Tersalah Menuntut Ilmu

Tersalah menuntut ilmu 

Cerita ini dikisahkan oleh sahabat saya, dan saya ceritakan kembali kepada tuan  puan untuk dijadikan ikhtibar dan pengajaran. Penangan Ilmu Hikmah Online, Hebat pada awalnya, namun bertahun lamanya mencari ubat penawar diri. Disebabkan ilmu ini, rumahtangga bergolak menanti belah, kehidupan tidak sama seperti orang lain. Zahirnya tersenyum, jiwanya menderita, menangis tiada air mata. Bagaimanakah pemuda bernama Zul (Nama samaran) mengharungi semua ini. Kisah ini agak berat. Mohon pembaca berlapang dada ketika membacanya.

Pagi itu, Surat khabar tabloid Mingguan Misteri ditatapnya agak lama. Diselaknya helaian berikutnya, namun kembali semula kepada iklan tadi. Dibacanya beberapa kali dan sesekali matanya diangkat ke atas seperti cuba mengira sesuatu. Kemudian, dibukanya akaun bank online.

Zul memicit-micit dahinya lalu berkata. “Alhamdulillah, baki duit ni cukup nampaknya.” Diletakkan semula iklan Mahaguru Tenaga Dalam di atas meja. Oleh kerana teruja melihat iklan itu, dia tidak sedar sudah menahan begitu lama untuk membuang air.

“Assalamualaikum Tuan, Saya Zul, saya ada baca iklan tuan dalam surat khabar ni… dan saya berminat untuk belajar. Macamana ya caranya?.” Petang itu dengan tidak sabarnya Zul menelefon perguruan tersebut.

“Waalaikumusalam, Oh iklan tu, tuan duduk mana ya? Baca dalam paper ya?”

“Saya ada baca dalam paper misteri  dan saya tinggal di Negeri Sembilan.” “Baiklah tuan Zul, caranya senang saja. Ada banyak ilmu yang akan kami ajar. Dan ada level-levelnya. Mahar pula mengikut level yang tuan mahu. Jika tuan berminat, bank in kepada kami jumlah mahar tu dan sertakan slip bayaran dalam whatsapp, kami akan maklumkan apa yang perlu dibuat selepas itu.” “ Bila saya boleh datang ke tempat tuan untuk belajar ya?”

“oh  kita ajar secara online saja tuan. Jarak jauh. Dan pelajar kami ada yang dari luar negara pun ada.” balasnya lagi.

“Kalau begitu baiklah , sekarang juga saya bank in ya, Terima kasih tuan.” Oleh kerana tidak sabar, Zul terus pergi ke bank berhampiran dan memasukkan duit. Ditangkapnya gambar slip bank dan dihantar ke nombor tadi.

Setelah mendapat pengesahan. Alamat dan nombor telefon pun telah diberi. Zul menunggu sahaja apakah arahan berikutnya. Selang sejam, zul mendapat pesanan pengijazahan. Arahannya ialah. Tepat pukul 12 tengah malam, dia perlu duduk di atas kain putih bersaiz 2 ela dan perlu dijadikan sejadah. Buku manual serta sijil akan dipos kemudian. Kemudian tunggu saja panggilan dari tuan guru.

Malam itu selepas keluar makan dengan isteri dan dipastikan sudah masuk tidur. Zul masuk ke bilik tengah rumahnya untuk memulakan sesi ijazah. Tepat pukul 12 malam , guru tersebut telah menghubungi Zul dan memintanya agar duduk dalam keadaan meditasi. Bacaan yang dibaca perlu diikutnya sebanyak 3 kali. Kemudian duduk dalam 30 minit untuk proses resapan energi.

Semasa duduk diam itu, Zul merasakan satu tenaga yang mengalir masuk ke tapak tangannya, seakan satu getaran kecil tenaga elektrik halus mengalir di kedua belah tapak tangannya. Tenaga tersebut naik ke atas sehingga meremang bulu roma dan rambutnya. Terangkat-angkat begitu. Seterusnya tenaga tersebut mengalir turun ke belakang badan sehingga ke dasar. Katanya inilah kebangkitan Kundalini. Ilmu yang Zul ambil adalah Mahaguru Tenaga Dalam Kesaktian. Sehingga dikatakan boleh mengakses kesemua ilmu tradisi yang ada. Bersesuainlah dengan harga maharnya yang boleh beli sebuah motorsikal secondhand.

Zul perlu melepasi 21 hari ritual tanpa culas jika mahu mengusai ilmu langka ini. Andai kata tertinggal perlulah bermula dari awal. Latihannya ialah, dia perlu duduk dalam keadaan meditasi sehingga dapat satu gerakan alami. Gerakan yang terhasil sendiri ini adalah dari tenaga yang telah dilatih dan dijana setiap hari. Katanya, Guru hanya bukakan ilmu dan mengalirkan tenaga pada awalnya, seterusnya muridlah perlu mengolah sendiri sehingga terbangkit kundalini dalam diri hingga menjadi mahaguru yang hebat. Oleh kerana teruja Zul dengan penuh semangat menjalani ritual ini selama 3 minggu.

21 hari telah berlalu pergi, berkat kesungguhan Zul, beliau telah mendapat kebolehan mengakses energi sehingga jika dipegang saja tangan orang lain pasti akan terasa tenaga elektrik mengalir. Malah kebolehan scanning rasa juga telah dikuasai. Diujinya dengan menutup mata, dengan melalukan tapak tangannya sudah boleh dikesan tangan mana yang mana ada duit atau tidak. Begitulah hasil yang diperolehi oleh Zul berkat kesungguhannya berlatih setiap hari tanpa culas.

Buku manual dibaca setiap hari. Dihafalnya mantera dan ayat pelbagai ilmu. Zul masih belum berpuas hati kerana Ilmu imbasan mata hati dan mata batin masih belum terbuka. Zul masih berusaha ke arah itu. Dengan sedikit bacaan mantera, dan tenaga dalam yang dijana, zul cuba bermain-main dengan ilmu ini. Buku itu mengatakan , perlu mendengar kata hati, setelah diakses energinya. Lalu Zul pun memulakan latihan dengan bertanyakan ke dalam hati adakah rumah yang di diaminya ada hantu atau tidak? Jika hatinya berkata ya dan gerakan tangan menunjukkan ke arah itu, maka itulah jawapannya. Dicubanya banyak kali dengan latihan bertanya dan merasa.

Sehinggalah pada suatu hari… sebelum tidur, Zul cuba bertanya ke dalam hati , adakah rumah di sebelahnya berhantu atau tidak. Tiba-tiba Zul terdengar suara berbisik di telinga kanan halus saja mengatakan ya. Tersentak dengan jawapan itu, Zul cuba bermain lagi dengan menanyakan pelbagai soalan. Dan semua soalan dapat jawapannya melalui suara yang didengarinya.

Pada suatu hari, Zul melalui sebuah tol yang dijaga seorang perempuan, ditanya adakah perempuan itu sudah berkahwin atau belum? Jawapan hatinya adalah belum. Zul dengan selamba bertanya terus pada jurutol tersebut. Bila jawapan yang diberi adalah sama, menyebabkan Zul amat gembira dan teruja. Bahawa ilmu yang dipelajari sudah menjadi.

Dengan gerakan tenaga imbasan dan imbasan hati Zul mula asyik dengan kelakuan ini. Kebanyakan masa dihabiskan seorang diri dengan bermain dengan teknik ini. Walaupun dalam mesyuarat atau pun lepak bersama kawan. Zahirnya badan disitu namun fikirannya jauh berada di tempat lain. Leka dengan dunia mistik, kejaiban yang diperolehinya.

Fikirnya dia sudah mempunya power, Zul amat gembira dengan hasil latihannya. Walaupun mata batinnya masih belum terbuka yang lainnya sudah dapat dikuasainya. Sangkanya begitu.

Sehinggalah isterinya yang mengandung anak sulung perasaan dengan perubahan suaminya. Dia hairan bilamana Zul seorang yang lucu dan peramah kini suka memencilkan diri. Tidak lagi tidur dengannya dan kebanyakannya menghabiskan masa di ruang tamu dan bilik sembahyang. Zul akan melenting apabila ditegur. Suara imbasan hati mengatakan isterinya juga punya saka dan gangguan. Sebab itu ada saja yang Zul cuba praktikkan untuk mengubati isterinya seperti di dalam manual. Dan ini tidaklah disukai isterinya.

Keadaan zul semakin menjadi teruk bila sudah mula bercakap seroang diri. Namun Zul menafikan kerana dia bercakap dengan imbasan dirinya. Malah sampai satu ketika, Zul merasakan ada malaikat yang membantunya dan mendampinginya berdasarkan suara yang didengarinya. Dan ini sangat merisaukan isterinya.

Ada kalanya Zul cuba berlatih silat yang boleh diakses sendiri. Walaupun tidak pernah belajar silat. Silat harimau berantai sangat digemarinya sehingga selalu bergerak seperti harimau. Malah keluarga dikampung pun sudah menyedari perangai pelik Zul .Gemar menyendiri, bercakap seorang diri dan suka menggerakkan tangan seperti bersilat. Namun apabila ditanya , Zul mengatakan yang dia tidak ada masalah apa pun. Dalam hati, mereka semua adalah orang yang dengki dengan kejayaan Zul meguasai ilmu tertinggi itu.


Oleh kerana tidak tahan, isterinya balik ke kampungnya dengan alasan ingin bersalin dan berpantang di sana. Tidaklah dia mahu berdua-duaan saja dengan suaminya yang pelik. Memandangkan Zul perlu bekerja keesokan harinya, dan isterinya masih belum mahu bersalin. Zul balik semula ke rumahnya di Negeri Sembilan.

Malam itu selepas berlatih silat dan ritual , Zul duduk diam bermeditasi. Tiba-tiba dia dengar suara seperti kebiasaanya mengajak berborak. Dan akhir sekali kata-katanya lebih kurang begini.

“Zul inginkah kau sampai ke tahap paling tinggi sehingga boleh melihat sendiri alam ghaib, alam malaikat, serta boleh ke mana-mana dengan pandangan kamu menerjah alam. Jika kamu mahu melihat perempuan lain pun boleh jika kamu mahu?”


‘Teruja dengan soalan itu, Zul membalas, “Aku nak, macamana anya, memang aku bercita-cita mahu terbuka mata aku ini, teringin sekali enerima anugerah yang kau cakapkan tu.”

Terdengar gelak halus di hujung sana, “mestilah boleh, tapi dengan satu syarat, itupun jika kamu sanggup.’’

“Aku sudah berhempas pulas ke arah ini, aku sanggup, ceritakan saja apa yang perlu aku buat dan latih.”

Bunyi suara seakan seperti sedang senyum sambil bercakap, “Jika kau sanggup aku akan bagitau apa syaratnya…. syaratnya kau harus memBU*N*H diri kau sendiri.”

Terkejut dengan syarat itu, Zul membentak “Kau dah gila kah? Matilah aku nanti. Power apa yang aku dapat jika aku sudah m**i?”

Terdengar gelak di hujung sana, “sabar dulu Zul, kematian itu akan membuatkan kamu hidup kembali dalam keadaan suci bersih. Untuk memperolehi ilmu tertinggi ini kau perlu dilahirkan semula dalam keadaan seperti nabi kita dibersihkan hatinya. Mana mungkin hati yang kotor boleh punyai hikmat tertingi. Inilah rahsianya. M**i hidup semula. M**i sebelum m**i. Bangkitnya kamu nanti seperti kain putih yang bersih. Maka ketika itu, silap-silap kaulah yang akan ditabalkan menjadi tok wali. Kamu suka?”
“Aku suka sangat, tapi… tapi.”

“Janganlah kau bertapi-tapi lagi… aku kan wali pilihan. Wali Keramat. Aku akan bantu kamu hidup semula. Mudah saja.’’jawab suara itu memujuk.

“Ajarlah aku macamana caranya? Kalau boleh aku tak nak guna pisau atau k***r leherku. Apa yang mudah?” Zul meninggikan suaranya. Sedangkan hanya dia seorang saja di rumah itu.

“Senang saja wahai Zul. Kau tutup saja mulut dan hidung kamu dengan bantal. Sembamkan mukamu. Sekejap saja prosesnya. Selepas kau dihidupkan semula, semua ilmu dan kebesaran akan kau peroleh sekelip mata. Dan….. tawaran ini hanya kau saja yang ditawarkan.”

“Baik aku akan buat.” jawab Zul dalam keadaan menggigil kaki dan tangannya.
Zul cuba bangun dan mencari bantal di bilik. Bantal itu dibawa kembali ke tempat meditasi tadi. Ketika ini Zul teragak-agak. Namun bila dikenang kembali apa yang bakal dinikmatinya nanti serta cita-cita menjadi tok wali. Datang semangatnya semula. Dengan perlahan-lahan disembamkan mukanya . Usaha itu gagal bila Zul tercungap-cungap melepaskan diri. Dicubanya buat kali kedua juga gagal. Begitu azabnya merasa kematian yang dibuat sendiri.


“Jangan beralah Zul. Bertahan. Teruskan… tidak mahukah kamu tengok semua wanita dengan mudah, malah loteri pun jika kamu mahu bisa juga dapat.” Saranan semangat agar zul meneruskan lagi.

Zul cuba juga kali ketiga sehingga terasa mahu pengsan, dilepaskan segera bantal tersebut dan terbaringlah dia terlentang dalam keadaan mengah. Zul tidak berputus asa. Di cubanya buat kali keempat. Dengan tiba-tiba dalam dakapan bantal tersebut, Zul terkejut dengan lintasan di pandangan mata batinnya. Satu gambar dan suara yang sangat dirinduinya .

Perlahan dan sayu saja suara itu berkata, “Zul bangun Zul. Mengucap Zul. Ingat apa yang mak dan abah pernah ajar zul. Mengucap nak.” Wajah ibunya yang telah lama meninggal dunia 5 tahun dulu bermain-bermain dibayangan mata Zul. Diangkat tangan kanannya memanggil ibunya yang kian lama hilang dalam pandangan.

Tersentak dari lamunan Zul berkata, “Ya Allah… apa yang aku dah buat ni. Ya Allah apa semua ni.?’”

Tambah Zul lagi, “bukan ke aku akan m**i kalau aku teruskan, tak mungkin aku boleh hidup kembali. Kalau hidup kembali itu bukan aku, tapi hantu.” Kekeliruan zul diganggu dengan suara itu,’’ Hahaha, hihihi, apalah ko Zul, kau ni bodoh, buta kayu… kena tipu hidup-hidup.”

“Eh kau ni sapa… sapa kau ni.?” bentak Zul seorang diri.

“Akulah yang selalu temankan ko tu, aku ifrit kau tahu tak? Ifrit… Raja Jin. Kau ni bodoh. Sayang betul, Kalau tak dah lama ko m**i.” Jawab ifrit tu.

Badan dan tangan Zul menggigil. Keluar keringat panas di seluruh badan. Tidak disangka tok wali yang selalu membimbingnya itu adalah jin ifrit. Bula roma dan rambutnya meremang dan seram sejuk terasa seluruh badan.

“Pergi kau dari hidup aku.. pergi!” bentak Zul.

“Tidak semudah itu Zul, tidak sesenang itu aku akan pergi. Kau perlu jadi hamba aku, kau perlu ikut cakap aku. Kalau tak aku akan b***h anak dalam kandungan bini kau. Dah nak bersalin kan? Hahahah.” sambung ifrit tu lagi.

Zul tidak tahu nak kata apa. ”Kau sapa nak ugut-ugut aku, pergi kau dari sini. Keluar kau dari kepala aku. Jangan kacau aku lagi.’’ Ketika itu Zul memegang kepalanya. Rambutnya ditarik-tarik.

“Baik, kau degil ya. Aku akan kacau anak bini kau. Aku akan bisikkan dalam minda bini kau yang kau bermain kayu tiga, tidak jujur, dan bayi kau akan ku beri sakit yang teruk. Atau kau mahu dia lahir cacat?” Ugut Ifrit tu.

“Eh nanti dulu, jangan kacau anak bini aku. Tolonglah pergi dari sini. Aku akan ikut apa saja yang kau mahu.” Zul merayu sambil meraung seorang diri.

“Syaratnya mudah saja, kau kena m**i dulu, baru selesai semua. Hahaha…hahaha.. m**i dulu….”

Zul cuba menghubungi guru onlinenya. Pangggilannya langsung tidak dijawab. Zul cuba menghantar whatsapp pula. Digaru-garu kepalanya. Dah macam orang gila rasanya.

Tak lama kemudian, dia mendapat text bertulis. “Maaf guru hanya mengajar sahaja. Tidak merawat. Anda perlu berubat kerana ada kemungkinan anda mengalami gila isim. Cuba baca dalam manual teknik merawat diri sendiri. Assalamuaikum.” Kecewa dengan jawapan Guru itu Zul menumbuk-numbuk dinding sehingga pecah d***h dibuatnya.

Tiba-tiba pula panggilan dari bos dan text masuk. “Dimana kamu? dah 3 hari tak datang kerja. Kalau sakit mana mc nya. Kalau nak cuti apply, jangan diam saja.’’ Pesanan ini lagi membuatkan jiwanya sakit. Seperti mahu m******h diri pun ada.

“Oleh kerana tidak tahan, Zul keluar menuju ke masjid tidak jauh dari rumahnya. Dalam masjid Zul duduk saja dan baring. Dia menangis semahunya. Perasaan takut, menyesal, rugi semua bercampur. Rambutnya kusut masai tidak terurus. Bila tiba waktu zohor , Zul ikut sama bersolat begitu juga waktu Asar. Solatnya kosong. Jiwanya juga kosong. Dan baru Zul perasaan sejak beramal dengan ilmu itu, Zul mula mengabaikan solat. Peliknya di dalam masjid suara itu hilang. Zul tenang di dalam masjid. Tapi sampai bila dia perlu bernaung dibawah lindungan masjid?


Tidak makan dan minum, luar masjid bagaikan zon perang yang sentiasa mendebarkan. Ini sajalah tempat selamat baginya. Zul tertidur selepas solat isyak. Seorang lelaki tua yang berkelana cuba mengejut zul.

“Nak, bangun nak.”

Zul mengesat matanya. Tidak sedar air matanya mengalir. Disekanya perlahan.

“Maaf tok, saya tertidur. Boleh saya tumpang tidur sini malam ni?”

“Eh, tok pun orang luar, Tok dari KL on the way ke Melaka, Kemudian, tergerak hati nak bermusafir di Masjid ni. Eh… kau panggil je saya Tok Ali ye. Tapi dari tadi tok ada perasan kamu nampak macam ada masalah je. Hmmm, kebetulan tok ada bawak sikit makanan, ambilah.” Tok Ali menghulurkan sebungkus nasi lemak ayam dan sebotol air mineral.

Zul ambil dan terus makan dengan rakusnya. Ketakutan menyebabkan dia hilang selera . “Terima kasih ye tok, sedap nasi ni. Saya pun tak tahu nak cerita macamana, tapi tulah berat sungguh dugaan saya ni.”

“Takpa… tok sanggup dengar, bila dah ok kamu ceritakanlah ya.” Tok Ali cuba menyandar di tepi dinding masjid. Ditangannya ada tasbih iboi. Tasbih begini terkenal di bahagian utara dan budak-budak pondok di Patani. Zul pun menceritakan semua perkara yang terjadi. Tok Ali mendengar dengan tenang. Beberapa kali kelihatan Tok Ali mengangguk-angukkan kepala.

“Itulah ceritanya tok, boleh tok bantu saya?” Kali ini Zul sudah nampak lega dari riak wajahnya yang kemerah-merahan.

‘”In Sya Allah,” Tok Ali melepaskan nafas berat.

Sambungnya lagi, “Begini, Tok bukannya pandai .Cuma adalah belajar sikit-sikit. Balik nanti bacalah rangkaian ayat-ayat ini. Bacakan ke atas air garam. Selepas habis baca. Doalah agar Allah sembuhkan dan selesaikan masalah kamu. Sambil itu, iktikad dalam hati selagi gangguan itu tidak keluar dari tubuh kamu, kamu tidak akan berhenti baca Ayatul Kursi. Bacalah terus menerus sehingga kamu benar-benar tertidur. Jika tak boleh tidur bacalah sampai datang rasa untuk berhenti.’’ Tok Ali memberikan beberapa helai kertas tertulis ayat Al-Quran.

“Zul… pertama sekali perlu diiktikadkan dalam hati, Allah maha berkuasa. Bersandarlah Kepada-NYA sahaja. Belajar sebaiknya mesti berguru. Kerana guru akan memimpin anak murid ke jalan yang betul. Mereka penunjuk jalan, yakni jalan yang pernah dilalui sebelum ini. Guru biasanya sudah banyak kali masuk longkang, tidaklah mereka mahu anak muridnya terjebak perkara yang sama melainkan jalan yang sudah benar ditempuhinya. Kedua, berkomunikasilah sentiasa dengan Tuhan berbanding entiti itu. Pohon izin atas semua perkara yang kamu lakukan. Bukanke berzikir itu mengingati Allah?”

Zul mencium tangan Tok Ali beberapa kali. Dipeluknya orang tua itu dengan linangan air mata gembira. Seperti mendapat vitamin baru, Zul mohon izin untuk balik ke rumah. Sudah difikirkan apa yang perlu dilakukan. Yang pasti sang Ifrit itu harus dikerjakan.


Zul membuka pintu rumah. Sunyi sepi. Cepat-cepat dia mandi dan membersihkan diri. Wuduk diambil. Langkahnya kemas dan teratur. Disiapkan air, garam, lembaran doa yang diijzahkan tadi dan dibentangkan sejadah. Zul mula solat taubat dan solat hajat. Dan duduklah dia menghadap perkakasan di depan mata. Dicampurkan sedikit garam ke dalam air mineral tadi. Lalu dibacakan Ayat Alquran. (Ayat ini sebenarnya ayat-ayat Ruqyah di dalam Alquran). Kemudin tanpa putus dibacanya Surah Al Kursi tanpa henti. Lepas bacaan ke 7 dihembusnya ke dalam air lalu diminum sedikit. Dan diteruskan bacaan tanpa henti.

Jam sudah menunjukkan 3.30 pagi. Zul masih bertahan. Tiba-tiba badannya menggigil. Datang sejuk yang amat sangat. Suara itu kembali menghantui dirinya.

“Hahaha, apa yang kau buat ni sia-sia. Aku kebal dan tak lut dengan bacaan mu. Tidur sajalah. Jangan kacau aku, aku nak mengganggu kandungan isterimu.”

Suara itu jelas bermain di telinganya. Zul tidak ambil kisah. Diteruskan bacaan. Niatnya selagi suara itu masih ada, dia tidak akan undur.

“ Kau degil, aku b***h dan cacatkan anak mu… kau tunggu sajalah balasan dari ku”, Zul masih tidak beranjak. Diteruskan bacaan sementara suara itu masih degil mengugut.

Selepas beberapa kali minum air garam tadi, zul terasa hendak muntah. Dikeluarkan semuanya ke dalam mangkuk yang sudah tersedia. Kemudian diteruskan lagi. Jam pula sudah menunjukkan 5.30 pagi. Badan Zul sudah letih dan seperti tidak sedar Zul tertidur dengan lena. Itupun bacaan masih tidak dihentikan dalam hati.

Tiba-tiba Zul tersentak dari tidur. Tersedak sambil terbatuk –batuk. Zul dapat rasakan angin sejuk seperti sejuknya ais keluar dari mulutnya yang ternganga. Nampak dalam pandangan mata angin putih berkabus keluar. 15 minit lamanya keadaan itu berterusan. Kemudian, sayup- sayup kedengaran suara itu tadi dari maki hamun bertukar menjadi jeritan yang amat kuat. Zul terus tertidur dan tidak ingat apa lagi.

Dipendekkan cerita Zul akhirnya bebas dari cengkaman suara sang ifrit itu. Kisah sebenarnya sebelum berjumpa Tok Ali Zul puas berubat. Sampailah kepada Tok Sami. Keluarganya porak peranda dan kerjayanya hancur. Nyaris dibuang kerja. Namun berkat kesabaran akhirnya aman bahagia. Anaknya kini sudah tiga. Yang nyata pengalaman itu tidak dapat dilupakan dan menjadi sejarah dalam hidupnya. Dengarnya selepas kejadian itu, Zul mencari Tok Ali untuk menuntut dengannya di Negeri Melaka. Yang pasti berguru dengan guru nyata, manusia dan bukannya secara jarak jauh.

TAMAT

Fb : Fud Ahmad

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit


FUD AHMAD

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 6 Average: 5]

5 thoughts on “Tersalah Menuntut Ilmu”

  1. Cerita simple menarik dan jarang didengar. Susunan ayat yang berkualiti. Jalan cerita ada flow dan unik. Ada mesej yg baik untuk masyarakat. Overall rotten tomatoes 8.5/10. Heheheh…

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.