Assalamualaikum warga FS.
Kali ini aku nak kongsikan berkenaan kisah aku dan ular hitam.
Kisah ular hitam yang muncul dalam hidup aku ini sudah bermula sejak aku kecil lagi. Penampakan kelibat ular ini sebenarnya tidak asing dalam hidup aku.
Ketika aku berumur lebih kurang 6-7 tahun. Aku mengalami demam panas. Pada malam itu aku meracau racau di dalam tidur. Racauan yang agak menakutkan dan membuatkan satu rumah panik.
Aku bangun dari tidur dan mula menjerit jerit sambil jari telunjuk aku menunjuk ke arah satu sudut di dalam bilik tidur.
“Ular! Ular!” Jeritku berulang kali.
Mak dan ayah ku panik kerana memikirkan memang benar ada ular di dalam bilik. Habis diselongkar rumah dan bilik tapi tidak menemui apa-apa tanda kehadiran sang ular yang aku sebut-sebutkan.
Di situ bermula kisah apabila aku di bawa berubat secara tradisional entah kepada perawat mana. Itu kisah beberapa puluh tahun yang lalu.
Sejak dari situ aku membesar dengan melihat bermacam-macam jenis penampakan termasuk penampakan seekor ular hitam. Mungkin kerana aku masih innocent membuatkan aku tidak terlalu mengambil peduli. Tapi ada beberapa peristiwa penampakan yang aku ingat dan ada juga yang aku tidak ingat.
Sejak aku berumur 9 tahun aku gemar bermain seorang diri. Di atas sebuah bukit di hadapan rumah yang masih tebal hutannya ketika itu. Aku bermain pondok pondok. Ayahku memudahkan pergerakan kami dengan mencangkul bukit dan membentukkan anak tangga agar mudah aku, adik beradik dan kawan kawan ku turun naik bermain di situ. Jadi aku menggunakan peluang itu membina satu pondok kecil tempat rahsia kononnya. Nak buat pondok di atas pokok tidak mampu, buat di atas bukit pun jadilah.
Suatu hari itu, ketika aku leka bermain di dalam pondok, tiba tiba muncul perasaan pelik. Aku menoleh ke belakang. Kelihatan seekor ular hitam dewasa berlingkar dan kepala nya naik sambil memandang ku. Rupanya hitam berkilat. Aku terperanjat dan terus berlari sekuat hati turun menuruni bukit dan masuk ke rumah. Tapi tidak aku ceritakan kepada sesiapa, risau ditegah untuk naik bermain ke atas bukit lagi.
Di masa yang lain pula, ketika itu umur ku juga belum mencecah 12 tahun. Selain bermain di pondok atas bukit, aku juga suka bermain basikal. Ke hulu ke hilir mengayuh basikal di sekitar taman perumahan ketika itu.
Sedang aku ralit mengayuh basikal, dalam keadaan roda basikal masih berputar, aku terperanjat kerana tiba tiba kelihatan seekor ular hitam berlingkar sambil mengangkat kepala nya betul betul di tepi kaki aku yang sedang mengayuh pedal basikal. Terkejut juga aku kerana ular itu muncul secara tiba tiba. Hampir terjatuh dari basikal aku di buatnya. Ular itu terus menyusur masuk ke dalam semak. Aku tongkatkan basikal cuba mencari dan mengejarnya tapi hilang pula dari pandangan.
Peristiwa aku terserempak dengan ular hitam yang sama ini banyak kali cuma aku hanya dapat ingat beberapa detail kejadian.
Kejadian lain pula apabila aku berkunjung ke rumah jiran aku. Yang juga kawan rapat sepermainan aku sejak kecil lagi. Belum sempat aku memberi salam memanggil nama kawanku, terlebih dahulu mata aku menangkap seekor ular hitam yang seringkali aku nampak berada di laman rumah kawanku. Sempat ia berhenti dan memandang aku. Selepas itu ia menyusur pergi hilang terus ke dalam semak. Aku yang semakin biasa terserempak dengan nya cuma memandang dan malas hendak mengejarnya lagi.
Kalau ikut logik akal, ada benarnya mungkin ular itu mendiami di kawasan tempat tinggalku. Dan barangkali juga aku kebetulan sering terserempak dengannya. Tetapi ia makin menjadi tidak masuk akal apabila aku ular itu turut menampakkan diri nya apabila aku balik ke kampung nenek yang jaraknya jauh beratus kilometer.
Suatu petang itu, aku mengambil angin petang sambil baring di dalam buaian yang digantung dibawah rumah nenek. Kedengaran namaku dipanggil dari atas rumah. Sambil menyahut panggilan, aku bangun dari buaian dan hendak menyarungkan selipar di kaki.
Ketika itu juga lah kelihatan seekor ular hitam berlingkar sambil mengangkat kepala nya memandang aku yang berada tidak jauh dari seliparku. Jarak yang sangat dekat kali ini. Aku sedikit panik kerana terkejut terus berlari naik ke rumah.
Nampaknya di rumah nenek pun dia memunculkan diri. Dan penampakan ular itu semakin kerap sehingga aku menjadi trauma terhadap ular. Sebut ular pun boleh naik meremang segala bulu di badan.
Tetapi penampakan ular ini sebenarnya berhenti selepas aku berumur 12 tahun. Sepertimana aku dah berhenti dari melihat benda benda lain, ular pun tidak lagi memunculkan dirinya.
Cumanya masa itu aku tak pernah pun fikir yang kemunculan ular itu barangkali bukan lah seekor binatang tetapi ada kaitan dengan perkara ghaib. Bila aku makin meningkat dewasa aku teringat kejadian kejadian itu jadi aku cuba bertanya pada kawan kawan aku yang lebih arif mengenai perkara ghaib ni.
Kebanyakan mengatakan ia saka atau pendamping. Ada yang suruh berubat ada juga yang suruh aku belajar untuk menjadi perawat. Jadinya aku hanya berubat dan tidaklah begitu taksub untuk mengambil tahu lebih lagi. Cuma adakala ia terlintas di fikiran sekadar menerima ia salah satu misteri dalam hidup. Walaupun ramai yang melamar untuk mengajarku menjadi seorang perawat, setakat ini aku lebih banyak menolak kerana tidak berminat. Cumanya aku belajar perkara basic untuk perlindungan diri dan orang terdekat.
Sebenarnya apa identiti ular hitam itu masih misteri. Kerana aku sendiri tidak pasti ia dari mana asalnya. Ada yang mengatakan ia adalah saka, ada juga mengatakan ia adalah pendamping. Tapi apa bezanya kan tetap juga ia seekor jin. Aku juga tidak menolak mungkin campur tangan jin yang ada mengikut aku sejak kecil ini antara sebab aku sering melihat dan terlibat dengan benda benda pelik dari dahulu.
Bila aku makin dewasa juga, perawat perawat terlibat sering memaklumkan ada pendamping yang mengikutku dan dia memunculkan diri dalam bentuk badan seorang lelaki ibarat seorang pahlawan zaman dahulu. Pada mula aku agak kurang percaya kerana aku sendiri tidak pernah melihatnya. Sehinggalah suatu hari aku ternampak ia berada di belakang aku ketika aku melalui sliding door yang boleh memantulkan bentuk objek seperti cermin. Tanpa sengaja aku terpandang dia berada betul betul dibelakang ku ibarat bodyguard lagaknya.
Seterusnya aku diberitahu pula namanya. Kemungkinan besar dia adalah sang ular hitam yang sering memunculkan diri ketika aku masih kecil. Aku pernah bertanya jadi mengapa sudah lama aku tidak lagi terserempak dengan kelibat ular hitam? Katanya seringkali dia datang dan pergi. Muncul hanya sesekali apabila keadaan terdesak yang menuntut aku memerlukan pertolongan ketika kesusahan terutama apabila dianiaya oleh orang lain atau ada masuk campur golongan jin yang lain.
Wallahualam. Kebenarannya aku tidak lah pasti tapi itu yang diberitahu kepadaku. Tapi tidaklah aku bergantung harap padanya, kerana setahu aku walau kononnya ia melakukan sesuatu yang baik padaku, tetap ia menjadi campur tangan jin dalam kehidupan. Seboleh boleh nya aku cuba elakkan. Pernah juga aku bercakap seorang diri umpama merujuk kepada dirinya. Menyuruhnya pergi, kerana sebaik baik pelindung itu adalah Allah bagiku. Dan sebaik baik kawan untuknya hanyalah dari golongan dia.
Ada juga perawat yang memberitahu aku bahawa aku menjadi golongan yang mudah menarik golongan ghaib ini terutamanya mereka yang dipanggil bunian, sejak aku dari dalam kandungan lagi. Wallahualam.
Mak aku menceritakan kepada perawat itu bagaimana keadaan dia sedang sarat mengandungkan aku sehingga lah aku dilahirkan. Mak dan ayah ku sering terserempak dengan pelbagai jenis makhluk jin ini sejak mengandungkan aku. Masa hendak melahirkan aku, pakcik menghantar mak ke sebuah klinik desa dengan menaiki motorsikal. Perjalanan yang hanya mengambil masa kurang 3 minit ke klinik terasa begitu lama kerana motorsikal menjadi berat dan umpama banyak mata memerhati dan mengiringi. Perawat itu memberitahu bahawa golongan jin terutama bunian ini memang sudah mengintai aku dan mengikuti aku sejak aku dari dalam kandungan sehingga aku dilahirkan.
Katanya lagi ia menjadi sebab kenapa aku sering melihat perkara pelik dan mempunyai kebolehan untuk menjadi perawat. Aku pun tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Cuma itulah yang disampaikan kepadaku. Jadi tidak pasti ular hitam itu ada kaitan atau tidak pada semua ini.
Berkenaan bunian yang sering tertangkap mengikuti aku ni pun ada kisahnya. Tapi mungkin kalau berkesempatan aku ceritakan di lain hari. Terima kasih.
AC
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Follow Whatsapp FS KLIK SINI
Best, teruskan menulis.