Sisi Lain

Hampir habis sebotol air yang sejuk dingin dari peti sejuk diteguk dengan sekali nafas sahaja. Lelah dan mengah bermain tadi hilang bersama kedinginan air penghilang dahaga. Setelah mengisi semula botol air dan meletakkannya ke dalam peti sejuk, segera kaki kecil yang comot oleh debu dan lumpur kering menaiki tangga ke tingkat atas dari dapur menuju ke bilik. Sampai di bilik, tuala segera dicapai dan dia berlari terus ke bilik air untuk mandi dan bersiap bersih serta rapi sementara menunggu azan maghrib berkumandang.

Jam tujuh setengah malam, seusai solat maghrib berjemaah seisi keluarga, berebut tujuh beradik mengambil tempat duduk sambil menunggu giliran untuk mengaji dengan Ayah. Semuanya perlu tersusun sebelum Ayah duduk di hadapan mereka. Andai masih lagi berebutan, alamatnya rotan yang halus lagi memeritkan pasti hinggap di peha. Ya, Ayah memang garang dan tegas. Segalanya perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkannya sebagai ketua keluarga untuk dipatuhi seisi rumah.

Seorang demi seorang selesai mengaji. Tiba giliran Ateh pula, dengan perlahan dia mengesot kehadapan Ayah sambil mendorong rehal beserta muqaddam. Melihat misai dan janggut Ayah yang bergunting rapi seterusnya ke arah rotan ditangannya, membuatkan Ateh menelan liur.

“Cepat,” tingkah Ayah. Ateh memperkemaskan silanya. Dia menarik nafas panjang dan mula membaca satu persatu huruf jawi dimuka muqaddam.

“Sin, shim, sod…” suasana tiba-tiba menjadi sunyi.

“Teruskan,” Ayah bersuara. Terkulat-kulat Ateh cuba mengingati nama huruf jawi selepas huruf ‘sod’ itu.

Akhirnya, dengan keyakinan yang tinggi dan nada suara yang kuat, Ateh menyebut “Boat,” terus terbuntang mata Ayah mendengarnya.

“Apa? Ulang semula.” Ayah bersuara. Ateh mengulang semula dengan yakin

“Boat.” Adik-beradik lain di belakangnya sudah senak perut menahan tawa. Bergegar-gegar bahu mereka ketawa dalam hati.

“Dhad,” Ayah membetulkan.

“Boat,” Ateh pula mengikut.

Begitulah berulangkali sehingga rotan hinggap di peha. Pijar rasanya peha yang menerima sebatan sebentar tadi.

“Boat! Boat! Orang ajar bunyinya Dhad! Susah sangatkah nak bezakan bunyi B dengan D?” mencerlung mata Ayah. Melihat anak di hadapan mata sudah bergenang airmata, segera diakhiri sesi bacaan tersebut. Ateh segera mengemas rehal dan muqaddamnya dan terus berlalu ke dalam bilik dimana adik beradik berkumpul merehatkan diri sebelum makan malam.

Apabila melihat Ateh yang bermuka masam masuk ke dalam bilik, berderai gelak ketawa adik-beradiknya yang lain mengejek perihal ‘dhad’ dan ‘boat’ tadi. Makin mencuka muka Ateh dan akhirnya Ateh pun turut sama ketawa kuat sambil menyapu ubat gamat pada bengkak di peha kesan libasan Ayah tadi.

Usai makan malam, Ayah memanggil Along, Kak Ngah dan Kak Alang ke ruang tamu rumah. Ruang tamu yang luas, Ayah jadikan gelanggang mengajar silat kepada tiga anaknya itu. Empat beradik yang masih kecil hanya duduk bermain dan menonton di tepian sahaja. Tiba-tiba terasa lantai rumah kayu itu bergegar kuat. Tergaman semua orang melihat Along yang berbadan besar terbaring di lantai hasil dibanting oleh Kak Ngah yang dua kali lebih kecil dari saiz badan Along. Ayah segera menghentikan acara malam itu setelah berpesan dengan tegas pada kami semua.

“Jangan ada seorang pun anak-anak ayah berani belajar silat!”

Ada sedikit kepelikan disitu, tetapi hendak diingkar arahan Ayah tiada seorang pun yang berani. Namun tidak bagi seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang nakal dan agak kelelakian tingkahnya. Kejadian itu sangat mengagumkan! Tersemat jauh disudut jiwa polosnya bertekad, ilmu seni bela diri sebegitu akan dipelajarinya suatu hari nanti. Dan kanak-kanak perempuan itu adalah Aku. Ya! Aku.

Maka bermulalah kisah Aku dalam kembara mencari jati diri dan bermulanya kisah-kisah sisi lain diri Aku yang tidak pernah diketahui oleh orang lain hatta sahabat yang paling rapat dengan Aku selain mereka-mereka yang telah pun melaluinya bersama Aku. Perwatakanku sentiasa ceria, selalu bergelak ketawa. Keramahanku tak kira siapa disisi. Itulah perwatakan luaranku dari kaca mata mereka yang mengenali diri ini.

***

Setahun berlalu dengan rutin harian yang sama saban hari kecuali latihan silat. Latihan silat terus dihentikan serta merta oleh ayahku sejak malam kejadian Kak Ngah dengan Along dulu. Walaupun begitu, ianya tidak sedikit pun memadam impian aku untuk mempelajarinya suatu hari nanti. Itu tekad dan hala tuju utama seorang kanak-kanak perempuan yang masih berumur sebelas tahun. Cukup naif.

Mak dan ayah sibuk menyusun atur dan menyimpan barang-barang ke dalam kotak. Keluarga kami akan berpindah ke Negeri Sembilan. Jawatan mak dan ayah selaku Pengurus Felda memungkinkan kami berpindah setiap lima tahun ke lain-lain negeri. Dan kali ini yang terakhir keluarga kami berpindah tempat tinggal. Permohonan mak dan ayah untuk bertugas di negeri kelahiran mereka sehingga pencen telah diluluskan. Ceria wajah kedua-duanya ketika mengemas.

Cukup masa dan harinya, barang-barang kami diangkat naik ke atas lori. Sedih rasa hati untuk berpisah dengan jiran-jiran yang selalu membantu ketika susah mahupun senang.Maka bermulalah perjalanan jauh kami ke tempat baharu.

***

Menghadapi suasana di sekolah baru semakin menaikkan semangatku. Keramahan mulut becokku ini membolehkan aku senang mendapat ramai kawan baru. Tapi kawan-kawan hanyalah di sekolah sahaja kerana aku lebih senang hati memerap di rumah mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi UPSR dari keluar kerumah kawan-kawan. Duniaku hanyalah di sekolah dan di rumah sahaja.

Sehinggalah pada suatu hari, salah seorang kawan mengajak aku menyertai Silat Harimau yang heboh diperkatakan seluruh kampung. Dan peluang itu tidakku lepaskan. Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Aku terus menyatakan persetujuanku tanpa berfikir lagi untuk menyertainya. Maka bertambahlah ‘duniaku’ dari dua menjadi tiga iaitu di sekolah, di rumah dan di gelanggang latihan.

Disebabkan aku menyertai latihan secara senyap-senyap. Saban malam aku memberi alasan ke rumah kawan mengulang kaji pelajaran kepada orang tuaku. Hakikatnya, aku melencong ke gelanggang latihan. Bersungguh-sungguh aku mempelajari setiap gerak langkah dan ilmu yang guru silat perturunkan kepada kami. Kerana minat yang mendalam, aku tidak sedikit pun merasa letih. Aku tetap bersemangat setiap kali bangun pagi.

Dua tahun berlalu tanpa dirasa, aku telah pun menginjak ke alam ramaja. Hari-hariku seperti biasa, penuh dengan keceriaan. Perubahan fizikal dan mental bukan halangan untuk aku meneruskan minatku dalam seni bela diri. Masih juga saban malam aku hadir ke gelanggang latihan.
Dari pagi membawa ke petang aktiviti aku banyak di sekolah. Malamnya, selepas aku pulang dari latihan silat, terus aku membersihkan diri dan bersedia untuk masuk tidur. Niatku hanya ingin merehatkan minda dan badan yang keletihan. Seperti biasa, aku memadamkan lampu bilik dahulu sebelum merebahkan badan di atas katil.

Sedang mata terkebil-kebil dalam kegelapan mencari kantuk yang hilang tiba-tiba, aku terpandang pada tingkap yang dilitupi langsir di bilikku. Seakan ada cahaya lilin di luar tingkap. Meliang liuk cahayanya ke kiri dan ke kanan. Pada mulanya, aku tidak mengendahkan cahaya itu. Sangkaanku lampu dari rumah belakang sahaja. Aku terus memejamkan mataku.

Tiba-tiba sahaja aku tersedar dan mencelikkan segera mataku yang terpejam. “Rumah belakang mana ada sesiapa yang tinggal. Rumah tu memang dah lama kosong!” aku bermonolog sendiri. Terus laju mataku menyorot kembali ke arah tingkap. Cahaya lilin tadi masih ada tetapi kali ini terlihat sangat dekat dengan tingkap bilikku. Kemudian cahaya itu semakin malap seakan menjauh dan terang semula seakan mendekat. Terliang liuk melambai seolah-olah sengaja mengajakku bermain bersama.

Dengan rasa ego dan kurang kesabaran kerana terasa dicabar serta rasa ingin tahu yang kuat, aku bingkas bangun, melompat turun dari katil. Laju tanganku menyelak kain langsir dan menarik tuil membuka tingkap. Tiada apa yang aku lihat kecuali gelap gelita tengah malam di kawasan belakang rumah dengan diiringi bunyi cengkerik dan katak. Cahaya tadi aku lihat lenyap sama sekali. Aku mendengus kasar. Tiba-tiba suasana menjadi sunyi sepi tanpa sedikit bunyi pun.

Aku merenung terus ke kawasan belakang rumah kosong. Disana, berdiri sesosok putih bergoyang ke kiri dan ke kanan menghadapku di tengah semak samun separas pinggang. Lama aku merenung ke arah sosok putih itu, menanti apa yang bakal berlaku. “Kau makhluk, aku pun makhluk. Kau tahu makhluk seperti aku mampu menyakiti kau dengan izin-Nya. Aku tak kacau kau, jadi jangan kacau aku.” aku berbisik perlahan dan tenang. Dan aku yakin sosok putih itu pun mendengar. Bila sosok putih itu terus-terusan sahaja berada di tempatnya, perlahan aku menutup tingkap dan kembali semula ke katil. Merebahkan tubuh, mataku mula memberat dan terus terlena sampai subuh.

Keesokkan paginya aku bangun dengan penuh kesegaran. Cuti bulanan perempuan memberikan aku masa untuk tidur lebih lama. Aku meregangkan badan untuk membuang lenguh-lenguh badan semasa tidur malam semalam. Tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu di belakang badanku. Segera aku bingkas bangun untuk melihat apakah benda yang aku rasa sebentar tadi. Buntang mataku melihat ‘benda’ berwarna hitam di atas tilamku itu. Sepantas kilat tanganku menepisnya sekuat tenaga lalu melompat turun dari katil. Nyaring suaraku menjerit memecah keheningan pagi sambil berlari keluar dari bilik.

“Ulaaar!”

Ayah yang sedang mencuci kereta di garaj segera masuk ke dalam rumah apabila mendengar jeritanku. Aku mendapatkan ayah dan memberitahu ada ular hitam m**i terpenyek di dalam bilikku. Ayah segera menuju ke sana sambil aku mengekori dari belakang. Kami sama-sama terkejut melihat ular yang aku hebohkan sebentar tadi, rupa-rupanya sebilah keris! Kemas terpacak di dinding kayu, hasil tepisan kuat dariku tadi. Keris yang lebih panjang dari keris biasa, tidak berhulu dan tidak bersarung. Hanya mata keris yang bersih berkilau seakan dijaga rapi.

Ayah memandang aku tajam, kemudian melorot matanya ke arah keris di dinding. Kelihatan keris tersebut bergetar dan mengeluarkan bunyi desing yang nyaring, membuatkan ayah aku segera menekup telinga kerana bunyinya melangsing halus menyakitkan gegendang telinga. Tetapi situasi itu tidak aku alami. Desingan itu seakan siulan seruling yang mendamaikan. Seakan memanggil aku untuk mendapatkannya. Aku melangkah tenang ke arah keris tersebut dan mengusapnya perlahan. Terus sahaja keris itu berhenti bergetar dan mendesing.

Dengan lafaz bismillah, aku mencabut keris dari dinding. Aku meneliti setiap inci muka keris dan mengusapnya perlahan seolah-olah melepaskan rindu yang lama terpendam pada sahabat yang setia dan telah lama terpisah. Lalu keris itu aku junjung tinggi melepasi kepalaku, kemudian aku tegakkannya dan aku kucup dari hulu membawa ke hujung keris layaknya seorang pendekar menjunjung hormat kembar kepada nyawanya.

Ayah kaget dengan perlakuanku. Perlahan ayah menghampiriku. Aku hanya tersenyum melihat ayah untuk meredakan hatinya supaya tidak berfikir mengenaiku yang tidak-tidak.

“Mana kau dapat keris ni? Banyak loknya. Jarang boleh jumpa keris panjang macam ni.” ayah meluahkan pertanyaan yang terpendam.

“Entahlah yah. Bangun tidur tadi tiba-tiba dah ada. Orang pun ingatkan ular tadi.” aku menjawab pertanyaan ayahku. Lantas aku menceritakan perihal cahaya lilin yang datang malam semalam pada ayahku.

“Oh. Mungkin nenek moyang kau datang melawat kau agaknya semalam tu.” ayah mengutarakan kesimpulannya setelah mendengar cerita aku.

Aku hanya diam mendengar kata-kata ayahku itu. Mengiakan tidak, menidakkan pun tidak. Sebabnya aku susah nak percaya pada perkara-perkara tahyul, apatah lagi yang boleh mendatangkan khurafat. Tetapi aku percaya kewujudan jin,syaitan dan alam ghaib. Bagiku semuanya makhluk ciptaan Allah. Dan manusia lebih baik ciptaannya dari makhluk-makhluk yang lain. Cukup kita letakkan teguh Allah dan Rasulullah di jiwa. Insha Allah iman tetap kukuh dalam diri.

“Jadi, keris ini datang sendirilah ya.” terpamer kekaguman dan keterujaan di wajah ayah. Ayah segera mencapai buku yasin di atas meja bacaanku dan menyelitkan keris diantara helaian buku yasin tanpa menyentuhnya untuk mengangkat keris tersebut dari tanganku.

“Kau kena belajar cara macamana nak jaga keris ni nanti.” ayah bersuara lagi.

Terkejut aku mendengar kata-kata ayahku itu. Terus sahaja mulut cabulku ini menjawab sambil menggerutukan badan. “Eiiishh. Tak koso do sey!” Cepat-cepat aku mencapai tuala lantas berlalu keluar ke bilik mandi, meninggalkan ayah seorang diri.

Bersambung…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Niqiey Delova

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 1.5]

27 thoughts on “Sisi Lain”

  1. Akhirnya, dengan keyakinan yang tinggi dan nada suara yang kuat, Ateh menyebut “Boat,” terus terbuntang mata Ayah mendengarnya. hihihi

    Reply
  2. Osah kau eh,..Sambung tau. Jangan tinggalkan banyak tanda tanya pada para pembaca macam citer2 lain sblm ni. Kalau kau tak sambung,. Lobam bijik mato kau den kojokan.

    Reply
  3. 10/10 amatlah sukar bagi tok untuk menghadiahkan full point buat cerita bersambung.. Tp untuk ini tok kena bagi.. So penulis tau yang dia kena submit sambungan setori ni secepat yang boleh..

    Reply
  4. Nii episod daa ulangg laaa adminn oiiii … bapaa kali nkk ulanggg daaaaa … huhhhh minggu lps ada gakk pasal cete ni

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.