Sofea

Salam kepada admin dan para pembaca FS yang dihormati. Namaku Azim. Kisah ini juga berlaku di Maahad wanita, tempat yang sama seperti dalam kisah Tuan Sheikh (fiksyenshasha.com/tuan-sheikh). Kisah Tuan Sheikh berlaku beberapa tahun lepas, manakala kisah Sofea ini baru sahaja berlaku pada tahun lepas, iaitu tahun 2018. Aku memohon maaf kepada para pembaca kisah Tuan Sheikh yang mengharapkan aku menceritakan dengan lebih lanjut insiden aku menggempur Tuan Sheikh, kerana sebenarnya tujuan aku menulis kisah-kisah ini adalah sebagai panduan dan pengajaran untuk kita semua, tetapi untuk memenuhi permintaan sahabat-sahabat di FS yang mengharapkan, insyaAllah pada masa yang bersesuaian akan aku ceritakan nanti.

Sementara itu, bolehlah sahabat-sahabat FS mengikuti nukilan pertamaku yang tersiar di FS iaitu sebuah cerita fiksyen yang bertajuk Gerimis Malam (fiksyenshasha.com/gerimis-malam) yang aku tulis lebih daripada dua puluh tahun yang lepas dan tersiar di FS pada bulan Jun tahun 2017.

SOFEA

Bulan Januari, sesi pembelajaran baru sahaja bermula di sekolah Maahad. Begitu juga sesi latihan silat, dengan adanya pertambahan bilangan pelajar kerana ada pelajar yang baru mendaftarkan diri di Maahad. Pelatih silat terbahagi kepada beberapa kelas, sesuai dengan peringkat masing-masing berdasarkan silibus yang diajar.

Untuk kelas baru, pada beberapa sesi awal latihan, aku sendiri yang mengendalikan kelas. Agak susah untuk jurulatih-jurulatih yang aku lantik untuk melatih pelajar peringkat asas kerana ramai di antara mereka yang tak pernah ada pengalaman langsung dalam seni beladiri, jadi agak mencabar untuk memberi kefahaman kepada mereka. Kelas hari itu berjalan seperti biasa dengan aku membuat sesi taaruf secara ringkas untuk aku kenali setiap pelajar dengan lebih dekat.

Latihan silat diadakan selama lebih kurang dua jam. Selepas sejam, mereka akan berehat selama lima hingga sepuluh minit sebelum meneruskan kembali latihan untuk sejam yang berikutnya. Sewaktu sesi latihan berhenti rehat pada hari itu, seorang pelatih senior, Siti namanya, datang menemuiku. Katanya ada seorang pelajar baru bernama Sofea ingin bercakap denganku. Selepas mendapat persetujuanku, Siti memanggil Sofea. Sofea datang menemuiku, nampak agak janggal dan teragak-agak dia nak memulakan bicara. Mungkin sebab dia masih baru dan belum biasa bercakap denganku. Mungkin juga dia fikir jurulatih silatnya ini seorang yang garang, tetapi pelatih senior semua tahu aku jarang meninggikan suara sewaktu mengajar silat. Kelas silat biasanya berjalan dalam situasi santai, tetapi mereka semua dah faham sikapku, dalam santai ada tegasnya, sebab itu mereka tak berani berlatih main-main dalam kelasku dan pada masa yang sama berlatih tidak dalam keadaan tertekan. Untuk meredakan perasaan gelisah Sofea, aku terlebih dahulu bertanya kepadanya.

“Ada hal apa Sofea nak bercakap dengan saya?” Aku mulakan perbualan.

Sofea nampak seperti berfikir sesuatu, mungkin tercari-cari bagaimana harus dia mulakan ceritanya.

“Err… sebenarnya Cikgu…” agak perlahan suaranya. Aku sabar menanti.

“Saya selalu dengar suara,” sambung Sofea.

“Sejak bila?” Tanyaku.

“Sebenarnya dah lama, dalam dua tahun, sejak umur saya empat belas tahun, tetapi kebelakangan ni suara tu makin kerap kedengaran,” Sofea semakin lancar menceritakan masalahnya.

“Sebenarnya yang Sofea dengar tu suara ke atau bisikan?” Tanyaku lebih lanjut.

“Suara… bukan bisikan. Suara itu selalu bercakap dengan saya. Kadang-kadang dia cuma berbual, kadang-kadang dia menyanyi.”

Aku tau adanya kes-kes gangguan yang berkaitan dengan pesakit mendengar bisikan atau suara, tetapi secara peribadi aku tak pernah tahu ada juga rupanya yang menyanyi.

“Ada masanya bila saya berada di dapur asrama untuk memasak bersama kawan, dan kalau kawan saya tu buat saya kurang senang atau marah, suara tu cakap kat saya… “Kalau kau ambil pisau dan baling kat dia, boleh m**i dia tu…” tapi saya dapat kawal diri, tak ikut cakap suara tu walaupun ada juga rasa nak ikut katanya,” sambung Sofea lagi. Selain mempelajari ilmu agama, para pelajar juga didedahkan dengan kemahiran-kemahiran seperti memasak, menjahit, menyulam dan berkebun. Seni beladiri juga adalah salah satu daripada bidang kemahiran tersebut.

Dari situ aku mula menilai. Kes ini tak boleh dipandang mudah. Boleh memuaratkan orang sekeliling jika dibiarkan tanpa apa-apa tindakan.

“Cikgu, saya ni gila ke?” Tiba-tiba Sofea bertanya soalan yang di luar dugaanku, agak sayu suaranya.

“Pada saya, Sofea tak gila. Saya tahu ada jin syaitan yang sedang mengganggu Sofea, tapi kalau Sofea pergi ke hospital dan buat pemeriksaan doktor, saya yakin doktor akan diagnos Sofea sebagai menghidap penyakit kemurungan, kategori penyakit mental.” Jelasku. Aku tau serba sedikit tentang kemurungan kerana ada ahli keluargaku yang ada penyakit tersebut. Isteri kepada salah seorang sahabat baikku juga ada penyakit yang sama.

“Saya tahu, ada gangguan jin pada Sofea, tetapi untuk tahu puncanya, dari mana dan kenapa dia mengganggu, saya perlu tahu beberapa maklumat. Ada ke apa-apa peristiwa yang berlaku sebelum dua tahun lepas? Ahli keluarga meninggal ke, atau Sofea menerima apa-apa pemberian barang dari sesiapa, atau ada apa-apa amalan yang Sofea amalkan?” Tanyaku panjang lebar.

Sofea seperti berfikir sejenak, mungkin cuba mengingat kembali apa yang berlaku dua tahun lepas.

“Yang lain tak ada, tapi… amalan… nenek saya ada berikan saya ayat untuk diamalkan supaya memudahkan menghafal.”

“Sofea ingat lagi apa ayatnya?”

“Ya Cikgu, saya ingat,” Sofea membaca ayat yang menjadi amalannya, pendek sahaja ayatnya. Permulaan ayatnya adalah ayat dari Al-Quran, tetapi sebahagian akhir ayat tersebut tidak dapat difahami, tak tahu bahasa apa.

“Amalan ini boleh menjadi salah satu punca datangnya gangguan, tetapi boleh jadi juga ada lagi punca lain. Saya cadangkan Sofea tanya ayah atau mak Sofea, ada tak apa-apa gangguan di rumah.” Sofea mengangguk.

“Ayah dan mak tahu tak tentang masalah Sofea ni?” Tanyaku.

“Buat masa ni ayah dan mak tak tau. Saya tak ceritakan kepada mereka.”

“OK, insyaAllah saya cuba ikhtiarkan. Kita tengok jika ada perubahan nanti,” kataku kepada Sofea sebelum latihan silat bersambung dan berakhir untuk hari itu.

Latihan diadakan cuma seminggu sekali, jadi selang enam hari sebelum latihan minggu berikutnya, aku belasah cukup-cukup makhluk yang selalu bercakap dan menyanyi di telinga Sofea.

Sesi latihan berikutnya. Usai latihan, aku bertanya Sofea tentang keadaanya.

“Suara tersebut masih ada, cuma tidak sekerap sebelum ini,” jawab Sofea. Siti ada di sebelahnya menemaninya bertemu denganku.

Berdasarkan maklum balas dari Sofea itu, aku tau masih ada maklumat yang aku tak tahu dari Sofea atau keluarganya. Maklumat tersebut penting untuk aku membuat tindakan yang bersesuaian.

“Ayah ada belajar apa-apa silat?” Aku cuba bertanya Sofea dengan lebih lanjut.

“Ya Cikgu, ayah ada belajar dua jenis silat, tapi saya tak ingat silat apa.”

“Ayah ada simpan apa-apa senjata ke?”

“Ada, banyak. Keris, parang dan beberapa senjata lain. Ayah memang suka kumpul senjata.”

Kali ini aku rasa aku dah dapat jawapannya.

“Sebenarnya, senjata-senjata yang digunakan dalam persilatan banyak yang mempunyai khadam, apatah lagi jika silat tersebut mempunyai amalan-amalan tertentu yang melibatkan jin. Ada juga senjata yang dipuja, diperasapkan, dimandikan dengan bacaan tertentu, itupun boleh mendatangkan jin menjadikan senjata tersebut sebagai tempat tinggal.” Jelasku.

“Tapi Cikgu, saya tak pernah nampak pula ayah saya perasap atau puja senjata-senjata tu.”

“Senjata tu ayah dapat dari sesiapa atau dia buat sendiri?” Soalku.

“Semua senjata tu ayah beli dan ada juga yang orang bagi.” Balas Sofea.

“Itu yang menjadi persoalannya, kita tak tau sama ada pemilik asal mungkin pernah puja senjata mereka, jadi walaupun ayah tak buat semua tu, tapi jin yang menghuni pada senjata tersebut masih tetap akan ada disitu.” Aku terangkan dengan lebih lanjut.

Sofea mengangguk. Tapi aku tak tau sejauh mana Sofea faham tentang situasi yang sedang dialaminya waktu itu.

Mengakhiri pertemuan pada hari itu, aku beritahu kepada Sofea, “Nanti boleh Sofea tanyakan kepada suara tu, dia kenal saya atau tidak?”

“Baik Cikgu, nanti saya tanyakan,” Sofea nampak sedikit tergelak dengan permintaanku. Mungkin agak lucu bunyinya permintaanku itu. Aku pula, saja aku nak tengok apa respon dari makhluk tu.

Hari-hari berikutnya, aku cuba lagi belasah makhluk yang bersuara tanpa jasad itu. Penting untuk aku tahu, jika pada sesi latihan berikutnya aku bertanyakan kepada Sofea dan suara itu masih ada, maknanya kemungkinan gangguan itu berpunca dari senjata-senjata yang disimpan oleh ayahnya adalah hampir pasti. Jin yang menceroboh, menyinggah atau yang bukan berpunca dari barang-barang yang dipuja biasanya lebih cepat boleh dimusnahkan untuk menamatkan gangguannya, tetapi jin yang menjadikan barang yang dipuja sebagai rumahnya susah untuk dihentikan gangguannya kerana selepas jin yang mengganggu itu dimusnahkan, jin yang lain akan segera menggantikan tempatnya untuk mengganggu tuan barang tersebut dan juga keluarganya. Cara untuk menamatkan gangguan sebegini adalah dengan membersihkan barang tersebut dan menanamnya.

Minggu berikutnya, sewaktu sesi latihan silat berhenti rehat, Siti terlebih dahulu menemuiku. Katanya beberapa hari lepas di asrama, Sofea bersikap agak agresif, marah-marah dan hampir mengamuk. Aku meminta Siti untuk memanggil Sofea menemuiku. Sofea datang, dan dengan ditemani oleh Siti, aku memulakan bicara.

“Bagaimana sekarang,” tanyaku.

“Masih ada Cikgu, tapi makin kurang berbanding minggu lepas.”

Teringat kata-kata Siti tentang Sofea yang bersikap agresif beberapa hari lepas, aku memberi nasihat kepada Sofea;

“Nasihat saya, pada tahap sekarang, Sofea kena ceritakan masalah ini kepada ayah dan mak Sofea, sebab kalau dibiarkan, keadaan akan jadi bertambah parah.”

“Saya pasti punca kepada gangguan ini adalah dari senjata-senjata yang ada dalam simpanan ayah Sofea, tetapi untuk lebih pasti, saya cadangkan Sofea beritahu ayah, pergilah berubat dengan mana-mana ustaz atau perawat yang ayah tahu. Hati-hati jangan tersalah pergi jumpa bomoh pula, sebab bomoh biasanya guna jin untuk merawat, jadi masalah tak akan selesai, ataupun mungkin selesai sekejap kemudian sakit datang balik. Jangan lupa beritahu ustaz tersebut tentang senjata-senjata itu dan tanyakan sama ada betul atau tidak senjata-senjata itu ada khadamnya.” Tambahku lagi memberikan penerangan lanjut.

Sofea cuma diam. Mungkin terfikir bagaimana untuk sampaikan pesanku ini kepada ayahnya nanti.

Suasana sunyi seketika.

“Oh ya, ingat lagi apa yang saya beritahu Sofea minggu lepas? Sofea ada tanyakan kepada makhluk tu sama ada dia kenal saya atau tak?”

“Ada, dia tak nak cakap banyak bila saya tanya macam tu, tapi dia ada cakap, Cikgu adalah kawan dia masa kecil, kawan sama-sama lepak kat kedai mamak,” jawab Sofea sambil tersenyum-senyum.

“Hahaha… pandai pulak dia buat lawak ya. Jangankan waktu saya kecil dulu, sampai sekarangpun di kampung saya kedai mamak pun tak ada,” aku pun tergelak sama.

“Hari tu masa kelas agama, ustaz ada bertanya soalan kepada saya, suara tu ada beritahu saya jawapannya… bila saya jawab, jawapannya betul Cikgu. Dia juga selalu menyanyi, sedap juga suaranya” tambah Sofea.

Dari nada percakapan dan reaksi wajah Sofea, aku dapat rasakan yang seolah-olah Sofea suka dengan kehadiran makhluk yang bersuara itu, seolah-olah dia menganggap makhluk itu seperti sahabat dan penemannya, apatah lagi secara zahirnya nampak boleh membantunya dalam pelajaran. Mungkin sebab kehadiran makhluk itu bukan secara menakutkan, tidak mengganggu secara kebiasaan yang kita ketahui sebegaimana lain-lain simptom gangguan makhluk halus. Itulah sebenarnya tipu daya syaitan, menampakkan perkara-perkara yang baik supaya manusia mempercayainya. Logik akal, syaitan tak akan hasut pelajar aliran agama untuk tinggalkan solat, tetapi dia akan buat perkara yang tidak nampak salah pada pandangan pelajar-pelajar tersebut. Selepas mereka percaya, barulah syaitan akan pesongkan mereka sedikit demi sedikit. Menyesatkan manusia adalah kerja iblis dan jin syaitan, jadi mereka lebih pakar dalam kerja mereka.

Sofea masih muda, belum faham sepenuhnya muslihat dan mainan syaitan, sebab tu dia masih ada unsur suka kepada makhluk yang selalu bercakap dengannya itu. Unsur suka itu terbit kerana makhluk itu tidak agresif, malah pada pandangannya membantunya pula, tetapi mungkin yang Sofea kurang sedar adalah… gangguan sebenar makhluk itu kepadanya adalah kecelaruan minda dan ketidakstabilan emosi yang dialaminya. Kalau dibiarkan, semakin lama masalah kecelaruan mindanya akan menjadi semakin parah kerana gangguan itu akan menjadi semakin sebati di dalam urat darahnya. Pada tahap tersebut, jika dirawat, proses kesembuhan mungkin akan mengambil masa yang agak lama.

“Sofea dengar betul-betul apa yang saya nak cakapkan ni. Sofea jangan sekali-kali ada rasa suka walau sedikitpun kepada makhluk tu, sebab jika perasaan suka itu ada, akan menyukarkan proses kesembuhan. Antara syarat utama untuk kesembuhan adalah kena ada keinginan untuk sembuh dan memutuskan semua pertalian, perasaan, atau apa jua yang berkaitan dengan makhluk yang mengganggu kita,” jelasku.

“Allah juga beritahu kita bahawa iblis dan syaitan adalah musuh kita yang nyata, maka jadikanlah mereka musuh kita,” tambahku lagi.

Pada masa itu, pelajar-pelajar lain yang telah kembali dari berehat sedang berlatih, dipantau oleh pembantu-pembantuku yang terdiri daripada pelajar-pelajar senior. Jarak mereka dengan meja tempat aku sedang berbicara dengan Sofea yang ditemani Siti cuma dalam tiga meter.

Dalam beberapa minit aku menasihati Sofea tentang jin dan syaitan, tiba-tiba kelakuan Sofea jadi resah dan tak tentu arah. Dia menggosok-gosok lengannya, tunduk dan gelisah. Amat berbeza berbanding tadi yang tenang dan ceria. Aku tahu, makhluk tu sedang menguasai fikirannya dan dia marah bila aku memberi nasihat panjang lebar kepada Sofea tentang syaitan tadi. Rasanya ingin sahaja aku belasah makhluk tu waktu tu, tetapi aku takut Sofea kerasukan dan menarik perhatian pelajar lain. Aku tak mahu pelajar lain tahu tentang masalah yang sedang dihadapi oleh Sofea, walaupun ada sebahagian daripada mereka yang tahu sedikit-sedikit tentangnya.

Pelajar-pelajar semua sebenarnya telah sedia maklum, bila ada di kalangan mereka yang bertemu denganku dan berbual dalam jangka masa yang agak lama, maknanya pelajar yang menemuiku itu memang ada masalah, cuma pelajar-pelajar lain tak tahu apa masalah pelajar tersebut kecuali beberapa orang yang berkenaan sahaja.

Melihat kelakuan Sofea yang semakin tak terkawal, aku suruh Siti bawa Sofea dan teruskan latihan. Pelatih kelas paling baru berlatih agak jauh, lebih kurang sepuluh meter dari tempat kami berbincang tadi. Nampak Sofea cuba berlatih, tetapi gerak tubuhnya masih menunjukkan yang dia sedang dalam keadaan tak stabil. Dari jarak sepuluh meter itu, Sofea yang pada waktu itu cuba-cuba juga membuat latihan belebat silat, tanpa disedari pelajar-pelajar yang sedang berlatih, aku belasah makhluk yang sedang menguasai Sofea, sekadar menguji sama ada Sofea masih di bawah pengaruh makhluk itu atau tidak. Tiba-tiba badan Sofea menjadi longlai dan separuh membongkok.

Aku panggil Siti. “Siti, tolong bawa Sofea berehat di dalam, dan kalau boleh temankan dia di situ.”

“Baik Cikgu,” Siti akur. Dia faham apa yang sedang berlaku kerana dia kerap menemani pelajar-pelajar yang ada masalah untuk menemuiku. Jadi Siti sendiri dah mendengar pelbagai masalah yang diluahkan oleh pelajar-pelajar tersebut di samping mendengar juga semua nasihat dan penerangan yang aku berikan untuk setiap masalah mereka.

Selesai latihan, Siti datang menemuiku.

“Cikgu, masa saya temankan Sofea tadi, mulut dia dok membebel marahkan Cikgu. Dia kata kalau Cikgu pandai sangat buanglah semua,” kata Siti. ‘Semua’ itu adalah merujuk kepada makhluk-makhluk yang mengganggu itu.

Aku cuma senyum, dan berkata kepada Siti, “Siti, itu bukan Sofea, dia sedang dipengaruhi oleh makhluk tu. Sitipun tahu bagaimana sikap Sofea yang sebenar kan?”

“Ya Cikgu, saya faham,” Siti mengangguk.

“Cikgu, petang nanti mak ayah pelajar akan melawat anak masing-masing,” tambahnya lagi.

“Kalau begitu eloklah. Tolong beritahu Sofea, jangan lupa beritahu ayahnya tentang cadangan saya tadi dan masalah yang sedang dihadapinya.”

“Baik Cikgu, insyaAllah nanti saya sampaikan.”

Minggu berikutnya, Sofea tiada dalam latihan silat.

“Cikgu, Sofea dah beritahu ayahnya dan ayahnya setuju untuk bawa dia pergi berubat,” Siti melaporkan kepadaku.

“Alhamdulillah, senang pula ayahnya faham masalah Sofea ya?” Aku lega sebab ayah Sofea setuju untuk bawa Sofea pergi berubat, sebabnya sebelum ini aku bimbang sekiranya ayahnya tak faham apa sebenarnya yang berlaku.

“Senang la Cikgu, sebab waktu kat rumah, ayah Sofea pun kena kacau juga, katanya ada hantu merangkak kat bawah kakinya waktu tidur malam,” cerita Siti macam nak tergelak.

“Ooo… patut la,” bila Siti cakap pasal hantu merangkak, teringat pula aku pada hantu Jepun seperti dalam cerita The Ring.

Seminggu selepas itu. Sofea kembali ke kelas latihan silat. Nampak dia lebih ceria dan air mukanya pun berbeza dari sebelum ini.

Selesai sesi latihan, Sofea menemuiku.

“Sofea apa khabar sekarang? Masih ada suara kawan saya yang lepak kat mamak waktu kecil tu?” Tanyaku separuh berjenaka.

“Alhamdulillah Cikgu, dah tak ada. Minggu lepas ayah saya bawa saya pergi berubat dengan ustaz. Betul kata Cikgu, keris dan senjata-senjata yang ada dalam simpanan ayah tu memang ada khadam, ustaz dah ruqyahkan dan tanam. Ustaz mandikan kami dengan air campuran bidara dan beberapa jenis tumbuhan dan herba. Cuti sekolah nanti ustaz suruh kami pergi jumpa dia untuk mandikan sekali lagi.” Jelas Sofea.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah, tapi nasihat saya kepada Sofea, jangan leka, sebab Sofea dah ada tanda dan ada jalan makhluk halus masuk. Kalau lalai, makhluk yang lain pula boleh mengganggu. Tingkatkan amalan, banyakkan berdoa agar Allah pelihara dan lindungi kita dari gangguan iblis, jin dan syaitan. InsyaAllah lama-lama tanda dan jalan itu akan beransur hilang,” nasihatku kepada Sofea.

“InsyaAllah Cikgu, saya akan ingat pesan Cikgu. Terima kasih atas nasihat dan panduan yang Cikgu berikan selama ini.”

“Sama-sama Sofea.”

-AZIM-

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Azim

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

8 thoughts on “Sofea”

  1. Merujuk kepada ayat “…sebab Sofea dah ada tanda..”, perkataan tanda tu adakah ‘barang’ yang ditinggalkan oleh jin yang masuk ke badan manusia sebelumnya sebelum keluar dari badan yang dirasuk? Sebab ada kawan saya yang mengatakan bahawa sebenarnya ‘barang’ tu yang menarik minat untuk jin lain datang kepada orang tu semula. Jika ya, kenapa tidak dibuang sekali ‘barang’ tersebut bersama jin itu?

    Reply
    • Tanda diibaratkan spt parut yg hanya jin blh melihatnya, dan kwn sdr itu betul… mmg jin tertarik utk mengganggu org yg dah ada tanda. Semakin lama gangguan yg berlaku tdk dirawat, semakin jelas kesan parutnya. Parut tdk blh dibuang, tapi lama kelamaan blh sembuh jika tiada gangguan baru ataupun jika gangguan baru dirawat segera. Wallahualam.

      Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.