SEMESTER SATU DI KOLEJ KEDIAMAN

SEMESTER SATU DI KOLEJ KEMAHIRAN

Assalamualaikum / salam sejahtera pada sidang editor dan pembaca website “Fiksyen Shasha”. Agak lama tidak menulis serta berkongsi kisah di sini. Jadi kali ini aku ingin kongsikan kepada semua kisah kisah yang berlaku ketika aku belajar di sebuah “Kolej Kemahiran” di negeri Selangor.

Kolej tempat aku belajar ni boleh dikatakan agak besar juga. Ada 4 bangunan mewakili 4 kursus utama kolej tersebut, 2 bangunan hostel pelajar lelaki, 2 bangunan hostel pelajar perempuan, kantin, beberapa kuaters untuk pengajar, surau yang besar, 2 padang bola sepak, satu astaka dan satu kafe. Bagi yang tahu, pasti akan dapat meneka kolej apa yang aku maksudkan ni.

Semasa aku belajar di semester satu, tidak banyak kisah yang menakutkan sangat. Peristiwa beberapa pelajar perempuan histeria juga adalah biasa, seperti selalu, ianya terjadi di semua tempat pengajian kan?

Tapi ada satu kisah menarik di sebalik kejadian histeria itu. Ada seorang pelajar perempuan, Ayu, dikhabarkan Ayu pernah masuk belajar di kolej itu pada semester lepas tetapi terpaksa pulang ke kampung halamannya. Dia dapat menyambung kembali, namun harus bermula semula sebagai pelajar semester satu seperti aku.

Menurut Bob, seorang pelajar senior yang berkawan baik dengan aku ketika itu, pada semester lepas turut terjadi kejadian histeria di kolej itu. Dikatakan ianya berpunca dari seorang pelajar lelaki bernama Mus yang cuba berlaku khianat dengan menyihir Ayu kerana Ayu telah memburukkanya kepada seorang pelajar perempuan lain yang ingin didekatinya.

Bob tidak cerita dengan jelas jenis sihir apakah yang digunakan oleh Mus kepada Ayu. Tetapi, sihir itu tidak menjadi kerana Ayu mempunyai saka keturunan keluarga yang menjaganya.

Ketika kejadian, Ayu dan beberapa orang pelajar perempuan lain telah menjerit, mengilai dan meracau racau. Para warden hostel telah cuba menenangkan mereka.

Pelajar pelajar perempuan yang histeria dibawa ke surau. Ustaz Halil, guru agama di kolej itu bekerja keras membacakan ruqyah bagi memulihkan semangat mereka. Ketika mereka dikumpulkan, salah seorang warden menyedari kehilangan Ayu.

“Mana Ayu?”

Mereka mencari di sekitar surau dan beberapa orang pelajar perempuan yang tidak mengalami gangguan histeria itu disuruh untuk mencari Ayu di hostel mereka.

Dengan tiba tiba, mereka di kejutkan dengan jeritan jeritan dari arah hostel pelajar lelaki.

“Ramai jugak yang kena. Kebanyakan yang kena tu, kalau tidak kerana mereka ada saka keturunan, atau mereka sendiri ada ambil “ilmu” sebelum masuk belajar kat sini.” kata Bob.

Menurut Bob, malam itu dia sedang bersantai bersama kawan kawannya bermain sepak takraw di gelanggang takraw hostel pelajar lelaki. Sedang asyik mereka bermain mereka di kejutkan dengan satu teriakan yang kuat. Mereka berpaling dan melihat Ayu dengan mata yang merah menyala berjalan dengan laju memasuki kawasan hostel mereka.

“Mus!!! Mana kau? Jangan kau sembunyi!!!” jerit Ayu sambil menaiki anak tangga hostel pelajar lelaki. Bob dan kawan kawannya bergegas mengejar Ayu.

Ketika itulah, beberapa orang pelajar lelaki turut terkena gangguan histeria. Mereka menjerit jerit dengan kuat sehingga jeritan mereka didengari oleh warden dan Ustaz Halil yang berada di surau. Ustaz Halil mengarahkan warden lelaki Cik Wahid dan Cik Manap pergi melihat keadaan di hostel pelajar lelaki sementara dia menyambung memulihkan semangat pelajar pelajar perempuan yang mengalami gangguan.

Di hostel pelajar lelaki, Bob dan kawan kawannya mengejar Ayu dari belakang. Beberapa rakan cuba menahan Ayu tapi dengan mudah Ayu dapat mengelak dari mereka. Mereka sampai di tingkat 3 dimana bilik Mus berada. Beberapa pelajar lelaki menunggu di hadapan Ayu cuba menghalangnya dari mendekati bilik Mus.

“Aku mahukan Mus!!! Kalian yang tidak ada kaitan jangan masuk campur!!!” jerit Ayu, di tangannya ada gunting. Wajah Ayu cukup menakutkan saat itu. Matanya merah dan tidak langsung berkedip.

Mus keluar dari biliknya dan terus bertari silat dengan mata yang terpejam seperti kerasukan. Beberapa orang rakan telah menarik dan menjatuhkannya ke lantai. Mengikut cerita Bob, mereka mendengar Mus berkata kata dalam bahasa siam.

Ayu terus meluru tapi ditarik dengan kuat oleh Cik Wahid, warden hostel yang sampai tepat pada masanya. Gunting yang ditangannya juga dirampas. Cik Wahid membacakan ayat kursi dan menepuk tangannya di belakang kepala Ayu, lalu dia pengsan.

Cik Wahid menelefon warden wanita supaya membawa Ayu keluar dari kawasan hostel pelajar lelaki. Cik Wahid juga telah cuba meruqyah Mus, tapi gagal.

“Mus macam dirasuk sesuatu yang amat kuat, Depan mata aku dia cuba untuk terjun dari tingkat 3 hostel ni. Nasib baik Ustaz Halil sampai masa tu.” cerita Bob lagi.

Ustaz Halil membacakan ruqyah dengan tangannya mencengkam kepala Mus, Cik Wahid dan seorang lagi warden Cik Manap memegang tangan Mus kiri dan kanan.

“Kau sudah ganggu pelajar pelajar disini. Lihat apa sudah jadi!” kata Ustaz Halil.

“Bukan salah aku, budak ni yang jamu aku.” jawab Mus, atau ‘benda’ yang sedang merasuk Mus masa itu.

Bob yang tidak berganjak dari tempat kejadian dapat mendengar perihal kejadian itu. Menurut Ustaz Halil, Mus telah berjumpa dengan seorang bomoh di kampungnya untuk menyihir Ayu. Tapi sihirnya tidak menjadi kerana saka yang diwarisi Ayu bertindak balas dengan lebih agreasif sehingga menyebabkan gangguan histeria kepada mana mana pelajar yang lemah semangat dan yang mempunyai “pendamping”.

“Pulanglah kau kepada tuan kau, atau aku akan habiskan kau.” kata Ustaz Halil. Dia meminta pelajar pelajar yang ada ketika itu termasuk Bob membacakan surah an-nas berulang kali.

Setelah beberapa lama meruqyah, Mus kelihatan lemah lalu rebah. Uztas Halil mengesyorkan supaya pihak warden menghubungi keluarga Mus dan Ayu untuk membawa mereka pulang.

Bob tidak lagi mendengar berita tentang mereka sejak kejadian itu, sehinggalah Ayu mendaftar masuk kembali ke kolej itu. Oleh kerana Ayu mengambil kursus lain, maka aku tidaklah sekelas dengannya.

Pernah sekali, ketika aku dan Bob berada di tingkat atas astaka melihat perlawanan bola sepak antara pelajar. Kami melihat Ayu berjalan dari kafe bersama kawan kawannya.

“Ayu tu cantik, tapi kalau saka dia dah masuk…hodoh gila!” kata Bob, kami ketawa sambil memandang ke arah Ayu. Jarak tingkat atas astaka dan kafe jauh dan bukanlah dekat. Tiba tiba, Ayu berpaling ke arah kami dan menjerit kuat,

“Kau cakap apa Bob?!”

Aku dan Bob terdiam, terpinga pinga dan terkejut. Kami hanya tersengih dan dibalas dengan senyuman dari Ayu.

*** Nama yang digunakan hanyalah nama samaran. Bukan nama sebenar. ***

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rashdan Rashadi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 21 Average: 4.8]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.