WIND CHIME

Pernah dengar tentang kes kemalangan landasan keretapi?

Rumah lama keluarga aku terletak betul-betul di kawasan landasan keretapi. Waktu tu kawasan setinggan, belakang rumah aku adalah landasan keretapi. Bila ada keretapi yang lalu, gegarannya terasa sampai ke dalam rumah, bunyi bising tak usah cakaplah. Tapi bagi kami yang membesar di situ, dah mangli dengan semua tu. Dah tak heran bak kata orang.

Pernah suatu hari kecoh ada seseorang yang dilanggar keretapi sewaktu melintas. Keadaan mangsa sangat tragis, d***h dan daging merata di landasan. Dan semenjak dari tu mulalah kecoh cerita-cerita tentang roh mangsa yang berkerliaran. Ada yang bercerita, dia nampak orang berjalan di tengah-tengah landasan, bila diperhati rupanya orang tak ada kepala. Ada pula bercerita, pintu rumah mereka diketuk berkali-kali pada tengah malam, bila dibuka tak ada sesiapa di luar rumah. Ada juga yang bercerita terdengar suara orang mendayu-dayu meminta tolong. Macam-macamlah versi seram yang diceritakan oleh jiran-jiran di situ. Mujur rumah aku tak pernah menerima kedatangan tetamu tak diundang begitu.

Rumah keluarga aku terletak tak jauh dari pondok menunggu keretapi, lebih kurang macam bus stop la. Oh ya, keretapi yang lalu kawasan tempat tinggal kami tu bukan keretapi kargo, jadi ada je masanya kami penduduk di situ akan naik keretapi untuk ke bandar.

***

Hendak dijadikan cerita, waktu tu kakak aku baru sahaja tamat SPM dan dia berkerja separuh masa di sebuah pusat beli belah yang tidak berapa jauh dari kawasan rumah kami. Dan kakak aku ni dia mempunyai satu hobi yang mana dia suka mengumpul loceng angin (wind chime). Bermacam bentuk yang dikumpulnya, dari buluh, cengkerang, kulit kerang entah apa-apa lagi entah, semuanya nak digantung keliling rumah. Satu hal, loceng angin ni memang cantik, tapi itulah bunyinya kadangkala agak menganggu ketenteraman sejagat.

Cerita dari kakak.

Satu hari tu, aku balik kerja agak lambat. Dekat pukul 12.00 malam baru sampai rumah maklum je la, dekat nak raya cina memang selalunya pusat beli belah agak sibuk. Sampai je di rumah, aku terus membersihkan diri. Selalunya aku akan singgah ke bilik mak, menjenguk adik yang dah nyenyak tidur, masa tu adik baru berumur tiga tahun tapi kali ni tak, mak tak bagi aku usik adik macam selalu. Seboleh-bolehnya mak suruh aku bersihkan diri, tak elok katanya. Aku pun malas banyak tanya, ikut je apa yang mak cakap lagipun badan penat.

Siap membersihkan diri, aku masuk ke dalam bilik untuk tidur. Bilik aku ni letaknya berdekatan dengan dapur, agak jauh sikit dari mak. Katil aku memang menghadap tingkap bilik, hawa malam tu agak sejuk walaupun tak ada angin yang bertiup. Mungkin hari nak hujan fikirku. Dalam ralit aku melayan mata, tiba-tiba aku terdengar bunyi loceng angin yang aku gantung tak jauh dari cucur atap berdekatan dengan tingkap bilik aku. Bunyi yang tiba-tiba tu agak kuat, terkejut juga aku. Tapi aku tak ambil peduli, mata dah semakin kelat. Mengantuk!

Ching! Ching!

Sekali lagi kedengaran loceng angin berbunyi buat aku tersentak. Segar terus mata aku. Pelik, sebab bunyi yang terhasil dari loceng angin tu kuat macam bukan ditiup angin. Dan lagi tambah pelik sebab yang berbunyi cuma yang berdekatan dengan tingkap bilik aku je, yang lain-lain tak berbunyi. Untuk pengetahuan, aku gantung loceng angin tu dekat tujuh buah semuanya, satu berdekatan dengan tingkap bilik aku, empat lagi di beranda rumah dan dua lagi di bahagian dapur. Kalau memang angin bertiup mesti yang lain-lain tu akan berbunyi sama.

Tanpa berfikir panjang, aku turun dari katil dan berjalan menuju ke tingkap. Tingkap bilik aku jenis berkekisi, tingkap kaca biasa. Jadi aku buka sedikit je untuk melihat ke luar. Tak ada apa, kosong tapi loceng angin tu tetap bergoyang laju. Macam ada tangan yang menarik tali yang terjuntai pada loceng angin tu. Aku tutup balik tingkap dan naik ke atas katil semula. Dan malam tu berlalu begitu sahaja, aku tak sedar bila masanya aku terlelap.

***

“Kakak, lain kali kalau dengar apa-apa jangan dicari, jangan ditengok.” Mak tiba-tiba berkata sewaktu kami sedang menyiapkan sarapan pagi. Aku pandang muka mak dengan penuh tanda tanya.

“Macam mana mak tahu?” soalku.

“Benda tu saja nak mengacau. Lain kali jangan tengok, waktu dia tak tunjuk muka, tak apalah. Kalau dia tunjuk, tak pasal-pasal pengsan nanti.” Tambah mak lagi.

Aku mengangguk. Maknanya bunyi loceng angin malam tadi tu bukan hasil dari geseran angin. Dan mak… mak tahu sesuatu yang aku tak tahu ke?

“Nanti loceng angin tu cabutlah. Tak elok…” Abah pula bersuara.

Aku mengangguk lagi. Kalau abah dah bersuara aku tak berani nak membantah. Abah memang tak garang macam mak tapi bila abah dah keluar arahan macam tu maksudnya dia serius. Serius abah memang agak menakutkan walaupun riak mukanya biasa je.

“Cabut yang dekat tepi bilik dengan dapur tu je boleh? Yang dekat depan tu cantik, sayang kalau nak simpan.” Mak mencelah.

“Ikutlah mana-mana.” Jawab abah.

***
Selepas beberapa hari, malam tu sekali lagi aku terdengar bunyi loceng angin. Tapi kali ni yang digantung di beranda rumah. Kebetulan malam tu aku tinggal sorang di rumah. Mak, abah dan adik ke rumah mak cik.

Awalnya aku tak endahkan bunyi loceng angin tu. Tapi bila lama kelamaan bunyinya semakin kuat dan aku yakin bunyi tersebut bukan hasil geseran angin. Aku memberanikan diri untuk menjengah ke luar. Tingkap di ruang tamu aku buka sedikit untuk melihat ke luar rumah.

Waktu itu aku perasan seperti ada sesuatu sedang menarik tali dari loceng angin tersebut. Tali dari loceng angin yang digantung jika ditarik akan membuatkan loceng tersebut berhayun dan menghasilkan bunyi yang agak kuat, berbeza jika ianya ditup angin.

Aku perhatikan lagi, manalah tahu jika ada budak-budak yang sengaja mahu mengusik. Semakin diperhatikan, aku perasan ada sesuatu yang berbentuk seperti tubuh manusia sedang ralit menarik tali loceng angin tu. Sedikit demi sedikit jasad tubuhnya semakin jelas kelihatan dan tiba-tiba dia menoleh memandang tepat ke arah aku.

Aku masih ingat lagi, pandangannya masa tu tajam dan sengihnya menyeringai. Aku terundur, terkejut. Dan serentak dengan tu juga tingkap kaca di ruang tamu bergegar seperti diketuk dari luar. Tanpa berlengah aku terus berlari masuk ke dalam bilik. Tapi disebabkan bilik aku agak kebelakang jadinya keadaan takut yang aku lalui tu semakin menakutkan. Seluruh rumah tiba-tiba sahaja terasa seperti sedang diintai oleh sesuatu. Aku mengerekot di atas katil sambil menutup muka dengan bantal.

“Kakak! Kenapa ni?”

Saat terdengar saja suara mak, aku terus memeluk mak. Menangis ketakutan.

“Kan mak dah cakap, kalau dengar apa-apa jangan cari, jangan tengok.”

“Apa benda tu mak?”

“Tak tahulah apa. Dah, pergi ambil wudhuk lepas tu tidur.” Arah mak. Tapi disebabkan aku masih diselubungi rasa takut yang amat, mak menemani aku ke dapur.

Sejak kejadian malam tu, semua loceng angin yang tergantung abah turunkan. Tak ada dah loceng angin yang menghiasi ruang beranda rumah. Menurut kata abah, mungkin makhluk-makhluk halus tertarik dengan benda berbunyi macam tu.

Dan sebelum kami pindah beberapa tahun kemudiannya, aku ada terdengar mak cik-mak cik jiran bercerita dengan mak sambil mereka meneman anak-anak bermain waktu petang. Menurut salah seorang dari mak cik tu, katanya ada saka seseorang yang berkeliaran mencari tuan baru. Mungkin itu yang menganggu aku malam tu.

Entah, wallahualam. Tapi sejak dari kejadian malam tu aku jadi serik dan takut dengan loceng angin (wind chime). Mungkin semua tu kebetulan, tapi kewujudan mereka (makhluk halus) memang tak boleh kita nafikan.

***

Dan untuk diri aku sendiri, aku memang tak pernah suka dengan barangan seperti loceng angin (wind chime) atau barangan perhiasan yang pelik-pelik. Dan selepas kami berpindah, di rumah baru juga terdapat gangguan yang aku sendiri alami. Dan aku akan ceritakan bila ada masa lapang.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]
MAIRA HUDA

4 thoughts on “WIND CHIME”

  1. Owh! Aku tahu laa yg adik umur 3 tahun tuu si Maira nie…. Jauh amat jarak umurnya… Rezeki parents… PKP hanya 1m… Kenapa makhluk tuu tak mengusik Maira… Jika tak, ada laa pengalaman sendiri masa toddler yaa… Tapi mesti tak seram sangat walaupun… Geng halus kalau ganggu budak kecik bukan menakutkan… Depa kecik bukan tau beza pun… Malah diajak bergurau-senda lagi… Dan nanti apabila pulang dari mengacau manusia lalu dimarahi oleh bos hantu sebab main-main semasa menjalankan tugasan…Sekian komen dari orang kasar yang jarang menulis Melayu… Tk

    Reply
  2. Aku ade sorg jiran yg psang loceng angin kat setiap penjuru tingkat atas atap dia.. Rumah dia blakang rumah aku. Bila angin kuat(nak hujan).. Memang sangat mengganggu.. Tgh2 malam tu boleh terjaga sebab bunyi bising tu la. Rasa nak kait buang je..nk bercakap, tkut jadi gduh pulak.. Sabo jela..org camni xbole dok berjiran, kena dok jauh dr org.. 😔

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.