Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.
Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 2
Aku melompat dan melepaskan tendangan dibelikat salah satu pesilat yang cuba memukul curi Uda dari belakang. Nampak dia jatuh tersembam mencium tanah.
Uda nampaknya masih gigih melepaskan buah pukul ‘Dicky Zulkarnain’ pada beberapa pesilat. Buah pukul yang namanya, aku dan Uda ‘sengaja reka’ kerana menyasarkan pada alat sulit musuh. Kami pernah terjebak menyaksikan filem ‘Si Pitung’ yang popular tak lama dahulu.
Kami mula dikepung dalam bentuk bulatan. Aku kerling mata dalam akal waras yang masih bersisa dalam benak kepala aku!
‘Ini kalau mengamuk, boleh hilang diri ni!’ Gumam aku lagi dalam hati.
Aku nampak badal gelanggang terkocoh-kocoh menyuruh pesilat menghentikan alunan muzik. Badal sendiri masuk kedalam bulatan dan berdiri disamping kami.
Tangannya diarahkan kepada beberapa pesilat senior, supaya ditangkap pesilat yang naik syeikh dan dibacakan mentera untuk meredakan mereka supaya kembali normal.
Lebih ramai senior yang masuk dan mula membantu, sesetengah cuba mengunci pergerakan pesilat yang naik syeikh dan membaca mentera ditelinga mereka. Keadaan menjadi sedikit reda dan terkawal. Kami bebas dari tumbukan curi untuk masa sekarang.
“Kau orang sini ke?” Badal sepontan berbisik.
“Bukan.. Orang kampung sebelah..” Aku balas sambil tangan masih bersedia dengan penumbuk. Kalau dihadiahkan pukulan curi lagi, sekurang-kurangnya mampu ditepis atau dielakkan. Uda disebelah sudah mengesat peluh didahi, muka yang berpasir juga sudah mula dibersih-bersihkan. Tanjak aku entah sudah ke mana!
“Tak pernah budak-budak aku mabuk sampai menyerang tetamu ni..” Keluh badal, runsing.
“Beginilah, majlis masih panjang lagi.. Ada upacara lain lagi selepas ni, ada doa selamat penutup gelanggang, ada upacara resmikan gelanggang oleh ketua kampung.. Aku mintak jasa baik kau berdua, baliklah.. Malu aku, pesilat aku menyerang tetamu..” Badal melepaskan apa yang terbuku dihatinya.
“Baik.. Tak mengapalah.. Kami beransurlah..” Aku mengalah. Tak guna berkeras, lagi pun ini bukanlah majlis kami. Aku jeling pada Uda, Uda hanya mengangguk lemah.
Kami berjalan keluar dari tali yang direntang, melepasi kerumunan pesilat yang masih naik syeikh dan menatap kami dengan tajam dan melepasi tetamu yang mula berdiri secara menjarak memberi ruang pada kami. Bimbang kami pula naik syeikh dan mula menyasarkan tetamu lain. Malu juga diperhatikan begini! Uda lah punya pasal! Haish!
Saja je dihalau dari majlis rasmi, dituduh merosakkan majlis orang! Malu!
Sampai ke basikal yang diletakkan dibawah pokok, Uda mula cuit aku.
“Cuba kau tengok tengkuk aku, Rip.. Ada d***h tak? Sakit siut dia gigit! Macam nak tercabut kulit tengkuk aku! Entah-entah gigi palsu dia masih melekat kat tengkuk aku!” Kata Uda, sambil mengosok-gosok tengkuknya.
“Luka pun takde.. Tapi ada bekas gigi la.. Hahahaha.. Kata dah kebal?” Aku balas sambil aku tepuk tengkuk Uda. Uda mengaduh beberapa kali.
“Bodoh betul! Ingatkan dapat makan percuma.. Tiba-tiba kena halau pulak! Hampa..” Kata Uda.
“Kau lah ni! Aku dah kata! Jangan bukak gerak dalam majlis orang! Taknak dengar cakap! Degil! Siap nak berbaju silat bagai, kalau aku tak halang.. Kau tu, mana pernah nak dengar nasihat!” Aku mengomel pada Uda yang masih diam dan membuka rantai pengunci basikal.
Kami mula naik basikal, bersedia untuk mengayuh pulang. Perjalanan yang masih panjang buat kami pada malam ini. Seketika kemudian, aku nampak Badal berlari-lari anak ke arah kami, ditangan kirinya memegang sesuatu didalam plastik.
“Cepat Rip.. Kayuh! Dia dah nak perambat tu!” Uda mengamit aku supaya cabut lari, dalam pada gigih mengayuh selaju yang mungkin.
“NANTI!! TUNGGU!! TUNGGU!!” Kata badal. Aku berhenti dan tetap menunggu. Badal sampai ke sebelah aku, berdiri dan mengesat peluh. Uda yang dah separuh jalan juga berhenti bila nampak aku berhenti.
“Maafkanlah kata-kata aku tadi.. Aku bukanlah orang yang angkuh.. Tapi insiden begini, tak pernah berlaku sebelum ni..”
“Maafkanlah aku, ni aku kirimkan bekal untuk kau berdua makan.. Maaflah, terpaksa menyuruh kau berdua pulang awal.. Aku risau jadi perkara yang lebih teruk dan tak boleh dihalang..”
“Takpelah bang, kami pun nak kena mengayuh jauh nak balik, kalau balik lewat pun.. masalah juga bagi kami..” Aku balas dengan nada kendur. Plastik ditangannya disuakan beberapa kali supaya diambil. Plastik akhirnya bertukar tangan, aku simpan dalam beg sandang yang memang dibawa sedari awal tadi.
“Hurmmm.. Nama aku Fuad.. Kau ni anak siapa? Siapa nama kau? Nanti senang-senang, aku bertandang ke rumah kau..” Tanya badal yang bernama Fuad tersebut.
“Nama aku Arif, bang.. Anak Pak Mahat kampung sebelah.. Oklah bang.. Kami beransur dululah..”
“Maafkan aku ye Arif..” Salam dihulurkan, dan aku sambut, kami saling berselawat ke atas Junjungan Besar. Dan Abang Fuad hanya berdiri melambai aku dan Uda hingga susuk badannya hilang berbalam dalam cahaya malam.
Aku mengayuh disebelah Uda, tiada perbualan yang dituturkan antara kami, masing-masing mengelamun sendirian.
Tiba disimpang keluar kampung, kami dipintas oleh sebuah motorkar sedan berwarna putih. Dipintas dengan cara yang berbahaya. Nyaris Uda terbabas masuk longkang. Pintu dibuka dengan kasar dan dari perut motorkar keluar empat orang pemuda. Anehnya ‘panglima’ yang kelihatan terkinja-kinja didepan gendang besar tadi juga ada bersama mereka. Hanya duduk diam dan senyap di tempat duduk belakang motorkar, kepalanya diselimuti kain berwarna putih, susuk tubuh badan yang cukup besar, hingga boleh diduga dengan sekali imbas. Agak mengerunkan juga jika diperhatikan lama-lama.
“Hoi budak! Kaulah yang patahkan serangan aku tadi kan? Tak guna betul!” Kata pemandu motorkar yang berbaju putih, tangannya ditunjukkan pada aku yang masih duduk diatas basikal.
“Patahkan apa? Serangan apa? Aku tak faham?” Aku balas, keliru!
“Kau jangan nak main wayang dengan aku, aku tau, kau yang patahkan serangan aku! Aku hantar ‘orang suruhan’ nak rosakkan majlis si Fuad, kau dengan kawan kau, dah rosakkan rancangan kami!” Tuturnya marah.
“Mana ada? Apa kau merepek ni?” Berkerut kening cuba menghadam percakapan pemandu motorkar ni!
ADUHHHH!
Aku jeling pada Uda, dah tergolek bersama basikalnya. Ditendang curi oleh penumpang motorkar berbaju biru. Sepontan aku lepaskan basikal ke tanah dan bersedia! Peninju dinaikkan dan siku diturunkan.
“Ohhhh.. Kau nak tunjuk lawa dengan aku ye budak?”
“Leman, Wan.. Kau ambil kawan dia.. Dia ni aku punya!” Kata pemandu motorkar, sambil tangannya ditunjukkan pada aku! Lengan baju disinsing beberapa kali, selayaknya akan berlaku perkelahian sebentar lagi!
Ah! Naya ni! Sakit kena cepuk tadi belum reda, dah nak berganyang lagi!
Aku lepaskan beg sandang dari bahu, pecah terburai makanan dalam beg kalau jatuh berguling nanti!
“Hei budak! Sebelum kau mampus.. Aku nak kau tahu.. Kau mampus ditangan Jebat, Rawa Kampung Buaya!” Pemandu yang bernama Jebat dan seorang lagi rakannya mula mengepung aku dikiri dan kanan.
“Lan.. Kau kat sana.. Kau kat sana..” Jebat mula memberi arahan pada rakannya untuk menyerang aku dari bahagian kiri, manakala Jebat sendiri masih kekal disebelah kanan.
Aku gigit bibir bawah, macam-macam benda yang bermain dalam kepala. Keadaan aku dan Uda kalau kalah dalam perkelahian ni, siapa nak hantar mayat aku balik kalau kami maut, kelibat panglima tinggi yang dah mula memanjat dan berdiri terkinja-kinja atas bumbung motorkar bersama bau hamis yang sukar nak diterangkan, serta emosi aku yang dah mula bercampur baur.
Ah… Ketepikan semua tu! Kalah atau menang, adat dalam berentap! Namun lari bukanlah keturunanku!
Panglima mula melompat turun dari bumbung motorkar, terkinja-kinja menuju pada Jebat. Dia seperti akan membisikkan sesuatu pada Jebat. Muncungnya dijuihkan dekat telinga kanan Jebat.
HARRRRRRR!!!!
Tiba-tiba dia memekik!
Sepontan Jebat dengan terburu-buru mula melepaskan penumbuk pada aku! Penumbuknya aku layan dengan siku yang disauk terus ke dada!
Lan yang berdiri dibelakang aku juga mengambil kesempatan dengan serangan curi, aku hadiahkan satu tendangan lurus berputar pada Lan! Tepat menyinggah ke bahagian kiri kepalanya.
Masih tak mahu mengalah, atau mungkin tendangan tadi tak cukup ampuh, Lan masih berdiri dengan gagah. Aku hadiahkan pula satu tendangan terus ke alat sulit Lan dengan kaki yang sama!
Lan terduduk melutut dan memegang alat sulitnya. Jebat mula bangun dan mengatur langkah untuk kembali menyerang aku. Berkira-kira dalam mengaturkan kembali serangan, kerana serangan pertamanya tadi berjaya ditepis.
Jebat mula meraba-raba saku dibelakang seluarnya, aku dapat rasakan dia akan membawa keluar senjata.
Betul!
Pisau lipat sepanjang sejengkal kini didalam genggaman tangan kanannya! Dibuka dan diacah beberapa kali ke depan.
“Hoi budak, kau akan m**i dan jadi santapan orang suruhan aku! Hahahahah!” Berderau d***h naik ke kepala mendengarkan yang mayat aku akan dijamu pada panglima berupa beruk didepan! Panglima terkekeh-kekeh sambil menjelir-jelirkan lidahnya.
HOP!
Tak bertangguh pisau disorong masuk cuba menikam dibahagian kiri perut aku, gerakan tangannya aku layan secara mara berdepan. Tangan kanannya aku genggam dengan tangan kiri, dan aku sua siku kanan tepat ke halkumnya!
Suasana hening! Bagaikan masa terhenti menunggu serangan berikutnya!
Cuma terdengar suara Uda yang masih berteriak hop! Hop! Hop! Dihujung sebelah kiri.
Dalam keadaan yang masih tergantung serangan, dan serangan aku tak dipatahkan oleh Jebat, aku kuis kepala dia dan hantukkan pada lutut kaki kanan!
Jebat jatuh membuang kebelakang, terlentang dengan pisau yang dah terpelanting! Kaki kanan aku turunkan dengan kuda-kuda yang kuat! Aku berputar menghadap Lan pula yang sudah mula berdiri.
‘Mari Lan!’ Gumam aku sendiri, bibir bawah aku gigit dalam menanti tindakan Lan
Lan bangun dan bersedia untuk menyerang. Tinju dinaikkan dan diacah beberapa kali, bagaikan ahli gusti Muhammad Ali. Lan melaung beberapa kali, pasti tujuannya hanya untuk menakut-nakutkan aku.
Kini aku bangkit..
Membuktikan yang aku tak sakit..
Dengan segala perit yang kau berikan..
Segala kata cacian yang telah engkau berikan membuatku rasa kosong..
Kosong..
Kosong.. ohh..
Bersambung esok gais! Jangan menyanyi gais!
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
#Pusaka2 #Arifyahya
Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.