Teman Baru

Semesta ketiga bakal bermula lagi beberapa hari. Memandangkan aku antara orang yang gagal mengumpulkan merit untuk terus menetap di kolej, maka aku terpaksa mencari rumah sewa di luar. Nak dijadikan cerita, aku menyewa sebuah rumah flat murah dan tinggal dengan lagi tiga kawan aku, Alif, Ekmal, Zafrul. Yalah, tak mampu nak sewa rumah-rumah yang mahal. Rumah flat murah ini pun dah dikira bagus untuk tinggal sepanjang tempoh belajar…

Bangunan flat yang kami sewa ini kedudukannya di pinggir bandar dan bahagian belakangnya terdapat hutan yang masih belum diteroka atau diratakan untuk pembangunan. Keadaan bangunannya juga agak lama. Mungkin penghuni rumah-rumah sewa ini sudah banyak kali bertukar tangan. Bangunan ini terdiri daripada empat tingkat dan rumah yang kami sewa pula berada di tingkat tiga.

“Kau tahu tak? Sampai-sampai je sini, aku rasa macam ala-ala dalam filem Blok 404.” ujar Ekmal yang memang seorang yang kaki filem. Banyak filem yang ditontonnya dan yang paling digemarinya adalah filem bergenre seram. Cakap sahaja filem seram negara mana, hampir semua dia pernah tonton.

“Kau buat lawak apa? Tak kelakar.” balas Zafrul yang ketika itu sedang memunggah barangannya masuk ke dalam bilik. Kami semua sedang sibuk mengemas rumah memandangkan hari ini merupakan hari pertama kami masuk ke rumah ini. Mendengarkan lawak Ekmal yang menyamakan flat ini dengan filem Blok 404, Zafrul kurang selesa. Dia agak sensitif bila bercakap mengenai kisah-kisam seram begini. Mungkin kerana kelebihan yang dianugerahkan kepadanya, iaitu hijabnya terbuka. Berbeza pula dengan Ekmal, disebabkan dia terlalu banyak menonton filem seram, dia mula merasakan bahaya hantu itu tak wujud. Semua itu hanyalah mitos dongengan masyarakat untuk menakutkan orang.
“Rilek ah, Rul. Nak takut apa? Bukan ada hantu pun.”
“Jaga sikit mulut kau. Jangan celupar. Kau tahu kan flat ni pun dah lama. Entah siapa yang sewa rumah ni sebelum ni mana kita tahu. Tak kesahlah kau percaya ataupun tak, tapi mulut tu pastikan ada adab. Jangan celupar. Silap-silap kau yang terkena badinya nanti.” Zafrul menasihati Ekmal yang dirasakan sedikit lancang bercakap.

Aku yang ketika itu juga sibuk mengemas, malas hendak masuk campur dengan pergaduhan mereka berdua. Yang pasti, aku nak sesi mengemas rumah ni selesai sebelum maghrib supaya malam nanti dapatlah kami berehat. Urusan pembahagian bilik juga sudah ditentukan, oleh kerana rumah ini hanya mengandungi dua bilik, maka aku sebilik dengan Zafrul dan Ekmal dengan Alif.

Sedar tak sedar, sudah tiga jam mereka mengemas dan membersihkan rumah. Akhirnya, semuanya selesai dan hari sudahpun beransur senja. Selesai solat maghrib, aku keluar bilik untuk menuju ke dapur dek perut sudah terasa lapar. Tiada apa yang boleh dimasak memandangkan kami belum lagi membeli barangan dapur. Aku membuka peti sejuk dan mendapati hanya ada beberapa biji telur. Cukuplah untuk masak telur dadar.

Setelah mengeluarkan tiga biji telur, aku pun menutup pintu peti sejuk. Alangkah terkejutnya apabila aku mendapati satu kelibat kanak-kanak berdiri di sebelah peti sejuk. Badan kanak-kanak itu hitam satu badan seperti disimbah minyak hitam ke atas tubuhnya dan dia telanjang tanpa seurat benang di badannya. Dia berdiri tegak memandang ke arah aku sebelum beberapa detik, dia mengeringai dan ketawa kecil. Setelah itu, dia berlari ke arah ruang tamu.

Aku meletakkan telur-telur itu di dalam mangkuk dan mengikuti kanak-kanak itu ke ruang tamu. Pelik juga bila tiba-tiba ada kanak-kanak di dalam rumah ini. Takkan anak jiran pula, kan?

Peliknya apabila budak itu tiada di ruang tamu. Aku mula hairan lalu aku masuk ke dalam bilik untuk bertanya kepada Zafrul.

“Rul, kau ada nampak budak tadi tak?”

“Budak mana pula? Mana ada budak dalam rumah ni.” Zafrul berkerut dahi.

“Oh, tak apalah. Aku salah tengok kut.”

“Toyol ke?” tanya Ekmal yang tiba-tiba muncul. “Tak ada apa nak dicuri dekat rumah student ni. Kesian toyol tu salah alamat kut. Hahaha.” Ekmal ketawa pada lawaknya sendiri tapi tidak bagi aku dan Zafrul. Kami hanya diam.

“Eh, dahlah. Aku nak mandi.” ujar Ekmal sebelum beredar ke bilik air. Aku pula kembali ke dapur untuk memasak telur dadar. Seaktu memasak, aku terdengar Ekmal menjerit.

“Woi, siapa pula main tutup-tutup lampu ni? Silai la. Main bukak tutup lampu pulak. Aku nak mandi kut. Agak-agaklah kalau nak bergurau.”

Aku memandang ke arah bilik air. Tiada sesiapa yang berada di hadapan pintu bilik air dan tiada sesiapa yang bermain dengan suis lampu bilik air ketika itu. Bahkan, suis lampu itu dalam keadaan terpasang tanpa sebarang gangguan. Ke dia yang melawak? Malas hendak fikir karenah Ekmal itu, aku meneruskan kerja aku. Setelah siap memasak, aku ke meja makan untuk makan nasi bersama telur dadar dan kicap yang aku masak tadi. Sedang aku enak menjamu makanan, Ekmal muncul dan duduk di kerusi berhadapan dengan aku.

“Kau kan tadi yang kacau aku mandi?”

“Mana ada!”

“Habis tu siapa? Aku tahu ada orang yang kenakan aku. Aku dengar ada suara orang gelak masa lampu padam tadi. Kau kan?”

“Sumpah tak! Aku sibuk masak tadi. And lagi satu, tadi aku check suis lampu bilik air elok je terpasang masa kau terjerit jerit tadi. Tak ada orang pun dekat depan bilik air. Kau yang tak betul.” balas aku geram bila dituduh sebegitu. Ekmal kelihatan sedang kehairanan apabila mendengar penjelasan aku. Dia masih cuba untuk menyatakan keyakinannya bahawa ada orang yang kenakan dia tapi tidak sempat apabila Alif pula keluar dari bilik dan bertanyakan sesuatu.

“Wei, ingat lawak ke ketuk-ketuk pintu bilik? Aku tengah solat lah. Macam nak roboh pintu ni kau ketuk. Pintu pun aku tak kunci pun. Masuk je lah.”

Aku dan Ekmal memandang antara satu sama lain. Hairan. Ini kali ketiga kejadian pelik berlaku. Siapa pula yang ketuk pintu bilik Alif? Sedangkan dari tadi aku tidak dengar bunyi orang mengetuk pintu pun. Aku pun menjelaskan perkara sebenar kepada Alif dan juga perkara yang berlaku kepada Ekmal. Tapi aku tidak pula menceritakan kejadian yang aku nampak budak hitam satu badan berdiri di sebelah peti sejuk dan ketawa kecil bila dia pandang aku.

Malam itu kami tidur awal dan esoknya pula Ekmal mewakilkan diri untuk membeli makanan sarapan untuk mereka berempat. Roti canai mamak dekat simpang jalan. Sewaktu bersarapan bersama, Zafrul pun bercerita tentang kejadian yang dia alami semalam. Ternyata dia turut mengalami kejadian aneh dan kejadian aneh yang dialami oleh Zafrul tidak jauh beza dengan aku. Dia juga ternampak kelibat budak hitam di dalam bilik.

Semasa tidur, Zafru terjaga kira-kira pukul 1.15 pagi. Dia merasakan seseorang sedang mengusap kakinya. Zafrul yang rasa tidak sedap hati terus menutup kakinya dengan selimut sebelum menyambung tidur. Namun, tidurnya diganggu apabila dia merasakan seseorang menarik selimutnya perlahan-lahan. Zafrul merinding bulu roma. Dia menarik semula selimutnya dan menukar posisi tidurnya. Jika sebelumnya dia tidur melentang, kini dia cuba untuk tidur mengiring ke kanan tetapi sebaik sahaja tubuhnya menghadap ke arah kanan, dia melihat susuk tubuh budak hitam terbaring menghadapnya. Mengerikan. Mukanya hitam legam. Yang putih hanyalah mata. Budak itu menyeringai dan ketawa kecil persis seperti suara kanan-kanak ketawa walaupun riak wajah ketawanya kelihatan seperti kaku. Zafrul beristighfar dan memaksa dirinya untuk tidur. Dia pejam mata sehinggalah dia benar-benar tertidur.

“Lepas tu aku mimpi.” jelas Zafrul.

“Mimpi apa?” tanya aku yang ingin tahu kisah selanjutnya.

“Sebenarnya aku dari dulu ada kelebihan untuk tahu benda-benda macam ni. Selalunya aku akan tahu melalui mimpi. Aku boleh tahu kenapa dia muncul, sebab dia kacau orang dan banyak lagi lah. Dalam mimpi aku, budak tu menangis. Dia menangis sebab dia kesunyian. Katanya sudah lama rumah ni tidak berpenghuni dan dia mahukan teman untuk bermain. Sebab itulah dia kacau kita. Tapi lumrah alam ghaib dengan manusia mana boleh berkawan.” jelas Zafrul.

“So, kau ada halau budak tu tak? Ish, seram pulak aku dengar. Ni kali pertama aku alami kejadian macam ni, boleh tahan seram walaupun aku tak nampak rupa budak tu. Dengar korang cerita rupa dia macam mana je dan buat aku seram. Ish, menyesal pula aku tak jaga mulut. Lepas ni tak nak dah jadi celupar.” ujar Ekmal yang insaf dan tidak mahu memandang isu begini sebagai gurauan.

“Aku ni bukanlah orang berpengetahuan jugak untuk halau benda-benda macam ni. Aku cuma ada kelebihan tu sahaja. Tapi aku rasa elok kalau kita cari ustaz yang boleh uruskan masalah ni.”

“Aku setuju.” balas aku diikuti dengan Ekmal dan Alif.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Hanif Ashraf

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 3.9]

1 thought on “Teman Baru”

  1. Btl ap yg zafrul tu ckp. Sebolehnya, jumpa la dgn org yg pakar dpm hal2 mistik ni. Klu saudara bawa kereta, lps tu xblh start, mst saudara jumpa mekanik kerata bukan?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.