarium, tapi siang tadi ikan-ikan tu semua m**i… ada kena mengena ke dengan lembaga hitam tu Cik Zul?”

“Entahlah… bab tu saya pun tak pasti. Mungkin jugak ada kena mengena, sebab ada jugak saya dengar terjadi macam tu, bila ada apa-apa gangguan, ikan tu yang m**i dulu. Kesian ikan-ikan tu, kalau sempat goreng letak garam kunyit mesti sedap, favorite saya tu.”

Hampir tersembur teh tarik dari mulut Arip dengar lawak bodoh saya.

Saya memang tak susul lembaga hitam tu datang dari mana, tapi saya rasa kemungkinan besar itu adalah jin yang menceroboh atau menyinggah… dan kemungkinan besar juga Jue dan Ita ada mempunyai sejarah gangguan makhluk halus, sebab tu Ita terbuka hijab matanya sementara Ita pula menarik minat lembaga hitam itu untuk mengganggunya. Harap-harap lepas tu takde la hantu lain pulak yang mengganggu Jue dan kawan-kawannya.

Ani dan Arip pun boleh tahan banyak gangguan yang mereka alami. Sebagai kawan baik, automatik dah jadi kerja saya la dok mengezassttkan hantu-hantu yang kaco diaorang. Ada kelapangan nanti saya akan nukilkan untuk tatapan sahabat-sahabat semua. InsyaAllah.

Hantar kisah anda : fiksyennsha.com/submit

Dzul Fiqar

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 10 Average: 4.2]

1 thought on “Sembang Lembaga Hitam”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.