VILLA

Assalamualaikum admin. Lama betul tak bersiaran di sini. Semoga admin dan para pembaca diberi kesihatan berpanjangan dan dipermudahkan segala urusan. Ni ada satu story nak dikongsikan. Terima kasih atas budi baik admin ya. Kalau datang Penang saya belanja cendol…hihi.

***

Baru-baru ni pi market beli ikan bilis, terserempak dengan kawan lama. Memang dah lama betoi tak jumpa dia, ada kot 10 tahun lebih. Padahal duduk kot Kepala Batas ni jugak. Bila dah jumpa, sembang pi sembang mai dia tanya aku dok buat apa la ni? Aku habaq la buat kerja aku sambil-sambil dok membongak kat Facebook. Aku tunjuk la page aku ni. Dia terkejut pasai dia pernah share story aku tapi dia tak perasan pun page ni aku punya. Secara tak langsung dia tau la aku dok tulis cerita seram berdasarkan kisah benar. Terus dia ajak aku duduk makan roti canai pasai ada benda dia nak cerita. Aku pun patuh walaupun baru semalam dah angkat sumpah tak mau makan roti canai, konon nak jaga diet pagi ni.

“Cuti sekolah hari tu aku bawak anak bini pusing semenanjung. Kami singgah merata. Seminggu lebih jugak la dok ataih jalan. Merata tempat kami tidoq. Kadang tidoq hotel kadang tidoq homestay. Tapi ada satu homestay ni kat Cameron Highland, kalau suruh aku duduk free pun lepaih ni memang aku tak pi dah. Homestay mewah baq hang. Macam villa omputeh. Memang lawa la. Tapi….”

Macam tu dia punya muqaddimah. Tadak kona kona kot lain dah. Aku yang tengah ralit koyak roti canai terus berhenti sat. Bukan pasai suspen. Aku dah boleh agak topik apa yang dia nak cerita kat aku. Tapi aku tergamam tengok roti canai depan aku tu. Tadi aku order sebijik ja, pasaipa mai 2 bijik? Silap order ka apa? Ahh telan je lah….esok esok la diet sihat.

“Tapi apa?” Aku tanya sambil dok celup roti canai dalam kuah dalca. Begini yang dia cerita kat aku.

**************

Kami mula ikut Pantai Timoq. Hari pertama singgah tidoq kat Terengganu. 2 malam tidoq situ. Dari Terengganu kami lajak pi Johor, pun tidoq 2 malam jugak. Dari Johor pusing pi Melaka. Kat Melaka kami tidoq 1 malam ja pasai esok dah nak lajak pi Kuala Lumpur. Aku pun tak mau lama-lama kat Melaka di musim cuti sekolah ni. Dia punya cramp kalah waktu puncak kat tengah Jambatan Pulau Pinang.

Esok tu kami pi KL, tidoq 2 malam jugak. Dari KL kami tala naik Cameron Highland. Jam 10 pagi kami dah ada kat Tanah Rata pasai nak elak jem. Tu pun sempat melekat jugak tapi tak teruk sangat. Aku tak risau pasai tempat tidoq, semua aku dah booking awal. Jadi, Cameron Highland ni hentian terakhir kami sebelum balik Penang.

Sebelum check in kami pusing-pusing atas tu dulu, pi berjalan siap-siap sementara orang tak ramai. Bila mai jam 12 tengahari jalan dah start jem. Pengunjung dah mula keluaq dari sarang. Aku call villa yang aku dah booking tu, nak mintak check in awal sikit. Dia kata boleh, tapi paling awal jam 1.30 petang. Haa ok la tu dari nak bersidai kot jalan yang makin meriah tu.

Kami check in tepat jam 1.45 petang. Lokasi villa tu kat atas bukit dan agak privacy. Dari jalan besaq hang kena kona pacak naik bukit baru nampak dia. Kalau jalan kot bawah tak nampak. Kira hang duduk situ tadak la hingaq dengan bunyi kereta dok lalu lalang. Aman damai ja tempat tu.

Villa tu berkonsepkan studio tapi ada sebuah bedroom yang dipisahkan dengan dinding tempered glass yang bukan 100% transparent. Kadar tembus pandang kat cermin tu masih tinggi. Kira hang duduk dalam bedroom tu hang masih boleh nampak apa yang berlaku kat hall. Anak-anak aku dok berguling kat katil hujung pun aku boleh kenal lagi yang mana anak nombor 2 yang mana anak yang nombor 3. Bila gelap baru tak nampak apa.

Dalam bedroom ada 1 katil king, kat hall ada 4 buah katil single. Padan la dengan family kami 6 beranak. Bilik ayaq pulak berkembaq dengan bedroom, pun dipisahkan dengan dinding kaca, tapi 0% transparent la. Tak payah risau orang kat luaq boleh nampak hang dok meneran dalam tu. Bilik lain aku tak tau design dia lagu mana. Tapi bilik yang aku booking ni adalah bilik yang paling besaq ada kat situ.

Bila dah selesai check in, kami rehat dulu sebelum keluaq makan. Dari nak rehat 1 jam terus terlajak sampai ke malam. Penat kot drive dari dari KL ke sini. Jam 8 malam, kami bersiap-siap nak keluaq makan. Tapi anak sulung aku yang jantan umoq 16 tahun tu tak mau ikut. Tak larat dah dia kata. Letih duduk dalam kereta. Malam tu dia nak terlentang atas katil rehatkan pinggang. Yang ikut adik-adik dia hat 3 orang tu ja.

Dalam jam 8 lebih macam tu kami keluaq pi makan shell out kat Brinchang. Lama jugak la kami bersidai kat kedai tu pasai masyarakat punya ramai. Hang pi tang mana pun ramai. Tara nak siap makan semua sejam lebih jugak la. Masa dok makan, bini aku call anak sulung aku tu, tanya nak makan apa. Depa bercakap guna speaker, aku pun perembang la telinga.

“Ziq….nak pesan apa?” Nama dia Haziq Zikri.

Dia jawab call tu, tapi diam tak bercakap sampai mak dia kena panggil banyak kali. Aku syak dia tengah lena.

“Ziq. Haziiiqq!! Tidoq ka oiii..??”

Dah lama sikit baru dia respon. Suara terketaq ketaq macam orang demam.

“Tak mau apa la Ma. Ziq makan roti ja.”

“Laaa. Beli kat mana?”

“Yang Abah beli tadi tu.”

“Ohh. Takkan tak mau apa dah? Kat sini nasik goreng ada, burger pun ada. Kalau nak, Mama nak tapau kat Haziq.”

“Tak mau la Ma. Tapi Mama balik cepat sikit boleh tak? Balik la ni jugak Ma.”

“Ehhh. Mama baru nak makan ni. Ziq demam ka?”

“Haaa. Balik cepat Ma.”

Pulak daahhh. Aku pun menggelabah la jugak. Orang baru nak makan dia dah suruh balik. Yang tadi tak mau ikut sangat.

“Sat lagi habih makan Ma balik terus. Haziq ok tak ni?”

“Ok ja. Tapi Ma balik cepat sikit. Jangan pi mana mana dah.”

Macam tu dia kata kat mak dia. Aku pun sama jadi tak senang nak makan, dok susah hati kat anak sorang tu. Lepas makan, kami tak tunggu dah, terus balik ke villa. Tapi tara nak sampai mau setengah jam jugak la. Nuuu….berderet kereta atas jalan.

Sampai di villa, terus masuk bilik dan nampak Haziq dok berselimut atas katil kat hall. Dia pasang Youtube orang dok mengaji. Punya kuat, dari luaq bilik boleh dengaq dah. Mata dia merah berayaq, memang macam dorang demam. Cepat-cepat mak dia pi pegang dahi.

“Panas ni bang. Makan ubat dulu. Mujoq Mama bawak Panadol.”

Mak dia berlari ke bedroom dan selongkaq emergency kit. Dalam masa yang sama, aku dok perati kelaku Haziq ni. Mata dia dok tenung ke bayang bayang mak dia kat dalam bilik. Hati aku jadi tak sedap. Macam ada yang tak kena dengan budak ni. Selalunya kalau dia demam pun, rancak ja dia bercerita itu ini. Kali ni tak bukak mulut langsung.

“Haziq. What is wrong with you my man?” Aku tanya macam tu, nak cooling down jiwa dia yang macam berkecamuk.

Dia tak tunggu lama, terus buka mulut bercerita dengan aku. Masa ni mak dia pun tengah huloq Panadol.

“Tadi Haziq nampak Mama.”

“Memang Mama dok ada sini pun.” Kata mak dia yang masih tak tau hujung pangkal. Aku pulak dah dapat baca sikit sikit. Bukan itu yang anak tu nak habaq.

“Bukan Ma. Ziq nampak Mama masa Mama dah keluaq pi makan.”

“Haahhh…..nampak kat mana?”

“Dalam bilik tu la.”

Terus mak dia melopong tengok aku. Seolah-olah aku ni presiden PBB yang dapat menyelesaikan masalah dunia.

“Haziq nampak macam mana? Cuba cerita bagi habih.” Aku kata lagu tu kat dia.

“Lepas semua dah keluaq, Haziq masuk tandas amik ayaq semayang. Lepas tu masuk dalam bilik nak semayang jamak. Masa bagi salam Haziq nampak balik cermin tu, Mama tengah duduk kat sofa. Mama duduk diam ja tak buat apa pun.”

“Lepas tu Haziq buat apa?”

“Haziq ingatkan memang Mama, kot masa Haziq dok semayang Mama masuk balik nak ambik apa-apa. Haziq keluaq bilik nak tanya Mama, bila keluaq ja Mama dah takdak kat sofa tu. Heran la jugak.”

“Ooo. Haziq silap pandang kot.” Aku kata macam tu nak sedapkan hati dia.

“Mulanya dok ingat macam tu la. Haziq buat tak tau je lah. Lepas tu Haziq sambung tengok henpon kat katil ni. Masa dok main game Haziq nampak lagi sekali, kali ni Mama duduk kat katil dalam bilik. Sama macam tadi jugak. Mama duduk diam ja dok tengok lantai.”

“Alamak. Ni cerita betoi ka tipu-tipu ni?” Tanya mak dia pulak.

“Nak tipu buat apa Ma. Tak penah lagi Haziq cerita nampak hantu seumoq hidup. Ni baru first tima time nampak.”

“Ok. Lepas tu jadi apa lagi?”

“Haziq panggil Mama. Kot kot memang betoi Mama. Tapi Mama tak menyut. Mama kalih muka tengok Haziq, lepaih tu Mama berdiri tekap muka kat dinding cermin tu. Tak nampak clear pun muka Mama, tapi rupa dia sebijik macam Mama.”

“Dia pakai baju apa?”

“Dia pakai baju kelawaq yang Mama pakai sebelum keluaq tadi. Masa tu baru Haziq sedaq yang tu bukan Mama. Tapi rupa dia memang betoi-betoi macam Mama.”

“Dah tu, Haziq buat apa?”

“Masa tu yang Mama call tanya nak pesan apa. Tu yang Haziq suruh balik cepat. Lepas letak telefon dia terus hilang. Haziq tunggu je la dalam bilik.”

“Awat tak habaq masa Mama call tadi?”

“Takut nak habaq pasai benda tu dok tengok Haziq.”

Macam tu rupanya. Kalau aku yang kena lagu tu, mungkin aku pun terkancing gigi.

“Takpa, dia mengusik ja tu. Pi tidoq, esok nak balik Penang dah.”

“Haziq tidoq dengan Mama Abah sekali boleh tak?”

Aisehh. Boleh laa… jangan mai dok himpit celah ketiak ja. Rasanya sejak dia dah ada bilik sendiri masa darjah 3 dulu, ini kali pertama dia mintak tidoq sebilik dengan mak ayah dia. Nampak sangat cuak dia tu. Dan betul apa yang dia kata kat mak dia tadi. Tak pernah lagi dia bercerita nampak hantu setan, walau jin sekalipun seumoq hidup dia. Kali ni dia kena.

Jangan kata dia, aku pun tak pernah nampak. Dok dengaq orang sembang ja. Sembang nampak pocong, nampak langsiaq, nampak toyol. Aku dah 40 tahun hidup tak pernah sekali pun nampak puak-puak tu. Masuk ke celah hutan banat, pi mengai sorang sorang tengah malam pun tak pernah nampak. Bukan tak percaya wujudnya jin dan syaitan tapi memang tak pernah nampak. Mungkin kali ni Tuhan nak uji, anak aku yang tak pernah peduli hal mistik tiba-tiba boleh ternampak kelibat yang merupa mak dia sendiri.

Jadi, malam tu aku terpaksa hampaq toto dalam bilik, anak-anak semua pakat tidoq sekali dalam tu. Toto tu memang aku standby ja dalam kereta, tau dah ada masa akan guna jugak. 4 buah katil kat hall tu tak guna langsung. Buat penat ja bayaq mahal-mahal. Takpa la, janji depa rasa selamat.

Lepas jam 11 malam semua dah sedia nak tidoq. Aku ja dok belek email lagi, tengah standby apa yang patut. Lagi 2 hari dah nak masuk kerja.

Mai jam 12 tengah malam mata ni tak tahan dah. Dari duduk bersila kat sofa, aku masuk ke bilik. Katil king tu dah kena konker anak-anak. Abang depa si Haziq tu ja yang tidoq kat lantai berlapik toto. Biasanya lagu tu la. Bapak kena beralah. Jadi, dengan rela hati aku pi tidoq kat katil di tengah hall. Aku pilih katil yang paling dekat dengan bedroom. In case kalau jadi apa-apa dalam bilik, boleh sampai ke telinga aku.

Baru lena tak sampai sejam, pukul 12.45 pagi aku terjaga. Nak terkencing. Punya sejuk tak tau nak habaq. Aku buka lampu pi cari remote aircond. Dok perati kiri kanan, seminit jugak la loading baru perasan. Cameron Highland ni mana ada aircond. Kipas pun depa tak guna, ini kan pulak penghawa dingin. Dah sedaq diri baru aku langkah masuk toilet.

Dah selesai mengosongkan pundi kencing, aku lentang balik atas katil. Tapi tak boleh pejam. Kepala ni dok pikiaq yang bukan-bukan. Pikiaq pasai kerja, pasai rumah, pasai semua benda yang tak sepatutnya ada dalam kepala otak aku waktu tu. Ni yang orang panggil pecah mengantuk. Tidoq sat ja bila terjaga jadi susah nak lena. Aku bergolek kiri kanan pun tak mau pejam jugak. Last sekali aku keluaq pi cucuh rokok kat lobby.

Suasana lobby masa tu senyap sunyi. Angin ja dok hembuih telinga aku. Memang sejuk tapi nyaman. Aku duduk kat kerusi panjang yang memang dok ada kat situ, mengadap dengan pintu bilik aku. Pintu bilik saja aku biaq terbuka, nanti senang nak masuk balik.

Lebih kurang 10 minit kemudian, aku masuk balik ke dalam, tutup lampu dan menyembam atas katil dengan harapan boleh cepat lena. Jangan buat pasai, esok nak drive balik Penang bukannya dekat. Mau 3 jam jugak tu. Belum campoq dengan nak singgah sana sini, dengan jem lagi. Boleh jadi 5 ke 6 jam jugak la.

Pelan-pelan rasa mengantuk pun mai balik. Mata makin dok layu, mulut pun dok menguap tiga empat kali.

Baru nak hanyut, aku dengaq ada bunyi kat katil sebelah. Macam ada orang landing kat situ. Bila aku celik mata sikit, aku nampak ada orang tengah tidoq kat katil paling hujung dekat dengan tingkap. Dia tidoq melunjoq, berkelubung dari hujung kepala sampai ke hujung kaki.

Bersungguh sungguh aku kata dalam hati yang aku tengah mimpi. Dua tiga kali aku pejam celik pejam celik dok berdoa aku terjaga dari tidoq, nanti benda tu hilang la. Aku cuba pusing badan kot lain, boleh ja. Tak kena tindih pun. Bukan sleep paralysis. Tubuh badan aku normal waktu tu. Aku kalih pulak tengok katil tu, boleh jugak. Maksudnya aku bukan sedang bermimpi. Aku tak lena pun dan benda tu masih ada di katil tu. Menguet tak berbunyi pun tak. Dia tidoq tegak ja sebijik macam mayat yang baru sudah siap kapan.

Langsung aku teringat benda pelik yang kena kat anak sulung aku tadi tu. Otak aku tak gaduh nak proses lama-lama, memang dah tau yang tu bukan bini aku, bukan anak aku. Nak kata seram, memang dah meremang bulu roma ni.Terpacak ke bumbung baq hang. Tapi bukan bermakna aku takut, cuma aku jadi tak senang duduk bila ada benda lain yang dok main dekat dengan anak-anak aku.

Dalam keadaan seram dengan geram yang sama naik, aku mangkit dari katil berdiri tegak pandang dia.

“Haram jadah punya setan. Pttuuiii….!!!”

Aku bagi ludah pekat punya seketoi, terus berjalan pi kat dinding dan bukak lampu. Bila dah cerah, benda tu hilang. Katil tu pun kosong. Cuma cadar dia ja berkedut sebab siang tadi anak-anak aku dok main tang tu. Aku perati ke luaq tingkap, belakang villa tu ada banyak pokok bunga kertas yang ditanam tuan tanah. Pokok-pokok bunga tu bergoyang ditiup angin sejuk dari puncak Cameron Higland. Sekali sekala kabus tebal menyelebungi dan pokok bunga tu pun hilang ditelan kabus.

Maka, aku langsung tak boleh tidoq dari jam berapa entah hinggalah ke cerah. Dalam kesempatan yang ada tu aku ambik wuduk, buat semayang sunat dan zikir banyak-banyak. Moga anak bini aku terlindung dari gangguan mahkluk jin dan syaitan.

Esok pagi, anak sulung aku yang mangkit paling awai. Dah sihat dia kata. Dia pun tak sebut dah hal semalam tu. Malas nak pikiaq kot. Aku pun tak bercerita kat depa apa yang berlaku kat aku masa depa dok lena. Jam 12 tengahari kami check out, bini aku kena drive sampai ke Penang, aku membuta kat sebelah.

********************

“Harreeyyy. Cering bulu roma aku. Dah sampai rumah tadak jadi apa-apa ka?” Aku bertanya lagi, manalah tahu ada rentetan dari kejadian di Cameron Highland tu.

“Tadak apa. Semua ok ja. Tadak pulak jadi benda pelik-pelik. Aku rasa dia memang dok main kot situ kot. Tempat depa.”

“Boleh jadi la. Kat dunia ni bukan kita ja duduk. Depa pun ramai. Lagi ramai dari kita.”

“Betoi la tu. Jadi hang tolong tulih cerita aku ni tapi jangan habaq nama betoi aku, jangan habaq nama tempat tu. Kalau kena saman aku cari hang. Hahahaha.”

“Sat sat….yang hang ludah ptuiii tadi tu hang cuci balik tak?”

“Dakkk. Aku lupa wakakakaka…”

“Haisshhh. Dajey dia ni.”

Begitulah kisahnya hasil dari pertemuan semula dengan kawan lama yang dah sepuluh tahun tak jumpa. Ingatkan dia nak ajak join MLM ka, nak ajak join forex ka, rupanya dia nak bagi cerita seram. Ada la jugak modal aku nak goreng ampa. Terima kasih kerana sudi membaca.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Edi Arjuna Pencerita

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 85 Average: 4.8]

4 thoughts on “VILLA”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.