Anugerah ini hadir dalam pelbagai bentuk. Kebolehan dalam bidang misteri ni, mungkin satu kelebihan, mungkin juga satu dugaan. Ya, ini kisah benar. Kisah yang terjadi kepada kami suami isteri. Kisah Anis dan Adha.
Flashback, tiga tahun yang lalu. Kami suami isteri diuji. Disihir oleh si mata yang jahat, hati yang membenci dan jiwa yang rosak. Sihir pemisah, ya..itu yang menganggu hubungan. Sentiasa bergaduh walaupun salah hanya sebesar kuman. Setiap hari, ada saja topik pergaduhan yang sentiasa tak logik dek akal. Dekat-dekat, rasa menyampah, bila berjauhan, tercari-cari pula. Pelik.
Suamiku, Adha (nama samaran) sering sakit-sakit badan bila aku ada dekat dengan dirinya. Aku pula, Anis (nama samaran) sentiasa marah-marah bila nampak kelibat dirinya. Rasa nak siat-siat dirinya, buang ke tong sampah. Begitu sekali aku membenci Adha. Sehingga hari ini, aku masih terkenang-kenang. Berdosa sungguh aku ketika itu. Membenci suami sendiri tanpa sebab. Semuanya kerana si dia. Si dia yang berpakaian mengalahkan mufti negeri. Sentiasa berkopiah di kepala bukan lesen untuk dikatakan baik tingkah laku. Kerana dia, aku mulai kurang percaya lelaki yang berpakaian begitu. Yes, never ever judge the book by it’s cover. Ini kerana iblis juga pernah menjadi hamba Allah yang paling taat.
Hamba Allah yang ala-ala mufti negeri ini, ku namakan Khalid. Dari jauh, memang nampak seperti ustaz. Kalau tak tau, dia mengajar subjek apa, mesti orang ingat dia ustaz. Ceh, pakaian dan personaliti ternyata berbeza. Trend acah-acah alim ni sudah makin menjadi-jadi sekarang ni. Khalid kenalan satu tempat kerja dengan aku. Aku baru berpindah ke situ. Dia sibuk hendak berkenalan. Ye, aku jenis pendiam dan agak sedikit kurang selesa untuk bersembang mesra dengan orang yang baru kenal. Khalid ada pakai beberapa cincin jenis berbatu di jarinya. Kali pertama tengok, aku dah tak sedap hati. Ternyata setiap cincin di jari tu, ada tugasnya.
Kembali semula kepada tajuk aku, suamiku bukan ustaz. Setelah dugaan yang menimpa kami berdua, terbuka pula satu kebolehan kami berdua. Suamiku diberikan kebolehan merawat dan aku boleh melihat makhluk alam lain yang cuba menganggu. Semenjak kecil lagi, kami berdua tahu yang kami agak sedikit berbeza. Nampak apa yang patut tidak dinampak.Namun, kami berdua memilih untuk hidup seperti biasa. Tidak tumpu sangat dengan alam sebelah sana. Namun, setelah kami berdua menjadi mangsa sihir, kami mula sedar ada gunanya kelebihan ini. Kebolehan yang tidak pernah kami minta tetapi ini yang kami alami hari ini. Kami berdua berjanji, akan cuba membantu orang lain yang memerlukan pertolongan pula.
Aku jarang tengok cerita seram selama ni sebab aku selalu berdebar-debar tetapi sekarang ni, hati rasa biasa saja. Mereka juga makhluk Allah. Sama seperti aku. Rupa mereka akan berubah ikut budaya setempat. Jika di Malaysia, mereka akan menjadi pocong, pontianak dan langsuir. Jika di Barat, mereka menjadi drakula pula. Tujuan mereka sama saja, sumpah dan janji mereka tidak pernah berubah hingga kiamat. Menyesatkan anak, cucu, cicit Nabi Adam.
Aku pernah ternampak ada makhluk hodoh yang kecil bertenggek atas bahu seorang akak ni. Aku tahu jika aku tegur, dia akan tahu yang aku boleh nampak dia. Jadi, aku cuma bisik kepada suami. Adha cuba berubat dari jauh. Dia boleh pancung makhluk tu dari jauh. Pancung gunakan pedang. Tidaklah guna pedang yang nyata. Makhluk ghaib, senjata tu ghaib la juga. Jika tidak nampak di mata, bukan bererti benda tu tiada, cuma kamu yang belum ada rezeki untuk melihat.
Setakat hari ini, sudah banyak tempat, aku ikut dia berubat orang. Pernah berlaku di depan mata, seorang lelaki tua sukar untuk meninggal dunia. Badan cuma tinggal rangka dan kulit sahaja, namun masih berselera makan seperti orang muda. Anak-anak bekerjaya profesional tetapi bila doktor di hospital pun dah habis ikhtiar, ayah yang tua perlu dibawa pulang ke rumah. Mati kutu semua orang. Rumah terasa tiba-tiba seram, malam-malam bau kemenyan. Bunyi-bunyi aneh sentiasa terdengar. Beberapa kali ayah yang tua tu seperti hendak meninggal tetapi dada kembali berombak. Bernyawa semula walaupun badan sudah mulai berbau busuk. Aneh dan pelik semua yang memandang.
Suamiku diundang ke rumah anak lelaki, si ayah tua. Suami memulakan bacaan rukyah seperti biasa. Ayah yang tua dan nampak lemah, tiba-tiba bangun dan bertempik menghalau Adha. “Pergi,kau tak dipanggil ke sini. Jangan ganggu urusan aku dan dia”, suara ayah yang tua bertukar garau. Anak-anak menjadi terkejut. Si ayah tiba-tiba kuat bertenaga. Bacaan rukyah tetap diteruskan. Akhirnya jin di dalam badan si ayah mulai lemah. Dia ceritakan sendiri salah silapnya ketika muda. Perjanjian yang dibuat perlu diputuskan.
Si ayah ini pernah menjadi pengawai dalam unit beruniform. Tentulah perlu ilmu cukup di dada sebelum beradu tenaga. Ilmu pengerun menjadi pilihan. Bila bertentang mata, hati lawan akan mula lemah, anak buah tidak berani membantah dan pengawai atasan pula tidak berani mencari salah. Ilmu setan ini, nampak menarik pada mulanya, namun bila sudah tua, ternyata padah di penghujungnya. Lidah sukar mengucap syahadah. Ilmu salah sudah sebati dalam diri. Selagi tidak ditawar ilmu itu, nyawa sukar bercerai dari badan.
Keris lama yang sering diperasap dikeluarkan si anak. Katanya ayah sering merenjis limau di atasnya sambil mulut berkumat-kamit. Keris itu dibawa di depan si ayah. Dari terlantar, terus terduduk tegak. Semua yang hadir terperanjat. Adha mulakan bacaan ayat-ayat suci. Angin di luar rumah tiba-tiba bertiup kencang. Suasana di dalam rumah, senyap sunyi. Hanya suara Adha yang dapat didengar. Setelah setengah jam berlalu, si ayah terbaring semula. Beberapa minit kemudian, dada si ayah mula berombak kencang. Anak-anak mula berkumpul di tepi ayah mereka. Akhirnya, setelah lama derita, ayah mereka pergi jua.
Kenapa tajuk ceritaku, Suamiku bukan ustaz? Aku ingin kaitkan orang kita sebenarnya agak mudah memanggil panggilan tersebut kepada sesiapa yang berpenampilan ala-ala alim dan berkebolehan dalam bidang agama. Namun, panggilan ustaz itu, sebenarnya berat dengan tanggungjawab. Panggilan yang meletakkan seseorang individu itu, berbeza dari yang lain, dihormati dan dipercayai. Adha, suamiku lebih gemar, orang memanggil namanya sahaja. Tanpa gelaran ustaz di pangkal nama.
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit