Teraniaya Oleh Jin Saka Harimau

PARKING BILIK MAYAT
Oleh : Aisy Anaqi

Cerita yang aku nak kongsikan ni, baru sangat berlaku. Rasanya dalam seminggu dua ni saja. Tapi aku akan olah supaya ianya tidak menyinggung mana-mana pihak samada yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia. Kisah ini bermula pada satu petang, di sebuah hospital besar di utara tanah air. Hospital kerajaan, bukannya hospital swasta ya. Aku namakan lelaki ini sebagai Osman. Osman ni sudah berkeluarga. Berumur dalam lingkungan 40-an. Nak dijadikan cerita, ada saudara rapatnya yang dimasukkan ke wad di hospital tersebut atas masalah kesihatan yang kronik. Jadi sebagaimana biasa, bila ada saudara yang dimasukkan ke wad, kita akan datang melawat mereka.

Waktu itu, lebih kurang jam 7 petang. Kebetulan seminggu kebelakangan ni, hari selalu hujan pada sebelah petang. Keadaan sekeliling jadi redup, mendung dan sesekali hujan turun. Kadang-kadang lebat, tapi selalunya gerimis.
Disebabkan masa melawat pesakit sekitar jam 5 hingga 7 petang, maka kebanyakkan ruang parking di hospital ini penuh dengan kenderaan pelawat. Disebabkan kesemua parking yang ada berhampiran bangunan wad lama itu penuh, Osman mengambil keputusan menurunkan isteri, anak-anak dan ibunya yang agak uzur di hadapan pintu masuk wad sebelum dia memandu mencari ruang parking yang masih kosong di bahagian belakang hospital yang agak sunyi.
Biasalah kalau di kawasan hospital ni, tempat parking yang selalunya kosong mestilah jauh dari bangunan wad. Jadi tak nak tak, Osman terpaksa juga tinggalkan kereta di situ. Kebetulan, parking tersebut betul-betul di hadapan bilik mayat hospital yang pada masa tu memang lengang. Yang ada di depan pintu masuk ke bilik mayat tu pun, cuma sorang pengawal keselamatan yang sedang leka membelek handphone. Keadaan di situ memang betul-betul sunyi sebab laluan di hadapan bilik mayat ini laluan untuk kenderaan keluar saja sebab jalan ni adalah jalan one way.

Jadi kalau waktu melawat pesakit, memang takkan ada sesiapa yang akan lalu di situ. Selesai parkirkan kenderaan, Osman bergegas ke wad kerana hujan dah mula turun rintik-rintik. Kira-kira setengah jam sebelum waktu melawat tamat sekitar jam 7.30 malam, Osman dan keluarganya meminta diri untuk pulang dan Osman minta isteri, anak-anak dan ibunya supaya menunggu di tempat dia turunkan mereka sebentar tadi.
“Mak tunggu kat depan wad ni dengan Kina ya. Man pi ambik kereta sat.”
Osman senyum ke arah ibunya. Wanita tua tu cuma angguk dengan wajah yang nampak macam letih. Mungkin sebab banyak berjalan tadi.
“Elok-elok Man. Hujan ni.”
Teguran ibunya membuatkan Osman mengangguk sekali. Ketika Osman nak melangkah dari situ, anaknya yang masih kecil pula merengek-rengek.
“Nak ikut babah. Nak ikut babah.”
Shamil, anak mereka yang paling bongsu yang baru berumur 5 tahun itulah yang paling kuat merengek. Susah sangat nak berenggang dengan Osman. Kina pegang dan tarik tangan Shamil sambil memujuknya.
“Babah nak pi ambik kereta. Kita tunggu sini na? Sat lagi babah mai la ambik kita. Lagipun hujan ni. Sat lagi Amil demam. Kalau demam, petang esok tak boleh keluaq main dengan kawan-kawan.”
Mendengar ugutan Kina, Shamil diam dan berhenti merengek. Sementara anak sulungnya, Syukri pula macam biasa, leka dengan game di handphone kepunyaannya. Osman sengih melihat telatah anaknya sebelum mengerling ke arah isterinya yang memberi isyarat supaya segera mengambil kereta.
Hujan masih lagi rintik ketika Osman tiba di keretanya. Keadaan ketika itu agak gelap walaupun waktu baru menginjak pukul 7 petang. Tapi keadaan sekeliling dah gelap macam pukul 8 malam. Lampu lampu jalan juga sudah siap terpasang. Di langit, awan hitam nampak bungkam. Angin yang agak kencang bertiup membuatkan Osman berpeluk tubuh, kesejukkan. Sudahlah t’shirt yang dipakainya sudah mula lencun ditimpa rintik hujan sebab dari bangunan wad menuju ke parking di hadapan bilik mayat tersebut tiada laluan berbumbung langsung. Jadi nak tak nak dia terpaksa redah juga walaupun hujan tengah turun.

Sampai saja di kereta, Osman terus bergegas masuk. Tapi, belum sempat dia menarik nafas panjang dan cuba menghidupkan enjin keretanya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan ketukan beberapa kali di cermin tingkap di sebelah kanannya.
“Astagfirullahal azim..”
Osman yang terperanjat, beristigfar sambil mengurut dada. Di luar keretanya, kelihatan seorang lelaki tua, dalam lingkungan umur 70-an, berwajah cengkung berketayap putih dan berbaju melayu lusuh warna kuning cair sedang berdiri betul-betul di sebelah pintu kereta sebelah pemandu.
Tanpa memikirkan apa-apa, Osman terus menurunkan cermin tingkap Proton Saganya dengan dahi berkerut memandang wajah lelaki tua itu.
“Ada apa pakcik? Awat yang dok dalam hujan ni?”
Soalan Osman tidak dijawab oleh pakcik tua tersebut. Tapi Osman dapat lihat di wajahnya, pakcik tua tu nampak resah. Macam ada benda yang tak kena. Dan Osman juga perasan ada lukisan berwarna biru gelap kehitaman berbentuk seperti kepala harimau di bahagian antara leher dan bahu pakcik tua tersebut. Macam tatoo. Getus hati Osman.
“Anak nak pi mana?”
Soal pakcik tua tersebut. Suaranya agak perlahan dan serak. Osman menghela nafas panjang.
“Saya nak balik rumahlah pakcik. Awat, pakcik nak tumpang ka? Pakcik nak pi mana? Saya boleh tolong hantaq.”
Sekali lagi soalan Osman tidak dijawab. Sebaliknya pakcik tua tu nampak semakin resah sambil sesekali menyeluk kocek bawah baju melayunya.
“Pakcik nak mintak tolong boleh dak?”
Dahi Osman berkerut lagi. Di luar hujan yang tadinya rintik-rintik, mula menjadi lebat. Pakcik tua itu mula kuyup ditimpa hujan. Osman naikkan cermin tingkap kereta hingga tinggal kira-kira sejengkal saja untuk dia terus berbual dengan pakcik tua tersebut.
“Mintak tolong apa pakcik? Hujan ni. Mai masuk dalam kereta dulu. Demam sat lagi susah.”
Walaubagaimanapun, ajakan Osman disambut gelengan pakcik tua itu. Osman garu kepala. Susah jugak kalau macam ni. Dah lah hujan tengah nak lebat ni. Apa yang pakcik ni nak pulak ni?
Osman berguman dalam hati. Tiba-tiba pakcik tua itu keluarkan satu uncang bertali warna hitam yang entah apa isinya di dalamnya lalu diserahkan kepada Osman. Osman pula menyambut uncang tersebut tanpa memikirkan apa-apa.
“Anak tolong pegang sat uncang pakcik ni. Takut basah. Pakcik nak pi melawat sedara sat.”
Kemudian pakcik tua tersebut terus menonong berjalan meninggalkan Osman yang masih lagi terpinga-pinga. Benda apa pulak ni? Bisik hati Osman. Kalau dia nak suruh aku jaga, sat lagi macamana aku nak bagi balik benda ni dekat dia?
Osman garu kepala sambil membelek-belek uncang di tangannya itu. Kemudian dia merasa isi kandungan uncang tersebut dengan hujung jarinya. Macam guli pun ada. Bulat-bulat, keras. Rasanya ada 2 biji. Sama besar. Apa benda ni? Dahi Osman terus berkerut panjang.
“Err.. Sat lagi macamana pakcik nak ambik balik benda….”
Osman bersuara sambil mengalihkan pandangannya ke arah tempat pakcik tua tadi berdiri. Tapi pakcik tua tu dah hilang. Hujan pula semakin lebat ditambah pula dengan angin kencang. Makin panjanglah kerutan di dahi Osman.

“Mana pulak pakcik ni hilang? Isk. Macamana aku nak bagi balik uncang ni kat dia sat lagi? Takkan aku nak kena tunggu dia kat sini pulak?”
Osman garu kepala. Dalam keadaan fikirannya yang masih bercelaru, sekali lagi dia terkejut bila handphone dalam poket seluar jeansnya tiba-tiba saja berbunyi. Dia punya terperanjat sampai uncang tersebut tercampak ke dashboard.
Terkocoh-kocoh Osman capai handphone dan jawab panggilan yang masuk. Suara Kina bergema di hujung talian.
“Abang? Abang ok ke dak tu? Awat lama sangat? Angin kuat ni, ribut. Kami dah basah kuyup dah tunggu kat sini. Kesian kat mak dengan anak-anak ni.”
Osman beritsigfar panjang. Tak menunggu lama dia terus hidupkan enjin.
“Sat-sat. Abang baru sampai kat kereta ni. Tunggu sat abang pusing pi ke sana.”
Osman segera rapatkan cermin tingkap dan terus bergegas memandu Proton Saganya keluar dari parking lot tersebut, sementara uncang hitam tadi dibiarkan di dalam lopak syiling di dahsboard keretanya.

**** Waktu sampai ke rumah, Kina sudah pula perasan ada benda yang tak kena dengan suaminya. Selalunya kalau mereka sekeluarga keluar bersiar-siar dengan kereta, Osman memang suka berbual. Mulutnya macam bertih jagung, dan tak pernah kering dengan lawak jenaka. Ada saja benda yang akan dibualkannya, sambil mengusik dia ataupun anak-anaknya. Selalunya kalau mereka keluar pada waktu malam, Osman selalu akan mengusik anak-anaknya dengan cerita-cerita hantu yang menyeramkan. Contohnya kalau waktu itu mereka sedang lalu di kawasan yang pernah berlaku kemalangan maut, akan keluarlah kisah-kisah menakutkan yang kononnya pernah berlaku di situ. Masalahnya Osman nak menyakat anak-anaknya, tapi Kina pula tumpang seram sekali. Paling takut adalah Amil. Kadang-kadang sampai menangis budak tu dibuatnya. Tapi sepanjang memandu pulang dari hospital senja tadi, Osman hanya membatu. Dia langsung tidak bercakap apa-apa, malah bila Kina menyoalnya kenapa lambat mengambil kereta pun, Osman langsung tak menjawab. Tapi Kina tak ambil pusing sangat kerana dia menyangka yang Osman mungkin letih. Lagipun petang tadi waktu dia ajak suaminya itu ke hospital pun, Osman sebenarnya baru pulang dari kerja. Dia nampak yang Osman letih, mungkin banyak kerja hari ini. Lagipun kerja sebagai pemandu lori di kedai hardware bahan binaan bukanlah memandu semata-mata tapi juga memunggah segala bagai barangan pembinaan yang berat-berat belaka. Tapi, walaupun letih, Osman tetap tidak membantah bila dia mengajak ke hospital. Mungkin sebab itulah bila suaminya itu diam saja sepanjang perjalanan balik tadi, dia masih cuba bersangka baik. Tapi bila malam semakin larut, dia mula rasa bimbang dengan keadaan Osman yang baginya, semakin luar biasa tingkah lakunya. Selalunya selepas selesai makan malam, Osman akan keluar dan duduk di pangkin kayu di sebelah pintu masuk rumah mereka sambil membalut rokok daunnya. Kina pula yang dah faham dengan tabiat suaminya itu, akan sediakan kopi panas dan akan bawa ke pangkin. Selalunya mereka akan berbual-bual sekejap sambil menunggu Osman habiskan kopi kegemarannya sebelum mereka masuk tidur.

Tapi waktu dia sedang menyediakan kopi panas di dapur, telinganya menangkap bunyi dengusan nafas manusia yang sangat pelik. Waktu itu Kina dah mula rasa seram. Bulu roma dan bulu tengkuknya tiba-tiba saja berdiri. Sedangkan waktu itu belum pun pukul 10 malam. Tapi perasaan seram tiba-tiba saja muncul dalam dirinya. Yang dia perasan, bunyi dengusan nafas itu datangnya dari bahagian hadapan rumah. Lebih tepat, dari pangkin di mana Osman sedang duduk berehat ketika ini.
Ketika sedang mengacau kopi panas yang baru dibuatnya, dia meninjau beberapa kali ke arah pintu rumah yang terbentang luas. Tapi kelibat Osman langsung tidak kelihatan. Dia mengerling pula ke ruang tamu. Amil sedang tidur di hadapan TV manakala anak sulungnya Syukri pula sedang leka dengan handphonenya. Kina mula rasa ada benda yang tak kena. Dia terus memanggil Syukri yang sedang duduk mengadap TV yang sedang terpasang.
“Krie..”
Panggilan pertamanya tidak mendatangkan respon kerana Syukri terlalu khusyuk dengan handphonenya.
“Syukri!”
Kina menguatkan suaranya. Sambil sesekali meraup tengkuknya yang terasa meremang. Bunyi dengusan nafas yang sampai ke telinga semakin kuat. Lebih kuat daripada tadi dan sesekali bunyi itu tersekat-sekat macam orang sedang kepenatan.
“SYUKRI!”
Sekali lagi dia bersuara, kali ini separut memekik. Syukri terkejut lalu berpaling ke arah suara yang memanggilnya. Wajahnya berkerut.
“Awat mak?”
Kina tarik nafas lega. Dia tak bersuara balas namun segera melambai ke arah anaknya itu supaya datang kepadanya. Dengan langkah longlai dan mata masih mengadap skrin handphone Syukri berjalan ke arah ibunya.
“Krie… Hang dengaq dak apa yang mak dengaq?”
Soalan Kina membuatkan dahi anaknya itu kembali berkerut. Namun matanya tak lepas dari handphonenya.
“Dengaq apa mak?”
“Tu.. Cuba hang dengaq betul-betul. Bunyi mengeroh tu..”
Kina letakkan jari telunjuk ke bibirnya, isyarat supaya Syukri memasang telinga. Beberapa detik kemudian suara dengusan nafas yang semakin berserak itu kedengaran lagi. Semakin kuat dan semakin jelas. Seolah-olah ada makhluk yang sedang berdiri memandang ke arah mereka dan mendengus marah. Dahi Syukri berkerut seribu. Handphone dimasukkan ke dalam kocek seluar pendek yang dipakainya.
“Bunyi ayah berdengkur kot mak.”
Syukri meneka, lebih sekadar untuk menyedapkan hatinya walhal dia pun dah mula rasa takut dengan bunyi yang kuat dan semakin mendekat itu. Perlahan-lahan dia mula merapatkan dirinya kepada Kina sambil matanya memandang tepat ke arah pintu depan yang terbuka luas.
“Pak hang tak pernah berdengkur macam tu.”
Kina tarik nafas panjang. Dia mula rasa resah. Tambah-tambah bila nampak yang Amil mula bergerak-gerak macam dah terjaga daripada tidur. Mungkin bunyi dengusan nafas tersebut mengganggu tidurnya.
“Dah tu bunyi apa pulak? Ayah kat luar tu takkan dia tak dengaq kot?”
Soalan Syukri membuatkan Kina pantas menggeleng.
“Mak rasa ada benda yang tak kena dengan ayah hang ni.”
Syukri telan liur.
“La ni hang pi tengok sat ayah hang tengah dok buat apa. Mak nak ambik Amil.”
Syukri telan liur. Arahan ibunya membuatkan dia rasa serba salah. Nak diikut, dia takut. Nak membantah, dia pun nak tahu jugak apa yang sebenarnya sedang berlaku. Bimbang apa-apa berlaku kepada ayahnya juga membuatkan dia semakin serba salah.
“Jom.”
Kina menolak tubuh Syukri dan mereka berdua berjalan berhati-hati menuju ke arah ruang tamu. Bunyi dengusan nafas yang menyeramkan itu semakin jelas di telinga mereka. Kina pantas mencapai Amil yang sedang mamai dan baru separuh jaga lalu segera memeluk dan mendukungnya. Syukri pula baru tiba di hadapan pintu dan teragak-agak untuk menjengah.
Namun tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara jeritan dan raungan Hajah Liah, ibu Osman yang sedang tidur di dalam bilik bersebelahan dengan pintu hadapan yang sedang terbuka itu. Raungan dan jeritan itu sangat kuat, berselang seli dengan bunyi dengusan nafas dan mengaum, seakan bunyi ngauman harimau yang sedang marah.
“Tolong!! Ya Allah. Tolong mak Kina! Tolong!!”
Hajah Liah meraung sambil menangis disusuli bunyi benda jatuh berdebuk di lantai. Kina dan Syukri saling berpandangan. Wajah keduanya pucat lesi saat itu sementara Amil yang baru terjaga dari tidur, tiba-tiba saja menangis dan meronta ketakutan macam ternampak sesuatu.
Ketika Syukri menjengah ke muka pintu, bunyi ngauman harimau tadi seakan melintas di hadapannya menyebabkan dia jatuh terduduk di lantai. Ketika itulah dia nampak ayahnya sedang berdiri di atas pangkin, kemudian mengeliat beberapa kali dan terus mencangkung dengan kedua belah tangannya menopang di hadapan, persis seekor harimau bengis yang sedang menunggu untuk menerkam mangsanya. Wajah ayahnya juga nampak sangat bengis. Kedua belah matanya hitamnya hilang, yang tinggal cuma mata putihnya saja.
“Mak!! Ayah mak!”
Syukri yang terkejut melihat ayahnya, menjerit ketakutan dan bersusah payah bangun lalu berlari ke arah Kina yang masih terpaku di tengah-tengah ruang tamu. Waktu itu seluruh tubuhnya meremang dan terasa mengembang.
Tangisan Amil pula semakin nyaring diselang seli dengan suara ngauman harimau yang menyakitkan gegendang telinga.

                ****

Ketika sedang dibawa dengan sebuah kereta menuju ke rumah Abang Lan, seorang perawat alternatif yang terletak di Kodiang, Osman masih lagi mendengus dan sesekali mengaum seperti seekor harimau. Tapi yang menyeramkan, suara yang keluar dari mulut Osman itu bunyinya sebiji suara harimau sebenar. Bila sesekali dia mengaum, terasa bergegar sampai ke bumbung kereta.
Ketika itu jam 11 malam. Latif, adik Osman yang tinggal bersebelahan dengan rumah mereka, sedang memandu manakala Kina pula duduk di sebelahnya. Di belakang, dua orang jiran berdekatan duduk di kiri dan kanan sambil memegang kedua belah lengan Osman yang duduk di tengah.
Manakala sebuah kereta lagi yang sedang mengekori di belakang penuh dengan lima orang lelaki yang diminta menemani mereka. Lagipun tadi semasa Latif menelefon Abang Lan untuk meminta bantuan pun, perawat itu ada berpesan supaya datang bawa kawan-kawan. Lagi ramai lagi bagus. Sebab itulah Latif minta bantuan rakan-rakan sekampungnya untuk turut serta malam itu.
Syukri dan Amil pula ditinggalkan di rumah bersama-sama beberapa orang jiran yang datang membantu tadi sementara menunggu ambulan datang mengambil Hajah Liah yang pengsan lepas terjatuh daripada katil.
Sebenarnya jarak antara kampung mereka dengan rumah Abang Lan tidaklah jauh mana. Sekitar 15 kilometer saja. Tapi itulah perjalanan yang Latif rasakan paling lama dalam hidupnya. Meremang, seram dan segala perasaan lagi menyelubunyi keempat mereka di dalam kereta tersebut. Tapi masing-masing cuba kuatkan diri untuk selamatkan Osman yang kerasukan.
Yang paling menyeramkan, bila mereka nampak seekor harimau berwarna putih yang tingginya hampir sama dengan sebuah kenderaan MPV sedang berlari di antara celahan pokok-pokok di sepanjang jalan mengekori kenderaan mereka. Mulanya Latif seorang saja yang perasan kehadiran harimau putih bermata merah tersebut dan dia kuatkan hati juga untuk terus memandu. Tapi bila beberapa kali makhluk menakutkan itu melintas di hadapan keretanya hingga dia hampir terbabas, barulah dia bersuara.
“Ada benda yang ikut kita ni. Hangpa semua baca ayat qursi banyak-banyak dan jangan tengok keluar tingkap.”
Arahan Latif membuatkan wajah masing-masing pucat lesi. Latif terpaksa memperlahankan pemanduannya kerana bimbang kalau-kalau dia terbabas dan mengakibatkan kemalangan. Lagipun ketika itu kenderaan lain masih banyak di atas jalan raya.
Setiap kali kelibat harimau putih bermata merah itu muncul, Osman akan turut sama mengaum dan meronta-ronta. Mujurlah dua orang lelaki yang mengepit tubuh Osman di tengah-tengah itu tubuhnya boleh dikatakan besar dan kuat kudratnya. Kalau kena yang bertubuh kecil dan kurus, rasanya Osman dah terlepas keluar dari kereta ketika itu. Latif terus memandu dengan berhati-hati. Waktu itu dia perasan, setiap kenderaan, motosikal ataupun kereta yang berselisih dengan keretanya pasti akan mengangkat lampu dan ada juga yang membunyikan hon panjang kepada mereka.
Apa benda yang mereka nampak dan mahu beritahu dia, dia tak mahu ambil tahu. Lantaklah. Janji jangan bahayakan nyawa mereka semua ketika itu cukuplah. Yang penting dia nak segera sampai ke destinasi yang mereka sedang tuju dengan selamat.
Kira-kira 40 minit memandu, akhirnya mereka tiba di rumah Abang Lan. Sebaik saja Latif memusing stereng masuk ke perkarangan rumah Abang Lan yang berpagar dan dipenuhi dengan pokok-pokok buah-buahan yang rendang dan merimbun itu, Osman tiba-tiba saja menjadi semakin agresif.
Bunyi ngauman harimau semakin kuat dan membingitkan telinga. Osman meronta-ronta dengan mata yang bulat besar dan terbeliak. Sekali lagi mata hitamnya hilang dan tinggal yang putih saja. Ketika salah seorang daripada lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan baru hendak melangkah turun, Osman tiba-tiba bertambah agresif dan menerpa ke arah pintu.
Lelaki yang sedang keluar dari kereta itu tidak dapat menahan tolakan Osman yang kuat lalu jatuh tertiarap di atas tanah. Melihat Osman sudah melompat keluar dari kereta dan duduk bertinggung di tanah dengan tangan menopang tubuhnya seperti seekor harimau, Latif semakin panik.
“Abang Man terlepas! Abang Man terlepas!”
Jerit lelaki yang ditolak tadi. Dia cuba bingkas dan menangkap kaki Osman namun dia ditendang di bahagian dada hingga jatuh terlentang kembali ke tanah. Mujurlah kelima-lima orang rakan Latif dari kereta di belakang pantas keluar dan menerpa ke arah Osman. Kelima-lima mereka bertungkus lumus memegang Osman yang sedang meronta. Sumpah, kekuatan Osman sangat luar biasa ketika itu. Setakat 2 atau 3 orang memegangnya, pasti dengan mudah dia akan terlepas begitu saja.
Latif tarik handbreak lalu turun dari kereta dan membantu. Abang Lan yang baru keluar dari rumahnya selepas mendengar bunyi kekecohan tadi bergegas ke arah mereka. Dengan bersusah payah, ketujuh mereka yang ada di situ memegang dan mengheret Osman dibantu Abang Lan menuju ke pangkin di bahagian hadapan ruang letak kereta rumahnya.
Dengan bacaaan ayat-ayat Al-Quran tertentu, Abang Lan menghembus ke arah Osman lalu menyapu muka lelaki itu dengan percikan air kosong dari gelas yang dibawanya.
Ketika itu Osman meraung dan kemudian menangis, seolah berada dalam kesakitan yang teramat sangat. Namun raungan dan tangisannya masih berselang seli dengan bunyi ngauman harimau yang semakin garau suaranya.

                ****

Setelah berjaya menenangkan Osman, Abang Lan baringkan tubuh lelaki itu di lantai pangkin kayunya. Zambri, pembantu Abang Lan yang tinggal tidak jauh dari rumahnya, baru tiba dengan menunggang motosikal Honda EX5 yang kusam warnanya. Melihatkan pesakit yang sudah dibaringkan, Zambri tidak bersoal banyak lalu terus memanjat pangkit dan duduk bersila di sebelah Abang Lan, betul-betul di bahagian kepala Osman yang matanya tertutup rapat.
Semua yang berada di situ menanti dengan penuh debar. Latif menumpang duduk di pangkin sambil memegang betis Osman, bimbang kalau-kalau abangnya itu kembali menjadi agresif. Abang Lan yang gemar tersenyum, membaca beberapa p****g ayat Al-Quran lalu menghembusnya ke kepala Osman. Kemudian dengan lembut dia memegang leher Osman, di urat nadi di bahagian tepi tengkuk.
Sebaik saja Abang Lan memegang di bahagian tersebut, Osman mula mengeliat. Sesekali nampak macam seekor ular yang sedang kepanasan. Latif dan rakan-rakannya yang ada di situ mula nampak resah. Manakala Kina pula sedang duduk di sebelah Kak Nah, isteri Abang Lan tidak jauh dari situ. Wajah Kina nampak berserabut, antara takut, sedih dan cemas. Semua perasaan itu bergaul mesra.
Suasana jadi sunyi sepi buat seketika. Tiada seorang pun yang berani bersuara. Tiba-tiba Osman menjerit kesakitan sekali lagi. Mukanya berkerut. Namun kedua belah matanya masih lagi terpejam.
“Sakit!!”
Raung Osman. Dia cuba bergerak dan meronta namun tubuhnya seolah dikunci. Pergerakkannya jadi terbatas. Abang Lan menarik nafas panjang lalu mengerling ke arah Latif, memberi isyarat kepada lelaki itu supaya menjauhkan diri sedikit daripada Osman.
Latif mengangguk lalu bingkas kembali ke arah rakan-rakannya yang sedang duduk tidak jauh dari situ.
“Hang ni sapa ni? Pasal apa hang ganggu orang ni?”
Abang Lan bersuara. Tangannya masih memegang urat nadi di tengkuk Osman. Lelaki itu mengeliat kesakitan.
“Aku Osmanlah. Bila masa aku ganggu diri aku sendiri. Bodoh!”
“Hang jangan nak bohong aku. Hang ni keturunan jin dan iblis. Pasal apa hang ganggu anak adam ni?”
Suara Abang Lan sedikit keras kali ini.
“Dia ni tuan aku. Aku kena jaga dia. Sebab itulah aku kena duduk dalam badan dia.”
“Tadi hang cakap hang ni Osman. Ni hang kata Osman tuan hang pulak. Hang ni penipu! Manusia dengan jin dan iblis mana boleh berkawan!”
Abang Lan menekan suara lagi.
“Dia tuan akulah! Hang ni pekak ka?”
Suara yang keluar dari mulut Osman bukanlah suaranya. Tapi satu suara yang kasar, garau dan berserak. Sesekali bunyi dengusan nafas dan ngauman harimau muncul berselang seli dengan suara tersebut.
“Bila masa dia jadi tuan hang? Tuan hang kan dah m**i? Yang hang pi kacau dia ni pasal apa?”
Soal Abang Lan lagi.
“Dia yang nak terima aku. Dia yang nak bela aku. Hang sakit hati pasal apa pulak?”
“Hang yang aniaya dia! Bukannya dia yang ambil hang. Sekarang ni aku mintak hang keluar dari badan laki ni. Hang tak boleh bertuankan dia. Aku tak izin hang duduk dalam badan dia. Allah jadikan manusia ni lebih mulia daripada kejadian hang.”
Abang Lan picit urat nadi tersebut membuatkan Osman mengaum lagi. Kali ini lebih kuat dan lebih jelas suara harimau yang keluar daripada mulutnya.
“Aku tak mau keluar. Aku tak ada tuan. Aku nak dia jadi tuan aku. Lagipun dia dah terima aku. La ni dialah tuan aku.”
“Dia tak mahu jadi tuan hang. Sebab hang buat dia sampai jadi macam ni. La ni, aku akan carikan hang tuan yang baru. Tapi apa-apa pun hang kena keluar dulu dari badan laki ni. Kesian dekat dia. Hang dah aniaya dia ni.”
Abang Lan masih cuba berdiplomasi. Zambri yang diam dari tadi tiba-tiba bersuara.
“Kalau hang tak mau keluaq, kami kena bagi hang sakit. Sebab hang dah bagi laki ni sakit. Kalau betul hang anggap laki ni tuan hang, hang takkan buat sampai dia jadi sakit macam ni.”
Kata-kata Zambri tiba-tiba saja membuatkan Osman menangis tersedu-sedu. Tapi matanya masih lagi terpejam.
“Jangan.. Jangan sakiti aku. Aku janji aku akan keluar.”
“Jangan berjanji saja. Keluar cepat! Sebelum aku butakan mata hang, baik hang keluar cepat.”
Kali ini Abang Lan mengugut pula.
“Zam, hang ambik hammer kat dalam rumah aku tu bawak mai sini.”
Abang Lan mengerling ke arah Zambri. Tiba-tiba Osman meraung dan terus menangis, kali ini lebih kuat.
“Baiklah, aku keluar. Aku janji aku keluar.”
“Hang nak keluar macamana? Jangan tipu aku.”
“Aku akan keluar dari tempat aku masuk.”
Abang Lan mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia kemudian berpaling lagi ke arah Zambri.
“Zam, hang ambil botol sebiji dengan perca kain sikit. Getah ikat sama.”
Zambri mengangguk lalu bingkas mendapatkan apa yang Abang Lan inginkan. Beberapa minit berlalu dan adegan pujuk memujuk berterusan hingga akhirnya jin yang menumpang di dalam tubuh Osman benar-benar bersetuju untuk keluar dari badan lelaki itu.
Muncung botol kaca kosong berisi sedikit air putih diletakkan di bahagian mulut Osman. Bunyi ngauman dan bergeruh yang menyeramkan keluar dari mulut Osman, agak panjang. Kemudian Abang Lan pantas menutup mulut botol tersebut dengan kain putih dan mengikatnya dengan gelang getah.
Abang Lan pegang botol kaca bertutup kain putih itu lalu dibacakannya beberapa p****g ayat Al-Quran dan dihembuskannya ke arah botol tersebut lalu diletakkan di sisinya. Osman dibiarkan terbaring di pangkin tersebut setelah Abang Lan membacakan ayat-ayat Al Quran untuk memulihkannya. Kemudian air dari dalam gelas yang dibawanya tadi disapukan sekali lagi ke muka Osman.
“Biarkan dia tidur dulu. Kejap lagi oklah tu. InsyaAllah.”
Abang Lan bingkas memegang botol tersebut lalu bergerak ke arah Latif dan rakan-rakannya. Zambri pula menurutinya daripada belakang. Sebuah kerusi disorong kepada Abang Lan dan sebuah lagi kepada Zambri lalu mereka berdua duduk berhadapan dengan Latif, Kina dan rakan-rakan mereka.
Sebatang rokok dikeluarkan dari kotaknya lalu dikepitkan di bibir sebelum hujungnya dicucuh dengan api dari sebilah mancis. Asap putih itu disedut oleh Abang Lan yang masih bersisa senyumannya.
“Dia ni sebenarnya dah terkena. Ada benda yang dia ambil daripada orang yang dia tak kenal.”
Kata-kata Abang Lan membuatkan Latif dan rakan-rakannya saling berpandangan.
“Benda apa tu Bang Lan?”
Soal Latif. Abang Lan menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan.
“Benda ni lebih kurang saka jugaklah. Tapi dalam bentuk harimau. Ada dua ekor yang ikut dia tadi tu. Satu dok ada dalam badan dia tu dan satu lagi ada ikut hangpa sekali masa hangpa mai sini tadi. Tapi masa hangpa masuk ke dalam kawasan rumah ni tadi, harimau tu tak boleh masuk ke sini. Sebab tulah Osman ni nak berlari keluaq tadi tu. Sebab dia rasa panas.”
Latif telan liur. Kemudian dia menganggukkan kepalanya.
“Memang tadi masa kami on the way mai sini, ada sekor harimau putih ikut kereta kami.”
Kata-kata Latif disambut sengihan Abang Lan.
“Benda tu dah tak bertuan. Sebab itulah dia cari tuan baru. Nasib tak baik, benda tu dapat dekat si Osman ni.”
Abang Lan goncang botol kaca di tangannya. Berkelentang kelentung bunyinya, macam ada guli dalam botol tersebut sedang berlaga. Semua mata tertumpu ke arah botol kaca tersebut. Latif dan rakan-rakannya saling berpandangan sesama mereka kerana mereka yakin yang botol itu tadi memang kosong sebab Zambri ambil botol itu tadi pun memang dari sebelah Latif. Botol tu botol Coca Cola lama yang dah agak lusuh warnanya.
“Tapi laki saya ni tak pernah nak ambik benda-benda salah macam tu Bang Lan..”
Kina tiba-tiba suara. Abang Lan angguk tanda faham.
“Sebab itulah saya kata tadi, dia ni terkena. Ada orang yang dah aniaya dia. Tadi petang hangpa anak beranak ada pi mana-mana dak?”
Soalan Abang Lan buat wajah Kina berubah.
“Ada. Kami ada pi hospital. Tengok orang sakit.”
Abang Lan angguk lagi.
“Masa balik dari hospital saya dah perasan yang laki saya tu dah lain macam. Tapi masa tu saya ingatkan sebab dia penat.”
“Dia terkena masa kat hospital tu. Dia ada ambik benda tu kat sana. Mungkin ada orang yang bagi benda tu dekat dia.”
“Err.. Bang Lan, benda apa yang dok ada dalam botol tu?”
Soalan Latif membuatkan Abang Lan tersengih.
“Kalau hang nak tau, inilah yang orang panggil geliga rimau. Rupa dia macam guli saja. Tak dak apa yang menarik pun.”
Latif angguk lagi. Tiba-tiba salah seorang rakan yang datang bersama-sama mereka bersuara.
“Apa kegunaan geliga tu Bang Lan?”
“Geliga ni ada banyak kegunaannya. Kalau zaman dulu-dulu ni, orang guna untuk buat pengangkutan. Nak pi ke sana sini mudah dan cepat. Tu sebab dulu-dulu ada orang cerita depa pernah nampak ada manusia tunggang harimau besar dalam hutan. Inilah bendanya.”
“Tak salah ke benda tu bang?”
Rakan Latif menyoal lagi. Kali ini Abang Lan ketawa smabil menggelengkan kepalanya.
“Mestilah salah. Benda ni asalnya keturunan jin dan iblis. Kita manusia mana boleh dok bersahabat dengan benda-benda ni semua. Syirik jadinya nanti.”
Kina, Latif dan rakan-rakannya mengangguk-anggukkan kepalanya. Osman yang terbaring tiba-tiba terjaga lalu bangun sambil memegang kepalanya dengan wajah yang berkerut. Kina bingkas bergegas menuju ke arah suaminya itu.
“Abang? Abang ok ke ni?”
Soalan Kina membuatkan Osman semakin keliru. Matanya terkebil-kebil sambil memegang dan memicit dahinya.
“Kina.. Abang kat mana ni?”

**** Osman menceritakan segala-galanya kepada Abang Lan dan semua yang ada di situ ketika itu. Daripada A sampai ke Z macamana dia bertemu dengan pakcik tua berketayap putih dalam hujan lebat masa dia nak ambil kereta petang tadi. Abang Lan hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. “Sumpah Bang Lan saya memang tak kenal langsung dengan pakcik tua tu.” Wajah Osman nampak keruh seolah menyesal dengan apa yang berlaku kepada dia ketika ini. Tambah-tambah bila tahu yang ibunya dimasukkan ke wad ketika dia dibawa ke sini tadi. “Hang pernah jumpa ka pakcik tua tu sebelum ni?” Soalan Abang Lan disambut gelengan Osman dengan wajah keliru. “Tak pernah. Saya memang tak pernah jumpa dia Bang Lan.” “Macamana rupa dia?” Sekali lagi soalan Abang Lan membuatkan Osman berkerut dahi. Dia meneguk air kosong jampi yang disediakan Abang Lan sampai habis. Nampak macam tengah dahaga sangat. Semua yang ada di situ diam, seolah memberi masa kepada Osman untuk menenangkan diri sebelum menjawab soalan tersebut. Osman tarik nafas panjang sambil menyandarkan belakang tubuhnya ke kerusi kayu yang terletak berhadapan dengan pangkin di mana Abang Lan dan Zambri sedang duduk bersila. “Seingat saya, pakcik tu mungkin umur dalam lingkungan 70-an. Pakai baju Melayu lusuh warna kuning, ketayap putih. Muka dia pucat, cengkung. Dia tak banyak cakap sangat.” Osman berhenti bercerita sekejap sambil menggaru-garu kepalanya seolah sedang cuba mengingat sesuatu. “Tapi muka dia tak macam orang Melayu. Maksud saya, tak macam kita.” “Habis tu macam sapa?” Soalan Abang Lan membuatkan dahi Osman kembali berkerut-kerut. “Yang tu saya tak tau nak habaq. Tapi apa yang saya perasan, macam ada tatoo lama kat bahagian tengkuk dia. Lukisan kepala rimau.” Kali ini giliran Abang Lan pula berkerut dahi. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke arah Zambri yang juga turut sama nampak terkejut. “Nak kata bukan Islam, tapi dia bagi salam dekat saya.” Sambung Osman lagi. Abang Lan mengangguk faham. “Mungkin dia mualaf kut.” Osman meraup muka dengan tapak tangannya. Ada banyak lagi persoalan yang memburu di fikirannya yang memerlukan jawapan logik. Tapi dia tak tahu macamana dia nak tanyakan semua tu kepada Abang Lan. “La ni, hang tak payah pikiaq banyaklah Man. Benda pun dah selesai. Cuma aku nak habaq kat hang, lepas ni berhati-hatilah kalau hang ada jumpa dengan orang pelik-pelik ni. Jangan ambik apa-apa pun daripada depa. Sebab bukan semua orang ni baik macam hang. Depa ni ada niat macam-macam yang kita tak boleh nak jangka.” Nasihat Abang Lan disambut anggukkan daripada semua yang ada di situ. Osman turut angguk perlahan. “Tapi siapa sebenarnya orang tua tu Bang Lan? Saya tak puas hati selagi saya tak tau siapa dia dan kenapa dia nak aniaya saya sampai macam ni sekali.” Soalan Osman buat Abang Lan dan Zambri saling berpandangan sekali lagi. Zambri kemudiannya memberikan isyarat dengan gerakan kening supaya Abang Lan bercerita tentang hal yang sebenarnya. Abang Lan menarik nafas panjang. Dia kemudiannya mencapai sebatang lagi rokok John putih lalu dicucuh hujungnya dengan sebilah lagi mancis api. “Benda ni payah kalau aku nak terangkan kat hang betul-betul. Tapi apa yang mampu aku cerita kat hang, kalau diikutkan daripada rupa lelaki tua yang hang cerita tu, dengan tatoo kat leher tu, aku yakin yang pakcik tua tu aku kenal. Dia pernah mai berubat dengan aku sebelum ni.” Osman pandang wajah Abang Lan tanpa berkedip. Seolah mengharapkan jawapan segera dari mulut Abang Lan yang suka bercerita sekerat-sekerat. “Dia ni sebenarnya orang Siam. Mualaf. Dah lama tinggal di negara kita ni dan dah lama masuk Islam. Harimau putih yang ada dengan dia tu, sebenarnya dia ambik masa dia belum lagi masuk Islam. Dia pernah nak buang ‘benda’ tu tapi payah. Sebab benda tu dah sebati dengan d***h daging dia.” “Habis tu kenapa dia lepaskan dekat saya pulak? Saya bukannya kenal dia pun.” Soalan Osman buat Abang Lan mengangguk lagi. “Sebab tu aku kata hang ni terkena. Mungkin kebetulan dia jumpa hang sebab hang parking kat kawasan bilik mayat tu.” Kali ini wajah Osman sekali lagi berubah. “Maksud Abang Lan? Saya tak faham.” Abang Lan sedut rokok John di bibirnya dalam-dalam. Berkepul-kepul asap rokok tersebut di udara buat seketika. “Sebenarnya, pakcik tua tu dah meninggal minggu lepas. Aku sendiri dah pi tengok jenazah dia kat bilik mayat hospital tu. Tapi sampai la ni mayat dia takdak sapa yang datang tuntut. Mungkin sebab dia memang tak dak sedara mara kat negara kita ni. Kawan rakan tu aku tak pastilah. Mungkin ada sebab kenapa depa tak mau tuntut dan kebumikan jenazah dia tu. Wallahuaklam. Allah saja yang tau cerita sebenarnya.” Wajah Osman terus berubah. Tiba-tiba saja wajahnya basah. Merenik-renik peluh walaupun hawa malam terasa sejuk mencengkam. “Jadi yang saya jumpa tu?” “Tu bukan hantu dia. Tapi ‘benda’ yang ada dengan dia tu yang menyerupai dia. Benda tu nak cari tuan baru. Kebetulan hang pi parking dekat situ. Sebab tulah aku kata yang hang ni kena aniaya.” Kina dan Latif saling berpandangan. Kemudian kedua-dua menggelengkan kepala lalu tunduk memandang lantai. “Lepas ni, kalau hang jumpa dengan sapa pun yang hang rasa pelik, hang kena ingat, jangan mudah kesian dan yang paling penting, jangan ambik apa-apa pun daripada depa. Benda-benda halus ni boleh menyerupai apa-apa saja untuk sesatkan kita.” Osman menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia nampak kesal. Peluh terus merenik di wajahnya. Saat itu terbayang-bayang wajah pakcik tua di dalam hujan lebat petang tadi. Dan terasa masih terngiang-ngiang suaranya di hujung telinga Osman.

“Anak tolong pegang sat uncang pakcik ni. Takut basah. Pakcik nak pi melawat sedara sat.”
Osman tarik nafas panjang yang rasa tersekat-sekat. Bulu romanya tiba-tiba saja terasa meremang sampai tubuhnya turut sama rasa mengembang….
TAMAT

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

AISY ANAQI

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 7 Average: 5]

4 thoughts on “Teraniaya Oleh Jin Saka Harimau”

  1. Tempat keja aku ni wei😂dala kalo shift ptg selalu parking kereta kot area tu sbb parking xda . Adehhh😅harap2 xjumpa pape lah noh

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.