Yunus – Duri Landak

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aku hadiahkan pembaca dengan kisah ini. Terima kasih kerana suka cerita Yunus. Harapan untuk menerbitkan kisah2 Yunus tak pernah padam, Cuma aku tak tahu caranya. Bukan tiada hubungi publisher, ada. Mungkin mereka pandang remeh cerita begini. No value, kata salah satu publisher. Bagi aku, bukan rezeki lagi agaknya. Kalau ada pembaca yang kenal mana2 publisher dan boleh bantu, dan kalau diterbitkan, aku bagi hadiah la. Mungkin banyak jilid, dan lebih seram dari cerita-cerita sebelumnya yang aku anggap ringan….

Masih ingat duri landak yang aku sebut dalam cerita terdahulu? Itu duri landak pemberian kawan Yunus. Aku sangka dia dapatkan di hutan ataupun datuknya yang beri. Tidak sebenarnya, itu pemberian berharga dari “kawannya”.

Mungkin ramai yang tak percaya dan sangsi dengan cerita2 aku ni. Itulah hakikatnya. Kata Yunus, mengikut pandangan makrifat, manusia mengeluarkan sinar (glow). Mata manusia biasa memang takkan nampak. Makhluk halus memang tertarik kepada sinar ini. Kalau selalu seperti Yunus hadapi, bukanlah kerana sinar ini. Ia lebih kepada sikap angkuh dan sombong makhluk halus. Mereka hendak menduga ilmu lalu mencabar. Bukan Yunus saja, datuknya pun pernah kena. Paling seram ialah masa datuknya balik dari Thailand. Sampai adik-adiknya kena bantu pulihkan abang mereka.

Kisah kali ni juga panjang. Sabar je lah ya. Ada dua bahagian. Panjang nau..

Bukan sekali aku ke kampung datuk Yunus. Aku sangat suka kampungnya di pedalaman Kedah. Hutan getah bertemu dengan sawah padi terbentang saujana mata memandang. Sebijik macam poskad dulu2. Rumah datuk Yunus agak ke dalam sedikit berbanding dengan rumah-rumah jiran yang lain. Terletak di dalam kebun getah, rumah pusaka itu tak jemu dipandang. Bagi aku, layak diiktiraf oleh muzium atau badan apa sahaja yang arif menilai hasil seninya.

Datuk Yunus memanggil kesemua adik beradiknya mendirikan rumah berhampiran rumah pusaka itu. Pakcik Yunus yang tinggal sekampung dengan mak aku tu, ada rumahnya ada di Kedah. Ada 4 buah rumah, dibina berbentuk L mengikut bentuk rumah pusaka. Jadi di tengahnya ada courtyard atau halaman, cukup luas jika ada kenduri kendara.

Di belakang rumah, datuk Yunus mengusahakan tanaman pisang, ubi kayu, keledek dan lain-lain tanaman rempah untuk dijual kepada peraih. Tidak keterlaluan jika aku katakan, seakan sempurna semuanya. Bunyi unggas dan burung mengiring hari, cengerik dan pungguk mengiring malam. Ada anak sungai untuk membasah badan selepas berladang. Gelanggang silat ada di depan rumah dan ada surau kecil untuk mereka mengaji dan bersolat. Keluar saja dari kawasan kebun getah, sawah padi terbentang menggoda pandangan.

Aku terpesona dengan kehidupan mereka, Masak, makan, bersolat, berladang dan semua aktiviti penting dilakukan bersama. Untuk masuk ke rumah datuk Yunus, kena lalui jalan atau laluan hutan getah kira-kira 20 meter. Jalan tanah merah yang sangat sinonim dengan negeri Kedah. Tanah dan batunya merah seperti warna air sirih tu. Nama sepupu-sepupu Yunus juga klasik. Kudus, Munzil, Ghafur dan yang perempuan bermula dengan Siti. Khadijah, Sarah, Aishah, Hajar. Tak de lah nama pelik2 macam sekarang. Nak sebut pun tergeliat lidah. Walaupun mereka masih budak, tapi semuanya berani, tertib dan rajin.

Aku tak panggil kisah kali ini gangguan, tapi cubaan atau cabaran. Yang paling mula sekali ialah selepas selesai bertahlil di masjid. Aku dan Yunus yang keluar dulu dari masjid, sementara datuk dan pakcik2nya bersolat sunat. Di sebalik balik tayar van datuk Yunus, kami nampak budak kecil (macam bayi) telanjang bulat sedang bermain. Bila mata kami bertentang, budak itu tersengih menampakkan barisan gigi yang tajam. Aku terkejut, sudah tentu pertama kali tengok makhluk tu.

Yunus yang berang, segera melempar seliparnya ke arah budak itu. Serta merta makhluk itu lenyap. Kata Yunus, makhluk itu ialah bajang tak bertuan. Mungkin tuannya sudah meninggal atau makhluk itu tidak diwarisi. Sepanjang balik dari masjid, kami dengar suara bayi menangis mengikut dari masjid sehinggalah ke jalan masuk kebun getah. Bunyi itu hanya lenyap bila azan subuh berkumandang. Pakcik dan makciknya ada bersembang, bila lalu di kawasan sawah padi mereka tidak kira siang atau malam, akan terdengar bunyi bayi menangis.

Cabaran kedua semasa aku, Yunus dan sepupu-sepupunya mengikut neneknya menggali lengkuas untuk dijual kepada peraih petang tu. Yang dah siap d******g, kami bawa ke anak sungai untuk dicuci. Masa kami sedang makan, kami dengar seperti bunyi kaki berlari di dalam hutan getah. Lari sekejap, berhenti, lari dan berhenti. Pakcik dan makcik Yunus yang menoreh sudah pergi menoreh di kawasan lain. Lagipun, hari sudah tinggi, tak mungkin mereka akan masih menoreh di situ. Bila dilihat, tiada siapapun. Tidak kami endahkan bunyi itu, jadi kami sambung kerja mencuci.

“Ku, mai sat tok nak tanya” panggil nenek Yunus sambil tersenyum pada aku. Aku naik ke tebing dan duduk di tepi orang tua tu. “Ku ni pakai apa? Ramai sungguh depa dok berkenan” katanya sambil menyusun lengkuas di dalam baldi. Aku memang tak faham, hanya tersengih macam orang bodoh. Yunus tersengih sampai mengangkat ibu jari tanda bagus sambil menjuih mulutnya ke arah hutan getah, sambil mengangkat-angkat keningnya.

“Buleh ka, tok?” tanya Yunus kepada neneknya. Aku haram tak faham apa yang mereka maksudkan. “Pi la, hati-hati na Yan (panggilan manja nenek Yunus kepadanya, bermaksud sayang). Dah sudah, balik rumah cepat” kata neneknya. Segera Yunus mencapai golok dan berlari melangkah anak sungai. “Huuaarrrghhhhhhhh!!!” Yunus memekik dan berlari masuk ke dalam hutan. Ternganga aku dengan aksi Yunus. Susup sasap tubuh gempalnya berlari dan hilang dari celah-celah pokok getah. “Tok, kami nak pi jugak” pinta Munzil. “Hang berani ka?” tanya neneknya. “Nak takut apa?” balasnya bersemangat. Tangannya sudah menggenggam golok. “Hah, pi lah, balik cepat tau” perintah neneknya. Susup sasap Muiz berlari ke dalam hutan getah. Sepupu2nya yang lain dan siap menyimpan bekalan dan golok di dalam raga. “Kami balik rumah dulu na, tok” kata Ghafur dan mengajak adik dan sepupunya balik.

Aku dan nenek Yunus hanya mengangkat apa yang terdaya. Semasa berjalan balik, nenek Yunus cerita. Dalam hutan getah tadi, ada 3 makhluk menyerupai gadis yang cantik-cantik sedang mengintai kami. Walau cantik, dahi mereka luas dan mereka bak melayang, tidak memijak bumi. Tak pernah kejadian pelik berlaku dalam hutan getah tu. Sarah yang paling kecil pun berani bermain di pondok getah seorang diri kalau ibu bapanya sedang menoreh, tanpa sebarang bahaya. Datuk Yunus sudah pagarkan setiap penjuru tanahnya. Kalau mereka tidak berniat jahat, mereka dapat masuk dan dapat keluar. Kalau niat tidak baik, hendak masuk sedikit sukar, tetapi jangan harap dapat keluar.

Sedang aku di dapur menolong nenek dan makcik Yunus membersihkan sayur, Yunus dan Munzil terpacul di pintu dapur. Kedua-duanya tersengih2. “Apa jadi?’ tanya nenek Yunus memandang Munzil “Depa saja nak tengok orang luaq, tok. Tak dak apa aih. Kami dah habaq siap2 kat depa, tok sah ada niat jahat. Nak masuk tak pa. Paih tu depa lari, depa kata nak habaq kat ayah depa kami dah usik depa bawa golok” kata Munzil minta dipuji. Yunus hanya terkekeh-kekeh ketawa, mengangkat2 keningnya. Isyarat supaya neneknya puji si Munzil yang aku rasa baru darjah 5. “Baguih noh” kata neneknya, sambil menggoyangkan tangannya dan membuat tanda bagus, mengusik cucunya tu. Aku rasa macam sedang menonton babak komedi masa tu.

“Depa lari sampai tang mana?” tanya neneknya. “Sampai tang batu belah” kata Munzil acuh tak acuh sambil mengunyah sesuatu dari atas meja. “Tak pa, sat lagi kita minta tok wan ka, pak lang ka pi tengok. Kalau lari sampai tang tu, depa ada niat jahat” kata neneknya memandang Yunus. Seram sejuk aku jadinya. Baru saja nak bahagia, dah kena dengar berita kurang enak begini.

Aku tak tahu siapa yang pergi, kerana petang tu kami pergi ke tali air mengail sepat dan puyu. Buat pekasam nanti. Berteduh di bawah pokok jambu batu kegemaran aku, pemandangannya masya Allah, cantik sungguh. Buah jambu batu yang kecil-kecil isinya merah jambu tu, sangat manis. Sebaldi juga dapat ikan puyu yang gemuk2. “Langsiaq (langsuyar), pontianak, hantu2 betina paling takut duri ikan ni. Kena sekali, depa jadi hantu yang takdak power” kata Yunus. Aku ternganga mendengar. Macam dengar cerita budak 5 tahun.

Yunus mengusik aku, katanya kalau nak tengok badan penanggal, boleh saja dia tunjukkan. Tak jauh pun dari kebun getah datuknya. Di pokok ara yang berselirat akarnya, di tengah pokok2 ara tu, ada ruang, muat-muat untuk sebuah tempayan besar berisi cuka. Tempayan tu ditutup dan disorok di bawah tikar mengkuang. Siapa pun tak berani nak ke sana kerana ada juga yang menjaga pokok tu dari diceroboh orang. Kata Yunus, kalau tempayan tu dialihkan, kepala penanggal tu tak dapat mencari badannya dan akan m**i mengering. Tak ingin aku nak lihat. Lebih baik aku tengok pemandangan indah ciptaan Tuhan dari benda ngeri seperti tu.

Sampai kepada beberapa malam, aku dan Yunus disuruh ke kampung sebelah mengambil nasi kenduri dari salah seorang saudara datuk Yunus. Kami pergi lepas Isyak, naik motor salah seorang pakciknya. Datuk dan pakcik2nya tak dapat pergi kerana mengikut kata neneknya, ada tetamu dari jauh nak datang. Penting nampaknya. Selalunya datuk Yunus sedayanya akan hadirkan diri. Lupa nak beritahu, adik beradik datuknya 4 orang, semuanya lelaki. Datuk Yunus ada 2 anak, salah seorang darinya ialah arwah ayah Yunus.

Tetamu itu, kata nenek Yunus akan datang sekeluarga. Akan datang selepas Isyak. Apa yang aku pelik, aku ini juga seorang tetamu. SEORANG. Tapi mereka masak macam nak kenduri. Dijamu itu ini. Tapi dapur neneknya dan dapur-dapur rumah pakciknya sunyi. Selalunya mereka akan sama2 masak. Tetamu apa? Kenapa tidak dimasak untuk sajian tetamu tu nanti? Aku ini datang seorang, beriya-iya makcik2 Yunus masak. Belum lapar, mulut sudah disuruh rasa itu. Belum habis di mulut, suruh pula makan ini. Kemudian aku fikir, mungkin nasi kenduri tu nanti banyak, mungkin juga untuk sajian tetamu itu nanti. Husnuzon sahajalah.

Jalan lurus di depan kampung separuh berturap dan separuh lagi hingga ke mana aku tak tahu, tidak berturap. Depan rumah datuk Yunus, jalannya sudah beturap untuk memudahkan kerja tuaian padi. Ada lampu jalan, ada yang milik sendiri dan ada dari kerajaan. Kampung datuk Yunus, kebanyakannya lampu adalah milik sendiri. Jalan ke kampung yang kami akan pergi tidak berturap dan lampu jalannya jauh-jauh dan agak usang. Kenderaan memang tak banyak, tak kira siang atau malam. Tambah2 waktu malam. Itu aku rasa kenapa jalannya tidak penuh berturap.

Semasa kami hendak keluar, datuk Yunus pesan supaya berhati-hati. Datuknya nampaknya gusar, tetapi tetamu jauh ini tidak dapat tidak, wajib disambut dan dilayan sebaiknya. Seperti aku ini juga, tetamu mereka. Dilayan seperti raja. Kami memulakan perjalanan dengan lafaz bismillah. Hati aku menjadi sedikit tidak tenteram kerana Yunus tidak seperti Yunus yang aku kenal. Dia lebih banyak berdiam. Tidak menyanyi seperti selalu kalau dapat motor. Sepatah ditanya, sepatah dijawab seperti ada sesuatu di dalam fikirannya.

Lebih kurang 15 minit, kami sampai. Kampung saudara datuk Yunus adalah seperti pulau, dikelilingi lautan sawah padi. Terang benderang kampungnya. Kendurinya tentu meriah. Mungkin sekampung ada di situ. Datuk saudara Yunus mengajak kami makan, tapi Yunus menolak atas alasan ada tetamu. Memang banyaklah nasi dan lauk kenduri yang sangat enak baunya terpaksa kami kendong bawa balik. Ada di dalam raga dan dua di tangan kiri dan kanan aku. Sudahlah berat, panas pula tu. Yunus dari tadi, senyap. Setelah memberi salam kepada pakciknya, kami pun naik ke motor dan meneruskan perjalanan pulang.

Sepanjang perjalanan, memang ada angin berhembus. Bagi aku biasalah, sawah padi. Tiada benteng yang menyekat angin. Datar dan landai. “Yunuih, aku ada buat salah ka? Kalau aku dah melanggaq adab, aku minta maaf na” kata aku cuba memulakan perbualan. Masa tu, hanya kami di jalan tidak berturap tu. Di belakang kampung datuk Yunus tu, ada bukit di belakangnya. “Ku, hang tak buat salah apa pun. Aku nak minta maaf kat hang. Aku rasa tak sedap hati sangat, tak tau pasai apa. Rasa macam ada benda elok nak jadi” kata Yunus. Berdebar juga hati aku. Selalunya, naluri Yunus tepat.

Kerana kami sampai pada jalan yang berturap dan ada lampu jalan, dari atas bukit belakang rumah2 kampung, kami nampak macam selembar kain hitam yang besar dan sangat panjang melayang dari atas bukit. Kain hitam itu terayak-ayak, seperti layang2 atas pepohon getah, kemudian hilang. Yunus bersuara “Ishh setan.. dia buat dahhh…” Kain hitam itu kemudian muncul di tepi sawah, melayang terapung-apung di atas pucuk padi yang menghijau. Kain hitam itu bergerak ke jalan dan berhenti merintangi jalan. Menghalang laluan kami. Apa yang aku boleh cerita, kain itu hitam legap, carik2 tapi tidak terkoyak atau berlubang. Telingaku sudah berdesing kuat, rasa macam nak tercabut gegendang telingaku. Sakit sangat.

Yunus berhentikan motor, menongkatnya dan suruh aku letakkan dulu makanan itu di atas tanah. Kami tiada pilihan, makanan banyak, seat motornya faham-fahamlah besar mana. Yunus sangat pantang kalau makanan diletakkan sama paras dengan kaki. Dia mengira2 zikir dengan jari seperti selalu aku lihat dia lakukan jika dia sudah tiada ada modal bercerita. Bacaan ayat suci Yunus mulakan untuk menghadapi cabaran kali ni. Aku sudah hilang punca, hanya bertinggung di sebalik motor. Yunus pandang aku dengan pandangan yang aku amat faham. Pandangan yang aku kena baca ayat Qursi dan berzikir sebanyaknya. Bukan untuk dia, tapi untuk perlindungan diriku sendiri.

Hembusan angin yang nyaman tadi bertukar keras. Yunus masih berdiri berhadapan dengan kain hitam yang pegun, terpacak di atas jalan. Makin lama, makin kuat hembusan angin dan menjadi semakin keras. Berterbangan debu menerpa mata, habuknya masuk ke dalam dua belah mata aku. Terasa sangat pedih. Puas aku cuba keluarkan apa saja yang masuk di mata mengikut petua orang dulu2. Tapi makin aku cuba, makin pedih mata aku. Lama2, pedih mata menjadi tidak tertahan dan aku sudah tidak boleh membuka mata lagi. Air mata berjujuran keluar dari mata, menahan pedih yang kurasakan seperti ada duri tajam yang mencucuk biji mata.

Aku hanya dapat mendengar Yunus mengalunkan ayat Quran dalam riuh bunyi angin, yang sekarang bunyinya sudah seperti ribut. Kemudian dengarlah Yunus hup hap hup hap tanda dia sudah membuka kuda kuda pertahanan diri. Tak lama, aku dengar “Allaahhhh..” kemudian bedebub benda jatuh tidak jauh dari aku. Rupanya yang jatuh itu Yunus. Jauh juga dia melayang jatuh, kerana masa dia tinggalkan aku berhadapan kain hitam tu, dia sudah dalam 10 langkah dari aku. Yunus jatuh melayang? Parah, itu fikiran aku.

Setahu aku, Yunus hanya jatuh apabila berlatih dengan datuknya. Kalau dengan budak2 silat yang lain, terajanglah, tendanglah, Yunus tak pernah jatuh. Rasa nak terkencing pun ada, maknanya lawan Yunus kali ni bukan calang2. Aku rasa sangat tidak berdaya dan tidak berguna. Tidak dapat membantu sahabatku yang dalam kesusahan sekarang. Aku hanya dapat mendengar angin yang menggila. Takut juga aku, motor yang ku pegang untuk sokongan bergoyang2 dirempuh angin yang entah darimana datangnya. Aku hanya dapat meneruskan bacaanku yang sudah tunggang langgang. Nak melihat pun, aku tak mampu apatah lagi untuk menolong.

Aku dengar Yunus tepuk jalan 3 kali dan bunyi dia bangun dan kembali menguatkan kuda2 silatnya. Sekonyong-konyong, dalam angin ribut yang menggila itu, aku terbau wangi. Mula2 tidak kuat, makin lama, bau wangi itu semakin kuat. Dan, aku dengar Yunus seperti bercakap dengan seseorang. Kemudian aku dengar Yunus membaca surah-surah Quran dan dengarlah hup hap hup hap tanda buah silatnya sudah dibuka.

Dalam 15 minit juga aku bertinggung belakang motorsikal dengan mata terpejam. Air mata tak berhenti mengair. Pedih mata aku sangat kuat ditambah dengan desingan di telinga. Macam-macam perkara buruk berlegar di kepala. Macam mana kalau nanti aku buta. Apa jadi kalau aku buta dan pekak .. nauzubillah… sakit kedua-duanya membuatkan aku tumbang. Rasa macam kepala nak pecah masa tu. Pusaran angin bersama bau wangi masih kuat di depan aku. Aku sudah tidak dapat mendengar. Hanya desingan kuat yang memekakkan telinga. Suara Yunus pun aku sudah tidak dapat dengar. Dan untuk pertama kali dalam hidup, aku pengsan.

Aku hanya sedar bila Yunus sapukan air ke muka. Mesti air dari tali air. Bila aku buka mata, keadaan dah jadi seperti sediakala. Yunus cemas memandang aku, meminta maaf berulang kali. Aku pandang sekeliling dan dalam kekeliruan tu, aku terpandang sosok seorang lelaki yang sangat tampan berdiri tidak jauh dari motor. Kulitnya cerah, keningnya tebal, hidung mancung terletak dan berjanggut pendek. Berbaju putih dan tersenyum memandang aku. Beberapa saat sahaja, dan bila aku buka mata, lelaki itu sudah tiada di situ dan bau wangi tadi juga beransur2 hilang.

Pedih mata aku masih terasa dan kepalaku sedikit pening membuatkan aku mual, rasa nak muntah. Yunus tepuk belakang aku 3 kali baca satu ayat dari surah Yasiin ke telinga aku. Rasa sedikit lega dan rasa pedih dan pening juga sedikit demi sedikit beransur hilang. “Buleh mangkit dak Ku? Maaflah, nampaknya depa tak dapat mai bawak van. Kita balik pelan2 na…” kata Yunus memapah aku bangun. Bungkusan lauk kenduri sudah ada di dalam raga motor dan ada yang tergantung di handle. Aku bangun mengikut Yunus dan aku nampak dua2 sikunya berdarah. Berjaya juga makhluk tu melukakan Yunus. Simpang nak masuk ke rumah datuk Yunus tidak begitu jauh.

Kami sampai di rumah. Terang benderang di atas. Sudah jadi kelaziman, kami masuk melalui dapur. Memang terdengar suara bersembang di atas serambi. Nenek Yunus menyambut kami, menyusun lauk kenduri atas meja dan memeluk Yunus. “Tok, malu lah. Ku ada” kata Yunus yang pura2 meronta dari pelukan neneknya. “Malu konon, masa kecik dulu tok yang..” Yunus memintas cakap neneknya “Sudah sudah sudah… kita cakap pasai benda lain. Tok, tengok ni” kata Yunus keluarkan satu benda panjang lebih sejengkal berwarna kekuningan. Berkilat kilat dan di hujung ada warna coklat kehitaman. Tersengih2 Yunus macam budak kena puji.

Neneknya mengangkat ibu jari tanda bagus. “Tok nak minta maaf na, Ku. Tak sangka nak jadi sampai macam ni” kata neneknya sayu memandang aku. Aku hanya senyum kelat. “Tak pa la tok, mujoq pengsan. Tak tengok apa yang Yunuih kena hadap” kataku sambil memandang Yunus yang tersengih2 membelek hadiah pemberian “kawannya’ itu. Itulah duri landak yang aku ceritakan dulu. Bunyi sembang2 di atas sudah tidak kedengaran apabila aku dan Yunus mencuci tangan. Hajat nak menolong nenek Yunus siapkan meja, boleh makan.

Datuk Yunus turun ke dapur, diikuti dua pakciknya, tersenyum-senyum pada aku. Neneknya menyuruh mereka makan sekali, tapi dua pakciknya berkata mereka ada kerja yang harus disiapkan. Bungkusan makanan nasi dan lauk kenduri itu memang banyak, dan mereka bawa balik ke rumah masing2. Tinggalah kami berempat di meja makan. Yunus duduk di tepi datuknya. Tersenyum-senyum datuknya menepuk-nepuk bahu cucu kesayangannya. Dia juga membelek duri landak yang Yunus terima dari kawannya, dan memeluk Yunus. Dia datang pada aku, mengusap rambut aku dan kata “Hang pun bertuah, Ku. Dapat tengok kawan Yunus” sambil tersenyum padaku

Bersambung….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 9 Average: 5]

14 thoughts on “Yunus – Duri Landak”

  1. Assalamualaikum …Bro Ku …
    Hebat ..kisah ini …
    Laku keras jika buat buku tebal …
    Jual di facebook dan lain2 media …
    Terbaik ..karya …
    Terus maju …
    Kita kekurangan kisah gern kisah benar,seram,pertarungan dan pertualang di pasaran Melayu sekarang …
    Semoga keluar bukunya ..
    Hot macam Karya Srikandi …sejarah Melayu Tua era Funan dan Sailendera gitu …

    Reply
  2. Salah seorang penulis yang menulis dengan gaya yang amat mudah difahami dan tersusun, selalunya penceritaan Pak Engku sering di luar dari kotak norma rangka cerita yang biasa, dan plot ending cerita beliau juga banyak membuat pembaca kejutan dan teruja dalam masa yang sama.

    p/s: Pls sambung secepat mungkin Pak Engku

    Reply
  3. pak engku punya cerita memang terbaik! sama macam cerita penulis syafiq fathi…kemanakah hilangnya syafiq fathi?oooo syafiq fathi aku merindui cerita seram mu..

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.