Assalamualaikum,
Meriah juga cerita-cerita yang bagus di sini, Tahniah kepada penulis-penulis yang berkongsi cerita. Suka aku membacanya. Kisah-kisah Yunus untuk dibukukan dalam proses suntingan. Kalau sambutannya meriah, ada lagi buku kisah Yunus yang sangat ingin aku terbitkan. Tidak akan berhenti pada satu buku sahaja, jika ada rezeki, aku mahu terbitkan 6 buku Kisah Yunus ini….
Moh le baca cerita aku ni, khas kepada mereka yang sukakan tulisan Pak Engku.
Kisah ini adalah kisah perkenalan antara aku dan Yunus. Pertama kali mata aku sendiri menyaksikan keberanian budak bertubuh gempal bernama Yunus. Aku baru berpindah dari negara dingin bersalji ke Pulau Pinang yang panas berdenting, tahu-tahu aku sudah masuk sekolah menengah. Waktu itu, Yunus masih bersekolah di sini sebelum menyambung pelajaran agamanya di kampung datuknya.
Petang itu giliran rumah kuning ke padang sekolah untuk acara pemilihan wakil rumah untuk sukan tahunan sekolah. Aku turun ke padang untuk acara pecut. Yunus, budak tingkatan satu, turun ke padang sebagai calon untuk acara melontar peluru. Awal tahun 80-an, daerah barat daya di Pulau Pinang masih “dara”, hijau dan hampir tiada pembangunan, tidak seperti sekarang.
Di tepi padang sekolah kami yang berpagar, ada bekas lombong pasir, yang juga sangat luas, dan di hujungnya adalah sungai. Pasirnya putih seperti gula dan di situ, tumbuh beberapa pokok gajus. Ada dua bekas binaan tinggalan tentera Jepun yang menghidangkan banyak kisah seram. Kalau ada masa, aku akan tulis kisah aku dan emakku di situ mencari pokok rempah. Kami tak jumpa jalan pulang malah sesat sampai ke sungai. Di seberang jalan berhadapan sekolah, terbentang hutan getah yang tidak diusahakan, dan di tepinya adalah sebuah lagi bekas lombong pasir. Hutan getah itu sampai sekarang masih ada, sudah dipagar tetapi tiada pembangunan atau penambahbaikkan.
Ada 2 buah rumah kakitangan sekolah berhadapan sekolah seberang jalan dan tidak jauh dari situ, ada sebuah bangunan bertiang, bangunan kolonial tinggalan British. Aku selalu ke bekas lombong pasir berhadapan sekolah kerana pemandangannya yang cantik. Ada dua buah kolam yang penuh berair seperti kawah gunung berapi, dan di situ aku suka duduk menyaksikan pemandangan ciptaan Tuhan yang sangat indah. Di belakang lombong pasir itu adalah kampung tradisional Melayu yang kebanyakan rumahnya masih bertiang dan dibuat dari kayu sepenuhnya. Tiada perasaan takut aku di situ sendirian walaupun aku sering mendengar cerita seram dari kawan-kawan sekelas tentang lombong pasir itu.
Semasa berkumpul, aku terpandang seorang budak gempal yang selalu tersengih memandang aku. Aku abaikan sahaja, berkumpul dengan rakan sekelas dan yang sama tingkatan dengan aku. Ke mana saja aku pergi dan jika aku terpandang budak itu, aku akan dihadiahkannya dengan sengihannya yang bersahaja. Gilakah budak ini? Apa penyakitnya? bisik hatiku. Tapi, dia sering saja dikelilingi dengan kawan-kawannya, nampak seperti sangat popular. Selepas aku selesai acara pilihan aku, aku ke bawah bumbung tempat letak basikal untuk berteduh kerana hari sangat panas. Budak itu menghampiri aku dan di situlah aku mula mengenalinya.
Namanya Yunus, tinggal dengan dengan datuk saudaranya di hujung kampung, tidak jauh dari rumah emak aku. Yatim piatu, dia dibesarkan di Kedah oleh datuk saudaranya yang sulung dan atas pilihannya, dia mahu bersekolah di Pulau Pinang. Kerana kami memakai t-shirt pasukan berlengan pendek, aku perasan ada satu persamaan antara kami di bawah siku. Persamaan itu tiada pada orang lain. Aku bertanya Yunus, kenapa suka memandang aku dan tersengih. Dengan selamba dia menjawab, dia tertarik dengan 3 “orang” yang mengikut aku. Tiga orang semuanya, tapi Yunus enggan memberi butiran “orang” yang dikatakannya itu.
“Hang ni, kalau nak muhong (bohong), tengok oranglah. Mana ada orang dok ikut aku” sanggah aku, marah dengan tuduhan itu. “Muhong aku dapat apa?” segera ditingkah Yunus. “Tu depa dok belakang hang. Depa dok senyum ja kat aku” kata Yunus selamba. “Hang ni gila!” kata aku lantas lari mendapatkan kawan-kawan aku yang telah selesai dalam acara mereka. Menyampah betul aku dengan Yunus. Kenal pun tidak, pandai-pandai saja mulut dia nak menuduh itu ini. Aku ada 2 lagi acara pecut untuk pemilihan. Panas terik hari itu, memaksa aku mencari pokok untuk berteduh. Mujurlah keliling padang banyak ditanam pokok “sakura”, berbunga merah jambu dan bergugus-gugus.
Leka aku menenguk minuman, datang lagi Yunus tersengih-sengih. “Hang mau apa?” kataku menyampah tengok mukanya. Sengaja nak naikkan d***h aku ni budak ni. Bagi penumbuk sebiji, baru kau tahu siapa aku. “Yunuih!” tegur budak-budak yang lalu. Yunus mengangkat tangan sambil tersengih. “Dak aih, sungguh. Tak dak sebab aku nak muhong hang” katanya. Rumah hang situ kan?” katanya selamba sambil menunjukkan rumah aku yang sangat dekat dengan sekolah. “Hang suka pi lombong tu kan?” katanya acuh tak acuh memandang ke padang. Naik d***h aku, sampai ke lombong pun dia tahu, ini sudah melampau. “Ha, pasai apa kalau aku suka pi situ?” kata aku yang mula hilang sabar. “Aku nasihatkan hang, tok sah pi sangat situ sorang-sorang. Ada benda situ, benda tak baik” katanya memandang aku. Baru aku teringat, salah seorang budak tingkatan 5 hilang berhari-hari kerana melalui lombong itu sebagai jalan pintas untuk pulang ke rumahnya di kampung sebelah sana.
Nama aku dipanggil untuk acara seterusnya. Aku segera meninggalkan Yunus dengan perasaan yang bercampur. Tak dapat aku nafi, makin lama pandang Yunus, semakin aku ingin kenal dia. Tapi, bila ingat dia macam menyibuk, meluat pula rasanya. Selepas habis acara saringan, aku ke surau untuk solat. Di dalam ruang solat, aku nampak Yunus sedang mengimamkan solat Asar. Beberapa orang cikgu menjadi makmum dan ruang solat penuh. Terpaksalah menunggu sehingga habis. Taranum Yunus sangat merdu, membuat aku asyik dan tercegat di pintu masuk. Hebat juga budak gemuk ni, fikir aku. Selesai solat, pengumuman dibuat, acara saringan terakhir aku akan dilanjutkan pada hari yang akan diumumkan nanti.
Aku hampa juga kerana itu acara kegemaran aku, 4 x 100 meter lagi berganti. Rumah biru ada pasukan yang hebat, dan saingan terdekatnya ialah kami rumah kuning. Tak apalah, kalau ada rezeki, adalah nanti. Aku mencapai basikal dan hati aku bagai digaru-garu untuk duduk di bawah pokok cenerai tepi kolam itu. Tempat kegemaran aku. Sedang asyik mengayuh, di belakang, aku nampak Yunus di atas basikalnya di belakang aku. “Wei, tunggu la sat!” laungnya. Dia lagi, kataku dalam hati. Tapi, taranumnya tadi itu sangat menarik hati aku. Aku perlahankan kayuhan, dan masuk ke lorong bekas lori pasir diletakkan. Mendaki sedikit, aku pun masuk ke bawah pokok cenerai dan duduk bersila.
Kemudian, Yunus pun sampai tersengih-sengih. “Padanlah hang suka mai sini. Ada tempat rahsia” kata Yunus lalu duduk di tepi aku. Sunyi sekejap kerana kami berdua sedang menikmati keindahan petang. Langit yang biru berawan putih, banjaran bukit beralun warnanya nun di sana. Pohon kelapa yang sangat banyak terbuai-buai ditiup angin. Pasir yang putih dilapisi dengan semak menghijau dan pokok-pokok yang tumbuh meliar sangat mengkhayalkan pandangan. “Syok sini, angin asyik bertiup. Nyaman” kata Yunus membersihkan tempat di belakangnya lalu berbaring.
Aku tetap duduk melihat keindahan tempat itu. Di dalam kolam, ikan-ikan kecil yang kami panggil ikan semilai (tak tahu negeri lain panggil apa) berenang bebas. Telur katak juga bertali, berjuntai-juntaian. Pencakar air banyak, hidup harmoni di situ. Kolam-kolam itu penuh dengan pokok telipuk dan pokok air yang lain. Kuasa Allah, dari mana datang binatang dan pokok air dalam kolam itu, hanya dalam pengetahuanNya sahaja. Jadi asyik melihatnya. Cuma yang tidak sedap, di situ, nyamuknya agak banyak. Burung dan unggas juga menyanyi, melengkapkan suasana yang cukup asyik.
“Hang terer noh baca Quran. Sedap hang baca tadi” kata aku, masih tidak puas memandang keindahan tempat itu. “Tok ayah aku yang ajaq. Dia guru silat, ajaq juga budak mengaji. Chengey (garang) weh tok ayah aku” kata Yunus bangga. “Jadi, hang pun pandai la bersilat?” kataku mengumpan. “Buleh la sikit-sikit” kata Yunus merendah diri. Di negeri orang putih, manalah ada silat bagai. Mujur ayahku sangat “Melayu”, sangat bangga menjadi bangsa Melayu. Sangat marah kalau kami disangka orang Filipina atau Vietnam oleh orang putih di sana. Pendek kata, semua tentang dunia Melayu, ayah aku sudah tunjukkan pada aku termasuklah keris dan silat. Di sana, kami bercakap bahasa Pulau Pinang tidak kira tempat. Jangan nanti, balik ke tanah air sendiri, jakun tak bertempat.
Tiba-tiba Yunus bingkas bangun. Dia meletakkan jarinya di bibir menyuruh aku diam. Kemudian, dia duduk bertafakur, memejamkan matanya sambil mulutnya terkumat kamit. Hampir 3 minit duduk bertafakur, Yunus berbisik “Wei, aku nak pi hambat (kejar) dia, kalau hang takut hang buleh pi balik, jangan tunggu”. Aku terkedu, kau nak kejar apa Yunus? Biawak? Monyet memang haram tak ada walaupun seekor dalam hutan getah tu. Belum lagi sempat aku buka mulut, Yunus sudah meluru ke depan, menuruni timbunan pasir dan mula berlari ke arah kolam yang satu lagi. Dalam hati, aku tersangat ingin tahu apa yang Yunus hendak kejar.
Entah apa yang aku fikirkan, aku mula berlari mengikut Yunus dari belakang. Tak padan dengan gempal, laju juga larinya. Tapi, main dengan aku yang memang pelari sekolah, tak jauh Yunus dapat tinggalkan aku. Yunus berlari ke hadapan melintasi kolam, melompat parit yang penuh airnya, kemudian masuk ke dalam hutan getah. Keadaan jadi samar kerana hutan getah itu tidak dijaga. Semak samun dan dahan patah merata. Dalam hati teruja juga, binatang apakah yang Yunus idamkan sampai masuk ke dalam hutan begini.
“Hang nak lari manaa… hang nak lari mana..” kata Yunus sambil berlari mengejar benda yang tidak dapat aku lihat. Berbaris-baris pokok getah tua kami lewati, aku rasa mungkin sudah sampai ke tengah perut hutan getah itu. Keadaan sunyi sepi, dan suram, agak gelap kerana pokok getah yang tua, jangkauan dahannya luas, menutup cahaya matahari. Dari jauh, aku nampak sebuah pondok usang yang sudah hampir roboh. Pondok itu diapit dengan dua pokok besar, tapi bukan pokok getah. Dulu, sekeliling pondok itu ditarah tanahnya. Tiada rumput atau semak belukar, hanya daun-daun kering dan ranting kayu berselerakan. Tanahnya kering dan keras.
Sampai sahaja depan pondok, Yunus berhenti. Aku di belakang Yunus, melihat sekeliling. Kawasan sekeliling pondok itu tiada pokok lain, kecuali dua pokok yang mengapit pondok itu. Tiba-tiba, dari dalam pondok, aku mendengar seperti ada benda berat yang jatuh. Kecut hatiku, terperanjat sehingga hampir hendak melatah. Dalam samar-samar itu, aku tidak dapat melihat benda apa yang jatuh. Tak lama, dengarlah ngilaian halus dari atas pokok. Hilaian itu bagai ketawa yang mengejek atau hendak menakutkan kami. Aku mengaku, aku memang takut waktu itu. Nak berpatah balik, memang mencari nahas kerana aku tidak tahu arah mana hendak keluar. Sekelilingnya pokok getah, suram dan gelap suasananya. Aku rasa, hari sudah menjelang lewat petang, tak lama lagi senja akan berlabuh.
“Hang turun! Aku tak takut kat hang. Kalau hang anak jantan, hang turun!!” laung Yunus sambil memandang ke atas dahan pokok. Tiba-tiba seluruh pokok bergoncang kuat, diiringi dengan hilaian yang lebih jelas daripada tadi. “Hihihihihihi…” panjang dan halus ngilaian yang datang dari pokok yang sedang hebat bergoncang. Aku bertambah kecut perut, menyesal atas kebodohan sendiri. Tidak mengikut akal tadi. Badan menggeletar dan jantung berdegup kencang. “Ketegaq ya! Nanti sat hang” laung Yunus, kali ini jarinya mula membilang sesuatu. Ditiupnya ke atas. Hilaian di atas pokok yang bergoncang itu menjadi semakin kuat. Tak lama, dengarlah bunyi seperti orang terjun dari pokok itu dan lari ke belakang pondok.
“Celaka!! Hang nak main ngan aku nohh!” kata Yunus sambil berlari ke belakang pondok dan terus masuk ke barisan pokok-pokok getah tua. Aku di belakang Yunus, antara takut dan menyesal. Aku tidak ada pilihan selain mengikut larian Yunus mengejar makhluk halus yang aku tidak nampak. Di depan kami, kadang-kadang nampak bayangan makhluk seperti sedang merangkak laju, berwarna kelabu kehitaman. Sekejap-sekejap sahaja aku nampak, mahkluk itu selalu lenyap di balik pokok dan menjelma di barisan pokok di hadapan. Segala semak belukar makhluk itu tembus, semaknya tidak pun bergoyang. Kejar-punya kejar, dari jauh nampak cahaya matahari, menandakan kami sudah sampai di sempadan pokok-pokok getah.
Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi orang terjun ke dalam parit. Beralun air parit yang agak besar. Sampai sahaja kami di gigi parit, terdengar suara tangisan bayi yang nyaring. Bergema-gema dan beralun-alun bunyinya, dari kiri dan kanan kami. Angin yang sepoi-sepoi bahasa kini menjadi kuat, seperti hendak melayang rasa. Yunus sudah bersila, membaca doa dan kemudian bangun membuka kuda-kuda silat. Itulah pertama kali, di depan mata, aku melihat orang bersilat. Langkah Yunus cantik disusun, sekali sekala dia menepis dan menendang. Sesuatu yang aneh, aku tidak berasa takut atau seram. Tiada lagi degupan jantung yang kencang.
Lebih kurang 10 minit juga Yunus bersilat. Matahari semakin condong di ufuk barat, menghadiahkan lembayung berwarna merah kesumba dan jingga. Aku lebih asyik melihat langkah silat Yunus, kemas dan keras berbisa. Tak lama selepas itu, aku lihat Yunus menangkis “pukulan” dan membalas dengan tendangan yang jitu. Yunus melompat, lutut kirinya di atas tanah, seolah sedang menindih sesuatu. Angin yang kuat tadi bertambah kuat. Bunyinya seakan bunyi ribut. Yunus membaca sesuatu ke atas tapak kanannya, diludahnya 3 kali ke kiri dan melaung “Allahu Akbar!!”. Seraya itu, angin yang kencang tadi menjadi semakin lemah.
“Hang memang nak kacau kawan aku kan? Baik hang cakap sebelum semua tulang hang aku patahkan!” kata Yunus, masih lagi dalam kedudukan sama. Lutut kirinya kadang-kadang digerakkan, seolah mengisar tempat yang ditindihnya. “Dia tak buat salah kat hang, Budak tu pun tak buat salah kat hang. Depa (mereka) tak jentik hang pun!!” jerkah Yunus. “Ahhh.. syaitan, ada saja alasan. Sampai kiamat pun aku tak percaya!” kata Yunus. Berpeluh aku melihat adegan itu, adegan seram atau mistik pertama dalam hidup aku, setelah 15 tahun bernyawa. “Aku pasung hang di sini. Kalau aku nampak, kalau aku dengaq, kalau aku dapat tau hang kacau kawan aku, nahas hang. Tak berguna dah hang jadi syaitan!’ kata Yunus.
Yunus membaca surah yang agak panjang. Habis satu surah, ditiupnya ke tanah. Beberapa kali juga Yunus berbuat demikian. Kemudian, dengan mata kepala aku, aku nampak lutut Yunus seperti berasap. Asapnya tidaklah keluar berkepul-kepul, tapi, seolah asap dari rokok yang dibiarkan, begitulah yang aku dapat gambarkan. Meliuk-liuk asap itu dibawa angin. Selesai, Yunus duduk, berdoa dan bangun dan melaungkan azan. Sedap suaranya melaung azan, lazat di telinga bunyinya. Sesudah itu, dia berpaling dan bertanya “Wei, hang tak apa-apa ka?” Aku tidak dapat menjawab, terkesima dengan adegan di pondok, dan sekarang adegan lutut Yunus berasap. Aku hanya mengangguk, masih lagi bingung, sedikit takut, tapi aku tak nafi, aku jadi teruja.
“Berani hang nohh” kata Yunus. “Jom balik weh. Nyamuk banyak. Kalau dan (sempat), jom kita pi sembahyang kat masjid. Nanti aku cerita” kata Yunus mula berlari ke basikal. Jauh juga kami berlari. Senja makin menunjukkan rupa, aku takut tak sempat ke masjid. Tapi Alhamdulillah, aku sempat mandi dan semasa menyorong basikal dari bawah rumah, Yunus sudah menunggu di jalan dengan basikalnya, lengkap berbaju Melayu dengan kopiah putih, menghadiahkan sengihannya yang sekarang cukup aku rindukan. Kami lalu di depan lombong pasir tinggal itu, di kepala, sarat kisah yang baru saja berlaku tadi.
Nak bersambung ke tak?
Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit
Sambung naaaa… X sabaq tggu buku.
Assalam ..Pak Engku ..
nak sambung terus …
Terbaik …
Opkosla nak…lagi2…hahahah
harap dapat bersambung… tak sabar nak tggu 6 siri cerita yunus, beritahu kalau semuanya dah siap dicetak.
Salam, hebat pengalaman Pak engku dengan Yunus dan tak sabar nak tunggu buku diterbitkan.. Maaf pak engku nak tanya, bacaan bertaranum yunus waktu asar tu yunus baca kuat ke?
Semakin menarik cerita anda ni, macam menonton di kaca TV, penuh dengan teliti dari segi penceritaan dan bahasa yang anda gunakan. Tolong percepatkan sambungan cerita ni ya, Pak Engku.
Sambung lagi……. Leka pulak baca cerita nih 😂. Mantap Pak Engku 👍🏻
Assamualaikum Tuan. Selama ini cuma menjadi silent reader. Peyampaian jalan cerita yang baik. Tak sabar menunggu sambungan kisah seterusnya.
Sambung.
Terima kasih. 😊
sambung la lagi…… 🙂
Sambung lagi 🙂
Assalamualaikum.
Bagaimana nak berhubung dengan Pak Engku?
Mantap Pak Engku
👍👍👍👍
Release semua buku pleaseeee..rasa nak tahu tu membuak2 tambah lagi bila kata datuk yunus melutut..ya Allah i cannot handle my curiosity 😭
Cerita menarik tapi fakta kena perhalusi lagi. Contoh: Yunus imamkan solat Zohor atau Asar takkan la ada tarannum. Solat zohor/asar imam baca secara sir (perlahan) jadi xde tarannum kedengaran.
Assalam Pak Engku,
Buku tajuk apa..? Saya nak beli..
Tkasih
Xdk FB ke,nti senang nk Tau buku dh de 😻
Salam
Pak engku…lani lombong tu dah jd sek rendah dan kompleks sukan kan…sberang sungai dah jd ipt kan…mcm sekampung ja ni