Siapa Dia?

Seperti biasa, setiap hari ahad off day kilang papan tempat kerjaku. Rutinku, bangun seawal jam 5 subuh, solat subuh kemudian bersiap untuk aktiviti jogingku. Route atau laluanku seperti biasa, dari hostel kemudian melalui tasik terbiar ( masa ini belum berlaku lagi tragedi budak lemas ) seterusnya masuk ke kawasan kilang papan, berpusing semula ke arah hostelku. Bentuk O jika di lukiskan….

Sebaik keluar bilik, suhu sejuk menyucuk tubuh. Udara yang keluar dari mulutku berubah menjadi asap. Peluk tubuh berjalan menuruni tangga. Sepi. Semua masih lena. 5.45 pagi lirik jamku. Ayun langkah santai menaiki bukit sebelum capai tanah datar. Suasana penuh kabus. Aku suka suasana ini. Sejuk. Terasa bagai berada di Kundasang. Sejuk yang amat. Sweater ku katup habis zipnya naik ke leher. Tak tahan sejuk. Buat sedikit pemanasan, tidak mahu otot terkehel pula nanti.

Selesai mula berlari anak menuruni jalan yang menghala ke tasik. Entah biar berapa kali selepas bertahun melalui jalan ini, rasa seram pasti timbul sebaik melalui kawasan tasik terbiar. Airnya yang berwarna hitam pekat di permukaan menambahkan seram. Merinding bulu tengkukku. Biarkan saja. Berlari anak. Tapi mata sekejap sekejap melirik ke arah tasik. Entah kenapa pagi tu, langkah kaki bagai tertahan tahan, hati berontak ingin mendekati tasik. Perlahan larianku bertukar jadi gerak perlahan ke arah tasik. Pandang sekeliling. Hanya bunyi unggas. Sekeliling kabus tebal memutih.

Sebaik berdiri di hadapan tasik. Aku kaku. Eh kenapa aku ke sini? Bukankah ini yang selalu ku elak? Pandang permukaan tasik. Ranting kering banyak tercacak ke permukaan. Ada di sesetengah bahagian terdapat kayu balak reput terbenam separuh ke dasar tasik. Tambah seram pemandangan. Heran. Tepi tasik sangat bersih. Tiada sebarang daun kering. Bagai di sapu. Padahal tasik di kelilingi pokok besar. Aku masih cekak pinggang. Pandang sekeliling. Walkman masih terpasang di telinga, tidak fokus pada lagu lagi.

Perlahan berjalan mengelilingi tasik. Hilang perasaan takut dan was was. Terasa damai sangat. Dah alang alang berada di situ, perlahan langkah kakiku nelaju menjadi lari anak. Ikut rentak lagu. Peluh semakin banyak keluar. Tidak peduli. Mataku tetap fokus pada permukaan tasik. Entah kenapa. Asyik. Selepas 40 minit baru terasa penat, ambil keputusan duduk di salah satu pokok balak yang melintang di situ. Agak reput. Letih yang amat. Matahari mula bersinar terik. Kabus mula menipis. Mataku masih fokus pada permukaan tasik. Dalam hati, pasti dalam….berlumpur. terbayang lemas di situ bagaimanalah agaknya. Pap!! Tiba-tiba bahuku di tepuk dari belakang. Terkejut aku sepantas kilat pandang belakang. Luli!!!

” hahaha sori sori…aku tau kau pasti berada di sini… rutin ahadmu kan? ” dia bergerak ke belakang mengelak tumbukan spontanku. Dia pun siap pakai pakaian joging. Pandang dia atas bawah.
” sejak bila kau pandai bangun awal Luli? Bukan kau paling malas bangun awal pagi ahad ke?” Soalku. Tangan isyarat ajak duduk sekali.

” entah kenapa pagi ni cuba angin baru…cuba joging temankan kau” jawabnya seloroh. Hemmmm…wangi!! Hidungku spontan hidu wangi. Pandang Luli sebelahku. Dia ikut pandang sekeliling. Pengalaman mengajarku untuk jaga adab, jangan suka tegur apa-apa. Aku diamkan saja. Semakin Luli mengesot duduk dekat padaku semakin kuat bau wangi itu.

” kau tak takut selalu joging sendirian?” Soalnya.
” takut? Aku takut Tuhan sahaja hehehe” balasku senyum. Dia menoleh padaku senyum. Ku patahkan ranting di sebelahku, kuis tanah di hadapanku.
” kau tau sejarah tasik ni?” Soal Luli lagi.
” eh aku manalah tahu. Kau lagi lama duduk sini daripada aku. Kau tau?” Soalku semula. Dalam diam otakku membuat analisa. Biasanya Luli tidak berperangai pelik seperti pagi ini. Biasanya dia lebih banyak berdiam. Angin dia baik kut fikirku.
” Tau! ” balasnya ringkas sambil bangun dan berlari anak mengelilingi tasik. ” Jomlah” tangannya melambai. Ku balas tanda tidak larat lagi.

Luli, agak kacak dia ni, tinggi lebih kurang 5 kaki 9 inci. Rambutnya yang sedikit berombak, hidung mancung, kulit sedikit gelap membuatkan ramai rakan sekerja perempuan minat dia. Dia? Jarang beri respon entah kenapa. Sepertiku sibuk dengan kerja kami saja. Aku? Oh kalau aku jangan tanya, semua ku layan hahahaha…gelar playboyku melekat sepanjang aku bekerja di sana. Tapi nakalku tetap ada batas.
” Jomlah…tak best joging sendiri” Luli pecahkan lamunanku. Aku tetap isyarat tangan tidak mahu. Penat tidak habis lagi.

” Balik jom ” jeritku. Dia angguk. Jalan beriringan menaiki bukit sebelum masuk ke kawasan kilang. Sekarang masuk ke kawasan hostel. Terlihat penyeliaku sedang hisap rokok dari tingkap hostelnya memandangku semacam. Aku lambai, dia balas tapi wajah bagai terkejut. Aku teruskan berjalan dengan Luli di sebelahku. Ku layan boraknya. Melepasi pejabat, Luli minta izin ke tandas.

” kalau aku lama sangat kau balik dulu jangan tunggu” dia berlari anak ke arah tandas yang berada di belakang pejabat. Aku teruskan berjalan pulang. Sebaik masuk ke dalam bilik, aku capai tuala sabun mandi semua. Langkah malas ke bilik air. Bilik mandi di letak berasingan. Selesai mandi, sarapan yang di sediakan kakak iparku agak sedap pagi ni. Mi goreng telur mata, air milo panas. Kesukaanku. Layan tv sekejap, tengok bugs bunny, kekenyangan naik bilik seterusnya membuta hahahaa. Seperti biasa, bilik hostelku selalu jadi tempat lepak Luli dan Karl. Tengahari mereka berdua berada di bilikku.

” rajin kau Luli pagi ni joging dengan aku” suaraku.
” apa? Joging? Sejak bila aku joging? Kau kan tau aku malas bangun pagi?” Balas Luli. Aku yang sedang menyapu lantai terkedu sekejap. Pandang dia, dia pandang aku. Ah sudah!!!
” kau mimpi ek” soal Karl.
” agaknya hahaha” aku cuba ketawa. Luli sambung baca majalah kartun sambil gelak. Aku????? Bingung sekejap. Sampai ke malam aku masih bingung. Siapa teman aku pagi tadi di tasik kalau bukan Luli???? Sengaja aku tidak ceritakan apa-apa pada mereka berdua.

Esoknya, penyeliaku menegurku, kenapa hari kemarin aku kelihatan berborak dengan seseorang padahal aku berjalan sendiri. Semakin aku bingung. Aku senyum saja bila penyeliaku soal. Siapa dia kemarin??????? Sampailah aku berhenti kerja, aku lipat kemas kisah itu, tidak pernah ku beritahu pada Luli atau Karl.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fozan Hadi

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 4.9]

1 thought on “Siapa Dia?”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.