Suara Aneh

Hai semua…

Terima kasih banyak Fiksyen Shasha jika cerita ini diterima, aku sangat menghargainnya. Peristiwa ini sangatlah aneh yang berlaku pada diri aku sendiri …

Ayah selalu pergi ke luar bandar untuk tujuan bekerja. Jadi, aku selalu duduk di rumah bersama ibuku. Untuk makluman semua, aku tiada adik-beradik dan ibuku merupakan suri rumah di rumah kami.

Aku suka berfesyen. Oleh itu, banyaklah koleksi baju gaun dan juga rambut palsu yang tersusun rapi di dalam almariku. Perkara yang paling aku suka adalah mengumpul rambut palsu dan berhias di depan cermin.

Tapi, aku ada satu rambut palsu yang paling aku sayang. Makin aku memakainya dengan kerap, makin cantik rupa parasku apabila dipadankan dengan rambut itu. Rambut palsu itu berwarna hitam bersinar, panjangnya di paras bahu dan ikal rambut itu sangat cantik. Kecantikan rambut palsu itu tampak seperti rambut sebenar.

Sejak aku memiliki rambut palsu itu, tiada apa-apa yang pelik terjadi. Sehinggalah suatu hari, aku terjaga daripada tidur kerana mengalami mimpi yang agak menakutkan.

Dalam mimpi itu, aku melihat beberapa orang wanita memakai rambut palsu yang sama. Apabila dilihat dengan teliti rambut palsu tersebut adalah rambut palsu milikku yang aku sayang. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka memandang aku dan berkata, “Ini kau punya, kan? Kerana kau, aku d*****h.” Aku tidak faham kata-katanya jadi aku pun beredar dari situ. Tiba-tiba wanita itu mengejarku dan mencekik batang leher aku.

Aku terus tersedar.

Keesokan harinya, aku pun mahu pergi berjumpa dengan rakan kolejku. Kami sudah berjanji akan berjumpa pada pukul 2 petang. Jadi, aku pun bersiap-siap mahu keluar rumah.

Tiba-tiba ibu aku datang ke bilikku dengan tergesa-gesa. Aku keliru dengan tingkah laku aneh ibuku.

“Kenapa, bu?” soalku.

“Kenapa, apa? Kau yang panggil ibu tadi, kan?” jawab ibu.

“Hah? Mana ada. Orang tak panggil ibu pun tadi.”

“Kau jangan main-main.. kau jerit bagai nak runtuh rumah ni. Bila aku datang, kau cakap kau tak panggil pulak!” bentak ibu.

“Sumpah, orang tak panggil pun ibu.”

Tiba-tiba aku dan ibu terdengar suara seseorang ketawa. Suaranya sayup-sayup tapi jelas didengari. Kedengaran suara itu datang dari almari bilikku. Aku dan ibu saling berpandangan. Kami terkedu. Aku pun segera mengubah topik dan memecahkan suasana sunyi.

“Em, orang nak pergi jumpa kawan dah ni.”

“Eh, er.. kau balik pukul berapa?” cepat-cepat ibu tanya.

“Tak pastilah, ibu. Mungkin pukul 3 lebih macam tu..”

Air muka ibu berubah.

“Kau balik cepat sikit. Ibu nak masak pasta nanti.”

Aku faham perasaan ibu tapi aku buat-buat tak mengerti. “Okey, ibu.” Balasku.

Aku pun sampai ke rumah. Badanku agak letih jadi aku terus merehatkan diri dia atas sofa.

“Kau sabar jap boleh tak?!” tiba-tiba saja ibu menjerit membuatkan aku terkejut.

“Kenapa ibu?”

“Hah! Kau kenapa panggil aku? Aku cakap aku dalam tandas, sibuk panggil aku berkali-kali.” Ibu menghayunkan senduk ke arah lenganku. Sakit juga rasanya.

“Orang baru je balik, ibu. Baru je masuk tadi.”

“Kau ni kan, memang nak kena betullah!”

Belum sempat ibu mahu sebat aku menggunakan senduk, tiba-tiba ada suara seseorang memanggil ibu. Suaranya mirip suara aku. Ya, kali ini aku pun dengar. Suaranya datang dari bilik aku.

“Ibu… ibu… ibu…” Suara itu terus memanggil.

“Sofia… Sofia… Sofia…” Suara itu memanggil nama aku juga.

Panggilan itu diakhiri dengan ketawa yang sayup-sayup. Aku dan ibu kehilangan kata-kata. Ibu yang memegang senduk tadi terus melepaskannya.

Aku pun terus naik ke bilik dan mencari rambut palsu. Aku jumpa. Tanpa berfikir panjang, aku terus membakar rambut palsu itu dan membuang sisa bakarnya ke dalam semak.

Sejak hari itu, suara yang memanggil ibuku berkali-kali hilang begitu saja. Jadi, memang rambut itulah yang menjadi puncanya.

Barulah aku teringat peristiwa aku membeli rambut palsu itu. Penjual itu ada mengatakan, “Nak beli rambut ni boleh je. Tapi jiwa kena kuat.”. Aku juga tertanya-tanya hingga sekarang, adakah benar rambut palsu itu daripada rambut asli?

Maaf jika cerita ini kurang seram dan tidak ekstrem. Tapi aku boleh jamin, ini cerita sebenar
yang terjadi pada diri aku sendiri. Sekian, terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Sofia

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 13 Average: 4.6]

1 thought on “Suara Aneh”

  1. sis.. ada juga kajian mengatakan rambut2 palsu ni dari wanita2 di negara India yang melakukan nazar dan botakkan kepala mereka.. rambut2 ni di jual di pasaran untuk dijadikan rambut palsu dan di export keluar negara.. jadinya pikir 2-3 kali lah kalau nak pakai rambut palsu.. huhu

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.