Pak Cik Madi…

Ini adalah satu kisah benar. Kisah seseorang yang pernah hadir dalam keluarga kami. Kisah bagaimana kami mengingatinya hingga kini. Kisah kenangan yang dia tinggalkan untuk kami ingati. Kisah bagaimana dia hadir di sisi kami dan bagaimana dia pergi meninggalkan kami. Kisah yang pernah aku kongsi di laman lain di alam maya. Tetapi kali ini aku nak kongsi dengan pembaca di sini.
Aku masih bersekolah rendah ketika pak cik aku Madi kehilangan ibunya. Iaitu nenek aku sebelah bapa.

Pak cik Madi anak bongsu yang manja. Waktu tu juga pak cik Madi baru mula bertugas sebagai anggota pasukan keselamatan. Kerana terlalu manja dengan nenek, dia menjadi seorang yang nakal, degil, keras kepala, baran dan sering bergaduh dengan adik beradik dan ipar duai yang lain kecuali dengan umi aku (kakak ipar dia). Dengan umi, semua perangai negatifnya di buang. Mungkin sebab sikap umi aku yang melayannya dengan penuh kasih sayang seorang kakak (umi aku ramai adik lelaki). Jadi lepas nenek pergi, dia tumpang bermanja dengan umi. Balik kerja je dia datang rumah kami. Setiap hari. Tiap kali datang, dia akan mengendap umi di tingkap dapur. Jika umi ada di situ, dia akan datang senyap-senyap dan sergah umi sampai umi melatah. Lepas tu, dia akan ketawa terkekeh-kekeh seronok.

Dia datang hanya untuk berbual dengan umi dan bagi tahu betapa sunyinya dia sejak nenek tiada. Tambahan pula dia tak rapat dengan adik beradik yang lain. Bila dia datang rumah kami, dia tak akan masuk tapi dia akan bertenggek duduk di tingkap dapur sambil teman umi aku memasak. Rumah kami rumah kampong bertingkap daun jadi senang la dia nak bertenggek di bibir tingkap yang rendah. Menjelang maghrib baru dia balik. Bapa aku tak kisah, bapa aku jenis abang yang lembut. Satu-satunya darah daging dia yang tak pernah digaduhi. Pak cik Madi pernah cakap dengan umi, orang yang paling dia sayang selepas nenek adalah bapa aku dan umi dan kami adik beradik.

Pak Cik Madi bermotor kuasa besar. Orangnya gila-gila. Bawa motor macam pelesit (itu yang selalu dibebelkan umi). Terlibat dengan kemalangan dah banyak kali. Patah tangan, patah kaki, calar sana sini. Walaupun kasar dan suka bergaduh, dengan kami dia sebenarnya baik hati. Dulu kami hidup susah. Adik beradik ramai. Makan pun cukup-cukup. Dapur selalu kering. Tapi setiap bulan pak cik Madi datang bawa barang-barang kering, letak depan pintu. Mulanya kami tak tahu siapa yang bagi jadi kami tak sentuh pun barang-barang tu. Takut. Sampailah jiran kami bagi tahu nampak pak cik Madi datang malam-malam dan letak barang-barang tu depan pintu. Dia bagi tapi dia tak nak kami tahu. Dia tahu kalau umi dan bapa tahu mereka mesti tak mahu.

Enam bulan lepas nenek meninggal, malam tu hujan lebat. Sekitar pukul 8.00 malam, 2 orang anggota polis ketuk pintu rumah kami. Bapa buka pintu dan polis bagi tahu pak cik Madi kemalangan. Lagi. Bapa tenang je sebab dah biasa. Kalau tak patah tangan, mesti patah kaki. Bapa terdetik dalam hati. Umi pula lain macam. Rasa tak sedap hati. Lepas bapa pergi ikut kereta peronda polis ke hospital, umi tutup pintu dan arahkan kami tidur. Masa tu tahun 1993. Tiada astro, tiada handphone, internet jauh sekali. Bila semua adik beradik aku dan masuk tidur, umi gelapkan rumah, aku pula baring dan masih terkebil-kebil. Teringat janji pak cik Madi nak belikan aku pensil warna. Semuanya sebab aku mengadu dengan dia, kawan aku Siti ada pensil warna Luna besar tapi mak Siti pesan dengan Siti supaya jangan bagi aku pinjam. Sedih. Pak Cik Madi kata, tak pe, nanti dia beli yang lagi besar dan aku boleh bagi Siti pinjam.

Tengah mengelamun, aku dengar pintu utama rumah aku diketuk 3 kali berturut. Aku terus bangun tapi hanya duduk tegak di atas tilam lemek kusam yang aku kongsi dengan 5 orang adik-adik yang lain. Aku pasang telinga. Hanya 3 kali ketukan. Tiba-tiba, dari pintu bilik yang tak berpintu, aku Nampak umi berjalan perlahan menuju ruang tamu. Ketukan kedengaran lagi. Tiga kali berturut. Umi bersuara, “Siapa tu?”. Senyap. Umi tak jadi buka pintu. Tak mungkin bapa. Agak lama kami terpaku di tempat masing-masing. Umi buat keputusan untuk tidak mengendahkan ketukan itu. Umi Nampak aku belum tidur. Dia panggil dan ajak aku tidur dengan dia di bilik bawah (kawasan dapur). Aku beralih tempat.

Baru nak terlelap di sebelah ibu, aku dengar sesuatu. Bunyi tapak kaki dan sesuatu yang di seret di bahagian luar rumah. Betul-betul di sebelah dinding katil bilik ibu. Kawasan di luar tu tanahnya berkerikil. Jadi jelas sangat tapak kaki orang yang berjalan. Tambahan pula hujan dah berhenti. Dada aku semakin berdebar bila aku dengar bunyi orang berjalan sambil mengheret sesuatu yang ku rasakan cangkul. Memang ada cangkul bapa disandarkan pada dinding luar. Bunyi cangkul di seret di permukaan kerikil memang senang saja untuk di kesan. Seolah-olah orang yang mengheret cangkul tu mundar mandir di tempat yang sama. Aku pandang umi dan berbisik, “umi, ada orang!”

“Shuuuuuhhh….” Pantas umi menjawab sambil letak jari di mulut. Aku terdiam. Beberapa minit lepas tu bunyi tersebut hilang. Kemudian, sayup-sayup aku dengar nama umi dipanggil. Suara perempuan halus dan nyaring memanggil-manggil nama umi. Umi bingkas bangun dan berdiri. Aku tarik tangan umi dan menahan dia dari melangkah. Aku tak nak di tinggalkan berseorangan di situ. Kami diam memasang telinga. Suara tersebut makin jelas. Yang mula menakutkan bila suara tersebut seolah-olah mengelilingi rumah kami. Seperti orang yang memanggil umi tu sedang bertawaf di sekeliling rumah kami sambil memanggil umi. Aku kenal suara tu. Aku yakin umi pun kenal. Itu suara jiran yang tinggal di hadapan rumah kami. Mak Siah. Umi memang rapat dengan Mak Siah. Aku masih ingat lagi betapa sedihnya umi masa dia turut sama memandikan jenazah Mak Siah yang meninggal kerana kanser 2 tahun lalu. Ya, Mak Siah dan tiada. Meninggal 2 tahun lepas dan suara yang kami dengar waktu tu, memang mirip suara Mak Siah.

Aku nampak muka umi berkerut. Sama ada risau atau takut. Kami diam memasang telinga sehinggalah suara tersebut bertukar menjadi suara bunyi kicauan burung yang sangat riuh dan bergerak ke atas bumbung rumah dan terus hilang ke atas. Umi terduduk menekup muka. Keadaan umi membuatkan aku bertambah takut. Dalam keadaan aku duduk mengadap umi dan umi pula duduk di birai katil membelakangkan aku, aku terasa ada satu pergerakan dibahagian belakang aku. Sekilas aku toleh, tiada apa yang kelihatan tapi bila aku toleh semula pada umi, aku Nampak, sumpah aku Nampak! Seseorang bertelekung putih bersih sedang duduk sebelah umi dan tersenyum manis. Aku kenal dengan empunya wajah tersebut. Itu arwah nenek sebelah abah! Walaupun dia meninggal sewaktu aku berusia 6 tahun tapi aku masih ingat dengan jelas wajah lembutnya.

Walaubagaimnapaun, nenek muncul dalam keadaan yang tidak nyata atau jelas. Dia kelihatan sedikit bersinar dan sedikit menyilaukan mata. Aku memandang nenek sambil mengecilkan anak mata jadi sukar untuk aku jelaskan sama ada betul kah arwah nenek muncul. Apabila perkara ini kutanyakan kepada ustaz beberapa tahun selepas peristiwa ini, ustaz kata, roh tidak akan muncul selepas kematian. Yang ada cumalah syaitan dan jin. tetapi ustaz mengatakan kemungkinan apa yang aku nampak itu adalah Cuma dari mainan perasaan aku dan umi. Tapi, apa yang pasti, jelmaan nenek itu membawa satu pesanan untuk umi.

Ketika mendengar suara yang menyerupai arwah Mak Siah itu, aku dan umi betul betul ketakutan. Lebih-lebih lagi umi. Dan tiba-tiba jelmaan nenek muncul. Aku Nampak umi dan nenek saling berpandangan. Aku dengar suara nenek memberitahu umi sesuatu tapi mulut nenek tak bergerak. “Zanah, jangan takut… ‘dia’ (suara panggilan tu) Cuma nak bagitahu kau. Hamdi dah takde..”
Antara faham tak faham. Aku terdetik, “Hamdi dah takde? Hamdi pak cik Madi aku ke?” aku tak sedar berapa lama aku dan umi dalam keadaan terawang-awang seperti itu. Antara sedang menilai sama ada betulkah jelmaan nenek muncul di hadapan kami dan betulkah apa yang ‘nenek’ katakan tadi?.

Aku cuma tersedar bila terdengar bunyi ketukan pintu dan suara abah memanggil memberi salam. Umi bingkas bangun, jelmaan nenek sudah hilang. Aku segera membuntuti umi ke ruang tamu dan membuka pintu untuk abah. Abah masuk dalam keadaan lesu. Mata abah merah. Sebaik sahaja melihat wajah sedih abah dan tanpa menunggu kata-kata dari abah, umi terus jatuh pengsan. Terkocoh-kocoh kami mengangkat umi. Abah bertanya pada aku dalam keadaan cemas, “kenapa umi?” Aku tak menjawab. Dengan wajah yang polos aku berkata, ” Abah, nenek kata, pak cik Madi dah takde”. Abah terduduk memandang aku dengan wajah terkejut.

Sampai sekarang abah masih tidak percaya dengan apa yang aku dan umi alami pada malam pak cik Madi disahkan meninggal. Menurut salah seorang sepupu aku yang sempat bersama arwah semasa dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, keadaan arwah pada waktu itu adalah sangat parah. Arwah mengalami pendarahan yang teruk pada bahagian perut hingga ke kaki. Dia dilanggar oleh sebuah van dalam perjalanan pulang ke rumah. Sewaktu sedang nazak, dia sempat menitip salam untuk umi melalui abah.

Umi antara orang yang paling sedih dengan kematian pak cik Madi. Ketika arwah baru beberapa hari di kebumikan, ingatan umi masih kuat terhadap arwah, terutama sekali pada waktu petang kerana pada waktu itu lah selalunya arwah akan menjongolkan kepalanya menyergah umi di tingkap dapur. Pada suatu malam, empat lima hari selepas arwah di kebumikan, umi sedang berada di dapur menumis sambal. Waktu itu jam menunjukkan pukul 11.45 malam. Sudah menjadi kebiasaan umi menumis sambal pada lewat malam jika esoknya dia merancang untuk memasak nasi lemak sebagai juadah sarapan pagi kami sekeluarga. Seperti yang aku dah terangkan, dapur umi mengadap tingkap daun yang rendah yang menjadi tempat arwah pak cik aku bertenggek jika dia datang ke rumah kami. Papan tingkap dan pintu dapur di sebelah kanan umi pula renggang, maklumlah rumah pusaka.

Ketika sedang menumis sambal, ibu teringat pada arwah pak cik Madi yang sangat menggemari sambal tumis masakan umi kerana umi suka memasukkan banyak bawang besar yang di potong-potong ke dalam sambalnya. Ketika umi sedang menuang sambal yang telah di masak ke dalam mangkuk, tiba-tiba umi terdengar satu dengusan nafas yang agak kuat dari bahagian luar tingkap dapur. mata umi memandang kearah celahan tingkap kayu yang renggang dan kuali di tangannya hampir terlepas apabila dia terpandang seolah-olah ada mata sedang mengendap umi di balik celahan itu. Dan mata tersebut sempat berkelip 2-3 kali membuatkan umi betul-betul terperanjat. Serentak dengan itu juga hidung umi tercium bau tanah lumpur yang sangat kuat. Dengan pantas umi mencapai mangkuk sambal dan berlari meninggalkan kawasan dapur.

Itu lah kali terakhir umi menerima gangguan seperti itu. Jangan anda semua menyangka yang mata itu adalah milik arwah kerana arwah sudah meninggal dan dia tak akan balik. Aku dan umi tahu itu semua adalah syaitan yang mengambil kesempatan di atas kesedihan dan ingatan kuat umi terhadap arwah. Arwah orang paling baik pernah aku kenal. Beberapa minggu selepas arwah meninggal, bapa pulang ke rumah pada suatu petang dengan membimbit sebungkus plastic berisi warna pensel luna 24 batang. Bapa kata, ‘nah long, duit arwah cik Madi bagi hari tu abah dah terguna buat beli lauk. Ni abah ganti balik. Dia pesan suh belikan along kaler luna besar”… Tamat.

Anum

Leave a Reply

19 Comments on "Pak Cik Madi…"

Notify of
avatar
Sort by:   newest | oldest | most voted
SS

:'(

Madam Nel

Allahu sedihnyaaaa. Sebak baca.
😭😭😭

Semoga Pakcik Madi ditempatkan di kalangan yang beriman.

Amin…

Tiah

Ya Allah…sedihnya. Bergenang air mataku. Al fatihah buat pak cik madi

AA

kenapa cerita harini semua sedih sedih ni? nak nangis baca. al-fatihah untuk pakcik madi.

Kak Yulie

Innalillahiwainnailaihirajiun…
Sedihnye hati, sampai xleh nk fokus part seram tu…
Semoga Allah merahmati arwah…

Bunga

Sedihnya 🙁

arenn

sedih .. best .. moga pakcik madi ditempatkan dikalangan orang yg beriman

aida daisa

Time tgh bca ni tak pasal2 meremang jadinya ditambah tambah dgn bau wangi entah dtg dari mana tah. Al fatihah untuk arwah, semoga ditmpatkan dikalangan org beriman. Syahdu baca

Amni

Sedih dan sayu rase…..bile seseorang yg rapat dgn kita meninggal…perasaan tu susah nk diterangkan….cerita ni smpai ke hati…terasa sedih kehilangan tu…smoga arwah tenang di sana.ameen

Mina

Sedihhh. Bergenang air mata

Rozzy

Sedihnya..alfatihah utk pakcik madi

Nana

Alhatiha tuk pacik madi sedih sngt cerita nie 😭😭

Ai

Mereka yg baik dgn kite.. sejuta kali kite baik dgn mereka.. mcm tu la sifat pakcik madi..

mama

Innalillahiwainnailaihirajiun…
Sedihnya baca 🙁
Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yg beriman.

a

(T_T)

Jeboon18

Sedihnyaa :'( semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh pkcik madi..dan tempatkan arwah bersama org2 beriman..aminnn

tetiba

Part last tu plg sedih..klo org baik dgn kita,smpai mati jgn kta lupa jasa baiknya..😢

Syed

Al-Fatihah

wpDiscuz