Steruman Bahagian Akhir

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan.

Baiklah tanpa berbunga-bunga, sambungan episod 6

Baju yang aku pakai terkoyak dari kolar ke tengah dada, sepontan aku melenting dan berpusing sebelum berdiri dengan kuda-kuda bersilang!

“Hi.. Hi.. Hi.. Seronoknya.. Rip!” Uda ketawa kecil disebelah.

“Kepala hotak engkau!” Kami berganding bahu ke bahu secara membelakangkan satu sama lain. Bermain tari menanti serangan.

“Nanti!! Nanti!!!” Jebat melaungkan suara. Tiba-tiba semuanya senyap.

“Diorang ni, kalau nak dilawan, kena bukak ilmu dalam! Inilah masanya menguji keberkesanan ilmu yang korang tuntut! HAHAHAHA!!” Sambung Jebat lagi

Ah! Sial! Insiden macam dalam gelanggang semalam bakal berlaku lagi!

“Da! Jangan main-main! Bukak gerak, kita langgar macam semalam!” Aku tak pasti reaksi Uda, kerana tiada jawapan balas, tapi aku yakin Uda mengangguk mendengar kata-kata aku.

Mereka tiba-tiba diam seketika, sebelum mula memekik-mekik. Kelakuan seperti kesurupan semalam bermula kembali. Aku kira dari penglihatan mata kasar aku, tak semua yang kesurupan. Tapi paling kurang ada sepuluh orang sudah ‘naik syeikh’ dan mula terpekik secara tiba-tiba.

“ADUHHHH” Suara Uda berteriak, seperti sudah dilanggar. Anehnya mereka yang kesurupan menyerang tak kira kawan atau lawan, semua ditibai. Bezanya, yang kesurupan tidak menyerang mereka yang juga kesurupan.

Aku lihat ada dua teman mereka sendiri sudah dipanjat dan digigit ditengkuk, sama seperti yang dilakukan pada Uda tempoh hari. Ada pula yang lain sudah dibaham betisnya, hingga terjerit-jerit pemuda tersebut.

Lima ke enam orang sudah melarikan diri menggunakan sebuah van, mungkin mereka bimbang keselamatan diri sendiri! Kawan-kawan mereka yang naik syeikh menyerang apa juga benda hidup yang bergerak! Memudahkan tugas kami, kerana mengurangkan jumlah musuh!

Tiba-tiba!

Ada yang datang dari depan, cuba menerkam aku, aku bergilit kekiri sebelum ditolak jatuh oleh Uda sendiri. Uda melayan terkaman pemuda tadi dengan tendangan tonjol tepat ke ulu hati, pemuda tadi terduduk dan mula berpencak diatas tanah. Uda kemudian membantu aku berdiri.

“Kau cakap jangan lalai.. Tapi kau sendiri berangan.. Haish!” Sinis ayat sindiran Uda.

“Mana ada!” Tak mahu kalah dengan sindiran Uda.

“Itu! Dah datang tu! Kau punya!” Kata Uda, Uda pula berlari dan membuat tendangan dibelikat seorang pemuda. Dari arah kanan, datang lagi seorang dengan kedua tangan diluruskan cuba mencekik leher aku. Aku rendahkan kuda-kuda dan aku hadiahkan siku kanan ke ulu hatinya. Dia terduduk, tapi masih mampu bergerak. Bagaikan ‘askar tanpa m**i’ serangan demi serangan ini tak berhasil dihentikan, tanpa ‘ubat yang mujarab’.

“Da! Tukar strategi! Main urat, sendi dan nafas! Hentikan nafas, atau patahkan sendi, putuskan urat!” Arahan aku disahut dengan laungan HOI yang kuat dari Uda. Entah dimana bapak dan Pak Seli, hilang dalam keributan manusia yang berkelahi disana sini.

Pemuda yang terduduk tadi mula berdiri dan bersedia menerkam kembali. Terkaman dari depan, aku layan dengan mengelak ke kiri, dan dari sisi aku kunci leher dan tengkuknya dengan lengan kanan.

Aku rebahkan semua berat badan dari atas, dan dia mula terjerumus ketanah. Kuncian makin kejab, sebelum pemuda tersebut mula mengelupur kekurangan oksigen dan pitam.

Seorang lagi hadir dari arah kiri, cuba menerkam aku yang berusaha untuk bangun. Terkamannya aku layan serta merta dengan tumbukan ceduk tangan kiri dari bawah dagu, dia terdongak keatas.

Sepontan aku sauk kaki kanan melepasi belikatnya, dan aku tindih separuh bertinggung dari atas. Dengan baju yang dah separuh koyak, aku jerut leher dia dari atas, dan tekan dengan siku kanan dipangkal tengkuk.

GRUHHHH!

GRUHHHH!

GRUHHHH!

Suaranya mengeluh keputusan nafas! Aku teruskan menjerut hingga aku dengar dia sudah berdengkur. Aku bangun dan berdiri mencari kelibat Uda, nampaknya kebanyakkan dari pemuda yang masih waras, sudah melarikan diri. Tak sanggup menghadap serangan rakan sendiri dibawah sedar. Hanya tinggal beberapa orang, dan kebanyakkan yang tinggal sudah tertiarap atau terlentang diatas jalan raya.

Bapak pula baru sahaja menyelesaikan dua orang lawan, dari gayanya berkemungkinan besar satu atau dua sendi pemuda yang berseteru dengan bapak dah ‘dibetulkan’ oleh bapak. Aku cari kelibat Pak Seli, gagal ditemui. Kelibat Jebat juga ghaib, mungkin mereka berkelahi ditempat lain.

Kelibat Pak Seli mula kelihatan, berjalan beriringan disebelah kiri Jebat melepasi van yang diparkir. Kedua-dua mereka diam tanpa suara. Jebat tiba-tiba menukar arah, menaiki van dan tanpa apa-apa pesan terus memandu van laju meninggalkan kawasan pintu masuk kampung. Pak Seli kelihatan bersahaja, dan hanya buat tak tau.

“SUDAH!! SUDAH!! HENTIKAN PERGADUHAN NI!” Laungan kuat dari Pak Seli, masih lagi kelihatan beberapa orang yang masih bertumbuk.

“SUDAH!! KETUA KAMU JEBAT, SUDAH PUN BALIK.. SUDAH AKU KATA!!” Semua secara tiba-tiba berhenti, dan termanggu-manggu menunggu perintah berikutnya.

“Arip.. Uda.. Yang mana-mana naik syeikh tadi, bangunkan.. Bisikan syahadah ditelinga mereka.. Bisikan sekali atau tiga kali.. Bangunkan, jangan biar bergelimpangan macam ni..” Aku bangunkan pemuda yang aku jerut hingga pitam tadi sambil membisikkan syahadah ditelinganya. Nampak Uda juga buat perkara yang sama disebelah sana. Bapak juga nampak turut membantu.

15 minit masa yang diambil untuk menyedarkan kesemua yang awalnya tadi kesurupan, mereka sudah pun tenang. Dan mereka juga sudah dimaklumkan yang ketua mereka Jebat, sudah pun meninggalkan lokasi pergaduhan. Sesetengah dari mereka masih lagi mamai seolah baru bangun dari tidur.

“Baiklah.. Dengar nasihat aku.. Buatlah perkara yang berguna untuk bangsaMu, agamaMu dan tanah airMu.. Janganlah bertelagah sesama sendiri. Dan Aku tak mahu kamu naik tangan pada bangsamu sendiri selepas ini. Kekuatan dan kekuasaan hanya pinjaman dari Allah..”

“Kalau kamu rasa kamu berkuasa.. Buatlahlah sesuatu untuk membantu anak bangsamu.. Aku tak suka insiden seperti ini berlaku lagi.. Pergilah.. Makmurkan bumi Allah.. Jadilah khalifah, selayaknya kamu seorang khalifah!” Tak pasal-pasal semua kena tarbiyah ringkas dari Pak Seli. Bapak pula sibuk dihujung sana memasukkan kembali sendi ke dalam dua orang pemuda, yang tadi dah ‘dibetulkannya’ sambil diperhatikan Uda.

Sepuluh minit kemudian mereka semua bersesak-sesak menaiki van dan meninggalkan kami berempat. Sebelum kami semua menaiki motorkar untuk pulang.

“Apa yang berlaku, cik?” Uda bertanya pada Pak Seli semasa didalam motorkar.

“Sudahlah, aku tak suka nak diingat-ingat lagi.. Benda dah berlalu, juga dah berlaku..” Bapak hanya diam memandang kosong ke depan. Uda dihantar pulang ke rumah sebelum Pak Seli, dan akhirnya kami sampai ke perkarangan rumah.

Aktiviti malam aku diteruskan dengan tidur, selepas mandi dek kerana berpeluh hasil dari perkelahian tadi. Manakala bapak mengaji malam seperti selalu, indahnya dibuai-buai alunan tarannum bapak hingga aku benar-benar terlelap.

***

Keesokkan paginya, setelah berjemaah dimasjid, aku nampak bapak sedang duduk bersarapan didapur. Saja aku duduk disebelah membuka bungkusan nasi lemak untuk bersembang dengan bapak.

“Selesai ke bah, insiden semalam?” Aku bertanya sambil tangan membuka bungkusan nasi lemak, perasaan ingin tahu membuak-buak dek kerana tiba-tiba Jebat menaiki van dan cabut lari dari lokasi pergaduhan. Bapak mengangguk beberapa kali.

“Seperti yang abah pernah bagitahu, budak tu bukan lawan yang setara dengan Pak Seli.. Pak Seli kata, dia cuba nak menyerang Pak Seli semalam..”

“Lepas tu?”

“Lepas kena kunci gerak, dia tak boleh buat apa-apa.. Dia dah tahu dia tak boleh buat apa-apa, dia panggil jin-jin yang dia bela untuk menentang Pak Seli..” Bapak masih gigih menyuap nasi ke dalam mulut sambil bercerita. Saspen sungguh menunggu cerita bapak.

“Jin angin, jin tanah, jin berupa Panglima yang kau nampak semalam. Semua yang datang pun kena kunci, akhirnya semuanya lari tinggalkan dia.. Tak berdaya nak menentang Pak Seli..”

“Kamu ingat kes Usin? Insiden beberapa tahun lepas, Rip?” Kejadian Arwah Usin si pencari ayam hutan, yang terjumpa mayat dirobek-robek, sebelum sesat dengan ilmu salah.

“Ingatlaa.. Mana boleh lupa..” Tingkah aku pantas.

“Pak Seli tawarkan untuk membuang ilmu pada Jebat, tapi Jebat dengan angkuh cakap taknak..”

“Habis tu, buang ke tak, bah?”

“Tanpa keizinan tuan punya atau waris, kita tak boleh suka-suka buang.. Melainkan jin atau syaitan tersebut, tak pernah diminta atau diingini oleh tuan punya badan.. Ada adabnya, tapi malaslah abah nak terangkan..”

“Pak Seli nasihatkan dia pulang ke pangkal jalan.. Pak Seli siap tawarkan diri untuk membimbing dia.. Tapi dia tak mahu..”

“Dah malu, tak berjaya menentang Pak Seli, Pak Seli suruh dia bawak kawan-kawan dia balik.. Tapi akhirnya, apa yang dah jadi, macam yang kau nampak semalam.. Dia cabut lari sorang-sorang..”

“Semalam, masa abah suruh kau dengan Uda jangan ikut campur.. Kenapa kau masuk jugak?” Bapak berhenti mengunyah dan memandang muka aku.

“Entahlah.. Dia tiba-tiba berlari buat tendangan Bruce Lee pada dua orang budak semalam..”

“Tak takut pulak dia, ramai-ramai macam tu?”

“Tak.. Kita pernah tanya, dia jawab.. Orang dengan hantu tak sama.. Sebab tu nampak orang dia lawan, nampak hantu, dia lari! Hahaha..”

“Tak berapa betul budak tu..”

Aku tergelak mendengar jawapan sepontan bapak.

Begitulah ceritanya pada kali ini, seperti petikan mutiara kata Saidina Ali K.W “Jika kamu berpegang pada bangsa, bangsa pasti musnah. Jika kamu berpegang pada negara, negara juga akhirnya hancur, tapi seandainya kamu berpegang pada agama, nescaya ia menjadi petunjuk yang lurus.

Dan Sabda Rasullullah S.A.W “telah ku tinggalkan kamu dua perkara, iaini dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu al-Quran dan Sunnahku”

Berpegang teguhlah kita dengan dua perkara ini, dan jagalah jemaah! Hiduplah kita didalam jemaah!

Takbir!!

Semoga kita berjumpa lagi dicerita yang lain. Salam sayang dan ukhwah dengan penuh hormat!

P/s: Koghang jangan ikut poghangai Jobat yo! Jangan lupo boie limo bintang.. Eh? Icon love! Love y’all!!

Xoxo!

#Pusaka2 #Arifyahya

Dapatkan E-book Pusaka 2 gais. DM aku untuk tahu lebih lanjut.

Arif Yahya

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 54 Average: 4.9]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.