Gangguan jin tiga beradik

Hai . Saya Iris. Saya nak story kisah seram yang berlaku dekat satu RnR. Kisah ni berlaku kira-kira tiga bulan lepas sewaktu saya dan suami dalam perjalanan pulang dari kampung.

Seperti kebiasaan , saya dan suami gemar memulakan perjalanan pada waktu malam. Waktu malam ni mendamaikan dan tak panas. Kalau jem pun tak terasa stress sangat. Suami bawa kereta santai sahaja dan kami akan singgah rehat di RNR.

Disebabkan malas rehat di pondok, suami parkir kereta jauh sedikit dan bersebelahan hutan. Tak ramai yang parkir kereta di situ. Hanya ada seorang dua penunggang motosikal sedang merokok dan melepaskan lelah. Suami pun keluar dari kereta dan merokok di luar.

Okay, kat sini kisah seram bermula. Saya rehat dalam kereta sambil scroll TikTok. Sesekali saya jenguk suami kat luar tingkap dan berborak ringkas. Sedang saya ralit memandang skrin telefon, anak mata saya seakan perasan sesuatu bergerak di kawasan hutan.

Hutan yang berhampiran kereta kami ni tebal dan ada bukit yang agak rendah dan curam. Saya perasan ada objek bergerak-gerak menuruni bukit dari hutan tebal itu. Suami tak perasan sebab membelakangi badannya.

Apabila saya pandang, memang betul. Ada tiga orang kanak-kanak lelaki berbaju putih bermain di kawasan tepi hutan dan menggelongsor di bukit yang rendah itu . Sesekali mereka ketawa dan melompat riang.

Dahi saya dah berkerut. Saya tak takut sebab wajah semua kanak-kanak itu macam manusia biasa. Putih, comel dan seiras seperti kembar tiga. Usia mereka dalam 6 tahun. Tetapi yang anehnya , bagaimana mereka boleh ada di kawasan hutan berbukit sedangkan kawasan RnR dikelilingi pagar?

Mata saya tercari-cari kelibat ibu bapa mereka. Tiada sesiapa. Kawasan parkir ini jauh sedikit dari pondok dan kawasan tempat makan. Jadi, siapa ketiga-tiga budak lelaki ini?

Suami saya diam sahaja sambil scroll telefon bimbit. Seolah-olah suami saya tak sedar kehadiran tiga budak lelaki di belakangnya. Padahal mereka bertiga riuh bergelak tawa. Anehnya dua orang penunggang motosikal itu pun dalam keadaan santai. Tak ada yang pandang ke arah semua kanak-kanak itu.

Hati saya mula rasa sesuatu yang tidak enak. Saya cepat-cepat naikkan seat dan cuit suami. Memang saya nak terus gerak sebab saya tahu yang ada di hutan tu bukan anak manusia.

Sedang saya cuit suami, saya perasan suasana jadi sunyi semula. Tiada gelak tawa seperti tadi. Saya terus pandang ke arah hutan berbukit itu.

Jantung saya berdegup kencang. Badan saya auto seram sejuk menggigil. Ketiga-tiga budak lelaki yang sibuk bermain tadi kini berdiri tegak memandang tepat ke arah saya. Wajah mereka pucat lesi. Putih seperti tiada d***h.

“Sayang, jom. I tak sedap hati.” Saya malas nak bercerita panjang, terus saya naikkan tingkap kereta.

Suami memang tahu ada masanya saya terkena gangguan. Jadi, dia terus masuk ke dalam kereta dan meneruskan perjalanan. Kami pasang radio supaya suasana kembali normal.

Lama kelamaan saya mengantuk dan hampir terlelap. Saya hanya melayan mata sambil memandang ke luar tingkap. Tetapi, sampai sahaja di satu kawasan gelap, saya terdengar bisikan halus di telinga. Suara kanak-kanak.

“Kakak, kenapa tak nak main dengan kami?”

Suara itu berbisik lalu ketawa perlahan.

Saya terus beristighfar dan meraup wajah beberapa kali. Suami menepuk bahu saya dan menyuruh saya minum air sementara mencari perhentian yang baru.

Perjalanan singkat terasa seperti berpuluh jam. Sampai sahaja di rumah, saya terus membersihkan diri. Sebelum saya tidur , seperti biasa saya akan bancuh secawan susu panas. Jadi , saya ke dapur sementara tunggu suami selesai mandi.

Ting! Ting!
Bunyi sudu diketuk di gelas.

Saya tersentak. Saya terus pusing ke belakang. Ingatkan suami selesai mandi dan datang nak bergurau.

Tiada sesiapa. Saya terus habiskan minum susu panas dan bergegas naik ke bilik. Memang saya meremang.

“Hik! Hik! Hik!”

Kaki saya stop di anak tangga terakhir. Bunyi suara kanak-kanak ketawa jelas kedengaran dari arah bilik di tingkat bawah. Rumah saya ada satu bilik di tingkat bawah dan tiga bilik di tingkat atas. Bilik bawah memang kosong kerana saya jadikan bilik kerja untuk saya melukis.

Kalau dalam filem mesti orang tu pergi tengok kan? Tapi tidak pada saya hahaha. Saya terus masuk bilik. Kenapa nak tengok kalau dah tahu ada ‘benda’ nak mengusik.

Keesokannya suami pergi kerja, saya kemas apa yang patut. Banyak barang dari kampung yang dibawa pulang. Sedang saya sibuk susun barang makanan ke dalam peti, telinga saya menangkap bunyi grill digoncang.

Disebabkan siang, saya jadi berani. Cepat-cepat saya pergi tengok. Tiada sesiapa. Selalunya kucing jiran kerap melompat masuk ke kawasan rumah saya. Mungkin bunyi dari perbuatan nakal kucing.

Sebelum nak melangkah semula ke dapur , saya terpandang bilik melukis saya. Tergerak hati nak masuk tengok sebab semalam saya abaikan bunyi dari bilik ini.

Alangkah terkejutnya saya sebaik sahaja pintu bilik dibuka. Habis bersepah barang dalam bilik. Pensil warna ,kertas A5 dan peralatan melukis lain berterabur. Beberapa batang crayon patah. Kerusi pun terbalik.

Saya jadi panas hati. Teruk juga usikan benda ni. Mungkin kerana saya abaikan gangguannya malam tadi. Jadi dia marah dan protes.

Sedang saya menyusun semula barang dan kertas lukisan, saya perasan ada sehelai kertas A5 elok terletak di atas meja. Ada contengan di atas kertas. Saya perhatikan betul-betul.

Terlepas pensil warna dari tangan saya. Terketar-ketar saya ke belakang untuk lari keluar dari bilik. Di atas kertas itu terpampang lukisan orang lidi tiga budak lelaki yang dilukis menggunakan crayon.

Saya terus call suami dan minta dia pulang segera. Saya buka pintu luas-luas dan duduk di sofa. Badan saya masih menggigil. Duduk serumah dengan hantu memang menakutkan walaupun siang. Alunan ayat suci Al-Quran saya biarkan terpasang di laptop.

Pranggg!!
Bunyi kaca pecah dari tingkat atas. Tepatnya dari bilik saya! Entah apa lagi yang berlaku. Saya tak naik ke atas. Biarlah naik dengan suami. Hampir satu jam baru suami sampai di rumah dalam keadaan kelam kabut.

Keadaan dalam kamar kami turut bersepah. Tetapi lebih teruk kerana cermin meja solek saya pecah dibaling dengan mug. Cermin pecah,mug pun turut berderai. Nak menangis rasanya sebab mug itu hadiah birthday dari kawan baik saya.

Petang itu seorang ustaz dipanggil untuk tengok keadaan rumah. Kata ustaz benda ini tak bertuan dan ibarat jin liar. Menumpang dekat orang yang lemah semangat . Ada tiga beradik semuanya. Salah seekor tu memang tertarik kepada saya dan ikut saya pulang. Dia menjadi ganas apabila saya seperti abaikan kehadirannya.

Selepas selesai rumah dipagar, tak ada lagi gangguan. Kalau dibiarkan mungkin lagi ekstrim jin tu kacau. Mujurlah semuanya selesai. Jadi, jangan berhenti di kawasan gelap atau yang jauh dari orang.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 49 Average: 4.6]
Iris

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Light
Dark