#W3- Pusaka

Prappp… praappp…

Bunyi tapak kaki itu semakin hampir dengan kedudukan Yazid. Tubuhnya semakin kuat menggigil. Jantungnya semakin berdegup kencang. Yazid menutup matanya rapat-rapat. Dia tidak mahu melihat apakah yang sedang menghampirinya. Setahunya, hanya dirinya sahaja yang berada di rumah pusaka peninggalan arwah datuknya itu.

Bunyi langkah itu hilang tiba-tiba. Yazid juga turut diam, dia hanya memeluk bantal sambil menutup mukanya menggunakan bantal itu.

“Eh, dah tak ada,” bisik hati kecil Yazid.

Bantal yang menutup mukanya tadi dibuka sedikit agar dapat mengintai. Setelah diteliti dengan betul, Yazid dapati tiada sesiapa atau makhluk di hadapannya. Lalu, bantal tadi dibuka besar sambil dia baring terlentang menghadap siling.

“Allahhhh!” Yazid menjerit menyebut Yang Maha Esa, apabila melihat sekujur tubuh sedang tergantung di siling rumah itu. Tubuh makhluk itu serba hitam dan dipenuhi d***h. Mata kanannya terjojol keluar, hidung dan mulutnya tiada. Kulit mukanya seperti mencair.

Dengan kudrat yang ada, Yazid cuba gagahkan kakinya untuk bangun lalu melarikan diri ke pintu keluar. Dia ingin meminta bantuan orang kampung.

Daaannggg… gedaannggg… gedaanggg…

Yazid menggegarkan pintu utama rumah itu yang tidak boleh dibuka, sedangkan semua penyendal pintu telah dibukanya. Lutut Yazid mula menggeletar. Dia sudah tidak mampu berdiri, lalu terjatuh melutut di hadapan pintu.

Kreeeuukkk…

Bunyi pintu kayu itu terbuka perlahan. Yazid pantas mengangkat mukanya melihat ke arah pintu. Dia mahu keluar dengan cepat tetapi malangnya, di pintu itu berdiri sebungkus makhluk yang dipanggil pocong.

Tiada apa yang mampu dilafazkan lagi. Keadaan menjadi semakin kabur dan akhirnya gelap, sunyi dan sepi.

Kooookkkk… kokoookkkokkkk…

Ayam berkokok bersahutan, tanda waktu pagi sudahpun menjelma. Yazid membuka matanya perlahan. Kepalanya digosok-gosok kerana terasa sakit. Dia melihat dirinya berada di atas katil arwah datuknya, iaitu katil semalam di mana dia sedang berbaring, sebelum diganggu oleh iblis dan syaitan.

“Aku mimpi ke?” Yazid bermonolog sendirian.

Yazid bangun lalu duduk di katil sambil melihat keadaan sekelilingnya. Semuanya sama macam semalam. Tiada apa yang berbeza. Keadaan rumah yang diperbuat daripada kayu itu sudah mula menunjukkan usangnya. Apatah lagi rumah itu jenis rumah atas, dan bila berjalan terasa lantai yang diperbuat daripada papan itu melendut dan berbunyi kuat sepertinya bakal patah pada bila-bila masa sahaja.
Yazid menuju ke dapur, tiada barang yang boleh digunakan lagi untuk dia masak.

‘Banyak benda nak kena buat dekat rumah ni,’ bentak hatinya sambil dia membelek-belek pingan dan mangkuk yang sudah berhabuk teruk.

Keadaan rumah terlalu usang. Yazid baru teringat, motif utamanya datang ke rumah pusaka itu adalah untuk mengambil gambar rumah serta tanah kerana ayah dan adik-beradiknya ingin menjual rumah itu. Tiada siapa yang hendak duduk di rumah pusaka itu, jadi mereka mencadangkan untuk menjual sahaja rumah dan tanah pusaka itu.

Yazid mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar, lalu mengetik beberapa gambar di dalam rumah. Selepas beberapa keping gambar di dalam rumah diambil, Yazid pergi pula ke bahagian luar. Beberapa keping gambar di bahagian luar serta kebun yang sudah bersemak di belakang rumah, turut diambil gambarnya. Dirinya sendiri tidak pasti berapa banyak gambar yang sudah diambil. Jarinya laju mengetik butangtake picture yang berada di permukaan skrin telefon bimbit. Akhir sekali, Yazid mengambil gambar penuh rumah pusaka itu.
‘Cantik!’ Itulah yang terdetik dalam jiwanya apabila melihat senibina rumah itu. Kayunya masih kelihatan cantik.

Yazid melangkah masuk semula ke dalam rumah. Sebelum malam, dia perlu pulang ke rumahnya semula. Tidak sanggup dia untuk tidur di rumah pusaka itu lagi.Yazid memandang pada satu pintu bilik yang berkunci rapi. Bilik itu adalah bilik arwah tok jantannya, tempat tok jantan menghembuskan nafas terakhir. Tiada sesiapa yang dibenarkan masuk ke bilik itu tanpa tok jantan atau kebenaran daripadanya.

Hati kecil Yazid mula menghasut untuk membuka pintu bilik itu. ‘Alah! Tok jantan dah tak ada, apa salahnya masuk. Lagipun, rumah ni dah nak jual,’ bisik hati kecilnya.

Yazid melangkah perlahan ke pintu bilik itu. “Arghh… Kunci pulak!” keluhnya.

Matanya melilau mencari anak kunci, jika ada tergantung di mana-mana dinding. Namun dia hampa kerana satu anak kunci pun tidak kelihatan. Disebabkan perasaan ingin tahu yang tinggi, Yazid menuju ke kereta lalu mengambil tukul besi untuk memecahkan mangga pintu.

Dengan beberapa hentakan yang kuat, akhirnya mangga pintu terbuka. Bibirnya mengukir senyuman puas. Tukul besi dicampakkan ke lantai rumah.

Kreeeuukkkk…

Pintu kayu itu dibuka perlahan. Suasana di dalam bilik itu gelap, tingkap kayu jenis buka-kuak itu tertutup rapi. Pantas Yazid membuka tingkap bilik. Kemudian, dia menyelongkar segala khazanah yang terdapat di dalam almari arwah tok jantannya. Pakaian, buku, kopiah dan pelbagai lagi barang yang digunakan arwah tok jantan sewaktu hidup, masih di tempatnya, tidak terusik.

Tiba-tiba mata Yazid terpandang satu kotak yang diperbuat daripada buluh kuning. Pelik! Warna kotak itu tidak luntur, malah kuningnya masih cantik dan buluhnya juga nampak segar. Dia mencangkung untuk membuka kotak buluh itu. Sebaik sahaja penutup kotak buluh itu dibuka, dum! Pintu bilik itu tertutup kuat, bagai dihentak.

Yazid menoleh laju kerana terkejut.

“Ehhh… apa benda tu!”

Matanya tertarik pada sepasang kain berwarna kuning dan hitam yang tergantung di belakang pintu. Namun, dia membiarkan dahulu kain itukerana dirinya lebih tertarik pada kotak buluh itu. Di dalam kotak itu terdapat sebilah keris dan mata tombak yang diikat dengan kain kuning serta hitam.

Kain kuning dan hitam itu dibuka, kemudian dia mengeluarkan pula keris dari sarungnya sambil berdiri lagak seperti seorang pahlawan Melayu. Berangan tak sudah!

Di mata keris itu terdapat beberapa ayat yang ditulis dengan tulisan jawi. Luk keris itu juga nampak kemas dan cantik. Yazid menyentuh bilah keris itu mengunakan jari.

“Auuuchhh!” Tiba-tiba dia menarik tangannya laju, terasa jarinya seperti dicucuk-cucuk halus. Yazid melihat jarinya. D***h! Dengan pantas dilap d***h itu menggunakan baju.

Keris itu diikat kembali. Hatinya mula berasa takut. Kotak itu ditutup. Tingkap juga ditutup sebelum melangkah keluar.

Tapp… taakkk… taap… taakk…

Tiba-tiba terdengar sesuatu bergerak-gerak di dalam kotak buluh. Mata Yazid merenung ke arah kotak itu. Kelihatan kotak itu sedikit bergegar.

‘Confirm!’ jerit hatinya.

Yazid berlari anak keluar dari bilik. Segala pintu dan tingkap rumah dipastikan ditutup rapat dan dikunci. Dia perlu balik ke rumah sekarang, bimbang perkara-perkara aneh akan semakin menjadi-jadi.

Enjin kereta dihidupkan. Perlahan-lahan keretanya meninggalkan pekarangan rumah pusaka itu.

‘Huh! Bahaya betul tadi,’ bisik hatinya.

Jam sudah menunjukkan pukul 9.00 malam. Disebabkan jalan jem tadi, Yazid telah menghabiskan masanya di jalan raya, termasuk berhenti makan, solat dan rehat. Maka, makin lambat dia sampai ke rumah.

‘KAMPUNG SILUMAN’

Besar papan tanda yang bertulis nama kampungnya, siap tertera jarak sejauh 15km lagi. Suasana jalan raya di kawasan itu sudah lengang. Maklumlah, sudah mula memasuki kawasan kampung, memang tidak sesibuk bandar. Lampu tinggi dihidupkan apabila Yazid mula tidak dapat melihat dengan jelas jalan dihadapannya.

Gedebuukkk! Kraaaccckkk! Bunyi sesuatu dilanggar oleh Yazid.

Kakinya menekan brek secara mengejut. Menggelabah dia membuka pintu kereta dan terus berlari meluru ke hadapan kereta. Kosong! Tiada apa-apa yang dilanggar. Kepalanya diturunkan sehingga hampir menjejak ke tanah untuk menjengah ke bawah kereta.
“Allahhh!” Yazid menjerit. Serta-merta tubuhnya menggigil. Di bawah keretanya, ada mayat yang sudah siap berbungkus dan dipenuhi d***h.

Yazidberlari,hendak masuk kedalam kereta. Beberapa kali dia terjelepok kerana sendi kakinya seperti sudah tiada. Keretanya dipandu laju. Yazid sudah tidak peduli jika ada benda yang dilanggarnya selepas ini.

Baru sahaja dia memasuki pekarangan rumahnya, kaki Yazid menekan brek secara tiba-tiba. Rumah di hadapannya kini adalah rumah pusaka. Tingkap kuak hadapan rumah itu tiba-tiba terbuka. Jelas, Yazid dapat melihat seorang lelaki dalam lingkungan usia 40-an sedang berdiri di tingkap sambil merenung tajam ke arahnya.

Yazid cuba menolak tombol gear kepada R, namun gagal. Gear itu seperti sudah tersangkut. Yazid berusaha untuk memecut keluar dari perkarangan rumah. Sedang dia berusaha menukar gear R itu, dia memandang semula kearah tingkap. Lelaki tadi sudah tidak kelihatan dan tingkap juga dalam keadaan tertutup. Tetapi dia masih lagi berada di rumah pusaka.

Baru sahaja Yazid bersandar untuk melepaskan ketakutan, duuuuummm! Tingkap keretanya dihentak oleh lelaki tadi menggunakan kepala. Keadaan itu tidak ubah seperti filem zombie. Yazid mengucap panjang. Mulutnya terketar-ketar membaca surah yang diingatinya. Namun, lelaki itu tidak berganjak.

Disebabkan hentakan yang kuat, kepala lelaki itu berlumuran d***h. Matanya sebelah sudah tersembul keluar. Rahang bawahnya telah tertanggal menyebabkan mulutnya ternganga luas.

Kaki dan tangan Yazid sudah mula terasa sejuk. Yazid memalingkan kepalanya ke sebelah kiri untuk mengelak dari melihat wajah makhluk itu. Namun, dunia menjadi gelap apabila di sebelah kirinya, pocong tadi duduk sambil menoleh kearahnya. Mata lembaga itu kosong. Hanya kelihatan kulit muka yang semakin membusuk serta tubuh dan kainnya dipenuhi d***h.

Dunia Yazid menjadi gelap. Bunyi hentakan ditingkap kereta juga semakin perlahan lalu sunyi.

“Yazid! Bangun!”

Suara ayahnya jelas kedengaran di telinga. Yazid membuka matanya dengan lemah. Tubuhnya terasa sakit, kepalanya terasa pening. Dia melihat ayah dan emaknya sedang mengetuk-ngetuk cermin kereta.

“Eh, dah pagi!” Yazid tertanya-tanya sendirian. Tapiii…

“Kau dah kenapa tidur dalam kereta? Semalam kami call kau tak jawab,” tanya ayahnya, apabila Yazid membuka pintu kereta.

“Semalam saya dah balik,” jawab Yazid dalam keadaan masih bingung.

“Balik apa? Kami datang sini,” kata ayahnya lagi.

Yazid tidak membalas kata-kata ayahnya. Memang benar, sekarang dia berada di hadapan rumah pusaka itu.

Yazid pulang ke rumah bersama ayah dan emaknya. Sampai di rumah, Yazid merebahkan tubuhnya di atas katil.

Malam itu sedang dia baring untuk tidur, Yazid teringat sesuatu.
“Ehhh… gambar semalam!” Yazid baru teringat tentang gambar rumah pusaka yang diambilnya semalam. Dia mencapai telefon bimbit lalu membuka fail galeri. Namun, gambar-gambar yang diambilnyatiada langsung di situ.

“Arghhh, takkanlah aku nak kena pergi balik!” rungut Yazid, sambil melempar lembut telefon bimbitnya.

Tiittttt…tittt…tttiitttt…

Tiba-tiba ada satu pesanan ringkas diterima. Yazid mengambil semula telefon bimbitnya. Pesanan itu dibuka.

Diterima daripada : Private Number.

‘Akan Aku Tunggu!’

Selepas membaca pesanan ringkas itu, jantung Yazid berombak kuat. Dia teringat apa yang terjadi kepadanya sebelum ini.

“Aku takkan kembali!” jerit Yazid lalu memadam pesanan ringkas itu.

Tappp…
Bunyi sesuatu terjatuh di atas lantai. Bunyi itu walaupun agak perlahan, ia menyedarkan Yazid tentang kewujudannya. Yazid memandang ke lantai, melihat barang apakah yang terjatuh. Sebaik sahaja dilihat dan diperhatikan dengan teliti, dia mula rasa pelik dan curiga.

Keris dirumah pusaka itu berada di dalam biliknya dan lebih anehnya bagaimana keris itu boleh berada di situ, sedangkan dia sudah meletakkan semula di tempatnya.Adakah ini keris yang berbeza? Tetapi mata Yazid tidak silap, keris itu sama mempunyai ikatan kain kuning dan hitam sama seperti yang di rumah pusaka.

Tukkk…tukk…tukkk… tingkap biliknya di ketuk.Yazid baru sahaja ingin bangun membuka, kakinya terhenti. Dia teringat biliknya di tingkat atas. Dia memberanikan diri menghampiri tingkap yang bertutup dengan langsir. Belum lagi langsir diselak, bulu romanya berdiri tegak sendiri. Yazid mengundurkan tapak dari tingkap itu.

‘Ehh, Kapur barus!’ bau ini sangat sinonim dengan kematian!. Yazid mula menjadi tidak keruan, matanya menjeling ke arah pintu. Bersiap sedia untuk lari keluar lalu mendapatkan emak dan ayahnya.

Baunya semakin kuat menusuk ke dalam rongga hidungnya. Remang roma tengkuknya semakin menebal. Jam waktu itu sudah menunjukkan pukul 1.20am, pasti emak dan ayahnya sudah tidur kerana di luar biliknya sudah gelap lampu tertutup.

“Gedegaannggg…”

Bunyi sesuatu seperti kerusi jatuh di ruang luar biliknya. Yazid berdiri kaku, jantungnya mula berdegup kencang.

Dap..dupp…dappp..duppp

Jantung Yazid berdegup, semakin lama semakin tidak teratur.
“Ehhh.. Bau apa pula ni!”
“Ni, bau bangkai!” hati Yazid bermonolog sendiri.

Dengan kaki yang semakin berat, tubuh semakin menggigil kuat. Yazid melangkah ke arah katil, lalu menyelubung tubuhnya dengan selimut. Selimut yang menyaluti tubuhnya jelas nampak bergetar.

“Yazidddddd~~” suara halus lelaki memanggil namanya. Namun Yazid tidak menghiraukan kerana dia tahu itu bukan panggilan dari ayahnya.

Dengan tubuh yang masih diselubung selimut itu, Yazid merasakan ada tangan memegang kepala. Kemudian tangan itu membelai dan mengusap perlahan-lahan. Bau bangkai semakin menebal. Tekaknya semakin mual. Sejuk tubuhnya terasa sampai ke tulang sulbi sum-sum.

Tangan itu masih membelai perlahan, tiba-tiba terasa selimut di bahagian kakinya disingkap sedikit. Terasa sejuk di hujung kaki dek kerana angin menyentuh kulit. Ayatul kursi dibaca dalam keadaan menggeletar. Tajwid semua hancur kerana ketakutan.

Tangan tadi sudah berhenti dari membelai kepala nya, tetapi tangannya masih terasa di kepala Yazid. Hujung kakinya juga terasa pedih, semakin lama seperti sesuatu sedang menyucuk-nyucuk. Yazid menyelak selimut dengan laju untuk melihat apakah yang terjadi.Kesakitan di kakinya tidak dapat di tahan lagi.

“Allahuaaakbar”

Yazid menjerit sekuat hati apabila melihat kepala tidak berbadan sedang mengigit ibu jarinya. Tubuh lembaga itu sedang duduk di sebelah Yazid. Kepala itu memandang ke arah aku. Matanya terbeliak besar bewarna merah. Hidungnya tidak kelihatan. Rambutnya panjang mengurai hinga ke lantai. Yazid menyepak-nyepak kakinya sendiri, kepala itu tergolek jatuh. Tubuh badan makhluk itu menunduk ke lantai lalu mengensot ke arah kepalanya. Yazid yang dalam ketakutan menjerit kuat.

“Tolonggggg….tolongggg”

Yazid berlari ke arah pintu yang sudah sedia terbuka luas. Kegelapan di ruang hadapan itu telah membuatkan matanya tidak mampu melihat dengan jelas. Sedang dia lari menuju ke tangga, terasa kakinya tersadung sesuatu. Tubuh Yazid rasa melanyang sebelum tangannya terasa patah, dada nya terasa bagai dipijak kuat, kepalanya bagai dihantuk pecah. Dia tergolek-golek di tangga sebelum akhirnya dia tersembam di lantai bawah. Yazid sempat melihat kearah tangga, dalam samar-samar dia dapat melihat lembaga itu sedang merangkak turun dari tangga. Ditangan lembaga itu masih memegang kepalanya diheret bersama. Yazid tidak mampu berlari lagi. Dadanya terasa dihimpit kuat. Nafasnya semakin lemah, lalu semuanya gelap.

“Arghh.. sakitnya”
Yazid memegang kepala serta tubuh badannya. Melihat Yazid sudah sedar, emak dan ayahnya pantas mendapatkan Yazid. Pelbagai soalan diajukan kepadanya. Namun dia tidak mampu menjawab. Yazid melihat sekeliling. “Hospital!” bisik hatinya apabila melihat nurse sibuk kehulur hilir.

Emak dan ayahnya memberitahu. Mereka menemui Yazid terbaring di tangga sambil di tanggannya memegang keris. Keris itu telah ayahnya beri kepada ustaz untuk dibuang. Semenjak kejadian itu, Yazid tidak mahu lagi ke rumah pusaka tok jantannya. Peristiwa itu membuatkannya lebih berhati-hati dan tidak menyentuh barang yang bukan miliknya. Apatah lagi barang yang digelar PUSAKA!

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

W3

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 1.5]

21 thoughts on “#W3- Pusaka”

  1. bahaya barang2 pusaka nih…risau jgk kalau ad yg menjagenye..lebih2 lagi yg tgh mencari pewaris/tuan…huhuhuhu…serammmm

    Reply
  2. Sentuh pun takboleh ni lagi kan amik.Tak mustahil jugak ‘benda’
    tu tengah cari pewaris ke ape. Serammmm…

    Reply
  3. Teringat SBDJ masa andi dirasuk semangat lembing dirumah wakaf datuk tamar..teringin nk tgk prmainan lembing @ tombak dlm seni silat..adakah sperti zilong @pun maskov haha

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.