Sihir Tekan Papan Bahagian Akhir

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan bahagian keempat….

Ada beberapa orang pakcik, datang dan mengucapkan terima kasih pada aku, kerana berjaya menyelamatkan majlis yang hampir musnah ni.

Pak Seli dan bapak kembali dari arah belakang rumah, Pak Seli melihat sendiri luka Uda dan tersengih-sengih, bapak hanya mengeleng-gelengkan kepala..

“Aku dah kata, jangan masuk campur, kalau urusan perempuan, kamu taknak dengar, biar mereka selesaikan sendiri.. Haaaa tulah…” kata bapak bersahaja..

Majlis persandingan yang tergendala diteruskan kembali, dan tetamu yang hadir mula menjamu selera selepas kedua pengantin mula makan berdamai dimeja, nampaknya Kamal terpaksa mengenakan persalinan yang kedua, baju yang pertama rosak bertanah kerana insiden pergaduhan tadi..

Tak jadi makan, walaupun insiden dah berjaya diselesaikan, bapak, aku, Pak Seli dan Uda ke klinik berhampiran menaiki motokar, dan Uda menerima rawatan dengan tiga jahitan di bahagian tusukan keris tadi.

Kami kembali kerumah, dan Uda minta berhenti untuk makan terlebih dahulu sebelum dihantar pulang, lapar katanya!

Pengapit tak dapat, sakit pulak yang datang.. haha

Dalam kereta, Uda berbisik pada aku

“Malu siut, Ayu nampak aku kena tibai!” Kata Uda

Berdekah aku gelak tak dapat ditahan-tahan..

Sampai bapak yang tengah memandu hilang fokus, dan menoleh-noleh, apa dah jadi?

Dikedai makan, bapak minta diceritakan apa yang berlaku sepeninggalan mereka dari khemah tadi, dan aku ceritakan semua..

Aku pun ada bertanya pada bapak, apa pulak yang berlaku semasa dibelakang tadi?

Bapak hanya diam dan tak menjawab apa-apa.. Sesekali pandangannya diarahkan pada Pak Seli, bagaikan menanti Pak Seli yang buka mulut sendiri untuk berbicara..

“Bomoh bangsat tu lari masa dah kalah!” Kata Pak Seli..

“Dia datang untuk menghabiskan kerja yang dibuatnya semalam, tapi bila dah di patahkan, tak berpuas hati, dia kata nak hantar jin dan setan pulak nak jahanam kan aku, tapi tiada kekuasaan yang lebih besar dari kuasa Allah..”

“Hmmmm… sudahlah, benda pun dah berlalu… Ilmunya juga dah aku patahkan. Makanlah, mari kita pulang..” Pak Seli menghabiskan ayat

Uda dan Pak Seli dihantar pulang, Ibu dan bapa Uda sedikit terkejut melihat kaki Uda berbalut dibahagian betis, bapak aku terangkan perkara sebenar, kecelakaan yang menimpa saat silat pengantin, dan ibu dan bapa Uda, takde masalah besar, Uda jugak dah diberikan rawatan, bukanlah dibiarkan balik dalam keadaan masih berdarah-d***h.

Uda perlu banyak masa berehat dirumah..

Keesokkan harinya, sebelum bapak turun dari rumah, aku yang sedang menyapu dedaun kering didepan rumah, dipanggil bapak untuk duduk bersama di beranda depan rumah.

Bapak datang dan duduk diberanda, ditangannya memegang secawan kopi yang dibawa bersama dari dapur, melunjurkan kaki ditangga dan kopi dalam cawan dengan piring bercorak bunga Cina diletakkan ditepi

“Kau tahu apa jadi semalam?” kata bapak pada aku, sungguh misteri..

“Nasib baik juga kau dan Uda tak mengikut.. Hebat juga ilmu hitam bomoh tu semalam.. Agaknya kalau Uda mengikut, mesti lari bertempiaran macam selalu.. hahaha” sambung bapak lagi sambil ketawa

“Kenapa bah?” Balas aku

“Kami dibawa masuk ke ‘alam’ dia.. Abah nyaris tak dapat keluar, Pak Seli kau memang hebat, tapi dia taknak orang tahu..” Kata bapak aku

“Masa abah dan Pak Seli kau sampai, kami nampak dia menyorok dibelakang pokok, macam kau nampak semalam tu kan? Bezanya kali ni, pokok yang dia bersembunyi tu, lebih jauh kebelakang..”

“Bila dikejar dan semakin dekat, dia hilang dan muncul balik dibelakang pokok yang lain..”

“Pak Seli kau kunci gerak ‘dia’ dan kami masuk melangkah dekat pada dia, dan sekelip mata, kami berada didepan rumah Pak Seli, cuaca dan waktu jugak berubah, waktu jadi maghrib, anehnya tiba-tiba ada gelanggang silat dipasang jamung, di depan rumah Pak Seli..” Kata bapak

“Entah alam mana dia dah bawak aku dan Pak Seli, tak taulah. Yang pastinya, dia tau tu rumah Pak Seli, dan boleh jadi juga dia sengaja buat macam tu, supaya semangat kami luntur dan musnah..” sambung bapak aku

“Dia datang tanpa pakaian dengan seluar hitam, jenis kain kasa, macam seluar silat kau, dengan kain berwarna merah diikat dipinggang. Berdiri dan mencabar beradu tenaga dengan Pak Seli kau..”

“Dia bawak dua tiga jin sihir turun sekali untuk hapuskan abah dan Pak Seli..” Kata bapak sambil meneguk air kopi pahit yang dibawa..

“Jin yang saiznya dua kali ganda saiz abah.. Abah azan, tapi nampaknya suara tak terkeluar, sangkut dikerongkong. Terpaksalah berseteru dengan kekuatan badan..” Keluh bapak aku

“Jadi abah bergasak jugalah sebenarnya semalam?” Tanya aku

“Hmmmm.. begitulah, berbiratlah juga badan, sebab dia pakai cemeti ekor ikan pari..” kata bapak sambil menunjukkan belakang badan yang ada kesan bergarit di dua tiga tempat. Ada kesan lebam juga yang terkesan yang dapat dilihat dengan jelas, dibahagian bawah belikat kiri..

“Habis, macam mana abah berjaya kalahkan dia?” Aku tanya lagi

“M**i kutu juga masa tu, sebab tak bawak senjata, kan? Tapi Pak Seli, ada langkah Panglima yang kita tak tau..” Kata bapak aku

“Langkah panglima?” aku balas

“Ya! Dia sendiri bawak senjata yang disimpan dalam hari kelapan! Kau masih ingat lagi dia keluarkan kilat masa berseteru dengan bomoh pukau dulu?” Balas bapak aku

“Ohh.. hari kelapan!” Aku balas dengan sedikit teruja..

Ilmu yang aku mohon diberi tunjuk ajar, ilmu yang seolah seperti memiliki saku untuk menyimpan alatan atau senjata secara ghaib, yang datang secara ghaib dan pergi juga secara ghaib. Tapi masih belum diberi rezeki untuk dituntut, Pak Seli kata ilmu ni ‘berat’ dan perlukan kematangan dan juga amal yang konsisten.

“Apa yang Pak Seli simpan, bah?” Aku tanya lagi

“Raja Kayu Imam Sahak, ada pada Pak Seli rupanya.. Itulah yang dia keluarkan! Semalam aku nampak Raja Kayu mengeluarkan cahaya kuning keemasan sebelum bertukar putih terang! Silau mata memandangnya, digunakan untuk mematahkan serangan jin sihir bomoh tu!”

“Dengan dua kali hentak, bomoh mengelepar dan lari meninggalkan kami.. Jin-jin belaannya hangus terbakar! Hmmmm… Terngiang-ngiang suara dia kata nak membalas dendam..” Sambung bapak lagi, tangan ditongkat didagu, dan mata merenung jauh kedepan

“Semalam kami balik semula dari sana pun melalui satu pintu, pintu bercahaya putih. Pintu yang duduknya dibahagian yang ganjil dirumah Pak Seli..”

“Bahagian mana, bah?” Pintas aku masih teruja..

“Bahagian yang tak sepatutnya ada pintu dirumah Pak Seli, kalau kau perasan, antara ruang dapur dan ruang tamu rumah Pak Seli, ada bilik kecil disebelah kiri..” Kata bapak

Aku mengangguk-angguk

“Dalam bilik, ada lagi sebuah bilik, yang aku pun tak pernah tahu, mungkin bilik yang wujud secara ghaib, dari situ kami keluar.. Ada kesan cahaya putih yang tembus ke alam dibawak bomoh tu..”

“Kami tembus ke tempat terakhir Pak Seli kunci gerak dia, sebelum kami melangkah, masa mula-mula tadi..”

“Hmmm… Sudahlah, abah pun dah malas nak ingat lagi..”

“Tapi yang pasti, bomoh yang dah kalah tu, Pak Seli kata dah kosong, abah pun tak tau..” Kata bapak aku..

“Betul ke Kamal merampas tunang budak yang mengamuk semalam tu? Siapa namanya? Lupa pulak aku!” Tanya bapak aku

“Azam, bah!”

Bapak kemudian mengangguk-angguk

“Tak pasti bah, tapi masa diangkut kebalai, Si Nina tu ada cakap, mereka dah dua tahun putus tunang sebelum Nina bertunang dan bernikah dengan Kamal, lagipun katanya Azam panas baran, jenis naik kaki tangan, sebab tu pertunangan diputuskan..” Balas aku..

“Hmmm, aku nampak pun, memang begitulah orangnya, jenis yang kurang sabar..”

“Kampung kita dulu pun ada kes yang serupa tau, Rip!” Kata bapak aku secara tiba-tiba..

“Serupa yang macam mana, bah?” Balas aku sepontan

“Serupa dari segi sihir, pengantin gagal akad nikah walaupun dah berkali ulang proses yang sama, masa tu abah kecik lagi.. Sampai mandi air sungai bawah jambatan, nak dibuang sihirnya.. Abah yang masa tu umur tengah budak-budak lagi, ikut naik basikal tengok pengantin lelaki dimandikan bawah jambatan simpang masuk kampung kita ni..”

“Semalam, kenapa kau ketawa masa dalam kereta? Pelik pulak abah rasa.. Sebab tiba-tiba kau ketawa..” Bapak bertanya pada aku

“Anu.. takde, si Uda… minat kat pengapit.. malu katanya ditibai depan orang yang dia minat, itu yang kita ketawa..” Aku balas sepontan, tak guna berahsia pada pendapat aku..

“Ohhh… Ayu kan nama dia?” Kata bapak aku nak tergelak..

“Entahlah bah… hahahaha.. ” Aku yang tergelak, bila dikenangkan semula insiden semalam..

Bapak bangun dan berlalu kedapur untuk meletakkan cawan, sebelum keluar ke kebun melihat buah. Aku terdengar bapak ketawa sendirian semasa berjalan. Mungkin lucu pada pendapatnya gelagat si Uda..

Aku melawat Uda yang terlantar dirumah pada sebelah petang, berkain gombang tanpa baju, dengan kain balutan luka yang baru ditukar..

Habis sebelah kakinya termasuk bahagian yang tak sakit pun dia lumur ubat kuning, lucu tengok Uda keresahan tak dapat keluar bermain bola dipetang hari seperti selalu..

“Sakit ke, Da?” Aku mengusik

“Hei! Hati aku lagi sakit tengok kau kalahkan si bedebah tu! Aku jeling je si Ayu tu.. Mata tak lepas-lepas tengok kau!” Balas Uda sambil tarik muka..

“Hahahaha.. kau lah yang punya pasal! Kau yang pilih dia kan? Kau suruh aku ambil Kamal semalam! Kalau tak, kau dah jadi hero dah!” Balas aku sambil ketawa mengekek..

Geli hati betul dengan perangai si Uda ni!

“Patutnya, masa dia banting tu, kau berputar sekali! Rebah ke tanah dan bagi satu tendangan biar dia melonjak naik! Kau dah salah teknik!” Aku sambung lagi..

“Aku nampak Ayu bagi kau kertas, lepas polis sampai, err… Dia bagi nombor telifon ke?” Tanya Uda

“Haah!” Aku dah terhinggut-hinggut menahan ketawa

“Sampai hati kau, tak bagi kat aku, Rip..” Kata Uda

“Otak kau! Dia bagi duit upah la untuk silat! Tapi aku tolak.. Nak buat apa? hahahaha..” Aku dah tak dapat tahan ketawa..

“Habis kau tak mintak nombor telifon dia untuk aku?” Tanya Uda

“Ahh! Tak kuasa aku! Kau nak, mintaklah sendiri!” Aku dan Uda sama-sama ketawa..

Begitulah ceritanya untuk kali ini, pangajaran yang aku kutip kali ni..

Seperti yang dah aku katakan dipertengahan cerita, jika bukan Hak kamu, belajarlah untuk melepaskan dan terima ketentuan yang tertulis. Tapi jika memang sudah tertulis ianya Hak kamu, maka pertahankanlah, biar m**i menjemputmu!

Sekian, cerita aku kali ni, moga terhibur..

Salam Hari Raya Aidilfitri dari perantauan.

Aku mintak, korang doakan aku dan keluarga tabah beraya berjauhan antara satu sama lain. Doakan juga kekangan rentas negara yang menyekat selama ni, diangkat dan keadaan kembali seperti sedia kala..

Semoga kita semua terpelihara dari perbuatan khurafat dan khianat manusia.

Terima kasih pada yang sudah membeli Novel Pusaka.. Selamat mengembara bersama Arif, bapak dan Pak Seli..

Bagi la love icon lagi, last ni…. bhahahaha… aku taknak like, aku nak love..

Salam hormat,

xoxo

#Pusaka

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Arif Yahya

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 15 Average: 5]

13 thoughts on “Sihir Tekan Papan Bahagian Akhir”

  1. Saya kak mimi dari seremban.
    Maaf bertanya
    Novel pusaka …mmg ada terjual dlm shopee ke ?..jika tiada…bagaimana cara utk akak men dpt kn novel tersebut ?
    Sekian , terima kasih.

    Reply
  2. 🍸🌹🌹🍸🌹🌹🍸
    🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹
    🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹
    🍸🌹🌹🌹🌹🌹🍸
    🍸🍸🌹🌹🌹🍸🍸
    🍸🍸🍸🌹🍸🍸🍸
    🍸🍸🍸🌹🍸🍸🍸
    🍸🎁😊❤☺🎁🍸

    Terbaik..teruskan bercerita…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.