Steruman Bahagian 5

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 4

Turun dengan dua langkah, aku nampak bapak dah berdiri bersemuka bertentang mata dengan Panglima beruk. Dengan sekali sepuhan tangan kanan, bapak beri penampar ke bahagian kiri kepala Panglima beruk!

Memang tak disangsikan lagi, aku sendiri belum tentu senekad perbuatan bapak. Aku nampak Panglima terhenyak ke bahagian kanan, sebelum entah bulu tengkuk atau bulu pipi, atau mungkin juga janggut-janggutnya dah berada dalam genggaman tangan kanan bapak!

KERAS, KASAR dan KEJAB pegangan tangan bapak! Nampak seperti Panglima sedikit meronta untuk meloloskan diri, tapi gagal! Kalau dikirakan sebenarnya mustahil dengan akal yang waras, orang yang serendah bapak, sedang mengunci mahluk yang dua kali ketinggiannya. Tapi tiada yang mustahil dalam ilmu Allah, rasanya dengan struktur otot-otot ditangan bapak, kalau aku yang dikunci pun, belum tentu terlepas!

“Kau bukan mainan aku! Kalau tak kerana aku hormat Nabi Sulaiman dan umatnya, aku tamatkan kau disini!” Getus bapak dengan marah!

“Sekarang.. Dengan perintah aku, NYAH kau dari sini!!” Seketika bapak terkumat kamit membaca sesuatu, dan tangan kanan yang meramas bulu Panglima beruk, dilepaskan membuang kedepan. Panglima beruk terpelanting sebelum lenyap dibawa angin malam, bersama satu lagi raungan panjang.

“Mari.. Rip! Kita balik, biar abah tengok luka kau..” Bapak berpaling dan bertutur pada aku.

“Itu.. Itu.. Errr…”

“Biar dia pergi, kalau dia kembali, dia sendiri tahu apa habuan yang bakal menanti dia!” Bapak renggut lengan baju aku dibahagian kanan sebelum aku juga berpaling mengikut bapak.

“Ini basikal dia, siapa pulak nak meng-hangkut ni?” Bapak geleng-geleng kepala melihat basikal Uda yang dah ditongkat elok dan terletak molek disebelah basikal aku. Aku angkat bahu dua tiga kali, mustahil aku nak mengayuh dua buah basikal. Lebih mustahil kalau bapak nak menunggang basikal Uda, siapa pula nak memandu motorkar bapak untuk pulang?

Aih! Bodoh betullah Uda ni!

“Masukkan dalam bonet jelah, bah..” Aku beri bapak cadangan mudah. Bapak mengangguk, basikal Uda dimasukkan ke dalam bonet belakang, dan bonet gagal ditutup, dek kerana pemegang basikal dah menjulur keluar melebihi bonet.

“Kau jalan dulu.. Terus balik rumah, abah menyusul dibelakang!” Perintah bapak yang aku turuti tanpa banyak dolak dalik. Setiba disimpang perkarangan rumah, nampak dua kelibat manusia sedang bersila diberanda rumah.

“Assalamualaikum!” Aku tersenyum, seperti yang aku duga, Pak Seli yang duduk-duduk diberanda rumah, dan Uda juga ada duduk bersila membelakangkan Pak Seli. Nampaknya Pak Seli sedang memberikan rawatan dalam pada Uda, Uda sudah menanggalkan baju dan sesekali Pak Seli menekap kedua tapak tangan dibelakang badan Uda.

“Waalaikum salam! Naik Rip! Kawan kau lari balik bila nampak hantu galah katanya.. Yang kelakarnya, tak lari balik rumah, lari balik rumah kau!” Pak Seli tersenyum simpul menerangkan apa yang dilakukan Uda.

“Hantu galahhh?” Aku kerutkan kening

“Yelah! Hantu galah! Tinggi macam tu!” Tingkah Uda tak mahu kalah.

“Ai? Tadi kat gelanggang dia dah ada menyibuk depan gendang, kau tak nampak ke? Lepas tu, masa kena serang dengan si sengal berempat tadi pun, dia ada duduk kat bahagian belakang, siap ditutup kain putih lagi, kau tak nampak ke?” Uda pandang muka aku dan mengerutkan kening.

“Errr.. Dari gelanggang tadi dia dah ada ke?” Aku mengangguk beberapa kali, sebelum bersila disebelah Uda, motorkar bapak mula masuk ke perkarangan rumah. Enjin dimatikan dan bapak keluar dari perut motorkar.

“Ni basikal kau, hambek! Kalau tak, aku jual lelong kat Ah Seng besi buruk!” Sengaja bapak tekan suara dalam bercakap, mengelupur Uda turun dan mengeluarkan basikal dari bonet motorkar bapak.

“Orang lain naik basikal, nampak hantu.. Kayuh laju-laju.. Budak ni, naik basikal, nampak hantu, buang basikal, lari! Senteng agaknya kepala hotak dia!” Pak Seli tertawa kecil mendengar sungutan bapak, aku juga turut ketawa. Uda hanya mengosok-gosok belakang tengkuk, menyedari kesilapan bodoh yang dilakukannya.

“Panik.. Cik.. Maaflaaa..”

“Sudah! Pergi mintak tolong Pak Seli tawarkan luka kau..” Uda mengangguk dan naik kembali bersila disebelah aku, bapak pula hilang ke dalam rumah. Sebelum tiba kembali membawa kudapan berserta air teh kosong dalam dulang kecil.

“Apa ceritanya, Rip..” Pak Seli mula bersuara setelah semuanya duduk dan bertenang. Uda pandang muka aku dan angkat kening, beri isyarat supaya aku yang buka mulut dan bercerita.

“Mustahil Pak tak tau..” Aku bersuara perlahan.

“Tahu.. Aku tahu.. Tapi yang aku nampak, tak sejelas kalau kamu bercerita.. Aku bukan tuhan, Rip..” Mendatar nada suara Pak Seli.

“Baiklah..” Aku mengalah dan bercerita dari awal kejadian, sebelum dilanggar empat ekor monyet-monyet sengal dan seekor beruk besar. Dan kejadian yang jadi semasa bapak ada turut aku ceritakan. Pak Seli mengangguk beberapa kali, dan melurut-lurut janggut nipisnya tanda faham. Bapak hanya mendengar dengan teliti sebelum sesekali berdeham.

“Hurmmm.. Kalau mengikut hemat aku, ada serangan balas lagi.. Dendam tak habis disini. Kita tunggu dia datang..”

“Siapa yang datang, Cik?” Gelojoh pertanyaan Uda.

“Tak pasti.. Mungkin Fuad akan menjengah dahulu, atau mungkin juga Jebat yang datang menjelang dahulu.. Bergantung..” Tergantung ayat diucapkan Pak Seli.

“Bergantung apa, pak?” Aku pula yang bertanya.

“Bergantung pada perkelahian tadi, siapa yang menang.. Yang pastinya, jika Jebat kalah, benda ni takkan habis disini.. Hurmmm..” Pak Seli mula menghirup air teh kosong membasahkan tekak.

“Tapi bang, nampak gayanya yang saya bertemu tadi, bukanlah dalam regu kita..” Bapak menanti soalannya dibalas, sambil menatap muka Pak Seli.

“Benar.. Memang benar apa yang kau cakapkan, tapi yang kau jumpa tadi, bukanlah satu-satunya.. Kalau ikut perkiraan aku, budak ni.. Ada lagi pakaian lain, cuma dia tak bawak keluar semuanya tadi..”

“Hurmmm… Begitu…” Bapak hanya menunduk memandang lantai mendengar penjelasan Pak Seli.

“Hah! kau ni!! Bila nak balik?” Sengaja bapak kuatkan suara, sambil mengenyitkan mata pada aku, aku tersenyum simpul melihat bapak yang mengusik Uda.

“Errr.. Tidur sinilah malam ni, cik.. Risau dikokaknya kepala saya masa nak balik nanti..”

“Eeee.. Takde telur..” Saja aku menambah minyak pada api yang marak. Usikan aku, diketawakan bapak dan Pak Seli. Kami berempat makan lagi, selepas enak bersantap hidangan air panas dan biskut yang disediakan bapak. Dari bekal yang diberikan oleh Abang Fuad, mee rebus yang cukup mengisi perut kami berempat.

Aku kira nasib baik juga beg dilepaskan sebelum berkelahi tadi, kalau tak. Tak merasalah mee rebus padu Abang Fuad.

***

Uda bermalam dirumah aku pada malam ni, tidur dalam resah dan gelisah walaupun luka muntah d***h sudah ditawarkan buat kami berdua. Sekejap ke kiri, sekejap berpaling ke kanan. Menyebabkan tidur aku juga turut terganggu.

Aku kira-kira mungkin waktu sudah beranjak ke subuh, secara tiba-tiba Uda terpekik-pekik

“JANGAN MAKAN AKU!! JANGAN MAKAN AKU!!” Bila aku dah pun terjaga, dan aku jengah Uda, dia masih lena macam bayi yang tidur dalam perut ibunya!

Kurang ajar sungguh ayat dia masa mengigau! Mungkin Uda trauma, Panglima beruk nak membaham kepala dia.

Sengal betul!

***

Kami dikejutkan azan pagi, sebelum berjemaah dimasjid kampung, dan Uda sudah pun pulang ke rumah. Sekitar pukul 10 pagi, saat aku mencakar tanah didepan rumah, rumah aku dikunjungi motorkar semalam yang aku cukup kenal, motorkar tanpa bonet belakang.

“Assalamualaikum.. Arip.. Apa khabar? Bapak kau ada dirumah?” Salam dihulurkan Abang Fuad, dan kami saling berjabat tangan.

“Abah takde waktu-waktu macam ni.. Ke kebun laa..” Sekonyong-konyongnya, bapak muncul dari sebelah kiri.

“Haaaa… Panjang umur, bah.. Kenalkan nilah gurulatih Abang Fuad yang kita ceritakan semalam..” Bapak bertukar salam dan berjabat tangan dengan Abang Fuad.

“Kau tak jemput dia naik?”

“Baru je sampai, tak sempat bersembang pun lagi.. Tak ke kebun ke bah hari ni?”

“Tak… Aku dibelakang je dari tadi.. Jemputlah naik Fuad.. Arip, buatkan kopi untuk kawan kau..” Mesra pertuturan bapak, pantas aku naik dan berlari ke dapur.

Sepuluh minit kemudian, selepas air dihidangkan, aku duduk bersama bapak dan Abang Fuad mendengar cerita lanjut. Dari mulut Abang Fuad, barulah aku faham cerita sebenar yang terjadi.

Jebat rupanya satu aliran perguruan dengan Abang Fuad, belajar dari satu guru yang sama. Amarahnya kerana dia tak ditauliahkan untuk memiliki gelanggang sendiri, dek kerana sifat panas barannya walaupun dah dinasihatkan banyak kali oleh guru.

Menurut Abang Fuad lagi, kecewa dengan guru, Jebat juga ada menuntut ilmu dalam yang lain, yang mungkin menjurus kepada ilmu yang salah. Dan pada upacara pembukaan dua gelanggang yang terdahulu, Abang Fuad sudah dicabar didepan umum. Tapi ditolak secara baik.

Gelanggang terakhir, sebelum insiden semalam. Juga ada kejadian cabar mencabar, dan senior Abang Fuad ditibai didepan orang awam sementelah Abang Fuad pun tiada semasa perasmian gelanggang. Semalam, mereka datang buat kacau pula untuk merosakkan majlis.

“Hurmmm.. Tapi hairan juga bang..” Aku mula bersuara selepas mendengar cerita Abang Fuad.

“Apa yang hairannya?”

“Mudah betul dia dikalahkan jika kosong-kosong semasa aku berentap dengan dia..” Aku menyuarakan apa yang ada dalam fikiran aku, bapak hanya mendengar dengar berhemah tanpa kata-kata.

“Begini Arip.. Ada banyak kemungkinan, yang pertama.. Mungkin dia dah buang ilmu silat yang dia tuntut semasa belajar bersama aku, demi melunaskan tuntutan ilmu hitam yang baru.. Yang kedua mungkin juga, dia tak mengeluarkan semua ilmu yang dia ada, disebabkan dia sangka kau cuma lawanan yang mudah.. Dan ketiga, mungkin juga..”

“Mungkin juga apa bang?” Tingkah aku sepontan.

“Mungkin juga penguasaan ilmu silat kau sudah lebih baik dari dia..”

“Hurmmmm…” Titik, tiada lagi soalan dari aku, aku faham maksud penjelasan Abang Fuad.

“Jadi apa yang berlaku semalam?” Bapak pula bercakap sambil menghirup kopi panas nipis didepan.

“Dia lari!” Jawapan pendek yang mula menimbulkan seribu lagi persoalan.

Abang Fuad meninggalkan perkarangan rumah kami dengan satu ingatan ‘mesra’ supaya kami berjaga-jaga jika ada perseteruan timbal balik. Bimbang diserang semasa sedang lalai.

Abang Fuad juga minta izin dengan bapak aku, untuk mengambil aku dijadikan adik angkatnya sementelah dia pun belum berzuriat lagi. Permintaannya diperkenankan bapak tanpa banyak soal.

Sebagai watikah lantikan, aku dihadiahkan sebatang keris berlok lima, agak menarik dan cantik jika diteliti. Bertatahkan sebiji batu permata berwarna merah. Menurutnya keris itu diterima semasa tamat ujian bersuluk lama dahulu, tidak pernah digunakan, dan juga sudah dibersihkan dari penjaga yang tinggal didalam keris.

Sambung laie gais.. Den dah tengok sondighi keghis tu, cantik! Kalo omputih kato dio pakai batu ‘ruby’, oghang molayu, den tak beghapo pandai, den punyo bahaso molayu lomah!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

#Pusaka2 #Arifyahya

Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.

Arif Yahya

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 17 Average: 5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.