#DANIAL-KEMBARA KE ALAM ASTRAL

#DANIAL- KEMBARA KE ALAM ASTRAL

(Acknowledgement)
Assalamualaikum buat semua pembaca Fiksyen Shasha. Sihat ke? Jawab kat komen. Saya baca komen anda.haha. Terima kasih lah admin budiman kerana menyiarkan cerita saya buat kali yang keenam selepas Akibat Mengular, Akibat ‘Ghost Prank’, Akibat Nakal, Kasih Yang Tak Berbelah Bagi, dan Kitab Arwah.

(Introduction)

Sebenarnya sungguh berat aku nak cerita kisah ini kat orang lain, sebabnya? Banyak sebab seperti dibawah:

1. Cerita ni agak berat bagi aku
2. Takut orang tak faham dan tak percaya aku.
3. Takut orang salah akidah/pemahaman.
Jadi sebelum aku cerita, aku harap pembaca dapat clear your mind, ambil yang positive saja. Yang rasa negative tu minta buang jauh-jauh. Berbaliklah kepada agamaNya. Kalau tak dapat terima, silalah anggap cerita ini fiksyen, kalau dapat, jangan taksub ya.

Alam semesta ciptaan Allah ini amatlah kompleks. Ada yang kita dapat lihat secara fizikal dan ada yang ghaib. Dunia yang kita duduk ni ada banyak dimensi/bahagian. Ada yang kata ada 7 dimensi. Ada yang kata ada 10-11 dimensi, perkara ini, jujur aku cakap yang aku tak tahu. Dimensi-dimensi ini pula wujud dan hidup dalam satu garis masa yang sama hingga ke hari kiamat. Maksud dimensi ini adalah seperti dalam rumah anda semua. Penghuni rumah tersebut pastinya anda dan keluarga anda. Tetapi sedarkah anda, dalam masa yang sama ada penghuni lain juga didalam rumah anda? Tetapi di dimensi yang lain yang anda tak dapat lihat, tak dapat rasa dan tak dapat dengar dan tidak berhubung langsung dengan anda?

Ya, inilah dikatakan dunia yang sama, masa yang sama, tetapi di dimensi yang berbeza. Tapi manusia telah diciptakan Allah supaya tidak dapat melihat dan melintasi ke dimensi lain. Ya, itulah yang dipanggil hijab. Tetapi atas beberapa sebab, sesetengah manusia dapat melihat makhluk di dimensi lain dan juga dapat masuk ke dimensi mereka. Berbanding pula dengan makhluk jin dan lain-lain makhluk Allah yang berada di dimensi mereka sendiri, mereka diberi kelebihan melihat dan merentasi ke dimensi yang lain melalui cara-cara dan jalan-jalan yang tertentu.

***Kosa Kata: Alam Astral bermaksud alam yang tidak didiami oleh manusia. Atau pun dalam Bahasa mudahnya adalah alam ghaib/alam jin.

Walaupun hijab aku tak dibuka sepenuhnya, tapi agak banyak kali juga aku terserempak dengan makhluk-makhluk Allah yang lain dari manusia dan binatang. Kisah kali ini adalah pengalaman aku sendiri sejak dari kecil hingga sekarang masuk ke dalam dunia atau dimensi lain yang tidak didiami oleh bangsa manusia (al-insan). Bukanlah kerap aku kesana tetapi dalam setahun adalah beberapa kali aku akan secara separa sedar akan kesana dengan dibawa oleh satu makhluk Allah.

Kisahnya bermula ketika aku berumur 11-12 tahun dahulu, jam 2-3 pagi, itu adalah kali pertama aku dijemput buat pertama kalinya ke dimensi lain oleh satu makhluk yang bernama ‘Him’. Him ni adalah salah satu makhluk yang aku kenal di sana. Him bertubuh tinggi dan kurus mungkin lebih 2 meter, bermuka dan berbadan seperti manusia cuma tak ada kening, alis mata, dan lekuk atas bibir. Berkulit putih pucat kekuningan dan bermata hitam 90%. Pakaian mereka kelihatan canggih seperi sut/uniform pilot jet pejuang. Semua makhluk di situ memiliki rupa bentuk seakan sama dengan dia. Ada jantina, lelaki dan perempuan.

Kali pertama aku ke alam sana, aku terkejut dan tak dapat bersuara sepatah apa pun. Aku jadi kaku dan penuh persoalan diminda. Kenapa aku dibawa kesini? Siapa yang bawa aku kesini? Tetapi yang peliknya, aku tidak merasa sedikit pun perasaan takut. Aku hanya mengikut Him yang hanya memberi arahan menggunakan tangannya untuk aku berjalan mengikuti dia di belakang. Masa tu aku ingat aku sedang bermimpi, tapi aku pernah tengok satu rancangan kat Discovery Channel , ada saintis nama Michio Kaku ka apa tah, dia cakap yang mimpi tak ada warna dan tak ada rasa. Tapi ini aku sedar aku nampak baju Him berwarna biru muda, aku dapat rasa/sentuh barang-barang kat sana, dan juga aku dapat bau benda-benda kat sana.Jadi mustahil ini mimpi!

Setibanya aku di pintu ataupun lebih tepat aku cakap sebuah ‘portal’ untuk ke alam sana, dengan tidak semena-mena aku terlihat sebuah kolam membiru dan airnya seperti kaca di hadapan Him. Him kemudian memegang tangan aku, dapat aku rasa sejuknya tangan dia. Kemudian tanpa berkata apa-apa, Him menarik tangan aku dan perlahan-lahan menuju ke dalam kolam itu. Aku hanya mengikut langkahnya tanpa membantah seolah-olah terpukau.

Peliknya, aku masuk kedalam kolam tersebut tapi masih boleh bernafas seperti biasa. Sesekali terlihat buih-buih udara keluar dari hidung dan mulut aku. Dalam 50 meter di hadapan Him ada sebuah pintu seakan-akan pintu kebal. Him menekan-nekan butang di pintu tersebut lalu terbukalah pintu menuju ke dimensi mereka.

Keluar sahaja dari pintu yang tebal tu aku dapat lihat satu perarakan-perarakan kapal-kapal angkasa yang penuh di udara. Sedang terbang dan terapung di udara dan bergerak kearah satu hala. Cerah langit disitu disuluh dengan lampu dari kapal-kapal angkasa yang aku tak dapat nak describe bentuknya. Senang cakap macam UFO. Tapi bentuknya yang lebih kompleks dan tidak berbentuk bulat macam yang biasa kita tengok dalam televisyen. Yang paling dekat dengan bentuk kapal angkasa mereka pun adalah kapal angkasa yang macam filem Avengers. Tetapi lebih kompleks binaannya.

Aku tak tahu apa yang sedang berlaku, kelihatan beberapa makhluk seperti Him berlari-lari kesana sini seperti dalam situasi yang cemas. Aku tak tahu hari tu sama ada ada hari perarakan kemerdekaan ke atau diorang sedang bersiap-siaga untuk berperang. Begitulah keadaanya.

Aku menjadi bingung dan melihat kejadian huru hara yang aku rasa sangat janggal dan berbeza dari dunia aku dan seperti dalam carita dongeng. Aku hanya mampu terfikir yang aku pada ketika itu telah pergi ke dunia masa hadapan tanpa mengetahui bahawa aku telah masuk ke dimensi yang lain. Usiaku yang masih mentah membuatkan akalku yang ketika itu masih cetek untuk sedar yang aku di alam ghaib atau pun di dimensi yang lain!

Sebab dari pengetahuanku ketika itu, Jin dan bunian hidup dalam dunia melayu tradisional ataupun zaman purba seperti yang selalu digambarkan manusia. Jadi teoriku pada masa itu hanyalah aku mengatakan yang aku berada dan dibawa ke alam masa depan.

Him kemudian membawa aku duduk di sebuah dewan yang besar. Oh lupa nak describe, keadaan bangunan disana sungguh kompleks dan besar-besar hinggakan bangunan yang berstruktur pelik seperti yang kita lihat di Putrajaya dan sebagainya pasti tampak terlalu biasa dan buruk jika diletakkan bersama-sama bangunan disana. Disana juga keadaannya agak sunyi, mungkin kerana waktu malam ketika itu. Aku tak pernah nampak kenderaan seperti kereta pun kat sana. Yang banyak hanya Kapal-kapal angkasa yang besar-besar.

Dewan itu kosong,tak ada sesiapa, yang ada hanya kerusi-kerusi yang disusun menghadap ke arah sebuah pentas dihujung dewan. Tiba-tiba ada dua lagi makhluk yang seperti Him keluar dari sebuah pintu, memakai jubah labuh datang ke arah Him. Mereka bersembang-sembang dan sesekali berpaling melihat ke arah aku.

Aku yang ketika itu runsing dan bingung tiba-tiba terbit kembali kewarasan dalam minda aku. Aku berasa takut, bimbang dan runsing memikirkan nasib aku ketika itu. Apa yang mahu mereka buat kepada aku? Bolehka aku balik semula ke rumah aku? Mak dan ayah aku cari aku ke kat rumah?

Aku mula menangis teresak-esak ketika itu. Dengan pantas Him datang kearah aku. Dia berkomunikasi dengan aku, dalam Bahasa yang aku tak pernah dengar,tetapi peliknya aku memahami Bahasa tersebut. Suara dia besar tetapi sedikit tenggelam dan bergema. Aku translatekan dialog Him dengan aku dalam Bahasa Melayu.

Him: Kenapa menangis? Takut? Kau tak perlu takut. Aku tak akan apa-apakan kau. Nama aku Him. Ini dunia aku. Selamat datang.
Aku: ……terus menangis dan pelik tanpa menjawab sepatah perkataan…
Him: Aku tahu engkau takut. Tapi tak ada apa yang engkau perlu takutkan. Aku juga makhluk tuhan sepertimu. Aku bawa engkau ke sini bersebab. Dan aku tak dapat beritahu sebabnya sampai suatu masa nanti.
Aku: Aku nak balik! Nanti Mak aku cari aku! (Menjerit marah kearah Him)
Him: Aku akan hantar kau balik. Tapi sebelum itu aku nak bawa kau melihat dunia aku dahulu. Ini sahabatku Elon dan Seh. (Sambil menunjuk kearah dua rakannya yang berdiri agak jauh dari kami).
Aku: Hantar aku balik! Aku nak balik!
Him: Mari ikut aku…

Him memegang tangan aku, sekali lagi aku terasa seperti dipukau dan hanya mengikut sahaja dia kemana.

Aku dibawa naik ke dalam sebuah kapal angkasa. Bersama-sama Him dan dua lagi sahabatnya, Elon dan Seh. Aku dibawa melihat bandar dalam dunia mereka. Time tulah aku nampak macam mana rupa bentuk bandar mereka. Besar, maju, tetapi seakan-akan tidak berpenghuni dan sunyi. Sesekali sahaja akan nampak kapal angkasa lain yang melintas di ruang udara.

Sepanjang ‘tour’ itu mereka tidak bercakap dengan aku, hanya berbual sesama mereka sahaja. Sampai dah puas tour, aku dihantar Him kearah kolam yang sama aku masuk ke alam sini.

Him: Orang muda, simpanlah apa yang kamu lihat,rasa dan lalui malam ini buat dirimu sahaja. Janganlah dicerita kepada sesiapa bahkan orang tuamu. Taka da sesiapa yang akan mempercayaimu.

Aku: Errr..err..baiklah. (Terketar-ketar aku mendengar suara Him yang menggerunkan itu.

Him hanya menunjuk kearah pintu yang tebal itu. Aku mengangguk faham dan tanpa sedar aku menekan butang-butang dipintu itu dan berjalan melepasi pintu itu. Setelah menembusi satu dinding cahaya, aku dah berada di atas katil dalam bilikku, sedang duduk. Peluh sudah membasahi bajuku. Jam baru pukul 5 pagi. Pelik! Aku rasa terlalu lama berada disana?

Pening kepala aku malam itu memikirkan apa yang aku baru lalui tadi. Nak kata mimpi aku pasti bukan mimpi sebab aku tersedar je tengah duduk dan berpeluh, ditambah pula dengan teori mimpi yang tak berwarna tadi. Aku pasti yang aku nampak warna-warna, aku bau bau-an di alam sana, dan aku pegang tangan Him yang sejuk dan kerusi, pintu,kapal angkasa di alam sana.Aku dapat rasa! Nak sahaja aku kejutkan abang aku yang sedang tidur di katil sebelah katil aku nak cerita kat dia. Tetapi memikirkan pesan makhluk tadi, aku jadi tak berani. Macam mana pun aku rasa lega yang aku dipulangkan kesisi keluarga aku. Aku tak pernah sekali pun cerita kat sesiapa sampai lah beberapa tahun kebelakangan ini aku ada berkongsi dengan seorang kawan aku yang agak berilmu dengan alam-alam ghaib ni.

Sebenarnya aku ada banyak lagi kisah yang nak dikongsikan berkenaan lawatan-lawatan aku ke Alam Astral ni. Tapi aku tak ada masa nak menulis sekarang semua tu. Dan aku takut orang tak larat baca sebab terlalu panjang. Antara cerita yang aku akan sambungkan nanti adalah:

1. Penerangan mengenai Him dan bangsanya (Agama,bangsa,cara hidup,sedikit sejarah mereka)
2. Peperangan makhluk ghaib. (Aku terlibat sama)
3. Kisah sedih makhluk purba yang dilupakan dan kematian Him.

Aku nak minta maaf sebab kali ini aku terpaksa buat cerita berepisod. Sesungguhnya serious ceritanya masih panjang dan aku taka da masa nak cerita semua dalam satu posting. Tunggu sambungan seterusnya. By the way, Alam Astral tu aku yang bagi nama kata lam tu. Makhluk kat sana pun tak ada nama samara yang mereka bagi kat dunia mereka. Yang mereka tahu, itu dunia mereka dan berlainan dengan dunia kita tetapi di tempat yang sama dan garis masa yang sama (Him yang explain kt aku benda ni, aku takut korang tak faham). Aku harap korang faham.

Aku tak kisah korang nak cakap ini fiksyen ke apa. Tapi inilah yang aku alami. Kalau korang tak percaya, baca dengan hati yang terbuka. Anggap ini cerita fiksyen. Kalau tak boleh terima juga, mohon skip cerita ini. Jangan kusutkan minda anda. Bagi yang percaya, jangan terlalu taksub dengan alam sana. Kita manusia, Khalifah yang Allah lantik selepas mahkluk-makhluk lain. Tak perlu tunduk, tak perlu pun sebenarnya kita terlalu kisahkan alam mereka kerana tugas utama kita hanyalah untuk meng-Esa-kan Allah Aza Wajalla.

Sekian. Salam
#Danial
#Follow Danial Fiksyen Shasha untuk update dan any Q&A)#

.

#DANIAL
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

19 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.