Assalamualaikum warga FS. Ini sekadar cerita untuk hiburan jiwa. Mohon maaf sekiranya penyampaian agak kurang baik.
***************
Tahun 1500
IYA BAMBAN IYA LUKAH
UTAK BAMBAN IBA SARI,
MAIN DENGAN SIPAR MUDA,
SILUKAH PANDAI MENARI
Awang Damit terjaga dari pengsan. Perit di mata memaksanya memejamkan kembali matanya. Walaupun begitu, bait-bait lagu itu tetap berdendang di mindanya tanpa dipinta.
“Damit, sadar (sedar) kau sudah, nak?” Awang Damit tersentak sekejap mendengar suara itu. Suara ibukah? Awang Damit menarik nafas dalam-dalam. Bukan saja mata, malah tubuhnya juga pedih dan sakit. Akhirnya, Awang Damit berjaya membuka mata. Pandangannya agak kabur pada mulanya, perlahan-lahan fokus pada satu wajah.
“Duyah?” Seru Awang Damit. Dayang Sari, ibu Awang Damit mengeluh sebentar. Terbit sebutir air mata, namun cepat-cepat dikesatnya. Cukuplah tiga hari dia menangis bila mendapat tahu anak-anaknya Awang Basar dan Awang Damit hilang di laut. Awang Damit, ditemui di pesisir pantai tidak jauh dari perkampungan tiga hari selepas itu. Manakala, Dayang Sari redha jika Awang Basar tidak ditemui. Adalah mustahil orang yang hilang di laut akan kembali lebih dari tiga hari.
“Berehat dulu, nak.” Dayang Sari mengusap dahi anaknya.
“IYA BAMBAN IYA LUKAH
UTAK BAMBAN IBA SARI,
MAIN DENGAN SIPAR MUDA,
SILUKAH PANDAI MENARI”
Awang Damit mengalun lagu itu tanpa sedar. Dayang Sari menarik nafas. Sepanjang dirawat, Awang Damit meracau hanya mengalun bait lagu itu. Dayang Sari bangkit, ingin mengambil bubur ubi untuk Awang Damit.
“Ibu.” Langkah Dayang Sari terhenti. Dia mendekati anaknya. “Ibu.. aku di rumah kitani (kita) kah?”
Dayang Sari mengangguk seraya senyum meskipun sayu. “Aku lapar, ibu.” Dayang Sari mengangguk lagi lalu bangkit berjalan menuju ke dapur.
*********
Tiga hari sebelumnya.
“Usah dipaksa jang. Perlahan-lahan.” Kedengaran suara wanita dengan bahasa Kedayan yang agak ganjil bunyinya. Awang Damit menarik nafas dalam-dalam. Bukan saja mata, malah tubuhnya juga pedih dan sakit. Akhirnya, Awang Damit berjaya membuka mata. Pandangannya agak kabur pada mulanya, perlahan-lahan fokus pada satu wajah.
Terdapat senyuman pada wajah indah itu. “Yama…” Wanita itu menyeru seseorang di belakangnya. Kelihatan seorang lelaki berumur pertengahan 30an mendekat.
“Engkau, berehat dulu. Nanti Duyah bagi engkau makan sikit, ya.” Kata si lelaki itu. “Aku Alak, bapa kepada Duyah.” Alak mengunjuk kepada wanita tadi.
Sedarlah Awang Damit bahawa dia berada jauh sekali dari kamoung halaman. Dialek Duyah dan Alak menyakinkannya. Lagi pula nama-nama seperti Duyah dan Alak, lazim diguna oleh bangsa Bisaya. Begitu juga panggilan yama, bermaksud ayah dalam bahasa Bisaya. Persoalannya, bagaimana dia boleh berada di situ.
****************
Imbas kembali
“Damit! Kita mulih (balik) saja. Ini, ikannya nampak tapi dijala seekor pun tidak terjerat.” Rungut si Awang
Basar.
Awang Damit diam memerhatikan ulah abangnya. Abangnya, tidak padan dengan namanya Basar yang bermaksud besar, cuma paras telinganya saja. Badan pun keding. Berbeza dengan Awang Damit, adiknya yang bertubuh tinggi dan besar meskipun namanya bermaksud kecil.
“Kita cuba lagi, bang. Kalau kosong juga bila matahari beralih, kita baliklah.” Sahut Awang Damit.
“Usah lama tunggu, Damit. Ini kerja hantu gegalas. Mana masuk akal ikan tidak dapat dijala. Tu nah, dari tadi berenang sana sini. Bukan tidak ada ikannya.” Awang Basar meningkah, emosinya dihasut rasa tidak sabar dan putus asa.
Awang Damit mengeluh. Begitulah perangai Awang Basar. “Bang, reseki itu Allah yang bagi. Apa pula disebut-sebut hantu gegalas. Apa abang tidak percaya dengan rezeki Allah?”
Awang Basar terdiam. Dia mengakui silapnya dalam diam lalu beristighfar.
Suasana yang tenang dan panas terik berubah wajah. Sekelip mata, awan mendung berkumpul menyelubungi perahu Awang Damit dan Awang Basar. Mereka sudah berasa cuak dengan perubahan yang tiba-tiba itu. Angin mula bertiup kencang di persekitaran perahu mereka. Anehnya, angin itu cuma berputar di situ saja. Awang Damit perasan, kocak air laut di bawah perahu menampakkan bayangan hitam yang mengelilingi perahu mereka.
“Abang! Cepat kita kayuh!”
Perahu mulai berpusing-pusing. Awang Basar dan Awang Damit berpaut erat pada pinggir perahu. Jauh di dalam hati Awang Basar, timbul penyesalan kerana menyebut nama hantu gegalas tadi. Bukankah orang tua kata, usah disebut-sebut nanti dia muncul. Disebut-sebut seolah-olah menyeru dia datang.
Air laut berkocak kuat. Bayangan hitam tadi muncul dengan gah di permukaan laut. Dengan menyeringai, mahkluk luar biasa besar itu memandang Awang Basar dan Awang Damit.
“Manusia! Mahkluk lemah! Engkau berdua, jangan gusar. Aku akan lepaskan kamu. Dengan syarat, sembah aku!” Bergema suara mahkluk itu sehingga menyakitkan gegendang telinga Awang Basar dan Awang Damit.
Awang Basar, dengan suara yang menggeletar menjawab. Tidak mampu dinafikan, hatinya takut dan gerun berhadapan dengan mahkluk yang hitam, besar dan tinggi di tengah lautan. “Engkau, mahkluk dilaknat Allah. Pergi. Kami cuma hendak menjala ikan.”
Mahkluk itu menyeringai lagi. Kali ini, ia menampakkan ekornya. Dengan sekali libas, perahu Awang Basar dan Awang Damit pecah. Mereka berdua terpelanting ke dalam laut. Awang Damit yang sempat berpaut pada kepingan perahu pecah segera mencari abangnya. Pencariannya terbantut dengan hilai tawa si mahkluk tentera syaitan.
“Dia, sudah aku lumatkan di dasar laut. Sekarang m**i hidupmu juga di tangan aku. Jawab sekarang! Engkau ingin menyembah aku atau tidak?”
“M**i hidup aku kerana Allah!” Awang Damit bersuara keras lalu melaungkan azan. Azan tidak berkumandang lama kerana gelodak air laut yang ganas. Awang Damit menelan air laut sudah tidak terkira banyaknya. Tubuhnya sekejap ditelan laut, sekejap dilambung laut. Pautan Awang Damit semakin lemah dan akhirnya terlepas dari kepingan papan perahu.
Dengan izin Allah, tubuhnya hanyut di lautan sehingga ke pesisir pantai perkampungan kaum Bisaya nun beribu batu jauh dari negeri asalnya. Umurnya masih panjang meskipun ketika ditemui oleh anak ketua kampung dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
***********
Sudah tiga purnama Awang Damit berada di perkampungan itu. Walau mulanya dia kehairanan kerana tidak pernah tahu bahawa kaum ini masih ada yang menyembah alam. Setahunya kaum ini beragama Islam bila pemimpin mereka Awang Alak Betatar memeluk Islam. Awang Alak Betatar pula menukar namanya kepada Sultan Mohamad Shah kemudiannya.
Namun, Awang Damit diamkan saja perkara itu. Itu kerana layanan mereka amat baik terhadapnya. Dua purnama dia terpaksa bergantung harap dengan orang kampung kerana kecederaan tubuh yang berat. Lebih-lebih lagi Alak dan Duyah, sudah menganggap Awang Damit seperti ahli keluarga. Baharu itulah dia sudah mampu berdikari dan mengurus diri. Bah, dia membantu Alak menjala ikan serta membantu Duyah menyalai ikan yang diperolehi.
Teringatkan Duyah, jiwa Awang Damit bergetar. Jiwa remajanya terusik. Itu perkara biasa bagi remaj a yang baru menginjak akhir belasan tahun. Duyah yang cantik dan lembut. Anak perawan Alak yang juga hampir sama umurnya dengan Awang Damit.
Walaupun begitu, Awang Damit tidak ingin melayan perasaannya. Awang Damit dan Duyah berbeza kepercayaan. Awang Damit percaya, Alak dan orang kampung tidak akan menerimanya. Duyah juga belum tentu terbuka hati untuk menukar pegangan nenek moyangnya.
Namun, Awang Damit dalam dilema sekarang. Dua malam sebelum, Duyah menemuinya dan memberi pengakuan yang tidak disangka.
“Damit, aku tahu engkau punya perasaan kepadaku. Aku sanggup menyembah Tuhanmu, asal saja engkau membawa aku pergi. Malam ketiga nanti aku menunggu keputusanmu.”
Padat dan ringkas saja pertemuan itu. Perbualan sehala saja. Belum sempat Awang Damit menghadam kata-kata Duyah, dia sudahpun pergi meninggalkan Awang Damit termangu sendirian.
Malam ini sudah malam ketiga. Awang Damit gelisah. Sudah dua malam tidak lena. Jiwanya kacau. Antara cinta dan budi. Mana mungkin dia hendak mengkhianat Alak. Tetapi tidakkah dia sepatutnya gembira dan terbuka dengan pengakuan Duyah. Cuma, kenapa tiba-tiba? Itulah persoalannya.
“Ehem..” Deheman Duyah mengejutkan Awang Damit. “Bagaimana Damit? Bila kita akan berangkat ke kampungmu? Perahu sudah aku sediakan.”
Terkejut bukan kepalang Awang Damit. “Kenapa, Duyah? Engkau sebenarnya mengapa? Aku belum ada kata putus.”
Giliran Duyah pula berubah riak muka. “Engkau tidak sukakah dengan aku, Damit? Apakah itu cuma perasaan aku?”
“Aku… aku suka dengan engkau, Duyah. Cuma..” Kata-kata Awang Damit d******g Duyah dengan pantas.
“Cuma kenapa? Jadi apa masalahnya?” Duyah mulai menangis. Awang Damit semakin serba salah.
“Itu bukan caraku, Duyah.” Kata Awang Damit dengan perlahan. “Aku tidak mungkin memalukan bapamu dengan begini. Ini bukan caraku juga sebagai orang muslim, Duyah.”
“Engkau cuma beralasan!” Suara Duyah agak meninggi. “Nanti engkau akan menyesal, Damit!” Kata Duyah sebelum berlari pergi. Membawa hati yang remuk. Jiwa Awang Damit pula penuh penyesalan kerana ia perlu berakhir begini.
“Aku harus kembali segera ke kampung. Esok.. ya, esok aku akan berangkat.” Getus hati Awang Damit.
Keesokannya, ketika Awang Damit menghampiri rumah Alak, dia teragak-agak. Kelihatan Alak berdiri di depan pintu dan tersenyum lebar kepadanya.
“Damit, baguslah engkau ke mari. Baru saja aku ingin mencarimu.”
Awang Damit membalas senyum Alak dan tidak berbasa-basi menyatakan tujuannya ke situ. Wajah Alak agak berubah. Sayu. Dia sudah menganggap Awang Damit seperti anak sendiri.
“Tunggulah sehingga dua hari lagi, Damit. Itupun kalau engkau ingin benar pergi. Duyah akan berkahwin esok. Lama sudah aku mendesaknya, baru saja malam tadi dia bersetuju.”
Lidah Awang Damit kelu. Bukankah baru malam tadi Duyah mengajaknya lari?
“Tunggulah hingga lusa ya. Aku ingin engkau turut sama meraikan. Itu, Kulai ingin berpesta hingga tujuh hari.”
Awang Damit mengeluh dalam diam. Dia kenal Kulai. Anak orang berpengaruh di kampung. Ayahnya orang berharta. Ayah Kulai, seorang yang budiman tetapi Kulai itu umpama sisi yang bertentangan dengan sifat ayahnya. Patutlah Duyah sanggup lari dan mencemarkan maruah diri.
“Engkau tunggu saja keraian Duyah ya. Jika tidak ingin mengenang aku, kenang saja si Duyah. Dia sudah anggap engkau seperti abang.”
Awang Damit mengangguk tanpa kata. Dia memandang wajah Alak yang terpancar gembira. Kenapa? Kenapa Alak seolah menutup mata dengan perangai bakal menantunya yang samseng itu?
Cantik sungguh Duyah petang itu. Pengantin yang dirai dengan gemilang. Namun, Awang Damit sedar tiada seri pada pengantin. Senyumnya palsu. Duyah tidak ingin memandangnya. Sekali pun tidak. Benci benar sudah Duyah kepada Awang Damit. Orang yang difikirnya boleh menyelamatkannya dari Kulai. Manusia jongos. Duyah juga tidak mesra dengan Alak. Itu juga Awang Damit perasan. Tetapi Alak berpura-pura tiada apa yang berlaku di antara dia dan anaknya.
***********
“Bala! Bala!”
“D***h! Bala! Bala!”
Awang Damit dikejutkan dengan jeritan beberapa orang wanita. Mereka berlari-lari keliling kampung sambil tangan menadah ke langit. Mereka menyeru tuhan-tuhan pujaan. Dada Awang Damit tiba-tiba berdebar kencang.
Perubahan drastik di kampung itu. Semalaman meriah dengan pesta keraian pengantin. Sepatutnya kemeriahan itu bersambung hari ini. Tetapi awan mendung berarak meliputi kampung seolah olah merasai bencana yang telah berlaku di kampung itu.
Semuanya berlaku dengan pantas. Berpusing kepala Awang Damit melihat suasana sekeliling. Duyah diheret ke halaman ketua kamoung dalam keadaan serabai. Bajunya terkoyak di bahagian bahu. Kain batiknya merah bagai disimbah d***h. Dan ya, itu memang d***h! D***h siapa? Kenapa Duyah dikelilingi oleh orang-orang suruhan ayah Kulai.
“Duyah! Dia telah meragut nyawa anakku!” Pekik ayah Kulai.
Lutut Alak menggeletar mendengarnya. Awang Damit segera mendapatkan Alak. Duyah tiada riak pada wajahnya.
“Dia menggunakan keris 8 luk, keris keturunanku. Menghabisi nyawa keturunanku! Dia harus dihukum!”
Awang Damit memandang Duyah dengan tidak percaya. Gadis lemah lembut seperti dia mana mungkin tega melakukan pembunuhan.
“Siasat dulu, ketua” Awang Damit memberanikan diri bersuara.
Ayah Kulai berpaling memandang wajah Awang Damit dengan bengis. “Engkau! Orang luar orang dikutip! Usah masuk campur!” Beberapa orang suruhan ayah Kulai menghampiri Awang Damit. Awang Damit agak gentat tetapi tidak berganjak.
Keadaan ditenangkan oleh ketua kampung dengan bijak. Ketua kampung ingin siasatan dijalankan dan Duyah pula dikurung.
Alak menjadi sangat murung. Awang Damit menangguhkan hasratnya untuk kembali ke kampung sendiri. Dia menemani Alak yang sudah tidak banyak bicara.
Tujuh malam berlalu. Tujuh malam yang sepatutnya meriah dengan keraian diganti dengan upacara kematian dan siasatan. Petang esoknya, Alak ditemui oleh ketua kampung dan beberap orang pandai kampung. Ketika Awang Damit tiba di rumah Alak, ketua kampung sudah ingin beredar.
“Duyah tidak bersalah Damit.” Tetapi kenapa Alak bersedih. “Ketua kata, tiada bukti tiada saksi.”
“Jadi, bersyukurlah kita.” Kata Awang Damit.
Alak memandang Awang Damit dengan tajam. “Mana mungkin aku boleh bersyukur? Duyah tetap akan m**i!” Awang Damit tersentak.
*********
IYA BAMBAN IYA LUKAH
UTAK BAMBAN IBA SARI,
MAIN DENGAN SIPAR MUDA,
SILUKAH PANDAI MENARI
Bait itu dilagukan oleh bomoh kampung, disertai dengan jampi serapah. Sedari seawal pagi orang-orang kampung sudah bersedia di pesisir pantai. Meratap, memuja dan menyeru.
Dengan tenaga yang luar biasa, Awang Damit memacu larian ke arah itu. Dia harus menghalang itu dari terjadi. Tiada perikemanusiaankah mereka itu? Orang-orang kampung itu, tiada jiwakah? Awang Damit melompati sebatang pokok kelapa yang rebah. Dia tidak boleh terlewat. Dia mesti ada di situ untuk menyelamatkan Duyah.
Takdir mengatasi segalanya. Duyah telah dimasukkan ke dalam bubu bersaiz gergasi. Muat untuk sebatang tubuh. Seruan dan jampi tidak putus-putus dialun. Bubu yang diisi dengan Duyah sudah diangkut masuk ke dalam perahu.
Awang Damit menjerit kuat memanggil Duyah. Duyah memandang Awang Damit dengan sayu. Kelihatan manik-manik air mata di pipinya. Bibirnya juga menggeletar akibat takut.
Suasan pemujaan kecoh sebentar. Awang Damit mengamuk. Namun tidak lama. Dia dipaut dari belakang oleh pemuda-pemuda kampung. Sebelum dipengsankan, Awang Damit sempat melihat perahu itu semakin ke tengah laut.
********
Awang Damit kini di lautan. Dia ingin segera kembali. Tidak peduli sudah dengan budi baik orang kampung. Perginya tanpa dikhabarkan. Jiwanya pilu dan marah. Sehingga ada ketika dia tidak berhenti-henti menyalahkan diri sendiri. Bila dia tersedar dari khilaf, dia beristighfar. Allah tentu saja ada rencanaNya. Dan rencana Allah tidak pernah silap.
Akibat terleka, Awang Damit tidak menyedari awan mendung menyelubungi perahunya. Bila tersedar Awang Damit bersedia. Fikirnya, tentu mahkluk hitam itu yang muncul. Tetapi, sebaliknya berlaku. Ada cahaya terang menembusi awan tersebut dan langsung memancar ke perahu Awang Damit. Belum sempat Awang Damit melindungi silau mata, perahunya disedut arus laut ke dasar. Awang Damit berusaha berenang ke permukaan. Namun semakin kuat dia berusaha, semakin kuat dia disedut ke lohong arus laut. Akhirnya, Awang Damit menyerah. Dia mengucap syahadah di dalam hati sebelum tidak sedarkan diri.
***************
Tenaga Awang Damit semakin pulih. Dia dan ibunya, Dayang Sari redha dengan pemergian Awang Basar yang terkubur di lautan. Awang Damit tidak menceritakan pengalamannya di perkampungan Bisaya kepada Dayang Sari. Mana mungkin ibunya akan percaya. Dia yang dikatakan hilang di lautan cuma tiga hari, sedangkan Awang Damit menetap di perkampungan Duyah selama tiga purnama. Nama Duyah melintas lagi di minda Awang Damit.
****************
Dayang Sari ralit memandang Awang Damit yang sedang mengait jala. Dari penampilannya, seolah sudah sihat sepenuhnya. Namun, kadang-kadang Awang Damit meracau dalam tidur.
IYA BAMBAN IYA LUKAH
UTAK BAMBAN IBA SARI,
MAIN DENGAN SIPAR MUDA,
SILUKAH PANDAI MENARI
Itulah bait yang akan diulang-ulang Awang Damit dalam tidur. Dayang Sari tahu benar bait lagu itu. Dayang Sari yang mempunyai keturunan d***h Bisaya di sebelah neneknya tahu itu adalah lagu tarian Alai Bubu. Neneknya pernah bercerita, asal lagu ini ialah beserta jampi serapah. Muasal lagu ini adalah berasaskan kepercayaan karut orang zaman dulu.
Alai bubu… adalah mitos. Seseorang yang telah kematian pasangan, harus sedia berkorban.
Yang hidup dan yang m**i akan dimasukkan ke dalam bubu dan dicampak ke dalam laut. Di mana si terkorban itu akan dipuja dan kembali sebagai semangat yang diseru.
Awang Damit meracau lagi. Dayang Sari hanya mampu berdoa kepada Allah agar iman anaknya teguh.
************
Awang Basar tersedar. Dia terdampar di pesisiran pantai yang indah dan putih. Sakitnya badannya tidak terkira. Kelihatan beberapa orang pemuda berlari anak menuju ke arahnya sambil bersuara cemas.
***Tamat***
Terima kasih.
Nota : *Beberapa perkataan adalah dalam bahasa Kedayan. Manakala “Yama” adalah dalam bahasa Bisaya. Ada terjemahan dalam kurungan.
*Tarian Alai Bubu masih dipersembahkan oleh masyarakat Bisaya muslim di Sabah dan juga masyarakat kedayan di Sabah, Brunei dan Sarawak. Cuma jampi serapah sudah lama tidak disertakan kerana bertentangan dengan syarak Islam. Bait lagu di atas usah gusar. Ia cuma bait kata lagu bukan jampi.
Alai bubu ada kaitan dengan awang basar?
Tiada kaitan. ?
Meremang2 perasaan sepanjang akk bace cerita ni…
Bahasanya yg unik dengan adat yg misteri…
Satu kelainan dlm FS ni…
Tengkiu…
Awang basar hidup balik selepas upacara alai bubu ke macamana tu?
Sebenarnya, keberadaan Awang Basar tidak diketahui m**i atau hidup dari awal cerita lagi. ?
alai bubu..xsilap aku mcm cara pertukaran nyawa untuk yang hidup kepada yang m**i..si kalai tu xhidup pon??hihi..story bagus..namun takut ada yg terpesong..
Alai bubu ni mitos saja. Ia adalah lagenda kaum bisaya dan juga kedayan di sebahagian sabah/sarawak di akhir tahun 1300 sebelum mereka memeluk agama Islam. Alai bubu adalah acara dimana, jika suami/isteri meninggal, pasangannya akan berkorban bersama tanda setia sehingga akhir hayat. Cuma, semangat yang berkorban itu akan diseru supaya kembali dlm bentuk semangat agar boleh berjumpa dengan sanak saudara dan juga dipercayai mampu mengubati penyakit.
Sekarang alai bubu adalah dalam bentuk tarian untuk hiburan semata. tiada jampi dan tiada serapah. Juga sama seperti Ulik mayang & kuda kepang. jika tiada disertai jampi/mantera ia bukanlah apa2.