Di suatu pagi yang gelap, keadaan masih lagi sejuk, sejuk hingga ke tulang. Kampung Indah Bayu masih lagi kelihatan sunyi, tidak banyak lagi penduduk kampung yang bangun pada waktu sebegitu. Begitu awal sekali. Kelihatan seorang lelaki bernama Ramli sedang keluar dari rumah bersama pelita tanah di tangan. Tuala di ikatkan pada pinggang, matanya masih lagi berat untuk di buka. Perlahan-lahan beliau mengatur langkah menuju ke arah bilik mandi yang terletak diluar rumah. Setiba beliau di bilik mandi tersebut, beliau membuka pintu dengan berhati-hati lalu dijenguk ke dalam bagi memastikan tiada bahaya yang menanti. Setelah memastikan keadaan selamat, beliau terus masuk dan menutup pintu rapat. Pelita yang dipegangnya tadi diletakkan di atas bendul kayu berdekatan dengan kolah mandi. Dengan perasaan malas beliau menggapai gayung lalu dicedoknya air dan dijiruskan ke badan. Jeritan penuh kesyahduan jelas kedengaran, air yang datang dari gunung berdekatan tersebut bukanlah sebarangan. Jika orang bandar yang menggunakannya untuk mencuci badan, sudah pasti akan lari menyelamatkan diri. Hanya mereka yang ‘otai’ sahaja yang mampu menandingi kehebatan air dari gunung tersebut. Mila isteri kepada Ramli yang sudah lali dengan jeritan si Ramli hanya mampu tersenyum di dalam rumah sambil memasak air untuk dibancuhkan kopi buat suaminya pergi menoreh sebentar lagi.
Selesai Ramli memandikan diri, dia berjalan perlahan-lahan keluar dari bilik mandi tersebut bersama tuala di kepala. Keadaannya saling tak tumpah seperti manusia yang baru sahaja terserempak dengan hantu, seluruh tubuhnya menggigil menahan sejuk. Walaupun sejak kecil lagi dia mandi air dari gunung, namun tetap tidak dapat menahan kesejukkan yang melanda kalbu. Ramli terus melangkah menuju ke dalam rumah bagi mengenakan pakaian ke atas badannya.
“Bang, Mila dah sediakan kopi ni. Marilah turun, cekodok pun ada ni.” jerit Mila dari arah dapur memanggil suami kesayangannya. Mila begitu sayang sekali kepada suaminya si Ramli, walaupun mereka hanya hidup sederhana dan suaminya bekerja sebagai penoreh getah, namun Mila tetap bersyukur kerana dikurniakan kebahagiaan. Ramli juga turut begitu, namun dihatinya tetap berazam untuk membina masa depan yang lebih bahagia dari sekarang, dia ingin melihat Mila tersenyum hingga tak cukup ruang di mukanya lagi untuk senyum. Dia ingin membelikan barang kemas yang cantik-cantik untuk Mila. Namun ekonomi pada waktu itu tidak berapa baik, akhirnya Ramli terpaksa bersabar dan terus bekerja keras demi mencapai azamnya itu. Ladang pokok getah milik arwah ayahnya itu di ambil alih oleh Ramli, memandangkan adiknya hidup senang lenang dibandar akan tetapi adiknya tetap tahu setinggi mana langit dan bumi. Tidak pernah adiknya belagak dan sombong, malahan adiknya begitu bangga dengan pekerjaan Ramli kerana tidak ramai orang yang ingin pekerjaan sebegitu lagi. Seteruk malasnya manusia pun, belum tentu mereka ingin bekerja sebagai penoreh getah. Tetapi tidak bagi Ramli, walaupun beliau seorang yang memilikki ‘degree’ namun beliau tidak malu untuk bekerja sebagai penoreh getah, kerana peluang pekerjaan yang setara dengan dirinya tidak pernah ada yang kosong. Disebabkan dia mendengar nasihat adiknya, dia akhirnya bersetuju untuk bekerja sebagai penoreh getah professional dikampungnya itu.
“Abang pergi dulu ye Mila. Tengahari nanti abang balik bersama senyuman paling manis seperti biasa.” pesan Ramli kepada Mila isterinya.
“Ye la bang, hari-hari pun abang senyum manis, hari-hari hati Mila ni tertawan..” balas Mila dengan penuh senyuman yang manis. Mereka ketawa kecil bersama, kemudian Mila melihat suaminya berlalu pergi sambil menaiki motor Honda c70 miliknya. Apabila bayang-bayang suaminya sudah tidak kelihatan, barulah Mila masuk ke dalam rumah dan membuat semua kerja-kerja hariannya seperti membasuh pakaian, menyapu sampah, mengetatkan skru pada pintu dan sebagainya. Sebelum Mila melangkah ke alam perkahwinan, ramai kawan-kawannya yang beritahu bahawa menjadi seorang isteri tidak mudah, tanggungjawabnya terlalu besar. Tetapi Mila tidak mengendahkan semuanya itu, kerana pada usia mudanya, dia sudah biasa dengan hidup susah.
Ramli meletakkan motornya dibawah sepohon daunnya rimbun, dia melihat ke arah sekeliling ladang pokok getahnya. Memang menjadi rutin harian si Ramli apabila tiba sahaja di ladang pokok getahnya, dia akan meninjau dahulu bagi memastikan tiada mat dadah atau pun pembuat maksiat di situ. Setelah memastikan keadaan clear, Ramli terus melakukan kerja-kerja hariannya, satu demi satu pokok dia singgah dan toreh bagi mendapatkan hasilnya. Hari-hari Ramli akan membuat kerja dengan penuh semangat kerana dia tau jika dia buat kerja secara malas, sudah pasti hasilnya nanti menjadi tidak menarik. Arwah orang tuanya pernah berpesan, “jika melakukan sesuatu kerja itu, lakukan ia dan ikhlaskan hati kerana Allah SWT”.
Seperkara lagi, Ramli selalu berfikir jika dia kerja dengan bersungguh-sungguh, hasilnya nanti boleh dikongsikan bersama isterinya yang dia cintai itu, melihat senyuman isterinya itu adalah sesuatu perkara yang amat menyenangkan hati Ramli.
“Wah, sudah tengahari ni. Hmm..tinggal dua batang pokok lagi, lepas ni boleh balik, makan dan berehat. Apalah agaknya Mila masak hari ni?” bisik Ramli di dalam hatinya sendiri tanpa menghiraukan keletihan yang mengundang. Begitulah Ramli hari-hari, paginya dia akan ke ladang pokok getah, kerjanya akan siap menjelang tengahari, kemudian dia akan pulang ke rumah dan menjamu selera bersama si isteri, kemudiannya dia akan berehat dan luangkan masa bersama isteri. Bila pulak dia pungut dan kutip getahnya tu? Entahlah..
Setelah selesai mengerjakan pokok yang terakhir, Ramli segera bergerak ke arah motorsikalnya lalu dihidupkan enjin dan meneguk sedikit air bagi menghilangkan dahaga. Lalu dia pun bergerak pulang ke rumah bersama perut yang lapar. Mila sudah siap sedia menanti Ramli dirumah bersama hidangan kegemaran suaminya itu, bubur nasi berlaukkan ikan masin. Dia tidak sabar hendak melihat suaminya itu menjamah bubur tersebut dan memberikan senyuman hingga ke pangkal telinga.
“Assalamualaikum! Honey, I’m home…”
Mila tersedar dari lamunan dia sebentar tadi apabila mendengar salam yang diberikan oleh suaminya. Dengan segera Mila berlari anak menuju ke arah pintu hadapan rumah bagi menyambut kepulangan suaminya yang tercinta. Sekeping senyuman paling manis dilemparkan oleh Ramli kepada Mila dan disambut dengan penuh romantis sekali. Mila menghulurkan tangan demi menyalam tangan suaminya yang hari-hari bekerja keras bagi menampung perbelanjaan harian dirumah.
“Amboi bang, bahasa omputih pula hari ni ya?” usik Mila sambil tersenyum manja.
“Ala, sekali sekala. Kali terakhir abang cakap omputih pun masa belajar degree dulu..” balas Ramli sambil terus melangkahkan kaki kanannya ke dalam rumah.
“Iyalah bang, mari ke dapur, Mila sudah sediakan makanan kegemaran abang tau.” sambung Mila lagi sambil mencuit lengan suaminya. Kegembiraan jelas terpancar dari wajah milik Ramli selepas mendengar kata-kata dari mulut isterinya itu. Dia pasti isterinya telah memasakkan bubur berlaukkan ikan masin kegemarannya sejak kecil lagi untuk jamahan tengaharinya pada hari itu. Tanpa membuang masa lagi, Ramli mencapai tangan Mila dan menariknya menuju ke arah dapur. Akan tetapi, baru saja mereka ingin melangkahkan kaki, terdengar pula ada orang memberikan salam dari luar rumah. Ramli menyuruh Mila agar ke dapur dan dia akan ke luar bagi melihat siapa yang mengganggu waktu makan tengaharinya itu. Dengan langkah yang malas Ramli menuju ke muka pintu, setelah menjawab salam yang diberi, Ramli terus rebah ke bumi. Badannya tidak boleh bergerak dengan tiba-tiba, perlahan-lahan bebola matanya melilau mencari kelibat si pembuat laku. Alangkah terkejutnya Ramli apabila dia mendapati bahawa seorang lelaki yang seusia dengannya sedang berdiri betul-betul di hadapannya ketika itu. Ramli memang kenal akan siapa lelaki itu, dia adalah seorang jejaka yang pernah berebutkan Mila pada waktu dahulu, namun Mila telah membuat keputusan untuk hidup bersama dengan Ramli,
“Raa…aa..Raa..za..zakkkk…” agak sukar bagi Ramli untuk bersuara pada waktu itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapakah badannya tidak menurut kata, Ramli seakan-akan lumpuh sehingga membuatkan lidahnya tidak mampu bergerak dan mengakibatkan dirinya tidak mampu untuk bertutur sebarang kata. Difikiran Ramli terbayangkan Mila, hatinya merasakan bimbang jika Razak melakukan perkara yang tidak senonoh terhadap Mila. Ramli pasti bahawa kehadiran Razak pada hari itu adalah untuk membalas dendam akibat cintanya ditolak oleh Mila pada waktu dahulu.
“Kau baring secara tenang je kat sini ya jibauk. Aku tak nak apa-apakan kau. Jangan risau, lagi 5 atau 6 jam kau akan boleh berjalan seperti biasa, aku bubuh ubat pelumpuh dalam minuman kau masa kat ladang tadi. Kau tak sedar kehadiran aku sebab kau bodoh nak mampus. Hari ni aku akan bawa lari Mila, dia sepatutnya menjadi milik aku dan bukannya engkau. Kau perampas, jilake” Razak berbisik ke telinga Ramli yang sedang terbaring lemah. Kemudian, Razak melangkahkan kaki menuju ke arah dapur rumah tersebut.
Ramli terdengar jeritan daripada si Mila, dia tahu Mila berada di dalam kesusahan sekarang. Dengan segala kekuatan yang ada pada diri Ramli ketika itu, dia cuba untuk memaksa diri agar bangun dan pergi menyelamatkan Mila. Tidak henti-henti doa dihatinya agar Allah membantu dirinya pada ketika itu. Dan akhirnya doa Ramli dimakbulkan, kelumpuhan pada dirinya segera hilang, dan perlahan-lahan Ramli bangun walaupun dia sendiri terasa kesukaran. Dengan langkah yang perlahan, Ramli berjalan menuju ke arah dapur. Hatinya begitu marah sekali pada ketika itu, dia hanya fikir untuk menyelamatkan Mila dengan m******h Razak. Kemarahan di dalam diri Ramli menjadi semakin menjadi-jadi apabila setibanya dia di dapur, dia melihat Razak sedang memeluk tubuh Mila sambil mulutnya berlegar ke seluruh leher milik isterinya.
“Lepaskan dia manusia bangsat!” jerit Ramli sekuat hati lalu dia terus berlari ke arah Razak dan menarik tubuhnya agar jauh daripada Mila. Lalu seketul tumbukan yang begitu padu dilepaskan ke arah wajah milik Razak. Sedikit lagi Razak hampir jatuh ke lantai namun dia dapat mengawal pergerakan kakinya dan berdiri stabil semula. Ramli mengarahkan isterinya untuk berlari menyelamatkan diri dan pergi meminta bantuan daripada pihak polis. Mila mengangguk tanda setuju dan terus berlari keluar rumah. Ramli mengambil sebilah pisau yang berada di sinki dan terus membuat serangan terburu-buru. Dia hanya mahukan Razak m**i sahaja, kerana dia sedar jika dia membiarkan Razak hidup, Razak pasti akan kembali sekali lagi untuk membalas dendam.
Setiap serangan yang diberikan oleh Ramli dapat di elak oleh Razak dengan mudah dan senang. Kemudian, Razak mencapai kerusi kayu yang berada berdekatan dengan dirinya lalu dihayunkan sekuat hati ke arah Ramli dan mengakibatkan Ramli jatuh terjelupuk ke atas lantai dapur rumah tersebut. Razak mengambil pisau yang terlepas dari genggaman Ramli dan dihunuskan ke arah leher Ramli.
“Aku tak suka b***h-b***h ni. Tapi kau yang paksa aku. Aku tak akan hidup senang selagi engkau masih bernyawa, kambing gurun!” Razak mengakhiri kata-katanya dengan menikam pisau yang berada digenggamannya itu ke arah dada Ramli. D***h merah pekat memercik keluar dari dada Ramli, matanya terbeliak, mulutnya ternganga luas. Dia tahu bahawa tidak mungkin dia akan terselamat daripada tikaman itu. Akhirnya Ramli menghembuskan nafasnya yang terakhir di lantai dapur rumahnya sendiri bersama pisau yang ditikam oleh Razak yang masih berada di dadanya.
Satu jam kemudian, Mila tiba dirumah bersama dengan dua buah kereta polis. Mila diarahkan duduk di dalam kereta sambil ditemani oleh seorang anggota polis sementara lagi tiga orang anggota polis melangkah dengan berjaga-jaga menuju ke dalam rumah tersebut. Beberapa detik kemudian, seorang anggota polis keluar dari dalam rumah itu dan memanggil Mila untuk mengikutinya pergi ke arah dapur rumah, Mila hanya menggangguk kepalanya dan pergi mengikuti anggota polis itu tadi menuju ke dalam rumah.
“ABANG!!” jerit Mila sekuat hati apabila dia melihatkan suaminya, Ramli sedang terbaring bersama pisau yang masih terbenam di dalam dadanya itu. Anggota polis memaklumkan kepada Mila bahawa lelaki yang terbaring itu sudah tidak bernyawa lagi akibat kehilangan d***h yang terlalu banyak. Setelah mendengar penjelasan dari anggota polis itu, Mila terus meraung sekuat hati, dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Dia menjerit-jerit memanggil suaminya namun Ramli tetap tidak bangun dan bergerak walaupun sedikit. Hati Mila luluh, dia berjalan perlahan-lahan menuju ke arah mayat suaminya. Mila jatuh terduduk disamping mayat Ramli, dia mengangkat kepala Ramli lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas ribanya. Mila mengusap lembut kepala suaminya itu, air matanya mengalir membasahi pipi lalu jatuh berderai di atas dahi suaminya.
“Wajah ini lah yang selalu membuatkan Mila gembira, membuatkan Mila tersenyum, membuatkan Mila bahagia.” kata Mila sambil tangannya mengusap lembut kepala suaminya, lalu tangannya dialihkan ke arah mulut Ramli dan diusap lembut dibahagian bibir.
“Bibir ini yang sering kali melemparkan senyuman yang paling manis sekali selepas ibu dan ayah, bibir ini lah yang sering kali mengeluarkan kata-kata indah romantis bagi melembutkan hati Mila selama ini.” air mata Mila jatuh sekali lagi, tidak dapat dia menahan sebak di hati, kemudian, dengan perlahan-lahan Mila mencapai tangan suaminya itu dan digenggam erat.
“Tangan ini lah yang selalu mencari rezeki demi mengisi perut kita berdua, demi mencari sesuap nasi, demi berbakti pada keluarga sendiri, dan dengan tangan ini lah abang selalu membelai Mila, memegang erat Mila, menyentuh lembut Mila dan…dan….dan..” kata-kata Mila terhenti akibat sebak di dada yang tidak dapat dibendungnya lagi. Seraya dengan itu, Mila kembali menangis meraung, anggota polis yang berada disitu hanya mampu melihat dan menyuruh Mila agar bersabar serta redha dengan ketentuan Illahi. Seorang lagi anggota polis datang mendekati Mila dan berbisik kepada Mila supaya kembali ke kereta polis dan menunggu di sana sementara mereka menjaga di situ. Mila akur dengan arahan daripada anggota polis itu lalu meletakkan kepala suaminya itu perlahan-lahan ke atas lantai dapur rumahnya, dan meminta anggota polis itu untuk memberikan plastik hitam yang dipegang oleh anggota polis itu kepada dirinya untuk menutup jenazah suaminya tersebut. Mila sendiri ingin menutup jenazah suaminya walaupun hatinya terlalu sebak dengan pemergian tragis suaminya itu.
“Abang berehatlah sayang, ini semua ketentuan Allah Maha Esa. Jangan risau, Mila akan tabahkan diri untuk terus mengharungi hidup ini…” bisik Mila perlahan ke telinga jenazah suaminya itu. Lalu Mila bangkit dan terus berjalan keluar dari rumah.
“Maafkan Mila sebab abang tidak dapat merasa bubur kegemaran abang buat kali terakhir”
Beberapa hari kemudian, Razak berjaya diberkas oleh pihak polis ketika dia sedang sibuk melekakan diri bersama kawan-kawannya diladang getah milik arwah Ramli bermain judi. Razak dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun kerana m******h beserta 10 sebatan dipunggung di atas tuduhan mencabul kehormatan wanita yang sudah berkahwin. Adik kepada arwah Ramli memberitahu Mila akan berita itu akan tetapi ianya tidak menggembirakan hati Mila. Bagi Mila, buatlah apa saja pun ke atas Razak namun hatinya tetap tidak tenang dan dia telah bersumpah bahawa dia tidak akan pernah mengampunkan dosa Razak sehingga ke akhirat.
“Tak apa lah Rosli, engkau pulanglah. Mesti banyak lagi kerja kau di pejabat bukan? Tak baik menangguhkan kerja, nanti bertimbun pula.” tegur Mila sopan.
“Jangan risau kak, kerja saya semua dah selesai. Sebab tu saya dapat ambil cuti dua minggu ni.” balas Rosli.
“Kalau macam tu bolehlah kiranya akak minta tolong kau bawakan akak ke kubur abang lepas zohor nanti?” soal Mila.
“Boleh kak. Saya memang berniat nak ke sana pun..” jawab Rosli lemah. Hatinya masih terasa sedih dengan pemergian abang kandungnya itu. Ramlilah satu-satunya keluarganya yang ada, akan tetapi, Allah lebih menyayanginya. Rosli hanya mampu redha dengan semua yang terjadi. Dia merasakan kasihan terhadap kakak iparnya itu kerana terpaksa menanggung derita sebegini rupa. Sudahlah dia itu seorang wanita, anak tunggal pula, ibu bapa pun sudah lama tiada. Cuma ada Rosli sahajalah yang tinggal.
“Kau termenung apa tu dik? Usah difikirkan lagi lah. Tak baik, kasihan arwah dalam kubur tu, kita yang hidup ni kena teruskan hidup.” tegur Mila. Rosli hanya tersenyum melihatkan kakak iparnya itu berkata sedemikian. Ketika dia masih lagi berada dalam keadaan yang sedih, hatinya tetap gembira apabila melihat ketabahan kakak iparnya itu.
Sebuah motokar berwarna jingga putih kelihatan membelok memasuki tanah perkuburan islam Kampung Indah Bayu. Rosli memarkirkan motokar miliknya dibawah sepohon kayu daunnya rimbun bagi mengelakkan panas terik cahaya matahari daripada terus menembusi masuk ke dalam kenderaannya itu. Lalu Rosli keluar dari kenderaannya dan meluru berjalan ke arah bahagian penumpang demi membantu kakak iparnya membuka pintu. Sebuah senyuman dilemparkan ke arah Rosli oleh kakak iparnya kerana perbuatan ‘gentleman’ dia tersebut. Mereka berdua kemudiannya berjalan menuju ke arah kubur yang di mana arwah Ramli dikebumikan.
“Kak.. Apa benda atas kubur abang ni?” soal Rosli.
“Ini..ini….ini…” tidak dapat Mila menghabiskan kata-katanya selepas melihatkan objek yang diletakkan tepat di atas kubur milik arwah suaminya. Dia merasakan begitu terperanjat sekali apabila melihat objek tersebut.
“Ini bungkusan nasi! Siapa yang biadap sungguh dan berani melakukan perkara sebegini?!” marah Mila.
“Sabar kak, sabar. Mungkin si penggali kubur, dia terlupa untuk membuangnya.” jelas Rosli dengan harapan kakak iparnya itu boleh mengurangkan tahap kemarahan yang melebihi Rikishi ahli WWF.
“Macam mana akak tak marah. Kau tengoklah ni. Makan tak reti nak buang, bubur pulak tu dia makan.” sambungnya lagi dalam keadaan marah, kemudian menangis. Rosli tiba-tiba menjadi hairan dengan kakak iparnya yang tadinya marah dan sekarang menitiskan air mata pula.
“Sudahlah abang kau tak sempat nak merasa bubur kegemaran dia, boleh pulak ada orang makan bubur lepas tu tinggalkan kat atas kubur ni.” sambung Mila lagi dan terus menangis. Rosli terdiam selepas mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Mila. Dia merasakan kasihan terhadap arwah abangnya itu kerana tidak dapat menikmati kelazatan makanan kegemarannya buat kali terakhir.
“Sudahlah kak. Kita datang untuk bersedekah pada abang. Abang mesti tak suka kalau dia tahu akak marah-marah macam ni.” pujuk Rosli.
Lalu dia membentangkan tikar getah dan mereka duduk menghadap pusara Ramli. Angin bertiup tenang pada petang itu, walaupun cuaca panas terik tetapi dengan tiupan yang hadir disebabkan kekuasaan Allah SWT, mereka tidak terasa panas malah terasa sejuk. Lalu mereka berdua pun meneruskan aktiviti dengan membaca surah-surah suci al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah. Setiap hari mereka datang untuk bersedekah, akan tetapi ada sesuatu yang mengganggu fikiran mereka. Apabila mereka datang, pasti akan terjumpa bungkusan bubur nasi di atas pusara Ramli, hal itu membuatkan Rosli dan Mila jadi tidak senang duduk. Sudah seminggu mereka datang ke tanah perkuburan itu. Dan, perkara yang sama juga akan berlaku. Bermacam persoalan bermain dikotak fikiran mereka berdua. Siapakah yang melakukan perkara sebegitu? Akhirnya Rosli nekad untuk berjumpa dengan tukang penggali kubur. Namun jawapan yang diterimanya agak mengecewakan yang di mana si penggali kubur itu tidak singgah ke kubur langsung untuk minggu itu disebabkan demam panas yang hadir menemani.
“Kalau bukan dia siapa pulak yang datang? Masalahnya kat kubur abang kau je kita jumpa benda tu.” soal Mila tidak puas hati. Perkara tersebut benar-benar mengganggu fikiran mereka berdua, sehinggakan Rosli terpaksa berjumpa dengan ketua kampung dan memberitahu akan hal tersebut. Ketua kampung berjanji akan mengarahkan anak-anak buahnya untuk berjaga ditanah perkuburan itu memandangkan orang yang sepatutnya menjaga tidak dapat membantu. Dan Rosli menawarkan diri untuk turut menyertai dan membantu. Dua orang anak buah ketua kampung akan datang ke rumah Rosli pada belah malam untuk menjemput dia pergi berjaga ditanah perkuburan, dan selepas subuh akan ada dua orang yang datang bagi menggantikan tempat mereka.
“Kau ingat Li. Benda ni bukan untuk suka-suka. Kubur tu.” pesan Mila.
“Ya kak, jangan risau. Tau lah saya jaga diri kejap lagi.” balas Rosli. Lalu dia pun berlalu pergi dari rumah itu bersama dengan dua orang anak buah ketua kampung.
Setibanya mereka di kawasan perkuburan, hidung mereka menangkap suatu bau yang sangat harum. Bulu roma ditengkuk mereka tiba-tiba menegak, mereka saling berpandangan sesama sendiri. Niat dihati masing-masing memang nak berpatah balik tapi disebabkan desakan dari Rosli, maka mereka bertiga meneruskan juga operasi. Mereka menuju ke arah pondok buruk yang di bina berhampiran akan tetapi dikelilingi semak samun, mereka menjadikan tempat itu sebagai markas kerana ianya terhalang daripada penglihatan sesiapa sahaja yang datang. Mereka akan bermalam di pondok tersebut tanpa unggun api kerana mereka ingin menyiasat siapakah dalang yang meletakkan bungkusan makanan di atas pusara Ramli tanpa ‘orang’ itu mengetahui mereka ada di situ.
“Selamat tak ada nyamuk, kalau tak jenuh nak menggaru sana sini.” kata salah seorang dari anak buah ketua kampung.
“Nyamuk pun takut nak datang kubur malam-malam gini. Hahaha!” balas lagi seorang disambut dengan ketawa. Lalu mereka pun ketawa.
Hampir 4 jam mereka berada disitu, namun masih tidak ada kelibat manusia pun yang muncul. Sementara mereka menjaga, bermacam topik mereka bualkan daripada sejarah hinggalah sains fiksyen. Tiba-tiba mereka terasa mengantuk, namun mereka tetap cuba untuk menahan. Terlintas difikiran Rosli, perasaan mengantuk yang hadir ketika itu agak kuat dari biasa. Selalunya dia tidak mengantuk sebegitu teruk sekali. Secara tiba-tiba, bau busuk datang menerpa dihidung masing-masing. Mereka saling berpandangan, pelbagai persoalaan bermain dibenak fikiran mereka ketika itu. Namun, mereka tidak menyuarakan mahu pun mempersoalkan. Salah seorang dari anak ketua kampung tersebut mencuit bahu si Rosli dan menunjukkan ke arah pusara arwah Ramli. Mereka bertiga terlihat satu kelibat datang dari arah hutan berhampiran dan menghampiri pusara Ramli. Salah seorang dari anak buah ketua kampung menyarankan untuk pergi mendekati kelibat tersebut untuk menangkap dia, dia khuatiri jika ada orang yang mengamalkan ilmu hitam menyalahgunakan pusara-pusara yang ada. Namun, Rosli mengarahkan mereka untuk duduk diam disitu dan menanti apa yang akan dilakukan seterusnya oleh kelibat tersebut.
Tidak lama kemudian, kelibat tersebut berjalan mengelilingi pusara Ramli dan ada asap putih tiba-tiba menjelma ditengah-tengah pusara tersebut. Mereka bertiga terkejut dengan situasi yang berlaku namun, tidak ada seorang pun yang berani bersuara. Mereka terus memerhatikan gerak geri kelibat itu dan ditengah-tengah asap putih itu, muncul satu lagi kelibat yang kelihatan seperti mayat berbungkus kain kapan. “Pocong?” terlintas difikiran mereka bertiga. Kemudian, kelibat itu mengeluarkan sesuatu dari dalam kain berwarna hitam dan ianya adalah bungkusan makanan di dalam polisterin, lalu diletakkan ia di atas pusara Ramli. Pocong itu tadi membongkok seakan-akan sedang memakan bungkusan makanan itu. Selepas ia selesai, ia bangun semula dan kembali menjadi asap putih lalu asap itu masuk semula ke dalam pusara Ramli. Kelibat yang berdiri sejak tadi terus berjalan pergi menuju ke arah hutan tempat dia muncul tadi. Rosli dan dua lagi anak buah ketua kampung menggaru kepala.
“Aku dah agak, ni mesti mangkuk tu amalkan ilmu hitam.”
“Maafkan aku Li. Nampaknya ada orang jadikan arwah Ramli sebagai khadam. Mesti ada kerja jahat yang dia nak buat tu.”
“Dan makanan itu adalah upah dia. Hmm..aku rasa ada baiknya kita terus pergi ke balai raya. Kita beritahu mereka semua.” cadang Rosli dan mereka berdua pun setuju. Setengah jam kemudian, setelah mereka memastikan keadaan agak selamat, mereka pun berambus dari tanah perkuburan tersebut dan menuju ke arah balai raya. Bau busuk yang menepa ke hidung mereka tadi masih tidak hilang sehinggalah mereka tiba di balai raya itu, barulah bau busuk tersebut hilang. Tapi, mereka bertiga jadi hairan bila sudah sampai ke destinasi.
“Mana semua orang? Takkan balik tidur pulak?” tanya Rosli kehairanan. Balai raya itu tidak pernah kosong dengan manusia. Setiap malam pasti akan ada anak-anak buah ketua kampung datang melepak kerana tugas mereka adalah untuk menjaga kawasan kampung, tidak mungkin pada malam itu mereka tidak bertugas pula? Selangkah demi selangkah mereka masuk ke dalam balai raya itu.
“Wan, Ajak.. Korang pasti ke malam ni ada orang bertugas selain korang berdua? tanya Rosli lagi kepada dua orang anak buah ketua kampung itu yang sedang berdiri dibelakang Rosli.
“Ada. Aku pasti. Dia orang mana pandai ponteng kerja atau pun tinggalkan kerja. Selalunya balai raya ni mesti akan ada seorang atau dua yang tinggal. Siang dan malam, tak pernah tak ada orang. Paling kurang pun, 4 orang mesti ada. Tak mungkin dia orang pergi tandas sampai 4 orang?” jawab Wan.
“Telefon aku tiba-tiba tak ada talian ni. Nak buat panggilan pun tak boleh ni.” rungut Ajak. Tiba-tiba mereka bertiga terdengar bunyi pintu dihempas dengan kuat sekali, bunyi itu datang dari arah belakang balai raya tersebut. Lalu mereka bertiga pergi menuju ke arah datangnya bunyi itu untuk menyiasat. Tapi sebelum mereka tiba ke arah bunyi itu, Ajak mengarahkan mereka untuk berhenti. Rosli dan Wan menjadi hairan dengan Ajak.
“Mana ada pintu kat belakang sana.” tegur Ajak. Lalu mereka tertanya-tanya. Wan menyarankan untuk pergi siasat andai ada perompak atau pun ada haiwan liar melanggar dinding.
“Tak Wan. Kau fikir logik ok. Dinding kat sini konkrit. Bunyi tu kat belakang sana, pintu tak ada. Kita dengar bunyi pintu terhempas. Mana datang logiknya kalau…” kata-kata Ajak terhenti apabila mereka bertiga terdengar bunyi suara seorang wanita sedang ketawa di atas bumbung balai raya tersebut. Bulu roma ditengkuk mereka tiba-tiba menegak setegak-tegaknya, dan mereka saling berpandangan sesama sendiri. Siapa pula yang memanjat bumbung balai raya pada waktu itu? Rosli melihat waktu di jam tangannya dan ia menunjukkan tepat pukul empat pagi. Bintik-bintik peluh mulai menjelma di dahi mereka bertiga. Dan suara wanita ketawa itu semakin galak, tidak ada apa yang dapat mereka bertiga lakukan ketika itu. Hendak melarikan diri tetapi khuatir dikejarnya pula. Hendak menunggu sahaja di dalam balai raya tersebut, risau nanti wanita yang sedang ketawa di atas bumbung masuk ke dalam balai raya pula. Mereka bertiga menjadi buntu dan tidak tahu apa lagi yang hendak dilakukan.
“Ki..kita…la…lari…la..laju..laju…samp…sampai…ru…ru..mah….tok….ke…ketua…” saranan yang dikeluarkan oleh Ajak. Tanpa memberikan kata setuju, Wan dan Rosli terus berlari selaju mungkin dan meninggalkan Ajak seorang diri berdiri di tengah-tengah balai raya itu. Ajak berpaling dengan pantas sekali dan melihat mereka berdua sudah jauh meninggalkan balai raya. Suara wanita itu semakin kuat kedengaran. Ajak terus berlari tak cukup tanah dan memanggil Wan dan Rosli.
“Woi! Apa pasal tinggalkan aku woi!?????” jerit Ajak. Namun mereka berdua sudah jauh ke hadapan dan tidak dapat mendengar jeritan dari Ajak. Ketakutan benar-benar menyelubungi diri mereka. Perasaan untuk menoleh teramat kuat di dalam diri Ajak, tapi dia pernah mendengar kata-kata orang tua bahawa jika diganggu dengan makhluk halus, jangan pernah menoleh ke arah belakang jika kita tidak dapat melihat dia, akan tetapi jika makhluk halus itu berada di hadapan kita, kita kena cepat-cepat toleh ke belakang dan jangan tengok dia. Setelah mengingati pesanan-pesanan itu, Ajak membatalkan saja niatnya untuk menoleh bagi melihatkan kelibat wanita yang sedang ketawa itu.
Akhirnya, Ajak sampai juga ke rumah ketua kampung. Ajak menjadi begitu terkejut sekali apabila dia mendapati ada beberapa lagi anak buah ketua kampung berada di situ bersama ketua kampung sendiri. Nafasnya tercungap-cungap. Dia dihulurkan air untuk menghilangkan dahaga ditekak akibat berlari sejauh lima kilometer. Kemudian, Wan dan Rosli datang menghampiri Ajak.
“Asal korang tinggalkan aku? Nasib baik aku selamat.” rungut Ajak sambil menumbuk tangan Wan. Kemudian ketua kampng datang menghampiri mereka bertiga dan menanyakan soalan. Setelah menceritakan semuanya, barulah mereka tahu kenapa balai raya itu kosong tadi. Rupa-rupanya, mereka yang sepatutnya bertugas pada malam itu turut mendengar suara ketawa dari wanita itu. Ketua kampung menjadi hairan seketika, kerana tidak pernah kampung Indah Bayu tersebut diganggu oleh makhluk halus. Selalunya dia hanya mendengar khabar angin sahaja.
“Sekarang ni kita tunggu tok imam dari kampung sebelah untuk datang ke sini. Kemudian kita pergi ke balai raya tersebut. Bila matahari sudah terbit nanti kita pergi pula ke tanah perkuburan tu. Aku sendiri nak tengok bungkusan makanan yang diletakkan di atas kubur Ramli.” kata ketua kampung kepada semua yang berada disitu. Kemudian semuanya menjadi diam seketika seperti ada malaikat lalu pula.
“Tolong! Tolong!” semua orang menjadi terkejut apabila mendengar suara wanita meminta tolong. Rosli terus berlari ke arah suara itu apabila dia mengetahui bahawa yang sedang meminta tolong itu adalah kakak iparnya sendiri. Lalu orang ramai pun turut mengikuti jejak langkah Rosli. Mila memeluk Rosli sekuat hati dan mengatakan bahawa dia di ganggu oleh makhluk yang dia sendiri tidak pasti ketika sedang tidur.
“Kalian semua segera pulang ke rumah dan pastikan keadaan keluarga!” arah ketua kampung kepada semua anak buahnya yang berada di situ. Kemudian mereka semua pun bergegas pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang keluarga mereka di ganggu pula oleh makhluk itu. Ketua kampung mengajak Rosli dan Mila untuk naik ke rumah dan berehat di situ sahaja sementara menunggu tok imam tiba.
Hanya memerlukan satu malam sahaja untuk menjadikan sebuah kampung yang selalunya aman menjadi huru-hara serta kacau bilau. Mila masih lagi menanti ketibaan Tok Imam dari kampung sebelah di rumah ketua kampung bersama Rosli. Perjalanan dari kampung sebelah untuk ke kampung Indah Bayu memakan masa satu jam jika berjalan kaki dan mengambil masa lima belas minit jika menaiki kenderaan empat roda. Kelihatan Rosmah sedang berjalan keluar dari arah dapur dan menuju ke arah ruang tamu di mana Mila dan Rosli sedang berada pada waktu itu. Mereka dihidangkan air kopi bersama cucur udang petang tadi yang dipanaskan untuk dijamah sementara menanti sebuah penantian.
“Ayah, abang Li, Kak Mila..jemputlah menjamah, mohon jangan segan-segan.” pelawa Rosmah anak kepada ketua kampung sambil melemparkan senyuman manis kepada Rosli yang secara terang-terangan tidak menghiraukan dia. Tanpa menghiraukan semua orang, Rosli menggapai cawan berisikan kopi dihadapannya itu lalu dihirup sedikit demi sedikit. Perbuatannya itu ditegur lembut oleh kakak iparnya, Mila.
“Bacalah Bismillah dahulu kalau ya pun, Li.” tegur Mila lembut. Rosli memohon maaf dan terus kembali menghirup air kopi tersebut. Kemudian, dia mengambil cucur udang yang berada di depan mata lalu dicicahkan ke dalam sos cili dan berakhir di dalam mulutnya.
“Hmm..liat..tak sedap..” rungutnya di dalam hati, namun tetap di telan juga kerana ingin menjaga hati budi tuan rumah. Ketua kampung juga tidak ingin ketinggalan, dia mengambil cucur udang itu lalu disumbatkan ke dalam mulut.
“Hmm..liat..tak sedap betul..ni mesti siang tadi punya..ingatkan dia masak yang baru..sedih..” rungut ketua kampung di dalam hati, namun tetap juga ditelan kerana khuatir Mila dan Rosli mengganggap dirinya itu seorang yang suka membazir.
“Kenapa liat ya cucur udang ni?” soal Mila di dalam hati. Ingin bertanya namun tidak berani kerana bimbang jika ketua kampung akan kecil hati dengan pertanyaannya itu. Kemudian, Mila meludahkan cucur itu keluar tingkap rumah kerana tekaknya memang tidak dapat menerima ketidaksedapan cucur udang itu.
“Kenapa kak? tanya Rosli sengaja walaupun dia sudah sedia maklum kenapa kakak iparnya meludahkan makanan itu keluar.
“Ekor udang tercucuk dekat lelangit akak, sakit terus. Tak dapat nak telan.” jawab Mila selamba badak.
“Tapi tak ada udang pun dalam cucur tu..” balas ketua kampung. Bunyi cengkerik kedengaran untuk beberapa saat.
“Err…tambahan pula gusi saya bengkak tok. Tak dapat nak makan benda-benda yang keras ni.” jawab Mila dengan tidak penuh keyakinan di dalam diri.
“Assalamualaikum!”
Kedengaran suara manusia memberikan salam dihadapan rumah ketua kampung. Setelah salam di jawab, mereka bertiga pun bergegas bangun lalu berjalan menuju ke muka pintu. Rupa-rupanya tok imam yang memberikan salam. Kelihatan seorang pemuda yang diarahkan oleh ketua kampung untuk menjemput tok imam tadi sedang berdiri sambil mengunyah rambutan disebelah tok imam.
“Alhamdulillah imam dah sampai. Maaflah terpaksa mengganggu imam awal-awal pagi macam ni. Imam kat kampung ni pergi ke tanah suci, itu yang saya terpaksa memanggil imam untuk datang ke sini demi memberikan bantuan..” kata ketua kampung.
Tok Imam di pelawa untuk naik ke rumah dan mereka bertiga menceritakan perkara yang melanda keamanan kampung tersebut. Tok Imam menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal selepas mendengar cerita yang diceritakan kepadanya sebentar tadi. Ketua kampung tidak henti-henti merayu agar tok imam membantu mereka dan mengembalikan keamanan dikampung itu.
“Beginilah. Aku ni manusia biasa. Aku tak ada apa-apa kuasa. Eloknya kamu panggil semua orang kampung datang ke surau, kita buat solat hajat supaya tak ada gangguan lagi yang datang mengganggu. Kita mohon pertolongan dari Allah.. Itu yang sebaiknya.” cadang tok imam. Lalu Rosli bersama dengan seorang lagi pemuda diarahkan untuk pergi ke surau untuk memukul beduk supaya penduduk kampung datang ke surau itu untuk melakukan solat hajat.
Beberapa minit kemudian, kelihatan orang kampung datang berpusu-pusu menuju ke arah surau tersebut. Ketua kampung dan tok imam juga datang ke surau itu dan memberikan taklimat kepada semua orang. Dan mereka pun berlumba-lumba menuju ke perigi air untuk mengambil wudhuk.
“Kau lapar lagi?”
“Iya..aku masih lapar lagi, tuan.”
“Aku bawakan bubur kegemaran kau. Makanlah dan kembali melakukan kerja-kerja kau yang aku suruh.”
“Terima kasih tuan. Sesungguhnya engkau pemberi rezeki kepada aku.”
“Ya, benar itu! Akulah pemberi rezeki! Tunduk hormat pada aku! Dan sanjung aku! Aku yang menghidupkan kau kembali! Hahahahahahahaha!!”
Di bawah sinaran pancaran cahaya bulan yang terang, kelihatan seorang lelaki bersama seekor makhluk sedang berbicara di atas kubur. Satu sedang membongkok ke bawah dan satu lagi sedang tegak berdiri memerhatikan yang satu lagi. Gelak tawa jelas kedengaran disetiap pelusuk kawasan perkuburan tersebut.
“Brader, wa tengah layan stim ni. Lu boleh gelak-gelak apahal? Nanti polis dengar woo.” gelak tawa tadi terhenti selepas ditegur oleh seorang mat dadah.
“Lu buat apa berbungkus-bungkus ni? Lu nak buat prank ek?” tegurnya lagi.
“Dia ni pocong, kau tak takut ke?
“Pocong mana ada makan nasi dalam bungkusan bodoh…” jawabnya selamba sambil menujah kepala lelaki itu tadi dan berlalu pergi sambil meletakkan jari telunjuk di mulut menandakan dia menyuruh mereka berdua untuk diam dan jangan buat bising.
“Nanti orang nampak lu kat kubur pagi-pagi buta ni dia orang tangkap, Lebih baik lu diam je.” sambungnya lagi. Dan mat dadah tersebut terus berlalu pergi meninggalkan lelaki itu tadi terpinga-pinga seorang diri.
“Aku sudah habis, tuan.”
“Baguslah. Sekarang aku nak kau pergi kembali melakukan kerja yang tertangguh. Aku nak pergi melawat Jenah pulak.” arah lelaki itu tadi. Kemudian, pocong tersebut berpecah menjadi kepulan asap dan hilang ditiup angin. Manakala lelaki itu pula berjalan menuju ke arah hutan dan hilang dari pandangan.
“Aku akan tinggal disini untuk beberapa hari lagi dan malam nanti aku ingin pergi melawat pusara arwah Ramli. Aku nak lihat sendiri dengan mata aku apakah benar dakwaan kalian semua bahawa ada manusia mengamalkan ilmu hitam dan menggunakan arwah Ramli sebagai pengikutnya. Jika ya, kita harus melakukan sesuatu dan menghalangnya daripada terus melakukan perkara yang sesat dan tidak diredhai Allah tersebut.” jelas tok imam kepada semua orang kampung yang masih berada di dalam surau.
“Kalau macam tu, ada baiknya jika imam tinggal saja di rumah saya untuk beberapa hari ni.” pelawa ketua kampung. Namun, pelawaannya itu ditolak dengan baik oleh tok imam, kerana tok imam ingin beramal selama dia berada di kampung tersebut. Dia memerlukan bilik sendiri dan jauh dari bunyi bising. Dia tidak ingin ada gangguan dari manusia.
“Sewakan aku hotel.” arah tok imam.
“Amboi. Nak yang high-standard je.” terdengar teguran dari anak muda yang berada disitu.
“Jika begitu, binakan aku sebuah pondok supaya senang aaaaaaa….” kata-kata tok imam terhenti selepas telinganya ditarik kuat oleh ketua kampung. Dan akhirnya tok imam membuat keputusan untuk tinggal saja dirumah ketua kampung. Diluar surau tersebut, Mila dan Rosli sedang duduk di anak tangga sambil berbual. Mereka cuba untuk melupakan perkara yang berlaku dengan cara berbual kosong. Rosli menjadi serba salah selepas kakak iparnya mengajukan soalan bila mahu mendirikan rumah tangga?
“Nanti-nantilah. Awal lagi nak fikir pasal kahwin, kak.” jawab Rosli mencuba untuk mengelak. Dengan tidak semena-mena, dari kelihatan seorang pemuda kampung berlari memasuki pagar surau itu dan menjerit memanggil ketua kampung. Mereka yang berada di dalam surau pun terus bergegas berlari mendapatkan pemuda tersebut. Mereka diberitahu bahawa pemuda tersebut telah menjumpai mayat seorang lelaki di ladang pokok kelapa sawit. Mereka semua terkejut dengan perkara tersebut dan terus bergerak mengikut jejak langkah pemuda itu tadi dan menuju ke arah ladang kelapa sawit yang disebutkan. Apabila mereka tiba di ladang kelapa sawit tersebut, semua yang berada disitu dapat menghidu bau yang sangat busuk. Mila hampir-hampir muntah akibat bau yang busuk itu.
“Bau ni datang dari mayat tersebut..” jelas ketua kampung dan perlahan-perlahan dia berjalan mendekati mayat lelaki itu. Tok imam juga mengikut jejak langkah ketua kampung dan perlahan-perlahan berjalan menuju ke arah mayat itu. Setelah mereka amati wajah mayat tersebut, tok imam tiba-tiba mengucap panjang. Mayat yang mereka sedang lihat pada ketika itu adalah mayat seorang lelaki yang sudah berumah tangga dan mempunyai seorang isteri serta empat orang anak.
“Karim nama dia. Dia dari kampung sebelah. Sudah sebulan lebih dia hilang. Semua ingatkan dia melarikan diri akibat tidak sanggup hidup dalam kemiskinan.” jelas tok imam. Lalu ketua kampung mengarahka seorang anak buahnya untuk pergi ke kampung sebelah untuk memaklumkan perkara tersebut kepada keluarga. Rosli meneliti mayat lelaki tersebut, matanya tertumpu pada dada mayat itu kerana terdapat kesan tikaman. Ianya sama seperti tikaman di dada abang kandungnya yang telah menjadi mangsa kepada hasad dengki manusia yang tidak bertimbang rasa.
“Ada baiknya kita telefon pihak polis. Sebab ni kes b***h. Lihat saja tikaman pada dadanya itu.” cadang Rosli. Dan mereka semua bersetuju kemudian, ketua kampung membuat panggilan. Tidak lama kemudian pihak polis pun tiba bersama pihak forensik. Mereka membiarkan pegawai itu semua melakukan kerja dan mayat lelaki itu dimasukkan ke dalam beg plastik bewarna hitam untuk dibawa pergi ke balai.
“Tahniah. Tak sangka kau mempunyai mata yang tajam, Rosli.” puji Mila.
“Saya selalu tengok cerita Conan, memanglah..” jelas Rosli bangga.
Mereka semua beredar dari ladang kelapa sawit itu untuk memberikan ruang kepada pihak pegawai melakukan kerja-kerja mereka.
Malam kian menjelma, beberapa orang penduduk kampung kelihatan sedang berkumpul di halaman rumah ketua kampung. Masing-masing berada di dalam keadaan bersiap sedia, seperti seorang tentera yang sudah bersedia untuk menuju ke medan peperangan. Ketua kampung sedang rancak berucap dihadapan penduduk kampung, kata-kata sakti dilaungkan. Mereka semua berdiri teguh bersama kayu yang digenggam erat di tangan. Mereka seperti wira-wira yang bakal mencipta sejarah dunia.
“Kita mesti bersatu dan bekerjasama!” kata-kata semangat yang dilaungkan oleh ketua kampung mampu memecahkan langit yang tinggi di atas, meruntuhkan bangunan yang setinggi gunung.
“Nampak hantu! Kita menyorok belakang tok imam! Biar imam yang selesaikan!” tambah ketua kampung lagi.
“Waaa…apa? Belakang aku? Amboi…kau nak biarkan aku je ke depan? Apa punya ketua lah kau ni..” balas tok imam menandakan dia tidak bersetuju.
“Imam..you’re the chosen one…” sambung ketua kampung.
Lalu mereka semua bergerak meninggalkan halaman rumah ketua kampung bersama panji dan sepanduk. Tok imam diarahkan untuk mengetuai rombongan itu untuk pergi ke surau bagi menunaikan solat maghrib.
“Risaulah saya kak..macam bahaya je misi dia orang ni.” kata Rosmah bimbang.
“Tak ada apalah Ros. Jangan risau. Imam boleh kawal keadaan..” balas Mila cuba menenangkan anak perempuan ketua kampung itu.
Tepat pukul 9:00 malam, mereka semua bertolak pergi ke tanah perkuburan daripada surau itu. Ketika di dalam perjalanan, mereka telah singgah sebentar ke balai raya untuk meninggalkan beberapa orang penduduk kampung untuk berkawal kerana keselamatan kampung harus juga dipertimbangkan, bahaya itu tidak datang hanya daripada hantu atau pun jin, turut juga datang daripada manusia itu sendiri. Kemudian, mereka semua bertolak tanpa membuang sebarang masa. Tok imam mengarahkan semuanya untuk jarakkan 10 langkah antara mereka dengan tok imam demi keselamatan masing-masing, supaya mudah untuk mereka melarikan diri. Namun, Rosli tidak bersetuju dengan cadangan tok imam tersebut dan menawarkan diri untuk berjalan disamping tok imam. Maka dengan itu, Rosli berjalan dihadapan bersama tok imam, sementara yang lain berjalan dibelakang dengan jarak antara mereka sebanyak 10 langkah.
“Ketika kita berjalan ni, ada baiknya kita berzikir. Sekurang-kurangnya, jika ada apa-apa kemalangan meragut nyawa menimpa kita, kita tidak pergi dalam keadaan yang tidak bersedia.” cadang tok imam kepada Rosli yang sedang berjalan disebelahnya. Rosli bersetuju dengan cadangan daripada tok imam, lalu dia mengamalkan perkara tersebut. Tidak lama kemudian, mereka pun tiba ke tanah perkuburan yang ingin ditujui.
“Tok imam, sepanjang perjalanan kita tadi, saya hanya dengar bunyi tapak kaki kita berdua saja. Dan saya hanya mendengar bunyi nafas tok imam dan saya saja.” tanya Rosli.
“Kamu homo ke?” balas tok imam dengan wajahnya yang agak kekeliruan dengan soalan Rosli.
“Eh! Tak.. Bukan itu maksud saya, yang saya maksudkan tadi ialah……” kata-kata Rosli terhenti apabila dia menoleh ke arah belakang dan mendapati tiada sesiapa pun yang berada dibelakang mereka berdua. Tok imam juga turut menoleh dan berasa amat terkejut dengan keadaan yang berlaku pada waktu itu.
“Sekarang aku faham apa maksud kamu tadi…Tak guna betul. Tidak aku sangka bahawa penduduk kampung ni semuanya tak ada telur. Mungkin minum susu lembu terlalu banyak barangkali.” kata tok imam dengan nadanya yang sedikit geram. Lalu, tok imam dan Rosli melangkahkan kaki kanan mereka memasuki tanah perkuburan tersebut dan Rosli membawa tok imam menuju ke arah pondok yang di mana dia duduk bersama dengan Wan serta Ajak tempoh hari. Setelah mereka tiba di pondok itu, mereka mendapati bahawa Wan dan juga Ajak sudah berada di situ. Wan dan Ajak memaklumkan bahawa mereka sudah lama berada di situ kerana mereka khuatir jika kelibat yang mereka lihat pada tempoh hari muncul lebih awal pula kali ini.
“Habis tu, dah muncul ke belum?” tanya tok imam kepada mereka berdua.
“Belum lagi, mam. Tapi sejak tadi lagi memang kami ada terhidu bauan yang sama macam hari tu.” jawab Ajak.
“Baiklah. Kita tunggu dan lihat, sementara kita menunggu, aku nak kamu bertiga berzikir. Walau apa pun yang berlaku, apa yang kamu lihat, jangan berhenti berzikir, faham?” arah tok imam kepada mereka bertiga. Dan, mereka berempat pun menunggu dipondok tersebut. Nasib saja si Wan dan Ajak ada membawa sedikit makanan dan juga minuman untuk dijamah. Tok imam dan Rosli juga baru menyedari bahawa mereka tidak menjamah apa jenis makanan mahu pun minuman sejak petang tadi.
Ketika mereka sedang berselera menjamu makanan, tok imam mengarahkan mereka untuk berhenti dan diam. Perlahan-lahan tok imam bangun dan melihat ke arah pusara Ramli. Jelas kelihatan seorang manusia sedang berdiri disebelah pusara itu, dia mengeluarkan bungkusan makanan dari dalam plastik berwarna hitam lalu diletakkan di atas pusara tersebut. Kemudian, berkepullah asap putih keluar dari tanah dan menjelma sebagai makhluk yang berbungkus atau lebih digemari digelar sebagai pocong. Pocong itu membongkok ke bawah dan memakan bungkusan yang berisi bubur itu. Kejadian itu disaksikan oleh mereka berempat. Rosli menggenggam penumbuknya sekuat hati, entah mengapa hatinya menjadi sangat marah dengan apa berlaku pad aketiak itu.
“Sekarang pergilah engkau membuat huru-hara! Sudah tiba masanya mereka mengenali diri aku!!!” jelas kedengaran ayat yang dilaungkan oleh lelaki. Lalu pocong tersebut melompat jauh daripada tanah perkuburan itu. Mereka berempat yang sedang melihat menjadi sangat terkejut dengan kebolehan yang diperolehi oleh pocong itu.
“Masuk sukan olimpik dapat pingat emas tu..” bisik Wan perlahan tetapi tetap boleh di dengari oleh yang lain. Perutnya disiku oleh Ajak yang berada dihadapannya. Ajak memarahi Wan kerana perbuatan Wan itu tidak kena pada tempatnya.
“Jenah! Pergi engkau membantu Ramli!” laungan itu membuatkan mereka semua yang berada dipondok tergamam. Siapa pula Jenah yang dipanggil oleh lelaki misteri itu? Lalu kelihatan seekor pontianak sedang terbang melintasi kepala lelaki itu dan menuju ke arah kampung sambil ditemani hilai tawa yang sangat ngeri.
“Itulah kot yang ganggu kita masa kat balai raya itu hari. Suara lebih kurang je..” kata Ajak. Kemudian, lelaki itu berjalan menuju ke arah hutan berdekatan dan hilang dari pandangan mata. Mereka bertiga menanyakan soalan kepada tok imam tentang perancangan tok imam. Tok imam hanya mendiamkan diri sambil memejamkan mata.
“Kita ke kampung dulu. Dari firasat aku, ada sesuatu yang dia inginkan dari kampung ni. Aku dapat hidu bau d***h, tapi aku tidak tahu d***h siapa..” balas tok imam. Mereka bertiga tercengang selepas mendengaran jawapan dari tok imam. D***h siapakah yang dia maksudkan?
“Ayuh! Kita bergerak sekarang! Ada misi yang harus kita selesaikan!” ajak tok imam. Lalu mereka berempat pun berlalu pergi dari tanah perkuburan tersebut. Mereka bertiga cuba untuk mengejar tok imam namun tok imam seperti berjalan terlalu laju sehinggakan mereka bertiga terpaksa berlari sekuat hati. Walaupun di mata mereka kelihatan tok imam hanya berjalan seperti manusia biasa akan tetapi mereka tetap terpisah jauh dan mereka sudah pun penat berlari. Akhirnya, tok imam hilang dari pandangan mereka. Mereka berhenti rehat seketika, jelas kedengaran bunyi jeritan manusia di dalam kesusahan.
“Dari arah kampung. Cepat wei.. kita tak boleh buang masa lagi.” kata Ajak. Wan dan Rosli seperti sudah tidak berdaya lagi namun, mereka gagahi juga untuk berjalan mengikuti Ajak. Entah bila ianya berlaku pun mereka tidak pasti tetapi Ajak sudah tidak ada dihadapan mereka berdua. Kini tinggallah Wan dan Rosli berdua sahaja disitu. Tanpa sebarang lampu, hanya ditemani oleh ihsan cahaya dari sang bulan.
“Kenapa dia orang berjalan cepat sangat? Aku dah tak berdaya lagi ni.” rungut Wan yang juga turut dipersetujui oleh Rosli yang sedang tercungap-cungap disebelahnya. Mereka berdua meneruskan perjalanan mereka walaupun berjalan perlahan. Rosli mulai sedar akan situasi yang berlaku, mereka telah melalui kawasan yang sama berulang kali!
“Wan, macam mana ni? Aku rasa kita yang termasuk dalam perangkap syaitan ni.” kata Rosli.
“Aku pun rasa macam tu juga. Sepatutnya kita dah sampai ke kampung ni, paling kurang pun rumah si Hamdan tu. Sebab tanah perkuburan tu penghujung kampung.” balas Wan.
Mereka tetap meneruskan perjalanan sambil mata mereka melilau memerhatikan keadaan sekeliling. Fikiran mereka benar-benar bercelaru pada waktu itu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan, kerana mereka tidak pernah mengalami keadaan seperti itu.
“Adik…….” jelas kedengaran ditelinga Rosli dan Wan namun mereka tidak mengendahkan itu semua kerana mereka tahu bahawa itu adalah syaitan. Sudah beberapa kali mereka mendengar bisikan itu dan akhirnya Rosli yang sudah hampir hilang sabar berhenti dan menjawab seruan suara misteri itu yang dia amat kenali, ianya adalah suara milik Ramli, abang kandungnya sendiri.
“Kau nak apa? Aku tahu itu bukan kau, abang. Tunjukkan diri kau!” Rosli memberanikan diri dengan menyeru makhluk yang berbisik memanggilnya sejak tadi untuk munculkan diri. Dia sudah tidak tahan lagi dengan usikan tersebut, dia terasa dirinya seperti dipermainkan.
“Wei Li..kau gila ke apa ni? Selamba kau je wei..Fikirlah aku…..arrr..” kata-kata Wan terhenti.
Rosli yang berdiri tidak jauh dari Wan menjadi tergamam selepas melihatkan keadaan yang menimpa diri Wan. Kelihatan d***h yang banyak memercik keluar dari mulut Wan, diperutnya pula kelihatan seperti tangan yang mempunyai kuku tajam menikam dan menembusinya. Akhirnya Wan jatuh rebah ke bumi, Dibelakang Wan, berdirinya seekor makhluk aneh yang ngeri, ianya rendah dan membongkok. Makhluk itu yang telah menikam Wan.
“Sehari, aku cuma ingin satu nyawa…” kedengaran bunyi bisikan suara milik Ramli itu ditelinga Rosli. Kemudian, makhluk aneh itu tadi hilang seperti angin dan keadaan kembali seperti biasa. Rosli memandang keadaan sekeliling, dia berada di tanah perkuburan. Dia menjadi hairan dengan apa yang berlaku. Kemudian, dia berlari ke arah Wan yang sedang terbaring di atas tanah. Rosli memangku Wan di atas ribanya namun, segala-galanya sudah terlambat. Wan sudah tiada lagi. Rosli benar-benar tergamam dengan situasi itu. Malapetaka apakah yang sedang menimpa kampung Indah Bayu itu?
Bersambung…
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
..
Okay.
Best
Bila.sambungan nya
Aku membaca dengan penat..banyak betul punchline..huhu..best jugak sbb ada lawak2..tersembur air aku baca…
beraninya U baca citer hantu awal2 pagi…
Diva takuttt…
Baca ayat kursi AA..
Wehh sambung cepatttt ðŸ˜ðŸ˜
Seram
Banyak genre cerita ni, btw best. Cepat cepat la sambung tau
seram komedi..terbaiklah
kelakarlah….. sambung cepat.
Arrr..kenapa sambung? cepat sikit sambung
wall of text….zz
Cepat sambung. Syok pulak baca. Kelakar, boleh terasa suspen dia. Good2
start tang makan cucur udang xde udang tu aku terbahak2 hawaw ar…kahkahkah..bertalu2 punchline dia tau
Seram sangat..best
Wuiiii…seram woiiii…….Nasib aku bca masa dh publish part 2. hehehe
Mula2 baca bosan, saya siap berenti, sambung balik lepas beberapa hari… Hari ni sambung baca bila part tarik telinga tok imam tu saya dah start gelak, sambung lagi ada lg lawak2 yg diselit, terhibur pulak hati ni… Keep it up! Best cite ni…
pjg sgt. sinopsis ada? mkcik nie dh tua nk bca pjg2
#cumel
Aduh laaa… Xfhm aq laaaa
jalan cerita yg menarik. suspen je sapelah org yg amalkan ilmu hitam tu
nak bace sambungan eh plak..
sape punya angkara