Kisah Fina

Assalamualaikum admin FS dan juga para pembaca FS. Cerita kali ini agak panjang kerana ada yang meminta untukku kongsikan apa yang berlaku kepada Fina (sahabat yang aku ceritakan di Highway Pasir Gudang). Jadi kali ini aku kongsikan pengalaman aku dengannya.

Aku kenal dengan Fina apabila aku ditugaskan untuk membantu Fina pindah masuk ke rumah sewanya. Kami bekerja di dalam syarikat yang sama, tetapi berlainan cawangan. Bermula dari membantu dia berpindah masuk ke rumah sewanya itulah kami sering keluar bersama apabila ada masa yang terluang. Walaupun begitu, aku tak beritahu Fina mengenai keadaan diriku yang mampu melihat apa yang tak terlihat dan Insyallah boleh menjangka sesuatu perkara yang bakal berlaku sebelum waktunya.

Kerana padaku, suatu hari nanti pasti dia akan tahu, kalau bukan dari mulutku, pastinya dari keluargaku atau rakan sekerja yang lain. Lagipun perkara ini bukan sesuatu yang patut aku banggakan.

Kami amat rapat, hinggakan aku sering ikut dia pulang ke kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang. Untuk menunaikan umrahpun emak dan abahku yang uruskan semuanya kerana keluarganya ada di kampung.

Hubungan kami mula kurang molek apabila suatu malam aku rasa tak senang hati. Kuat sangat rasanya dalm hati ini ada sesuatu yang tak kena dengan Fina. Malam itu, kira-kira dalam pukul 10 malam, aku ke rumah sewa Fina, tetapi aku tak masuk ke dalam, hanya tunggu di dalam kereta yang ku parkir selang beberapa rumah dari rumah sewanya.

“Keretanya ada..” bisikku. Tapi aku tetap merasakan yang dia tiada di dalam rumah.

Kira-kira dalam pukul 1 pagi, ada sebuah kereta Honda berhenti di hadapan rumah sewanya. Aku pun menghidupkan enjin kereta dan kemudiannya memberhentikan keretaku di hadapan kereta Honda tersebut.

Sah! Fina ada didalam kereta itu. Kedua mereka terkejut melihat aku. Cepat-cepat Fina keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah. Aku tunggu sehingga kereta itu beredar, barulah aku masuk ke dalam rumah sewa Fina.

Entah apa yang Fina sampaikan, aku tak berapa dengar kerana dalam fikiran dan hati aku terbayang-bayang muka lelaki yang bersama Fina di dalam kereta tadi. Riak wajahnya ada aura negatif padaku. Hati aku jadi tak sedap. Bila aku sampaikan itu kepada Fina, dia hanya tergelak dan mengatakan yang aku cemburu melihatkan dia sudah ada teman lelaki.

Sumpah! Aku tak cemburu. Ada sesuatu yang tak kena pada lelaki itu.
Sejak dari itu, kami mula kurang rapat. Apa sahaja yang aku nasihatkan dia, seperti tak kena sahaja. Dari seorang yang lemah lembut, Fina sudah pandai menengking, memaki dan penggunaan bahasanya semakin kasar bila denganku. Peliknya, setiap kali selepas berjumpa, dia akan menghantar mesej meminta maaf kepadaku, alasannya dia tak tahu kenapa dia berkelakuan begitu padaku.

Tidur malamku pula mula diganggu dengan mimpi-mimpi yang mengarut dan menakutkan. Walaupun bermacam cara ku buat untuk mengelakkan diri dari bermimpi seperti itu, tetap mimpi itu datang juga dalam tidurku.

Hinggalah pada satu malam, aku sudah tak tahan sangat. Tetap mimpi yang sama, seekor ular hitam berkepala tiga seboleh-boleh cuba mematukku, dan aku akan mengelaknya. Bila aku lari bersembunyi akan kedengaran tempikan yang sangat kuat hingga aku keluar dari persembunyian dan berhadapan semula dengan ular itu. Hujung ekor ular itu dipegang oleh seseorang yang aku tak nampak mukanya.

Apabila terjaga dari tidur, segera aku duduk bersila di atas katil dan berta’awuz, kemudian ku ludah tiga kali ke kiri. Setelah degup jantung agak reda, aku buat sesuatu yang agak lama aku tak buat dan sebenarnya elak dari buat, aku cabar siapa yang datang mengganggu tidurku hampir setiap malam untuk tunjukkan dirinya yang sebenar, kerana ketika itu aku yakin, ada yang dihantar untuk mendampingi aku. Hati ini tetap berdebar, sebab aku takut jika yang menghantar itu adalah Kak Siti (sila baca cerita Terakhir Dariku).

“Kalau kau tak nak tunjuk rupa, kasi bunyi pun memadai untuk aku tahu siapa kau dan urusan apa kau nak dari aku,” ayat ke 9 Surah Yasin ku ulang-ulang dalam hati, pendinding yang aku yakini.

Rupa-rupanya dia beri dua-dua sekali rupa dan bunyi. Telingaku menangkap bunyi seperti loceng di kaki, semakin lama semakin jelas. Kebiasaanku tidak menutup pintu bilik, sekadar langsir di pintu yang memisahkan bilikku dengan ruang tamu, jadi lampu malap di lorong sudah cukup untukku lihat rupa bentuk benda yang berdiri dibelakang langsir bilikku. Hanya kakinya yang ku nampak menghentak-hentak lantai. Hitam. Pakaiannya seperti watak wayang kulit.

“Bukan Kak Siti,” dalam fikiran terus bermain-main, siapa yang menghantar makhluk yang sedang menghentak-hentak kaki di luar bilikku.

Dia kemudiannya menderam kuat, ketika inilah abah membuka pintu biliknya. Serta merta makhluk itu terus hilang dari pandangan.

“Nami!” abah memanggilku dari pintu biliknya.

Segera aku lompat turun dari katil dan datang ke abah.

“Kalau dada tu kosong, jangan memandai,” keras suaranya.

“Pergi ambil bantal dan tilam kat bilik belakang, mulai malam ni tidur dalam bilik abah,” arahnya.

Memang agak kelakar pun ada juga, aku berumur 25 tahun ketika itu, tapi disuruh tidur sebilik dengan emak dan abah.

“Tidur sini sampai abah pagar semula rumah, pagar sekali diri Nami,” kata abah, mungkin dia perasan aku yang tersenyum sendiri semasa membentangkan tilam di tepi katil mereka.

Bermula malam itu jugalah aku sering terjaga di tengah malam, bukan kerana mimpi itu lagi, tetapi kerana usapan emakku di ubun-ubun kepalaku, sambil membaca ayat kursi, hati kembali menjadi tenang dan mata kembali mengantuk, agak lama juga emak tak buat begini padaku, kalau masa kecil-kecil dahulu, dia sering buat begini ketika aku tidur, tapi alasannya kerana aku anak yang paling degil, dia nak lembutkan hati aku, rupanya dia sedang memagar diriku. Sekarang ini baru ku faham, kenapa dalam ramai-ramai adik beradik, aku dan Angah yang dipaksa hafal Surah Yassin, diajar untuk menghafal beberapa ayat dan surah Quran beserta maksudnya. Setiap hari akan ditanya, berapa kali sudah berzikir dan istigfar. Semuanya sebagai bekalan dan pendinding kepada kami yang ‘lain’ dari adik beradik kami.

Seminggu selepas kejadian, Fina meminta aku mengambilnya di Stesen Bas Larkin, dia akan sampai dalam pukul 7.30 petang. Setelah memberitahu bas apa yang dinaikinya kerana ada banyak barang dari kampung yang emaknya kirim untukku, aku pun tunggu di platform yang dinyatakan. Hari itu baru ku tahu, pemandu bas itulah teman lelakinya Fina, Azri. Aku mengelak untuk melihat wajahnya kerana entah kenapa rasa benci sangat untuk menatap wajahnya. Bila bungkusan terakhir dia serahkan padaku, dalam nada separuh berbisik dia berkata,

“Jaga-jaga ya..” tersentap hati aku, segera aku memandang wajahnya, dia tersenyum sinis.

“Masyaallah.. dia rupanya,” kataku dalam hati. Hati aku terus jadi panas.

Tapi ku diamkan sahaja, tidak membalas apa-apa kepada kata-katanya itu.

Ketika itu jawatan ku di pejabat sudah bertukar. Aku ditugaskan untuk memantau setiap cawangan yang ada, bermakna aku tidak ada tempat yang tetap, perjalanan kerjaku, aku yang kawal sendiri, cawangan mana yang aku nak pergi setiap hari. Staf cawangan hanya akan tahu bila aku sampai ke cawangan tersebut.

Azri, semakin berani. Dia akan menelefon telefon pejabat cawangan yang aku pergi. Dia takkan bercakap denganku, hanya menyampaikan pesanan, kerja elok-elok dan jaga-jaga. Aku tak pelik macam mana dia boleh tau keberadaanku kerana pastinya khadam suruhannya yang beritahu. Para pekerja yang lain sibuk menganjingku,

“Ohhh.. boyfriend Cik Nami rajin pesan suruh kerja elok-elok..” aku hanya membalas dengan senyuman. Mereka tak perlu tahu siapa sebenarnya yang menelefon. Fina turut serta dengan staf yang lain tanpa tahu siapa sebenarnya yang menelefon itu.

Bila Fina datang dan tersenyum-senyum kepadaku, aku balas senyumannya.

“Oh.. akak tak kasi tau pun eh, dah ada yang punya..” giatnya.

“Fina.. kau dengan Azri.. do something about it. Akak tak suka,” balasku.
Dia cuma mendengus dan berlalu pergi.

Aku tahu, tujuan Azri buat begitu adalah untuk menakut-nakutkanku. Dia merasakan aku adalah penghalang antara dia dan Fina. Memang betul aku cuba untuk menghalang mereka. Bermula dari masa pertama aku melihat Azri, esoknya aku mula membaca surah Yassin (7 mubin) dan setiap pada hentian mubin itu aku niatkan untuk jauhkan mereka berdua. Bila jadi begini, gangguan yang aku alami, membuatkan aku befikir, mungkin silapku juga meminta yang kurang tepat dariNya. Yassin 7 mubin tetap ku lakukan, kali ini niatku ubah kepada mendoakan agar Allah memberi petunjuk kepada Fina dalam menentukan hidupnya.

Aku sering juga bermalam di rumah sewa Fina apabila dia tinggal seorang. Semenjak dia bercinta dengan Azri, aku mudah berasa tidak selesa apabila datang ke rumah sewanya. Kalau sedang tidur di biliknya di tingkat atas, seringkali aku terperasan seperti ada yang memerhati aku dari tingkap luar biliknya. Pernah juga ketika tidur, kepalaku dihentak ke dinding tepi katil. Dua kali kepalaku dihentak, bila merasakan akan ada hentakan ketiga (rasa rambutku dicengkam) ku laungkan azan. Fina yang ada di sebelahku tidur lena, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Pernah juga aku tak nampak pintu keluar dari bilik Fina. Habis segala ayat dan surah yang aku tahu, aku baca, tapi tetap tak nampak. Aku siap meraba-raba tempat yang sepatutnya ada pintu bilik, kosong.. sama permukaannya seperti dinding. Akhirnya aku naik semula ke atas katil Fina dan cuba untuk menenangkan diri, aku panik dan takut.

“Hoi kak.. aku panggil banyak kali kata bawah tadi!” entah bila Fina sudahpun duduk di sampingku.

Hari demi hari, hubungan aku dan Fina mulai renggang. Setiap kali bertemu dan berbual pasti ada hal yang akan kami gaduhkan. Akhirnya kami langsung tak bertegur sapa. Hinggalah suatu hari kembarnya menghubungi ku memberitahu dia tak dapat nak menghubungi kakaknya.

Sudah dua hari dia cuba menghubungi kakaknya, hilang entah kemana. Pelik juga kerana Fina memang ada mohon cuti seminggu untuk pulang ke kampung. Malam itu aku mula seru kembali Fina menggunakan surah Al Fatihah, setiap kali baca, ayat 5 -7 akan ku ulang 3 kali sambil fokus minta pertolongan dariNya, berharap agar pintu hati Fina terbuka. Setiap kali bila teringatkan Fina, akan ku lakukan itu, hinggalah Allah memberi pertolongan pada hari ke tiga, dalam pukul 4 pagi telefon bimbitku berbunyi. Panggilan dari nombor yang tak ku kenali.

“Akak!!” terang terus mataku yang mengantuk bila terdengar suaranya.

“Akak.. ni,”

“Fina!” terus ku p****g kata-katanya.

Kataku dibalas dengan esakan yang kuat. Ku biarkan dia menangis dahulu dihujung talian.

“Tolong aku kak.. aku tak tahu aku kat mana ni..” katanya dalam esakan.

“Kau dalam rumah ke kat mana?” soalku.

“Aku dalam kereta ni kak. Aku tersedar dari tidur, terus teringat kat akak, aku sembunyi-sembunyi keluar ni kak.. terus drive.. tak tahu arah mana ni. Aku ikut je papan tanda tulis Johor Bahru..” dia terdiam lagi.

“Ni kau tengah drive lagi ke?”soalku bila dia diam agak lama.

“Aku parking kat tepi jalan.. tapi aku tak tahu kat mana ni.. aku blur.. aku takut kak.. takut dia datang cari aku.. tolong aku kak!” kali ini dia sudah mula terjerit-jerit di hujung talian.

“Cuba tengok sekeliling, apa yang kau nampak?” soalku. Pada zaman itu, tiada kemudahan seperti google maps atau yang seangkatan dengannya, telefon bimbit pun masih yang paling ‘in’ ketika itu adalah Nokia butterfly.

“Belah kiri ada masjid atas bukit.. tadi ada lepas papan tanda tulis Senai.. ada gambar kapal terbang..” jawabnya selepas beberapa ketika mendiamkan diri.

“Kau dekat dengan simpang ya?” soalku.

“Ya,” balasnya.

Lega hatiku kerana aku rasa aku tahu kedudukannya. Kalau masjid yang berdekatan simpang ke airport Senai, aku pernah ke sana beberapa kali, ada kawan kakakku yang tinggal di kawasan berdekatan.

“Kau tunggu, aku datang, zikir.. jangan henti,” kataku.

Mahu tak mahu aku terpaksa juga ketuk pintu bilik orang tuaku, meminta izin dan pada masa yang sama mengajak abah menemaniku mencari Fina.
Nasiblah abah bersetuju. Agak laju juga abah memandu pada awal pagi itu. Maklumlah, dari Pasir Gudang ke Senai, jaraknya bukan dekat, hampir 50km. Alhamdulillah apabila sampai ke tempat yang dinyatakan Fina, kami berdua menarik nafas lega kerana nampak keretanya tersadai di tepi jalan.

Aku kemudiannya memandu keretanya kembali ke Pasir Gudang.
Fina membuka cerita yang dia sebenarnya mengikuti Azri untuk pulang ke kampung Azri. Dia mahu mengenalkan Fina kepada keluarganya. Memandangkan kereta Azri masih di bengkel, jadi mereka ke kampung Azri menggunakan keretanya. Azri kata kampungnya di Kluang, tetapi Fina merasakan perjalanan mereka terlalu jauh. Bila dia tanya Azri kenapa masih tak sampai Kluang lagi, tak lama selepas itu dia rasakan seperti diawang-awangan dan sangat mengantuk. Apa yang berlaku selepas itu, dia tak ingat. Yang pastinya dia tersedar apabila seperti terdengar suaraku menyeru namanya, dia tersedar dan ada di dalam bilik. Cepat-cepat dia mencari kunci kereta dan keluar dari rumah itu. Aku ajak Fina untuk berehat dan tinggal di rumahku, tetapi dia menolak, segan dengan emak katanya.

Dua hari kemudian dia hilang semula. Puas juga aku mencari di sekitar Pasir Gudang. Tapi tetap tak jumpa. Keretanya ada ditinggalkan di rumah sewa. Bila aku tanya rakan serumahnya, katanya dia keluar dengan Azri. Menyirap juga darahku, aku terus pandu kereta ke Stesen Bas Larkin, hatiku kuat mengatakan yang dia berada di situ.

Puas aku pusing-pusing sekitar stesen bas mencari Fina, tetapi tak jumpa. Bila azan Isya kedengaran, aku hentikan pencarian dan pergi ke surau di dalam stesen bas. Pada zaman ini, surau masih lagi di tempat lama. Aku naik tangga yang berdekatan dengan surau, fikiran masih tak fokus, masih memikirkan di mana Fina. Di anak tangga terakhir tu baru aku perasan ada seorang perempuan sedang duduk termenung.

“Fina!!” kataku agak kuat.

Dia menoleh memandangku. Pandangannya kosong. Wajahnya agak pucat. Entah kemana hilang tudungnya. Aku tarik dia masuk ke dalam surau.

“Kau duduk sini. Jangan keluar!” arahku. Aku keluar dan belikan tudung sarung untuknya.

Setelah solat Isya, aku bersihkan mukanya. Beberapa kali ku raup mukanya sambil ku ulang ayat ke 5 dan 6 Surah Al Fatihah.

Aku berhenti lakukan itu apabila tiba-tiba dia menggenggam pergelangan tanganku.

“Akak.. aku nak balik kampung. Tolong.. malam ni juga aku nak balik..” katanya dalam esakan.

Setelah berbincang dan meminta izin dari abah, kami pun mulakan perjalanan balik ke Muadzam Shah.

“Zikir jangan putus. Elakkan dari berhenti kat mana-mana kalau tak penting. Kalau apa-apa jadi, azan.” Pesan abah dihujung talian semasa aku menghubunginya. Yang lain-lain tu ok padaku, tapi ayat dia yang last, kalau apa-apa jadi, ah.. sudah.. terus terasa ngeri.

Sesekali aku menoleh ke arah Fina yang masih ralit menjamah donut yang ku beli sebelum bertolak tadi. Entah dia ada makan sebelum ini ataupun tidak agaknya, kerana itu donut yang ke lima ditelannya.

Hatiku mula berdebar bila aku keluar di Exit Yong Peng Utara kerana inilah permulaan perjalanan yang gelap dan sunyi. Bateri telefon bimbitku hanya tinggal satu bar sahaja. Sekali lagi, jangan ditanya berkenaan usb wire atau power bank, benda-benda tu tak wujud pada zaman kejadian ni berlaku.

Ketika melalui kawasan ladang kelapa sawit yang aku dah lupa nama tempatnya, sepanjang perjalanan daun-daun pokok bergoyang seoalah-olah angin ribut yang mengiringi perjalanan kami. Kaset bacaan sura-surah lazim dan yassin sudah berapa kali entah ulangannya. Sempat ku kerling Fina yang tersenyum-senyum memandang luar.

“Kau ok?” soalku.

Terus hilang senyuman dibibirnya.

“Matikan lah kaset ni. Makin lama makin sakit kepala aku dengarlah. Kalau kau tak matikan.. jangan sampai kau pula yang m**i,” balasnya. Perlahan, seperti berbisik, tapi tetap aku dapat dengar setiap perkataan yang keluar dari mulutnya.

Aku buat tak endah sahaja. Pergerakkannya tetap ku awasi. Bukan mudah, sambil memandu sambil jaga orang yang tengah tak betul. Buckle seatbeltnya aku genggam, manalah tahu tiba-tiba datang angin dia buka pintu dan terjun, tak naya dibuatnya.

Ketika memandu selepas keluar dari Segamat, di kawasan yang ada bangunan (lupa sama ada Petronas atau JKR) yang pastinya ada kolam hadapannya, tiba-tiba dadaku berasa sangat berat, sesak untuk bernafas.Dalam masa yang sama terasa seperti deruan angin panas memeluk aku dari belakang. Sengaja pelukan itu kuat menekan dada.
Berkali-kali aku menepuk peha Fina meminta dia membantuku, tetapi dia hanya tersenyum memandangku.

“Fina!!”

Senyumannya semakin meleret, ditambah dengan gelak kecil.

“Kau yang nak kan.. kau dengar aku suruh tutup kaset ni tadikan?” katanya sambil mengeluarkan kaset surah lazim itu dari radio, buka tingkap, dan campak nya keluar.

Dada aku terasa semakin sempit, sedar tak sedar sebenarnya aku sudah menangis. Dalam masa yang sama baru ku perasan ada kereta di belakang yang semakin rapat dengan keretaku, beberapa kali lampu keretanya dibesarkan.

Ya Allah.. itu antara detik dalam hidup aku yang ku rasakan sangat-sangat pasrah. Akhirnya ku kumpulkan segala kekuatan yang ada dan aku azan. Pemanduan kereta ku perlahankan. Pedulilah pada kereta di belakang, kalau tak suka dengan cara aku perlahankan kereta, p****g sahajalah, jalan pun bukannya ada kenderaan lain.

Sepanjang aku azan, Fina berdekah-dekah ketawa, aku tahu dia tahu yang keyakinan aku pada ketika itu sangat lemah. Sakit, takut dan marah menguasai diri aku. Bila rasa semakin tak berdaya, aku langgar pesanan abah, kereta ku berhentikan di tepi jalan. Rupanya kereta yang berada di belakangku turut berhenti. Ketika aku sedang cuba untuk menenangkan diri dan bertarung dengan entah apa yang masih memeluk erat dadaku, tingkap keretaku diketuk bertalu-talu.

“Kak Nami!! Kak Nami!!” ketika itu juga pelukan yang menyakitkan itu hilang.

Rupanya kereta yang rapat mengekori kami adalah ayah, sepupu dan adik lelaki Fina. Abahku menghubungi ayah Fina memberitahu berkenaan kedatangan kami ke Muadzam Shah. Mereka rupanya ada menungguku di stesen minyak. Kata Fizi, adik kembar Fina, mereka ada menghubungi kami tetapi tidak berjawab, jadi ayah mereka membuat keputusan untuk menunggu kami di tepi stesen minyak. Kawasan tersebut bila malam tak banyak kenderaan yang lalu.

Bila pintu ku buka, sempat ku toleh pada Fina disebelahku. Tertidur atau pengsan, aku tak pasti. Kami bertukar tempat. Keretaku yang ada Fina dipandu ayah Fina sambil ditemani sepupunya. Aku naik kereta yang dipandu Fizi. Alhamdulillah, kami selamat sampai ke Muadzam Shah.

Paginya aku balik ke Pasir Gudang kerana aku tak ambil cuti, sekadar half day sahaja. Untuk Fina, keputusan telah diambil oleh keluarganya untuk berhenti kerja. Permasalahan ini ku sampaikan kepada bos ku dan ku sertakan sekali notis dan pampasan kerana berhenti tak cukup sebulan notis.

Atas permintaan keluarganya juga, aku putuskan hubungan dengan Fina, ikut nasihat tok guru yang ubatkan Fina agar tiada sebarang hubungan dengan orang di Johor. Hanya sekali sahaja aku menghubungi ibu Fina, itupun kerana Azri telah mengirim surat ke semua cawangan syarikat kami, semua surat itu mereka kumpulkan dan beri kepadaku. Dapatlah juga ku berbual sekejap dengan Fina, dia memintaku membuka salah satu dari surat tersebut. Aku buka dan baca. Rupanya sewaktu dia hilang entah kemana sebelum ini, mereka masuk ke Thailand untuk bernikah. Fina jadi isteri keduanya. Fina minta aku bakar semua surat itu, tapi tanpa pengetahuan dia, aku simpan satu, sebagai bukti dikemudian hari (yang mana memang diperlukan). Hampir dua tahun lebih Fina dan keluarganya tidak menghubungiku hinggalah Fizi menelefonku untuk memaklumkan yang Fina akan bernikah dengan sepupunya.

Ku maklumkan kepada Fizi yang Fina telah dan masih menjadi isteri Azri walaupun tanpa surat nikah dari Malaysia. Keesokkan harinya Fizi datang ke Johor dan ku serahkan surat itu kepadanya. Keluarga itu kembali hilang dari radar, hinggalah tujuh tahun yang lepas Fina menghubungiku, memberitahu yang dia sudah pulih sepenuhnya, bakal berkahwin dan akan menetap di salah sebuah pulau di pantai timur, bakal suaminya mengusahakan resort di sana.

Hubungan kami kembali pulih, tapi kami tak bersua muka hinggalah anaknya berumur 4 tahun. Aku ke resortnya untuk bertemu dia dan keluarga kecilnya. Anaknya menggelarkan aku Aunty Hero kerana itulah yang Fina ajar anaknya setiap kali gambar kami berdua ditunjukkan kepada anaknya. Sehingga kini, setiap kali aku ada kelapangan, aku pasti ke sana, rupanya ini hikmah kepada segala kejadian yang menimpa dirinya.Aku tumpang bahagia dan senang. Alhamdulillah.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Nami

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 3 Average: 5]

10 thoughts on “Kisah Fina”

  1. seronok baca cerita dari cik nami.
    15 tahun dah masa berlalu.
    lately ada cerita – cerita yang best boleh dikongsikan tak?
    masih di pasir gudang ke?

    Reply
  2. karya nami & edi antara karya penulis baru dalam fs yang aku rasa sangat seronok baca…penceritaan yang santai & karakter yang down to earth (literally)…takde cerita di awang – awangan melampau tahap dewa…dah macam cerita budak telefon mak konon kena culik bunian gunung jerai rupanya menumpang rumah member kat kuala kelawang…dah mak dia kena kencing, member yang dia tumpangkan pun kena kencing konon dia ni kaya bangat la, kawan dengan mahluk lain la, selalu pergi alam lain la, yada yada yada…jin memang wujud, alam jin juga wujud, tapi kalau dah cerita dengan tiang letrik konkrit tu, tiang konkrit pon boleh bengkok sujud ke tanah, better la pergi jumpa psikiatri…

    Yang tak boleh belah, ada pulak yang kononnya power sangat belajar semua khatam…khatam awal superb pulak tu…lepas tu bukak pulak cerita kena rasuk…dik research dulu sebelum bukak cerita, dah khatam ilmu perubatan, ko kena rasuk pulak? ko jangan bagi malu perawat sekelian…umpama ramai orang beratur amik nombor jumpa tok moh, boleh pulak tok moh yang menjerit histeria berlari ke sana ke sini…dah, sapa pulak nak ubatkan tok moh tu…apa kelakar cerita ko ni…kalau sihir tu aku boleh terima lagi, orang hebat pun boleh terkena sihir jugak…tapi ni cerita histeria, ko khatam tahap tadika ka?

    Eh eh…benda ni bukan jadi dalam cerita nami ni…sorry la nami, aku lepas tension kat cerita ko pulak…terlebih tension semenjak dua menjak terlalu banyak baca cerita exaggerate, over claimed, ptsd…

    Apa-apa pun karya ko antara cerita yang aku tunggu…tapi ko duduk la di dunia manusia yang sementara ni, jangan la buka cerita alam kayangan…

    Cerita edi pon dah tak rancak macam sebelum ni…

    Reply
    • haha. aku rasa aku tau cerita mana yg kau maksudkan tu. nampak sangat overnya kan.
      edi pulak pressure nak hasilkan cerita baru. jadi dari pengalaman lama – lama tu dia ambik sini sikit situ sikit pastu tambah – tambah sikit utk dapatkan cerita baru.
      sorang lagi abam trainer pun ok jgk.
      contoh beberapa orang yg hijab terbuka yg down to earth punya cara penceritaan.

      Reply
      • cerita abam trainer pun aku layan jugak…

        banyak beza old timer punya orang kongsi ilmu dengan bebudak baru nak up kongsi ilmu…

        tapi itu diorang punya cerita, diorang punya suka la kan nak cerita apa…aku sebagai pengkritik, ikut suka aku la nak kritik macam mana…baru fair…

        semakin dalam penggalian ilmu seseorang itu, semakin sedar dia akan kekurangan ilmunya…terjemahlah sendiri dalam bahasa masing – masing…

        Reply
  3. baru habis khatam kisah kak nami dr yg 1st stori punya budak pelik.. semua best2 sgtnya..👍🏽👍🏽👍🏽 terima kasih kongsi cerita.. semuanya menarik.. sy suka perkongsian psl beberapa jenis kasyaf yg Allah bukak dkt kak nami🤗wlupun sy rasa yg tu bkn main point penulisan kak nami hehe

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.