SANGGUPKAH ENGKAU?

Assalamualaikum kepada pembaca setia FS dan admin FS sendiri.Terima kasih sekali lagi kepada admin sebab keluarkan dua cerita aku yang bertajuk DIEKORI PONTIANAK dan BERTEMU BUKU DENGAN RUAS. Lagi sekali dengan tanpa rasa jemu aku perkenalkan diri. Aku yang bernama NANA, (memang nama sebenar). Sebenarnya, apa yang aku ceritakan pada siri yang lepas adalah berdasarkan kisah benar yang dilalui oleh abahku sendiri, tidak menceduk atau meniru mana-mana buku novel atau cerpen seram terutama penulis hebat Tamar Jalis.

Mungkin kisah abah ada sedikit kesamaan dengan kisahnya. Jangan risau,ini adalah kisah asli seperti yang diceritakan oleh abah kepadaku dan kini aku menterjemahkan melalui penulisan untuk dibaca oleh kalian. Kisah yang ingin aku ceritakan ini juga, sama seperti siri kedua yang aku tulis,dari zaman 60an, 70an dan zaman sekarang. Aku lebih suka cara begitu sebab ingin memudahkan kalian membaca dan memahami cara abahku menanggani situasi disetiap peringkat umurnya…Baiklah,ini kisahnya……

KISAH SATU-HANTU RAYA..
Dalam zaman 60an,petang itu abah keluar dengan pak long, cadang mereka hendak pergi bermain galah panjang dirumah Ramli, rakan sepermainan mereka yang berada jauh sedikit dari rumah arwah atuk.Opah menyapu dedaun kering yang bertaburan dilaman,sesekali dikerling dua anak lelakinya yang sedang mencari seluar jerut yang tersidai diampaian.”Mak,Jai ambik seluar kat ampai ni ye,seluar yang Jai pakai koyaklah kat sini..!”Jerit abah pada opah sambil menunjuk bahagian yang koyak.Jeritannya tidak kuat tapi sengaja dilontarkan suaranya kuat sedikit agar opah boleh mendengar,kerana bunyi suara angsa berlari mengejar ayam dihalaman rumah sambil cuba hendak menyudu ayam bergema diruang udara.Pak long memandang dari jauh,dengan merenung tajam dan bercekak pinggang.”Jai..!Cepatlah sikit,dah petang ni..,berapa lama nak pakai seluar tu,jerut ajelah..!”Marah paklong pada abah.

Selesai bertukar seluar, meluru abah berlari pada paklong.”Ko memang tak boleh sabar ye bang,nasib aku ni adik.Dah besar aku nak belajar silat,nanti aku silat ko,haha…”Ketawa abah pada paklong,bukannya melawan tapi biasalah gurauan adik beradik lelaki ni lain sikit,kasar. Tapi dalam hati sayang.

Sampai sahaja tempat yang dituju,maka bermainlah abah dan paklong bersama rakan-rakan seusia.Tanpa disedari petang pun melabuhkan tirainya untuk memberi laluan sang senja mamayungi alam.Paklong menghampiri abah,seraya berkata.”Jai, jom balik.”Abah memandang paklong dengan wajah kelat.”Bang, ko balik dulu lah, nanti Jai balik, bagi Jai main sekejap je lagi,boleh? “Abah memujuk paklong. Paklong hanya angguk tanda setuju kemudian berlalu pulang meninggalkan abah.Dan berlangsunglah sesi bermain abah dan rakan-rakan dengan jayanya, yang tanpa abah sedari akan berlaku peristiwa seram diwaktu senja yang kelam,tanpa diduga oleh abah.

Usai bermain, maka abah pun pulang dengan senang hati. Berjalanlah abah sendirian membelah langit senja, sesakali digaru-garu lengannya yang gatal kerana digigit nyamuk. Difikirannya terbayang akan rotan panjang yang akan menjalar disetiap ruang kulitnya.Bapak mesti marah aku,getus hatinya. Begitulah abah,memang sifat degilnya melangkaui sifat amarah arwah atuk, biar dilibas dengan rotan atau disesah dengan batang ubi,memang jenis manusia tak makan saman ,kata orang tua-tua…huhu,sedihnya kalau aku bayangkan. Ketika sedang leka berjalan,sehingga melalui dihadapan rumah Wak Arip(bukan nama sebenar),dengan tiba-tiba pintu rumah Wak Arip terbuka perlahan.

Hanya pintu kayu,terdengar jelas bunyi keriukkan pintu saat dibuka. Antara abah dan rumah Wak Arip cuma dua meter sahaja. Baru sahaja kakinya hendak melangkah,abah terdengar bunyi hentakkan kaki dari dalam seolah-olah sedang berlari-lari anak.Abah cuba menjengah dari luar,tidak berani untuk hampir lebih dekat. Baru sahaja hendak memanjangkan leher untuk mengintai disebalik celahan pintu yang terbuka, tiba-tiba…..”APA YANG KAU SEDANG INTAI TU MANUSIAAA…!!!” Abah terdengar satu suara garau dari dalam rumah Wak Arip, terus abah terperanjat sambil terlompat kebelakang, mujur tidak jatuh, disebabkan terkejut yang amat sangat.

Kemudian keluar satu mahkluk seiras Wak Arip,tetapi didalam keadaan seperti merangkak menuju kearah abah,sambil menyeringai menampakkan giginya yang tajam dan runcing serta jelas kelihatan lendir bercampur darah mengalir dileher tua Wak Arip,”KAU NAK KAWAN DENGAN AKUUU…” Rayu makhluk itu sambil menjelirkan lidahnya yang panjang dan membuntangkan matanya yang semerah biji saga.Sesekali terdengar dengusan nafas makhluk tersebut, diselangseli bauan hanyir darah memenuhi rongga hidung.

Dikala itulah kaki abah langsung tidak dapat hendak bergerak,seakan sudah dipaku dan badannya seperti sudah tidak bermaya untuk kekal berdiri.Air mata mula laju mengalir membasahi pipi,saat itu timbul perasaan menyesal yang teramat sangat, kerana tidak pulang awal.’Menyesal aku tak dengar cakap abang’,abah meluahkan tangis dihati. Tiba-tiba terdengar satu suara indah yang menjadi penyelamat abah disaat dia sedang bertentangan mata dengan sisyaitan laknatullah itu. “ALLAHUAKBAR….ALLAHUAKBAR…”Ya…,gema suara bilal yang sedang melaungkan azan,disurau berdekatan untuk solat maghrib yang telah menyelamatkan abah.

Saat itulah badan abah boleh bergerak sedikit demi sedikit disaat badannya sedang di”beku”dan kakinya umpama di”paku”. Ringan sahaja badan untuk bergerak,tanpa berfikir panjang terus abah membuka langkah seribu,umpama lari tak cukup tanah tanpa sedikit pun menoleh kebelakang.Tidak sanggup rasanya nak bertentang mata dengan makhluk tersebut buat kali kedua,cukuplah sekali.Dan dalam saat abah berlari,terdengar suara makhluk itu dari dalam rumah itu. “KENAPA KAU LARI MANUSIA….KAU TAKUTTT….HAHAHA….AKU LAPARRR…..HAHAHA…..

“Sambil ketawa garau,seperti mengejek-ejek abah yang berlari dalam ketakutan. YaAllah….,abah ada berkata kepadaku,disaat dan ketika itu mahu saja dia berlari kesurau dan teringin hendak memeluk pak bilal itu,kerana suara azannyalah yang telah menyelamatkan abah dari syaitan durjana disaat remang senja. Sebenarnya..,menurut kata abah,Wak Arip sudah dua minggu meninggal dunia,kata orang kampung dia ada”membela”.Kerana disaat arwah Wak Arip mengadap sakratulmaut, orang kampung terpaksa membuka sebahagian bumbung yang berada diatas kepala arwah Wak Arip,disaat itulah baru terasa dia sudah tidak bernyawa lagi dan apabila diamati jasadnya,seolah-olah seperti sudah lama meninggal.

Apabila dilihat, sedikit demi sedikit badannya mulai mengecut dan wajahnya mula mencengkung. Manakala matanya seperti terperosok kedalam dan masih terbuka tetapi seakan membuntang dan mata hitam ternaik keatas. Keadaannya seperti orang tidak makan sebulan atau lebih tepat seperti sudah lama meninggal dan tubuhnya sudah menampakkan kehitaman seperti dibakar atas bara api.Rupa-rupanya orang kampung sudah tahu arwah Wak Arip ada membela,kerana itulah tidak ramai yang berkawan dengannya dan berkunjung kerumahnya,malah anak-anaknya juga meminggirkan arwah Wak Arip dan sanggup membiarkan Wak Arip keseorangan dirumah.Ini kerana mereka tidak sanggup hendak bersubahat dengan Wak Arip sehingga sanggup menyekutukan Allah dan anak-anaknya juga tidak sanggup hendak menjadi penjaga kepada belaan Wak Arip,iaitu HANTU RAYA.

KISAH DUA-KERANDA TERBANG DAN PEREMPUAN BERKEBAYA MERAH….
Masih lagi diera 70an sewaktu dia remaja, sebenarnya sengaja aku nak ceritakan berkenaan dua kisah ini, ketika abah ku baru berjinak-jinak dengan dunia persilatan. Kisah ni aku satukan kerana kejadian itu berlaku pada abah di dua malam berturut-turut,dan berdasarkan kisah benar yang memang terjadi padanya.Sehingga abah mengatakan apalah malang nasibnya terjumpa hantu pada dua malam berturut-turut.Takkanlah nak uji ilmu yang baru sejengkal,kalau nak ganggu juga,tunggu ilmu aku panjang sedepa.Menurut kata abah,biarlah hanya sedepa sahaja,kerana dia hanya manusia biasa yang dipinjamkan sedikit nikmat dan kelebihan,ini kerana yang lebih berkuasa hanya Allah sahaja.Dan ini kisahnya…

Pada malam pertama abah pulang lewat dari kebiasaan dari gelanggang silat.Seperti malam yang lain abah sudah biasa mengayuh basikal,kerana abah ketika itu bukan orang senang untuk membeli sebuah motosikal, hanya basikal tua kepunyaan arwah atuk sahaja yang setia menemani abah kemana sahaja.Pada malam itu abah dapat merasakan satu perasaan yang luar biasa dari malam sebelumnya. Sudahlah malam itu gelap gelita memandangkan tiada lampu jalan yang menerangi laluan, bahkan bulan pun seakan segan hendak menampakkan diri.

Sedang ralit mengayuh basikal membelah kepekatan malam,tiba-tiba seakan ada tiupan angin deras menerpa kewajah abah.Lalu abah mendongak keatas sambil memegang kemas handle basikal, difikirannya kalau apa-apa terjadi sempatlah dia menyelamatkan diri.Sebaik sahaja abah mendongak kepalanya ada EMPAT KERANDA TERBANG..!!Dua besar dan dua lagi kecil,seperti empat beranak,namanya pun hantu keranda empat beranak.

Apabila abah bercerita fasal hantu keranda empat beranak ni aku seakan tidak percaya,sebab inilah pertama kali aku mendengarnya. Sememangnya abah ada terdengar arwah atuk dan opah serta beberapa orang kampung akan penemuan hantu keranda empat beranak tersebut.Tetapi seperti biasa cuma masuk angin keluar asap,malas hendak ambil tahu dan susah hendak percaya.Tetapi setelah melihat dengan mata kepala sendiri barulah abah percaya.Berdesup laju empat keranda itu terbang melalui atas kepala,kemudian abah mengekori kemana arah keranda itu pergi.Tidak berapa lama setelah mengekori keranda tersebut,dengan berpenat lelah mengayuh basikal, akhirnya abah sudah menemui destinasi empat keranda tersebut.

Abah melihat empat keranda itu betul-betul parking dibelakang sebuah rumah dan apa yang dilihat rupa- rupanya rumah itu tidak berpenghuni,sudah lama terbiar kosong,masalahnya kalau waktu siang tiada satu keranda pun yang kelihatan.Pembaca hendak tahu rumah siapakah itu…?Rumah yang terbiar kosong itu,adalah rumah arwah Wak Arip, yang pembaca ada membaca kisahnya diawal-awal tadi.Dengan perasaan malas hendak ambil tahu dan ada sedikit perasaan gerun abah pun mengundurkan basikalnya dengan perlahan, selangkah demi selangkah kebelakang kerana tidak mahu mengejutkan makhluk apa yang sedang lena beradu didalam keranda tersebut.

Ada juga abah terdengar gosip orang kampung,bukan sahaja arwah Wak Arip ada membela hantu raya,tetapi pernah juga terdengar,tapi tidak pasti akan kesahihannya, dia pernah pergi menggali kubur empat beranak yang mati bunuh diri itu secara sendirian, lalu diambil cebisan kain kapan empat beranak tersebut. Semuanya untuk memperkuatkan lagi ilmu hitamnya.Menurut kata abah lagi,walaupun orangnya sudah tiada tetapi kesan peninggalan ilmunya masih ada lagi,seolah-olah hidup. Sebab itulah masih boleh nampak hantu keranda tersebut. Ya Allah….menakutkan sungguh bila mendengarnya.Tapi aku rasa itu dulu,ketika zaman itu,kalau diikutkan zaman sekarang,insyaAllah tidak ada.

Malam kedua juga abah terpaksa pulang lewat kerana perlajaran ilmu persilatan berlangsung agak lewat. Kali ini abah bertekad,walau apa yang terbang diatas kepalanya sekali pun, biarlah dan lantaklah.Malas abah hendak mengikut kemana dia pergi.Difikiran abah takut hantu keranda tu ofer diri untuk hantar abah pulang..,’Mari..duduk dalam keranda aku..Aku hantar kau pulang sambil kita terbang,keh keh..!’Abah menggeleng-geleng sendirian sambil mengusap belakang tengkuknya. Ketika sedang abah mengayuh basikal sambil bersenandung,tiba-tiba abah terlihat satu sosok tubuh seseorang didepan simpang tiga tidak jauh dari tempat abah terlihat hantu keranda waktu malam semalam.

Abah cuba menenangkan diri sendiri dan cuba untuk mengawal aura ketakutan yang sudah terserlah.Semakin hampir abah mengayuh basikalnya untuk sampai dengan sosok seseorang itu semakin kuat debaran dihati. Juga,semakin dekat abah dengannya semakin terserlah bau bangkai yang datang dari tubuh seorang PEREMPUAN..!!?Terkejut abah yang berdiri itu adalah seorang perempuan cantik,berkulit putih,dengan bibir merah menyala serta berkebaya merah dan berkain batik lepas.Hati abah mulai tidak sedap,kerana selalunya kalau perempuan berpakaian begitu dan cantik, mestilah wangi tetapi lain pula yang abah tercium, bau busuk bangkai.Ini pasti bukan manusia,abah mula meneka didalam hati.

Melintas sahaja didepan perempuan tersebut,laju sahaja abah mengayuh basikalnya tanpa menoleh sedikit pun pada perempuan tersebut.Tetapi…., abah terdengar perempuan itu bersuara, “MINTA TUMPANGKAN SAYA BANGGG…..” Sayup sahaja abah mendengar suara perempuan itu. Tetapi disebabkan imannya yang menebal dan jiwanya yang kental,dia tetap mengayuh basikal dengan kelajuan yang munasabah sesuai dengan usia basikal itu.Ketika sedang mengayuh basikal semaksimun mungkin,”ABANGGG….HEHEHE…….” TERPERANJAT TAPIR abah bila terdengar suara perempuan itu tadi,yang entah bila dia terbang sambil duduk ayu saja dibelakang, cuba bayangkan.

Dengan kelajuan angin abah mengayuh basikal,tiba-tiba basikal menjadi berat yang amat sangat dek disebabkan perempuan itu telah berada dibelakang dengan secara tiba-tiba.Tidak usah diungkap,segala peluh jantan betina semuanya sudah keluar disaat itu.Sakitnya hati abah dikala itu. “KAU TAU TAK KAU TU BERAT NAK MAMPUS,MACAMMANA AKU NAK HANTAR KAU BALIK,SAMPAI NAK KAYUH BASIKAL PUN TAK BOLEH..KAUKAN HANTU,PERGILAH TERBANG….INI TIDAK… MENYUSAHKAN ORANG JE…,PERGI KAU JANGAN KACAU AKU,AKU NAK BALIK,AKU PENAT NI…!!”Marah abah pada perempuan itu.

Tapi perempuan itu masih tidak berganjak dari tempat duduknya.”Sidia”hanya duduk tanpa bergerak,tapi wajahnya hanya statik memandang kedepan, kemudian perempuan itu mula bersuara,”BANG TUMPANG BANGGG…”Abah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal,kemudian saat itulah segala sel-sel otak abah berhubung. Abah turun dari basikal dan menanggalkan bajunya lalu disangkutkan dihandle basikal. “DIK…AKU TAK DAPATLAH NAK HANTAR KAU,TAPI KAU BOLEH DUDUK KAT BASIKAL NI SAMPAI PAGI ESOK PUN BOLEH…BAJU NI AKU BAGI KAU…,KAU BOLEH CIUM BAU KETIAK AKU,JANGAN IKUT AKU BALIK TAU…..”Tapi perempuan itu tetap statik memandang kedepan tanpa berkedip sedikit pun matanya.

Kemudian selangkah demi selangkah abah mengundur,lalu terus berlari sehabis laju tanpa menoleh kebelakang, membiarkan basikal kesayangan terbiar ditepi jalan bersama perempuan misteri itu.Dan keesokan paginya,dengan segera abah mendapatkan basikalnya,mujur tidak hilang.Lalu abah pun mengayuh basikalnya,dan terus kesungai.Lantas dicampakkan bajunya kesungai yang ditinggalkannya semalam.Tak sanggup rasanya nak bawa balik baju itu.Menurut kata abah,guru silatnya ada beritahu, sedikit kau belajar sedikit kau nampak,lagi banyak kau belajar…,lagi banyak yang kau nampak…jadi,SANGGUPKAH ENGKAU…menghadapinya?

Itu sahajalah sedikit cerita yang ingin aku kongsikan dengan kalian. Anggaplah cerita ini satu pengajaran.Yang baik jangan kita tinggalkan,yang buruk lebih baik kita tinggalkan….InsyaAllah,sampai seru aku akan kongsikan kisah lain pula. SEKIAN….

Aku insan biasa,
NANA

14 thoughts on “SANGGUPKAH ENGKAU?”

  1. Hahahahahahaha part abah marah “sidia” tu kelakar. Sambung lagi nana! Cerita hang best. Tak pernah menghampakan ?

    Reply

Leave a Comment