Pertemuan Yang Tidak Dijangka

P/s: Admin yang baik, boleh minta ilustrasi AI yang cantik x untuk gambarkan wajah Ustaz Iskandar Zulkarnain tu dengan sy? Nak save untuk simpan pengalaman dengan ‘dia’.Terima kasih admin..JZKK🤲😊(yang ni cut yea admin jangan masuk dlm artikel)

Bismillahirrahmanirrahim
Terima kasih fs siarkan kisah aku yang dulu. bertunang dengan orang ‘alam sana’.

Bertunang dengan Ustaz alam bunian

Kali ni aku cerita lebih detail macam mana boleh terjebak dengan ‘mereka’ ini.

Malam tu aku tidur macam biasa. Rutin aku walau malas macam mana pun sebelum tidur aku akan ambil wuduk dahulu.

Masa tengah rawatan sakit sihir dulu ustaz- ustaz yang rawat pesan berwuduklah sebelum tidur. Kalau ada gangguan, Allah izinkan kurang kesan dia sebab dalam keadaan bersih.

Lepas baca doa semua, on mp3 Al baqarah aku tak sedar aku tertidur. Masa tu aku masih dalam rawatan mak ayah angkat aku. Badan aku ni ikutkan masih kurang sihat lagi.

Dalam mamai…aku nampak aku dengan adik perempuan berada dalam sebuah masjid besar. Lantai marmar berkilat warna hijau lumut tu berseri bila terkena cahaya matahari.

Aku tengah perhati keliling masjid datang 3 orang pemuda yang aku boleh describe memang hensem. Kulit putih ketinggian normal macam lelaki biasa, berjubah putih berkain pelikat, selempang hijau. Muka tenang semua. Bersih.

“Siapa ni…” Aku try tanya.
‘Dia’ cuma senyum. Mereka bertiga tak bercakap sepatah pun. Hanya senyum. Tengok gaya memang gaya orang-orang alim. Aku agak ni ustaz-ustaz perawat dah cara pakaian macam tu.

Masa tu aku masih sakit dada, sendi-sendi masih terasa bisa. Ustaz tu dengan kawan- kawannya duduk depan aku. Aku tak tahu Ustaz ni baca apa depan aku. Mulutnya terkumat kamit tapi suaranya aku tak dengar. Tak lama dia baca tu…

“Uwekk…uwekkk…Allahh Ya Allah…. ! Uwekkk……!!!”
Aku mengerang pegang perut.

Perut aku loya, sakit, sebu.Tekak aku gatal- gatal. Perut aku memulas- mulas bergelodak.
Aku muntah- muntah kat situ juga. Habis lantai masjid. Memang banyak aku muntah. Sambil aku muntah Ustaz dengan kawan- kawan dia cuma senyum. Lihat…mulut masih terkumat kamit. Adik aku urut- urut belakang..Air mata beserta muntah lendir bercampur apa entah keluar dari mulut dan perut aku. Aku menangis sebab takut, letih.

Aku tersedar.
MasyaAllah mimpi rupanya..tapi wajah ustaz dengan kawan-kawannya, reka bentuk masjid lantai hijau lumut yang aku nampak masih jelas, segar dalam kepala. Baru tadi…Baru tadi aku muntah. Rasa macam muntah betul..Aku bangun terus duduk. Tengok sekeliling. Bersih tempat tidur aku. Perut rasa lega. MasyaAllah..Mimpi apa pulak ni..

Gerak hati aku kuat katakan, mereka bantu keluarkan sisa-sisa santau kotor dan sihir yang pernah aku makan, dan yang dihantar pada aku dulu. Walaupun tak semua, tapi sebahagian bisa yang keluar itu pun kira dah membantu aku yang sedang usaha untuk sembuh sepenuhnya. Jujur, aku tak tahu mereka ini siapa.

Esoknya aku telefon mak ayah angkat, beritahu. Aku ajak mereka sekali lagi datang ke rumah.

“InsyaAllah..itu semua izin Allah..Dia tolong bantu la tu buang sisa- sisa sihir kat badan anak..” Gitu je kata ayah angkat aku.

Ayah angkat aku ni kalau tanya dia memang susah direct nak bagitahu. Banyak kiasan. Otak blur-blur alam macam aku ni kadang dapat tangkap, kadang 4-5 kali ayah cakap baru aku faham. Itu pun nasib lah kalau aku faham..

Jadi beberapa hari lepastu tibalah mak ayah angkat aku dari Melaka. Tujuannya juga sebab aku nak sambung rawatan lagi sebab badan masih sakit walau terasa sedikit kurang lepas muntah.

Malam tu sebelum rawatan aku ambil wuduk. Aku duduk berlunjur depan mak ayah angkat. Sesi rawatan bermula. Mak abah aku duduk ditepi melihat.

Selepas ayah baca ayat suci Al Quran, ayah tanya,

“Siapa yang duduk dalam badan budak ni lagi tolong keluar sekarang. Aku tak akan b***h kamu”.

Aku-………………(pejam mata)

Ayah mak bertubi-tubi tanya soalan pada benda yang duk kat badan aku ni. Macam aku cakap artikel sebelum ni, memang masih ada lagi sihir-sihir baru yang dihantar sebab tahu aku berubat. Aku sihat je hantar baru. Memang tak boleh tengok aku kerja elok-elok.

Beberapa Jin dan khadam akhirnya berjaya ditarik keluar. Ada yang balik kepada tuannya, ada yang disembelih sebab degil, ada juga yang mohon dihantar ke Masjidil Haram selepas diIslamkan. Alhamdulillah..

Part aku tak boleh lupa apabila malam itu aku juga turut membantu mak ayah angkat aku memindahkan satu petempatan makhluk ghaib yang jahat kat belakang rumah arwah opah aku kat belakang ni.

Rumah mak abah aku ni di depan rumah arwah opah aku yang dah lama kosong. Dah runtuh pun rumah opah tinggal tunggul tangga batu sebab opah meninggal dah lama. Rumah pun dah reput. Jadi abah aku robohkan semua kalau tak takut nanti benda-benda halus, dan berbisa pulak tumpang tinggal. Belakang rumah opah ni la banyak pokok- pokok besar…

Dan aku malam tu boleh pulak dalam bayangan seolah ternampak seperti laluan/highway/jalan raya tempat makhluk ni buat laluan, melintang dari belakang rumah opah lepastu lencongan ke arah kanan rumah opah, arah Timur laut menghadap matahari terbenam. Kalau korang tahu penunjuk arah U tu, laluan diorang ni arah antara Utara dan Timur yang kita sebut Timur Laut.

Aku spontan masa tu angkat tangan dengan mak, ayah dengan adik angkat aku. Kami duduk berempat saling menghadap, depang tangan seolah mengangkat sesuatu yang sangat berat.

“Fiza angkat tangan fiza! Tahan!!”
Mak angkat aku di sebelah arahkan aku bantu. Masa tu aku sedar. Memang terasa tangan yang didepang tu berat seolah angkat batu besar.

“Berat ni ayahh!”
Aku pandang ayah dengan mak. Terasa peluh menitik. Tangan dah mula terasa lenguh.

Aku pandang ayah. Sambil ayah terkumat kamit baca, mak ayah serentak cakap,

“Tolak ke atas! Tolak!!”
Kami berempat menolak apa yang diangkat itu mengarah ke atas. Serentak. Terasa suatu yang berat terlepas dari tangan.
Alhamdulillah..

Sesungguhnya Allah SWT izinkan..Kami berjaya alihkan penempatan makhluk jahat di belakang ke hutan rimba tebal, yang ayah mak angkat aku sahaja tahu. Aku cuma nampak hutan tebal tapi lokasi tak tahu di mana.

Ah biarlah..janji belakang rumah ni dah clear…Sekurangnya yang liar selalu menganggu sebelum ni tak ada lagi.

Esok ayah kata boleh tebang 3 batang pokok kabung/nibung besar kat belakang tu. Itu port diorang berkumpul. Dah macam pusat berhimpun untuk berpesatuan dah tempat tu aku tengok. Tapi tinggal pokok. Ahli-ahlinya dah dipindahkan.
Ayah aku angguk akur.

Aku pun masa tu masih duduk depan mak ayah. Letih masih terasa.

Tengah sembang-sembang rehatkan diri sekejap tiba2 aku duduk bersila, hulurkan tangan seperti bersalam dengan ayah angkat aku.

” Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam wbt…siapa kamu?”

Ayah aku tanya. Tangan ayah aku genggam kemas. Seolah bukan aku yang bersalam dengan ayah.

” Alhamdulillah, terima kasih kerana membantu kampung kami…”

“Ya siapa kamu ini, boleh kenalkan diri”..Ayah tanya lagi.

” Aku Tok Penghulu kampung di belakang.
Aku ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kamu semua, bantu alihkan makhluk jahat yang merentang dan menghalang pandangan kampung kami dengan tanah depan rumah ini.”

” Sebelum ini penduduk kampung kami banyak diganggu dengan mereka yang jahat ini. Selepas kamu pindahkan Alhamdulillah kami sudah mampu melihat tanah di depan ini..Anak- anak buah aku juga sudah bebas ke hadapan di atas tanah ini…. Terima kasih sahabat”. Kata ketua kampung itu sambil tersenyum pada mak ayah dan semua dalam rumah aku waktu tu.

” Kamu ni penduduk kampung bunian kan kat belakang ni? Alhamdulillah. Apa nama kampung kamu?”
Ayah tanya.

” Ya ..Aku tok penghulu kampung di belakang. Tengku **********(dirahsiakan). Kampung kami bernama Kampung Sinaran Cahaya(bukan nama sebenar) Jangan risau, kami juga Islam. Penduduk kampung kami baik-baik, alim-alim..”

Aku terkejut sebenarnya.Tak jangka. Aku dapat rasa badan jadi sasa, macam badan lelaki, duduk bersila. Segalanya aku dengar tapi tak boleh kawal.

“Baik, kalau begitu tunjukkan bukti pada kami, bau dari kampung kamu pada semua orang dalam rumah ni!”
Arah ayah aku.

“Baiklah.. InsyaAllah…”

Sambil tersenyum aku waktu itu spontan merentang tangan kanan seperti mengaruskan air sungai..

Sepupu lelaki aku yang turut ada ketika itu dengan mak sedara aku, Ejam(bukan nama sebenar) kata,

“Haah ada bau…bau kayu manis…”

” Ya bau kulit kayu manis..” mak ayah aku pun dapat hidup bau tu. Satu rumah dapat hidu. Seolah di bawa angin lalu. Hanya dalam kurang 2 minit baunya. Masalahnya aku tak dapat hidu. Kecewa. Hidung sumbat kot. Time- time ni pulak dia nak hilang deria bau.

” Alhamdulillah…terima kasih. Kami dapat hidu bau kampung kamu”. Ayah aku senyum.

” Sama-sama… Terima kasih banyak juga bantu kampung kami, buka laluan..Hanya Allah mampu balas..Mohon pesan pada tuan rumah ini..Tolong jaga kebersihan luar dalam rumah macam selalu. Kami suka datang kemari sebab rumah ini bersih. Orangnya jaga solat…berzikir..kami selesa..”

“Andai ada sampah sarap tolong kumpulan, jangan biar bersepah, berbau busuk”.

Ayah mak angkat menganggukkan kepala.

“InsyaAllah…kami jaga kebersihan rumah ni. Sebelum ni pun memang hari- hari kami bersihkan reban kucing di belakang, sapu sampah keliling rumah.”

Mak aku membalas dengan baik..Abah terangguk-angguk setuju.

” Lagi satu..Aku minta izin untuk jadikan anak ini anak angkat aku jika diizinkan..hatinya bersih.”

“Kami perlu tanya mak ayahnya dahulu tok penghulu. Kami tak boleh buat keputusan”. Mak angkat bagi jawapan.

“InsyaAllah boleh..Cuma harapnya anak saya ni kurang dah sakitnya asbab buatan orang”. Mak aku memberi kata putus.

” Sebenarnya kami dah lama tahu, tapi xdapat bantu seluruhnya sebab terlalu banyak yang hantar padanya. Anak- anak buah aku ada datang membantu membuang sedikit- sedikit..sebagai usaha untuk memulihkan dia. ”

” Ya betul, memang ramai yang buat anak ini. Dia masih dalam rawatan kami. Tapi kalau orang- orang kampung tok penghulu membantu juga kami tiada halangan.” Ayah angkat mengiyakan.

” Baiklah, sebagai anak angkat, kami beri namanya Puteri Delima Sari(bukan nama sebenar). Dia dikenali dengan nama itu di kampung kami. Sekiranya ada terbau wangi dan sebagainya itu tanda kami datang berziarah ke rumah ini. Semua dengan izin Allah. Kami membantu sekadar mampu. Selebihnya Allah yang berkuasa.Kami pulang dahulu..Terima kasih.. Assalamualaikum wbt “.

“Baiklah, InsyaAllah.. Waalaikumussalam wbt”. Ayah menyambut salamnya.

Bermula dari hari itu, aku dapat rasa aura rumah aku jadi lain. Hanya aku seorang. Mak abah adik-adik rasa macam biasa. Apa-apa kelainan aku akan beritahu mak abah. Di mana madrasah, di mana ada rumah-rumah penduduk kampung dalam dan luar kawasan rumah mak abah aku ni.

Aku dapat lihat juga orang-orang kampung belakang sudah mula ramai membina penempatan di dalam dan luar rumah kami. Di ruang tamu, sebuah madrasah yang diketuai oleh Ustaz yang ada dalam mimpi aku tempoh hari bersama rakan- rakannya. Aku selalu ingatkan ahli keluarga jaga adab berpakaian dan elakkan pergaduhan.
Alhamdulillah…setakat ini rumah tak pernah rasa panas.

Ustaz ini akan berkomunikasi dengan aku lazimnya selepas dhuha atau solat Maghrib.

Dari situlah aku mula rapat dan tahu namanya Ustaz Muhammad Iskandar Zulkarnain. (Bukan nama sebenar)

Seperti yang aku ceritakan tempoh hari aku terima cincin pertunangannya selepas aku selesai solat dhuha. Waktu itu aku mengaku aku tak fikir panjang. Ayah angkat aku beritahu hal itu. Lama dia terdiam.

“Ilmu alam ini luas..”
Katanya kena fikir 100 kali sebelum terima apa-apa pemberian dari alam sana.

“Memang semua di sana indah. Lagi indah dari dunia kita. Tapi Allah membataskan.”

Aku cuma angguk kepala, tapi aku sedih.Terasa juga seolah cinta terhalang. Aku pun masa tu malas nak fikir sangat. Tak sempat nak fikir pro dan kontra sebab tugas hakiki aku yang sedikit sibuk buat aku tak ambil berat nasihat ayah angkat aku.

Badan dah mula rasa sihat, jadi aku kena gandakan tenaga dengan masa untuk siapkan semua yang tergendala masa badan rasa tak sihat sebelum ni.

Nanti masa lain aku ceritakan kisah indah dan sedih, apa yang berlaku dalam tempoh pertunangan, dan selepas putus tunang dengan Ustaz Muhammad Iskandar Zulkarnain itu nanti..

Cuma satu kena ingat, setiap yang Allah izinkan jadi tidak sia-sia. Ada hikmah besar untuk kita yang mampu berfikir untuk merenung kebesaran Allah. Itulah penggerak untuk membaiki diri ke arah yang lebih baik.

Terima kasih Allah😊🤲

-Puteri Delima Sari-

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Puteri Delima Sari

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 20 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.